Tazkirah ( 29 ) : Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanyasanya layak bagi Allah s.w.t., Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Kembali kita berjumpa lagi setelah beberapa siri tazkirah ini tidak disiarkan. Sebagaimana yang saya maklumkan dahulu bahawa siri-siri petikan dari buku ini cukup panjang. Buku ini mengandungi 543 mukasurat. Sudah pasti setiap helai mukasurat adalah penting, tetapi agak mustahil untuk dipetik kesemuanya. Jadi, saya akan cuma memetik beberapa tajuk yang lebih penting sahaja.

Kita akan bersambung mengenai bab zuhud dalam kehidupan iaitu tajuk PENGERTIAN ZUHUD.

Kehidupan zuhud adalah suatu kehidupan yang ingin mencari keredhaan ILAHI dengan memilih konsep kesederhanaan di dalam kehidupan sebagai suatu alternatif dan meninggalkan segala rupa bentuk kemewahan duniawi yang menghiasi warna kehidupan. Kehidupan zuhud dapat mencetuskan sifat-sifat kemanisan ketika melakukan upacara ibadat kepada Allah dan dapat menambahkan kelazatan iman dalam kehidupan. Kehidupan seperti itu juga dapat melahirkan perasaan cinta  yang kekal abadi kepada Allah di dalam diri setiap individu muslim yang sentiasa bermujahadah kepada-Nya. Para ahli hakikat telah menta'rifkan zuhud sebagai berkata : ( Terjemahan ) ' Iaitu bencikan ( kemewahan ) dunia dan berpaling darinya, dikatakan juga zuhud ialah meninggalkan kerehatan dunia semata-mata mencari kerehatan akhirat atau menyucikan hatimu daripada kecacatan yang dilakukan oleh tanganmu.'

Di dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w. telah memberi penjelasan secara lanjut tentang siapakah sebenarnya yang dikatakan orang yang zuhud di jalan Allah. ( Terjemahan ) ' Orang yang zuhud di dunia itu bukanlah mereka mengharamkan yang halal dan bukan pula mereka membuang segala harta benda, tetapi yang dimaksudkan dengan zuhud di dunia bahawa tidaklah apa yang kamu miliki itu lebih kamu yakin terhadap apa yang ada pada Allah dan pahala musibah yang menimpa kamu lebih kamu sukai sekiranya dikekalkan kepada kamu'.

Rasulullah s.a.w. sendiri telah memilih jalan zuhud sebagai manhaj hidupnya dengan tujuan untuk memberi pengajaran kepada sekalian umatnya bahawa segala rupa bentuk kekayaan dan kemewahan yang ada di atas dunia ini bukanlah segala-gala dan tidak akan kekal abadi, ianya tidak sdikitpun bernilai di sisi Allah.

Di dlam sepotong hadis, yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa baginda s.a.w. pernah mengungkapkan  kata-kata yang indah. ( Terjemahan ) ' Wahai Tuhanku! Tiada kehidupan yang sebenar melainkan kehidupan akhirat '. ( Sepakat riwayat )

Di dalam sepotong hadis yang lain, diriwayatkan oleh Suhil bin Sa'ad As-Saedi r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda. ( Terjemahan ) ' Seandainya dunia ini bernilai di sisi Allah sebesar sayap nyamuk, maka tidak akan diberikannya kepada orang kafir walaupun seteguk air '. ( Riwayat At-Tarmizi )

Rasulullah s.a.w. telah membuktikan kata-kata itu tentang kehidupan yang sebenar yang menjadi pilihannya, bahawa kehidupan baginda tidak sama dengan pemimpin-peminpin dunia yang lain, sama ada sebelum baginda diutuskan mahupun selepas baginda wafat. Mereka tinggal di bawah bumbung mahligai yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk aneka kemewahan dan kelazatan hidup, di kelilingi oleh wanita-wanita yang cantik dan jelita sebagai tempat berhibur untuk berasmara dan berseronok.

Baginda telah memilih jalan dan caranya tersendiri untuk berhibur atau berseronok, iaitu dengan cara beribadat kepada Allah setiap waktu senang apatah lagi waktu susah. Ingatan baginda tidak putus-putus terhadap Allah walaupun di dalam kegawatan hidupnya dan begitu juga di dalam kancah peperangan menentang kaum kuffar. Ini merupakan suatu pendidikan secara tidak langsung baginda mentarbiyahkan para pengikutnya melalui jalan kehidupan yang berkonsepkan kesederhanaan, kerana kehidupan itu adalah bersifat sementara sahaja, segala harta benda dan kemewahan hidup tidak boleh dibawa ke alam barzakh atau alam akhirat. Cara kehidupan sebigini membuktikan bahawa baginda adalah seorang pemimpin yang bersih dalam kriteria politik ketika menguruskan pentadbiran negara. Baginda tidak pernah terlibat di dalam kes-kes rasuah atau salah laku atau mengambil kesempatan terhadap jawatan yang disandang itu untuk memonopoli kekayaan negara dan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya atau keluarganya atau kaum kerabatnya. Baginda tidak pernah terlibat di dalam apa jua bentuk penindasan atau berat sebelah atau memilih kasih ketika membahagikan harta kekayaan negara. Untuk membuktikan kepentingan umum lebih diberi keutamaan daripada kepentingan peribadi atau kaum kerabatnya sendiri, baginda telah membuat suatu deraf peraturan yang ditetapkan oleh Allah dengan mengharamkan secara mutlak ke atas dirinya dan keturunannya mengambil atau menerima harta zakat, kerana  harta zakat ketika itu merupakan salah satu sumber pendapatan dan sumber ekonomi negara terbesar.

Tetapi, baginda memilih kehidupan zuhud bukanlah bererti baginda menolak terus segala rupa bentuk harta benda dan kekayaan, apa yang baginda maksudkan ialah anjuran yang praktikal terhadap konsep kesederhanaan dalam kehidupan. Buktinya, baginda  tidak pernah melarang para sahabatnya mengumpul harta kekayaan, termasuk salah seorang menantunya bernama Uthman B. Affan r.a. yang mempunyai banyak harta dan gedung perniagaan. Begitu juga dengan salah seorang sahabat yang kaya-raya bernama Abdul Rahman bin Auf yang banyak memberi sumbangan kepada perjuangan Islam, bahkan mereka semua telah dijamin syurga oleh Allah, kerana banyak membantu gerakan Islam melalui harta benda.

Tiada fakta yang menunjukkan baginda melarang para sahabatnya mencari kekayaan, tetapi apa yang mereka larang ialah kebakhilan akibat dari kekayaan....

......bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M. Subuh