Video Amerika Menunjukkan  Manusia  Berkecai Kena  Ledakan Bom

(US  shows video  of man  being blown  apart)

 

 

oleh: Andrew Buncombe di Washington.  November 9.01.

 

Panglima yang memberikan taklimat itu  menyebutnya sebagai “satu  keganjilan” apabila dia menayangkan  satu  gambaran pengeboman Amerika -  satu klip video  menunjukkan seorang  insan  yang  berkecai badannya  menjadi  ribuan cebisan  hasil serangan  peluru berpandu  Amerika Syarikat (yang berharga  tiga juta  dollar setiap satu – penterjemah).

 

“Anda akan melihat dua kenderaan,  yang satu  berhenti  di sebelah  yang satu  lagi,” kata   General Peter  Pace  yang  menjadi komander  marine Corps ketika  dia memberikan taklimatnya  itu. “ Anda akan dapat melihat  manusia ini  berdiri  di antara dua  kenderaan  itu  sebelum satu peluru berpandu  mengena  kedua  kenderaan itu.”

 

Panglima perang  ini  yang merupakan timbalan  pengerusi  Ketua Turus  Bersekutu  Tentera  Amerika Syarikat – tidak pun tahu  lokasi sebenar  serangan itu ataupun jenis peluru  berpandu  yang  digunakan. Dia tidak pun tahu  apakah sebenarnya  kenderaan  yang  dijahanamkan  itu – apakah  itu  kereta kebal  ataupun  trak pengangkut  minyak – kerana  imej yang samar  diambil oleh kamera  pesawat  pengebom. Namun itu  merupakan satu  pandangan  yang  ganjil, juga.

 

Tidak ada sesiapa  yang  menganggap akan ada sesuatu yang menarik dalam  serangan berpadu  Anglo-Amerika  itu. Tidak ada  sesiapa yang menafikan kemungkinan  orang  awam  akan  menjadi  mangsa dalam apa yang disebut  sebagai  bencana  peperangan. Tetapi minggu ini, selepas  lima minggu  mereka  menjahanamkan bumi Afghanistan, Pentagon telah mendedahkan  segala kesan-kesan kerja  musibat yang sungguh  menjijikkan dan  mencetuskan perasaan  yang  mengerikan.

 

Apabila lebih banyak persoalan  yang  dikemukakan mengenai  kebijaksanaan dan  kepintaran  merencana  kempen itu secara  khusus  dengan  serangan  daripada  angkasa,  ia  membuatkan Pentagon menjadi tertekan  untuk meyakinkan betapa  yang  teruk digasak itu ialah  kumpulan Taliban. Walaupun ketiadaan gambar yang jelas dan mencukupi  untuk meyakinkan  cadangan mereka, Pentagon   masih terus berlakon bahawa  serangan  mereka itu telah banyak memusnahkan Taliban dan  anggota  al-Qaida, Setiausaha  Pertahanan  AS, Donald Rumsfeld, menyatakan betapa dia  pernah  melihat   laporan menunjukkan Taliban tewas dua kali dalam sehari; ada  yang  memangsakan  enam orang  dan  ada kalanya  20 anggota  Taliban  yang  mati.

 

General Pace  telah diminta  jumlah sebenar   anggota  Taliban yang  mati. Dia  menjawab: “Saya tidak boleh  memberikan sebarang  taksiran, tetapi saya dapat  tunjukkan corak peperangan kita...Anda tentu mendengar  kisah  serangan  pasukan berkuda  - dan ini adalah   pasukan pembangkang – yang menunggang  kuda  untuk memerangi  kereta kebal dan  kereta  perisai.  Jadi inilah  pasukan  tempatan yang  agresif  yang sanggup menyerang kubu lawan dan kita memberikan sokongan  kepada  mereka sebaik mungkin.”

 

Kelmarin, General Tommy Franks, yang  mengepalai peperangan itu, telah ditanya soalan  yang sama.  Dia menjawab soalan  wartawan itu dengan merujuk pada satu tahap  kepada  ajaran Sun Tzu , seorang komander China  yang  menulisnya 2,400 tahun dulu dalam buku ketenteraannya ‘The Art of War'. General  Franks menyebut  betapa “:setakat ini  pasukan Taliban sudah  kehilangan  sedikit  pejuangnya   berbanding  hari permulaan  perang  itu.”

 

Memang nampak sangat  putar-belit  dan tipu muslihat yang  penuh fantasi  itu yang kadang kala muncul daripada Pentagon.  Washington sudah semakin sedar betapa  serangan udara itu  menjejaskan hubungan baiknya  dengan  rakan sekutu  yang  lain. Washington sedar, setiap kali sebiji peluru berpandu  tersalah sasar,  seperti yang berlaku  di Kabul, Rabu lalu  dan membunuh  sepasang  pengantin baru d  perkampungan  yang ramai penduduknya, sehinggakan berselerakan  harta benda  mereka, lebih banyak  persoalan  yang  ditonjolkan.

 

Amerika juga semakin sedar, di sebalik segala  pengboman   yang  menggila, kebanyakan anggota  Taliban  yang berjumlah  50,000  semuanya  masih bertahan di kubu mereka, sambil menunggukan masa  pasukan Pakatan Utara  datang  menghampiri  bandar utama seperti  Mazar-e-Sharif, yang telah  dikuasai oleh Taliban sejak  1998.

 

Soalan utama yang  menghantui  para  perancang utama tentera AS ialah  berapa lamakah lagi serangan ketenteraan itu  dikhususkan kepada  serangan udara sambil  memproksikan  serangan darat  kepada  pasukan Pakatan Utara yang tidak boleh  diharapkan itu.  Berapa banyak lagi pun  taklimat Pentagon di masa depan tidak akan mampu menyaluti muslihat  bahawa tentera darat Amerika dan Britain seharusnya  turun padang  memerangi Taliban di bumi Afghanistan. Tidak dinafikan pula nanti, apabila  fenomena itu benar-benar terjadi, akan  muncul  lebih banyak  gambaran  yang “lebih ganjil”  lagi.

 

 

Tamat SPAR

 

Hits: