Impikan Era Baru Perjuangan Parti Keadilan?

Bahagian I

Inginkah parti ini menjadi sebuah parti yang di segani dalam segala aspek? Senang sahaja! Dua faktor penting dalam membentuk era baru perjuangan kita.

Pertama: MENTALITI

Sejak penubuhan parti ini, saya nampak majoriti anggota parti lebih bermiripkan kepada tingkah laku, dan pemikiran corak UMNO. Demonstrasi, berceramah berdegar-degar dan kutuk seseorang sana-sini.

Dalam parti ini ramai juga di kalangan para profesional, malah boleh di katakan parti ini masa dulu berkeupayaan menarik lebih ramai golongan profesional dan generasi muda. Tetapi sayang seribu kali sayang, Kak Wan dan para eksekutif parti tidak mengambil peluang ini sebaik-baiknya. Saban hari kita dimashyurkan dengan nama-nama Ezam, Roslan Kassim, Azmin, Gobala dan lain-lain lagi. Maaf! mereka ini sememangnya idola generasi muda dan di katakan penggerak gerakan reformasi. Tetapi jikalau Kak Wan sebagai ketua eksekutif parti menghayati golongan profesional ini, saya pasti Kak Wan akan mengenal pasti bahawa corak perjuangan golongan ini amat berlainan dengan corak perjuangan parti selama ini. Mungkin boleh saya katakan golongan ini lebih gemar buat kerja daripada bercakap dan mereka ini juga tidak suka menonjol diri ibarat pahlawan. Kak Wan bertanyalah pada diri kak Wan dan juga lihat personaliti Dr. Chandra.

Saya lihat dahulu dan sekarang parti Keadilan ibarat memaksa diri mengikut corak suasana politik yang di 'dominan' oleh UMNO dan PAS. Saya nampak ruang masih ada dan terbuka luas untuk mengubah persepsi ini. Saya perhatikan generasi baru ahli politik dalam UMNO dan pemuda UMNO tiada nilai-nilai intelektual dan perjuangan untuk rakyat. UMNO sekarang ini lebih gemar berjuang untuk urusan perniagaan dan memajukan diri sendiri. Berlainan dengan PAS, parti ini telah mula menyusun barisan para intelektual mereka di samping perjuangan yang komited menegakkan akidah Islam dalam segala aspek kehidupan. Sememangnya kita sebagai umat Islam inginkan satu generasi atau masyarakat Islam yang kuat dan cerdik.

Sebagai sebuah parti nasional pelbagai kaum dan agama, maka sudah tentu parti Keadilan lebih mudah menarik minat para profesional dalam segala peringkat masyarakat. Golongan ini juga lebih menekankan fakta-fakta logik, perancangan jangka panjang dan 'straight forward'. Adalah pasti taraf pemikiran dan perjuangan golongan elite ini tidak sama dengan suasana gerakan dan perjuangan para parti politik yang wujud sekarang ini. Tetapi golongan ini berkeupayaan mengubah corak perjuangan, imej parti, dan menjadikan sebuah parti yang disegani dan di pandang mulia dalam masyarakat.

Kesimpulannya, kepada barisan pemimpin parti Keadilan pusat maupun negeri yang baru, patut memikirkan kritikan saya ini. Terpulang kepada anda semua untuk memilih corak yang sesuai dalam perjuangan seterusnya!

Dr.Yusof MD

Hits: