ISU NEGARA ISLAM

Soalan-soalan yang sering ditanya dan Respons/Jawapan/Komen (bahagian 2)

Layakkah orang bukan Islam yang tidak faham tentang konsep dan tasawwur negara Islam membicarakan tentang negara Islam? 

 Layakkah orang bukan Islam yang tidak faham tentang konsep dan tasawwur negara Islam membicarakan tentang negara Islam? 20/08/01 Mana mungkin orang bukan Islam layak untuk membicarakan negara Islam, mempromosikannya, apatah lagi mempertahankannya sekiranya mereka sendiri tidak faham konsep dan tasawwur negara Islam yang sebenar? Begitu juga dengan orang Islam yang menolak negara Islam dalam keadaan di mana dia sendiri tidak faham tentang konsep dan tasawwur negara Islam yang sebenar. 

Bagaimana pula dengan orang Muslim sendiri yang menolak negara Islam?

Bagaimana pula dengan orang Muslim sendiri yang menolak negara Islam? Orang Muslim yang menolak negara Islam adalah disebabkan: pertama, orang Muslim berkenaan jahil tentang konsep dan tasawwur negara Islam; lantas menolak negara Islam; kedua, orang Muslim berkenaan faham tentang tuntutan tersebut tetapi orang Muslim berkenaan tidak suka, benci, dan memusuhi Islam dan orang-orang yang mahu menghayati kehidupan cara Islam. 

Benarkah negara Islam itu negara teokrasi dan menolak demokrasi?

Benarkah negara Islam itu negara teokrasi dan menolak demokrasi? Negara Islam bukan negara teokrasi 100% dan bukan juga demokrasi 100%. Negara teokrasi menekankan pemerintahan di laksanakan oleh para alim ulamaknya yang mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ketuhanan dan hubungan yang rapat dengan Tuhan. Manakala negara demokrasi pula menekankan bahawa semua keputusan dibuat berdasarkan suara majoriti samada keputusan itu melibatkan undang-undang, pemilihan pemimpin, mahupun menentukan halatuju negara. Berbeza dengan negara teokrasi, di dalam negara Islam, terdapat tiga badan yang terlibat dalam pemerintahan negara: badan eksekutif, badan pembuat undang-undang (legislative), dan badan kehakiman (judiciary). Para 'alim ulamak agama tidak semestinya memonopoli semua badan. Malah dalam dunia yang sentiasa berubah ini dan cabaran serta keperluan yang semakin kompleks ini, pemerintahan sesebuah negara Islam memerlukan pelbagai tenaga pakar dari pelbagai bidang dan bukan bidang agama semata-mata. Oleh itu, soal ulamak agama mendominasi semua badan dalam sistem pemerintahan Islam tidak timbul. Sila lihat Artikel Demokrasi dan Islam - akan diterbitkan dalam laman web ini) 

Benarkah dalam negara Islam ulama' akan menjadi umara' (pemimpin negara)?

Benarkah dalam negara Islam ulama' akan menjadi umara' (pemimpin negara)? Tidak semua ulamak boleh menjadi pemimpin negara kerana ia bergantung kepada kelayakan, keperibadian, keilmuan seseorang pemimpin. Tetapi yang jelas ialah tidak semua pemimpin negara boleh jadi ulamak. Di dalam Islam, kepimpinan ummah sejagat dijuruskan kepada ulamak tetapi kepimpinan pengurusan sesebuah negara boleh dijuruskan kepada umarak atau badan eksekutif yang diketuai oleh seorang Presiden atau Perdana Menteri. Pemimpin negara dalam negara Islam tidak semestinya seorang ustaz atau yang berlatarbelakangkan agama tetapi tidak salah kalau seseorang ustaz yang mempunyai kelayakan untuk menjadi pemimpin negara. Gambaran bahawa dalam negara Islam hanya akan diperintah oleh ustaz dan ulamak yang berserban adalah tidak tepat. Itu adalah gambaran negara Islam ala-UMNO. Dalam negara Islam yang sebenar, orang bukan Islam juga boleh menjadi pemimpin untuk mewakili kelompok mereka dalam negara Islam melalui proses pemilihan kepemimpinan dalam negara tersebut. UNtuk memegang jawatan Perdana Menteri dalam sebuah negara Islam, sudah tentulah orang Islam yang wajib memegang amanahnya. Mana mungkin orang bukan Islam yang tidak memahami selok belok perundangan Islam dan pemerintahan menjadi Perdana Menteri dalam negera Islam? Tetapi jawatan Perdana Menteri tidak terhad kepada satu-satu kaum. Ia boleh dipegang oleh bukan Melayu yang berugama Islam. 

Mengapa tolak negara Islam sebelum tahu atau faham konsep dan tasawwur (gambaran) negara Islam yang sebenar

Mengapa tolak negara Islam sebelum tahu atau faham konsep dan tasawwur (gambaran) negara Islam yang sebenar? Kebanyakan orang atau pihak yang menolak negara Islam ialah orang yang tidak cukup maklumat mengenai konsep dan tasawwur negara Islam. Adalah tidak adil bagi orang atau pihak berkenaan itu sendiri dan bagi orang Muslim apabila orang atau pihak yang tidak faham tentang konsep dan tasawwur negara Islam menolak "negara Islam". 

Apa cacatnya negara Islam? Sila tunjukkan apa kelemahan atau aspek negatif dalam negara Islam?

Apa cacatnya negara Islam? Sila tunjukkan apa kelemahan atau aspek negatif dalam negara Islam? Jika negara Islam ada cacat-celanya, sila kemukakan pada umat Islam apakah cacat-celanya. Apakah orang yang menolak negara Islam ini pernah duduk di bawah pemerintahan Islam? Apakah rasional bagi orang yang tidak pernah menikmati pemerintahan cara Islam menolak pemerintahan cara Islam dengan bersandarkan andaian-andaian dan propaganda yang negatif dan tidak tepat. Ia adalah satu yang tidak rasional. Mana mungkin kita menolak buah durian dan mengatakan ianya tidak sedap sedangkan kita belum merasainya? 

Mengapa bergantung kepada UMNO untuk memahami maksud negara Islam? 

Mengapa bergantung kepada UMNO untuk memahami maksud negara Islam? UMNO sebagai sebuah parti politik dengan jelas menolak "negara Islam" yang meletakkan aqidah atau ketuhanan sebagai tunjang dalam mengurus dan mentadbir negara. (Sila lihat Artikel Petikan Akhbar - akan ditternitkan di laman web ini) Bagi UMNO, terbinanya masjid yang banyak, bank Islam, universiti Islam, pusat Islam dan seumpamanya sudah cukup melayakkan Malaysia disebut sebagai negara Islam. Apakah apabila Ah Chong, Ramasamy, dan Ambok A/L Supat bersembahyang atau berpuasa sebulan Ramadan seperti orang Islam lain akan melayakkan diri mereka dipanggil orang Islam sedangkan mereka belum menerima kalimah syahadah sepenuh hati? Jika UMNO mempunyai kefahaman yang mengelirukan mengenai konsep negara Islam, maka sudah tentu UMNO akan memberi gambaran yang tidak tepat mengenai negara Islam. UMNO menggambarkan bahawa jika negara Islam dilaksanakan, maka negara akan menjadi huru-hara. Tetapi pernahkah UMNO melaksanakan negara Islam untuk melayakkan dakwaan mereka? UMNO menggambarkan bahawa jika negara Islam dilaksanakan, maka banyak orang Islam atau Melayu yang akan hilang tangan dan kaki? Tetapi pernahkah UMNO melaksanakan negara Islam untuk membuktikan dakwaan mereka benar? UMNO menggambarkan bahawa jika negara Islam dilaksanakan, orang bukan Islam, khususnya orang Cina dan India akan kehilangan kebebasan beragama. Tetapi pernahkah UMNO melaksanakan negara Islam untuk membuktikannya? 

Dalam keadaan di mana orang Islam bukan penduduk majoriti dan dalam masyarakat majmuk apakah NegaraIslam boleh dilaksanakan?

Dalam keadaan di mana orang Islam bukan penduduk majoriti dan dalam masyarakat majmuk apakah Negara Islam boleh dilaksanakan? Perlu ditekankan di sini bahawa isu "negara Islam" sering disalahtafsirkan. "Negara Islam" tidak boleh diukur dengan majoriti atau minoriti umat Islam di sesebuah negara. Catatan sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara pernah menerima Islam sebagai sistem pemerintahan walaupun orang bukan Islam merupakan majoriti di negara berkenaan. Bermula daripada Kerajaan Islam Rasulullah SAW di Madinah yang didiami oleh masyarakat majmuk, kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya'ari di Yaman di mana penduduk majoritinya adalah Yahudi, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus di mana penduduk majoritinya adalah kristian, Kerajaan Islam minoriti yang pernah memerintah India di mana penduduk majoritinya adalah Hindu, dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa di mana penduduk majoritinya adalah Hindu, telah membuktikan bahawa "negara Islam" pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam. Orang Islam dan bukan Islam yang celik sejarah serta rasional akan menerima hakikat ini. 

Di manakah model negara Islam?

Di manakah model negara Islam? Model "negara Islam" yang terbaik ialah di zaman Nabi Muhammad saw dan Khalifah Ar-Rasyidin, Khalifah Umaiyyah, Khalifah Abbasiyyah, dan Khalifah Othmaniah . Perkataan "Negara Islam" pada masa dahulu tidak popular kerana yang lebih popular ialah khilafah Islamiyah dalam empayar Islam. Orang yang memerintah empayar Islam bukan Presiden atau Perdana Menteri sesebuah negara tetapi Khalifah Islam yang memerintah empayar yang luas yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan berbilang agama. Walaupun model negara Islam itu "jauh" untuk "dilihat dan dirasai" oleh kita tetapi bagi umat Islam, negara Islam Madinah menjadi contoh terbaik. Bagi orang bukan Muslim mungkin agak sukar untuk "melihat dan merasai" keadilan negara Islam Madinah. Islam pernah memerintah lebih dari 600 tahun tidak sepertimana pemerintahan komunis dan demokrasi barat yang gagal menunjukkan kecemerlangan dan kehebatan pemerintahannya. Jika negara Islam ada modelnya, sila tunjukkan di manakah model negara komunis yang berjaya? Sila tunjukkan di mana model negara demokrasi yang cemerlang? Apakah Amerika dan Britain negara contoh demokrasi yang berjaya sehingga mereka mengizinkan perkahwinan ssesama jantina? Apakah model pembangunan kebendaan yang menjadi ukuran? Atau model pembangunan kemanusiaan menjadi ukuran? Atau kedua-duanya sekali? Negara-negara lain yang dikatakan "negara Islam" seperti Arab Saudi, Pakistan, Jordan, Iran, dan Sudan juga belum mampu menjadi "model negara Islam." Di Malaysia, sorotan sejarah menunjukkan bahawa sebelum penjajahan barat berlaku ke atas Tanah Melayu, wilayah-wilayah di Nusantara ini pernah melalui proses pemerintahan Islam di awal abad ke 9 Hijrah lagi walaupun tidak disebut "negara Islam." Itulah model yang dekat dengan kita. Dan model yang terdekat dengan kita ialah Kelantan dan Terengganu. Janganlah kita mengambil contoh "negara umat Islam" lain untuk dijadikan bahan untuk menolak "negara Islam" yang dikemukan oleh PAS kerana negara-negara tersebut tidak semestinya menunjukkan contoh model yang baik. 

bersambung ke bahagian 3

Hits: