Skuad Rela Mati Taliban Bersiap Siaga Untuk Bertindak

Oleh Rory Carroll di Islamabad, 8/11/01. The Guardian

Para pemimpin Taliban telah mengizinkan penubuhan skuad rela mati untuk mencari dan memusnahkan sasaran Amerika bersama pakatan Utara dalam satu fenomena mempertingkatkan penentangan mereka terhadap serangan darat, demikian dilaporkan kelmarin.
 
Beberapa pasukan militan telah dikatakan mendapat kebenaran melilit badan mereka dengan bahan ledakan dan memasang perangkap yang sama di kenderaan untuk melancarkan serangan ganas terhadap musuh mereka, walaupun ada kesangsian apakah perbuatan itu akan ditafsirkan sebagai membunuh diri.
 
Kesungguhan mengenakan bencana yang maksima terhadap askar Amerika dan proksi mereka daripada pakatan Utara nampaknya sudah meyakinkan Taliban memberikan keizinan menggunakan taktik yang mengorbankan banyak nyawa anggota pasukan keselamatan India di Kashmir.
 
Militan Islam yang memerangi wilayah Himalaya terhadap India telah melancarkan serangan ke arah pengkalan tentera India, sekatan keselamatannya dan pasukan rondaan dengan melancarkan serangan berani mati yang mengorbankan berdozen nyawa. Para pejuang yang sanggup berkorban seperti ini digelar sebagai anggota ‘FIDAYEEN’.
 
Kumpulan Islam itu berlatih untuk menyerang di Afghanistan di bawah tajaan Taliban dan Al-Qa'eda pimpinan Osama Laden. Mereka menganggap perjuangan menentang Amerika itu sebagai satu peperangan jihad
 
Mengikut laporan pelarian perang, warga Arab dan Pakistan yang berani mati telah semakin menonjol memperkasakan benteng pertahanan Taliban, sambil mengenepikan pejuang Afghan yang lebih bersifat sederhana. 
 
Jaish-e-Mohammad adalah satu kumpulan fundamentalis Pakistan yang disyaki melancarkan serangan pengeboman dengan menggunakan kereta, bulan lalu yang membunuh sekitar 38 orang di luar dewan perundangan di Kashmir. Ada laporan mengatakan kumpulan ini sudah memasuki Afghanistan dan akan menggunakan kaedah yang sama.
 
“Mereka berjuang menentang India, dan mereka akan berjuang menentang Amerika,” kata Mohammad Gul, yang telah melatih sukarelawan. “Kami telah mengarahkan pejuang kami berpindah daripada Kashmir menghala Afghanistan.”
 
Sardar Ahmedia, seorang jurucakap Pakatan Utara yang berpusat di New Delhi, mendakwa pemimpin agung Taliban, Mullah Omar telah menggerakkan pasukan fidayeen di satu persidangan di Kandahar minggu lalu. 
 
Setelah menjalani latihan komando, skuad rela mati itu akan dihantar menyeberangi sempadan mencari sasaran pengkalan AS dan tempat pembekalannya di negara lain seperti Tajikistan, katanya.
 
Kenderaan seperti trak, kereta kebal, dan apa juga yang boleh bergerak akan dipasang bahan peledak dan bom, mungkin dipandu ke arah benteng tentera lawan di Mazar-i-Sharif untuk merampasnya semula. Demikian laporan beliau kepada majalah Defence Weekly. 
 
“Mengikut sistem latih-tubi Taliban mengajar kader mereka bahawa perjuangan yang berakhir dengan kematian adalah satu kesucian dan membunuh musuh sehingga terkorban diri sendiri adalah dianggap perjuangan yang paling tinggi menghala ke syurga. Gambar-gambar para fiyadin yang terkorban dipasang di setiap masjid dan surau dan para pelatih digalakkan mencontohi perjuangan mereka yang syahid itu.”
 
Seorang Taliban yang berpaling tadah, memberitahu Guardian betapa dua orang juruterbang sudahpun bersedia memandu pesawat secara kamikaze dengan menggunakan pejuang usang SU yang telah disorokkan selama ini dan dapat mengelak serangan bertubi AS.
 
Akhbar Frontier Post kelmarin ada melaporkan sumber Taliban berkata di Kabul bahawa: “skuad rela mati ‘fidayin’ yang bersenjatakan sub-mesingan AK-83 dan memakai gelang kain berwarna hijau yang dilakar tulisan Al-Qur'an sudahpun mula bertugas di beberapa tempat.
 
Para komando itu adalah warga Maghribi yang mempunyai hubungan dengan kumpulan Palestin yang pernah menggerakkan pasukan rela mati menentang sasaran Israel.
 
Malahan dalam pasukan Taliban, kumpulan fidayin itu merupakan pasukan yang penuh kontroversi kerana terdapatnya tanggapan ajaran Islam dan amalannya yang melarang membunuh diri. 
 
Namun, ada tafsiran yang dikaitkan kepada Kashmir dan Israel, mengatakan seseorang yang menyerang itu adalah pasti menemui ajalnya dan tidak semestinya perbuatan itu bersamaan dengan membunuh diri sendiri. Inilah yang dikatakan mati syahid.
 
Pergolakan di Kashmir telah meledak pada 1989, ketika Soviet Union berundur daripada Afghanistan, memberi ruang kepada para pemberontak berkhemah di kawasan yang dikuasai oleh pejuang mujahidin dan mereka mempunyai segala kepintaran untuk mengganyang tentera India yang telah dituduh selama itu menekan dan mendera penduduk Islam Kashmir yang merupakan kumpulan yang majoriti.  

Terjemahan oleh SPAR. 

hITS: