SEKADAR RENUNGAN BUAT TEMAN YANG TERKELIRU

Prakata webmaster: Terlebih dahulu saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua penulis yang telah menyumbangkan ide dan pendapat mereka sebagaimana yang tersiar dalam laman MR. Walau pun demikian banyak yang terpaksa saya tolak kerana kekurangan isu dan mengemukakan isu yang remeh. Dalam penapisan kali ini memang saya longgarkan hingga membawa kepada sedikit percanggahan atau mampu menimbulkan kekeliruan. Sebabnya, saya ingin mengemukakan pendapat sebahagian besar yang berkata begitu. Sebagai laman web yang bersifat terbuka, sesiapa sahaja boleh mencurahkan ide dan pendapat. Yang baik kita jadikan tauladan dan yang kurang itu kita jadikan sempadan. 

Berbalik kepada isu reformasi telah mati dan perlukan perubahan saya terima pandangan kritis penulis dari Dr. MD Yusof. Itu hak beliau menulis. Bukan semua tulisan itu harus kita terima kerana tiada kayu pengukur sebenar perjuangan melainkan mereka yang memahami tujuan lahir ke dunia dan memahami pula pedoman dan panduan yang dianugerahkan Allah sebagaimana yang terkandung dalam 6,666 ayat untuk kita fahami dan amalkan. Reformasi bermaksud perubahan, memang tidak mati. Kegagalan kita memahami maksud 'reformasi' menyebabkan penilaian ke atas pergolakan politik menjadi keliru dan bercelaru. Jika reformasi mahu disamakan dengan 'demontrasi' semata-mata, maka itu sesuatu yang salah kerana demontrasi adalah satu alat atau satu cara mahu melaksanakan reformasi yang ingin kita laksanakan. 

Reformasi yang paling besar ialah menukarkan sebuah kerajaan yang bersifat kuku besi (autokrasi) kepada kerajaan yang bersifat rakyat untuk rakyat. Inilah perjuangan reformasi di Malaysia. Reformasi juga bukan amalan perjuangan Parti KeADILan Nasional semata-mata. Malah setiap parti ingin melaksanakan reformasi masing-masing dengan ideologi perjuangan cara tersendiri. Meruntuhkan satu binaan yang kukuh memang bukan kerja sehari dua. Penyerapan idea melalui reformasi minda adalah satu proses reformasi yang awalannya harus kita laksanakan. Begitulah Minda Rakyat sebuah laman yang berusaha melaksanakan perubahan cara berfikir rakyat Malaysia agar setiap kerja buat ke arah melaksanakan reformasi jadi lebih mudah untuk dicapai. Akhirnya jutaan terima kasih kepada pandangan ikhlas Kak Id yang seharusnya menjadi sentuhan kita menilai kembali arah perjuangan ini ~ webmaster

Ke hadapan teman-teman seperjuangan yang dihormati sekalian,

‘Reformasi mungkin malap, tetapi tidak lenyap’.....itulah satu tajuk artikel yang pernah disiarkan di sebuah laman pro reformasi tidak lama dahulu. Pahitnya hakikat itu terpaksa ditelan namun bibit terakhir ayat itu  memberikan penuh pengharapan. Terimalah kenyataannya....

‘Reformasi tidak mati’.....berkata pula DSWA. Tidak dinafikan bahawa sesungguhnya keADILan dan Reformasi itu berpisah tiada. Apakah yang dijadikan sebagai kayu pengukur kepada jatuh bangunnya sesuatu gerakan itu? Apakah REFORMASI hanya diwakilkan kepada kegiatan  demonstrasi semata-mata? Apabila satu-satu demo yang dianjurkan itu kurang mendapat sambutan, apakah ia bermakna REFORMASI telah mati?

Jawapannya ada pada diri setiap reformis dan pendokong BA yang setia. Saya pasti setiap dari mereka tanpa secalit keraguan akan mengatakan bahawa REFORMASI TETAP SEGAR DI DALAM JIWA SETIAP RAKYAT YANG DAHAGAKAN PEMBAHARUAN DAN KEADILAN DI NEGARA INI. Biar apa yang diwar-warkan oleh media-media pengampu, biar apa yang disalakkan oleh puak-puak Barisan Najis, biar apa yang ditohmahkan oleh pengkhianat-pengkhianat yang telah tunduk kepada hawa nafsu keduniaan mereka.....namun bagi kita yang berbangga sebagai pendokong BA……REFORMASI AKAN TERUS MEMBARA SELAGI KEZALIMAN BERLELUASA DI BUMI YANG BERTUAH INI!

Satu hakikat yang kita tidak sekali-kali boleh lupakan adalah bahawa kita berhadapan dengan musuh yang begitu kuat. Banyak faktor yang menyumbang kepada kekuatan mereka itu, di antaranya faktor ‘fulus’ yang dapat membeli segala-galanya termasuk maruah pengkhianat-pengkhianat BA, faktor lamanya mereka berkuasa sehingga dapat mencengkam hampir semua agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya berkhidmat kepada rakyat dan faktor jentera kepolisan yang menjadi anjing belaan dan samseng-samseng berlesen yang sentiasa patuh kepada kehendak mereka.

Justeru itu apakah kita boleh menyalahkan rakyat biasa yang ketakutan untuk menyahut seruan supaya turun berdemo atau menghadiri ceramah-ceramah terbuka? Dan apabila semua aktiviti dan program yang dirancang tidak mencapai tahap yang diharapkan maka kita terus menempelak pucuk pimpinan BA dan aktivis-aktivis Reformasi sebagai telah  gagal 100%?

Sedih saya membaca tulisan seseorang yang mengaku penyokong kuat BA tetapi secara lantang menyatakan kekecewaannya terhadap pucuk pimpinan salah sebuah parti komponen BA. Tidak dinafikan REFORMASI mungkin MALAP.....apabila sejak penahanan Sdr. Ezam dan rakan-rakan bermula April tahun ini didapati kebanyakan program dan aktiviti yang diaturkan kurang mendapat sambutan dan tidak menyerlah. Namun kita jangan lupa bahawa pada masa yang sama, KERAjaan mahafiraun dengan kerjasama yang amat erat dari pasukan anjing kurap diraja Malaysia telah melancarkan  serangan paling sengit bermula saat itu kepada apa sahaja yang berkaitan dengan barisan pembangkang. Berapa banyakkah wang di tabungan kita yang ada untuk menampung setiap mereka yang ditangkap secara membabi-buta ketika menghadiri sebarang demo atau ceramah umum. Berbaloikah pengorbanan itu apabila kita sedar hanya kantung yang di sebelah sana yang penuh sedangkan kita terus menggigit jari?

Saya tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa demonstrasi jalanan kini tidak perlu dibuat. Bagi saya, sesiapa yang mempunyai keupayaan dan semangat yang jitu untuk meniti jalan itu amatlah dialu-alukan. Malah saya dapati, reformis-reformis jalanan yang setia dari dulu sentiasa aktif dan tidak jemu-jemu mengelolakan perjalanan demo. Salut untuk mereka! Mungkin kali ini kita perlu mengubahsuai aktiviti kita selaras dengan bentuk tindakbalas yang tidak mengenal belas itu. Kaedahnya terpulang kepada kebijaksanaan barisan pucuk pimpinan kita yang dihormati.

Cuma rasa tidak senang itu timbul apabila ada pihak yang mendabik dada sebagai pendokong BA tetapi masih tidak memahami sepak terajang perjuangan ini. Untuk apa kita menyalahkan pihak-pihak tertentu dan membuka pekung di dada hanya untuk menyukarkan lagi keadaan. Tiga tahun bukanlah satu tempoh yang cukup lama untuk mengukur keberkesanan barisan kita dan belum pula masanya untuk berputus asa. Bukankah lebih baik kita ketepikan rasa terkilan kita dengan sikap segelintir pemimpin yang kurang kita senangi dan kita tumpukan sepenuh tenaga dan perhatian kita bagi memperkuatkan lagi barisan kita terutamanya bagi menghadapi 2004.

Manusia mempunyai berbagai ragam dan tidak ada sesiapapun yang sempurna. Saya kenal ramai pemimpin yang tidak bernama dan tidak dikenali ramai tetapi berjuang dengan penuh ikhlas. Mereka ini bukanlah calang-calang orangnya semasa berada di dalam kerajaan dahulu. Salah seorangnya itu pernah difitnah dan teraniaya sehingga sanggup melepaskan jawatannya. Namun ada satu permintaannya kepada Presiden Parti (boleh diteka agaknya??) yang mengharukan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya..... “Saya sanggup melepaskan jawatan saya tetapi tolong jangan tutup peluang saya untuk memperjuangkan keadilan buat Dato’ Seri Anwar Ibrahim”.

Mungkin ada seekor dua kambing hitam di dalam kelompok kita tetapi cukuplah kalau kita sematkan di dalam hati betapa terdapat ramai lagi insan lain seperti contoh di atas yang sanggup berjuang bersama-sama kita sehingga matlamat REFORMASI kita tercapai. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Ingatlah.... ‘there is right to know, there is right to secrecy’.....semuanya demi kebaikan kita bersama, InsyaAllah!

Sekadar renungan buat teman yang terkeliru.....maaf sekiranya ada yang tersinggung perasaan.

‘Lawan Tetap Lawan, lawan sampai menang!’

Kak Id

Hits: