ISU NEGARA ISLAM

Bahagian akhir

Soalan-soalan yang sering ditanya dan  Respons/Jawapan/Komen 

Di manakah model negara Islam?

Model "negara Islam" yang terbaik ialah di zaman Nabi Muhammad saw dan Khalifah Ar-Rasyidin, Khalifah Umaiyyah, Khalifah Abbasiyyah, dan Khalifah Othmaniah . Perkataan "Negara Islam" pada masa dahulu tidak popular kerana yang lebih popular ialah khilafah Islamiyah dalam empayar Islam. Orang yang memerintah empayar Islam bukan Presiden atau Perdana Menteri sesebuah negara tetapi Khalifah Islam yang memerintah empayar yang luas yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan berbilang agama. Walaupun model negara Islam itu "jauh" untuk "dilihat dan dirasai" oleh kita tetapi bagi umat Islam, negara Islam Madinah menjadi contoh terbaik. Bagi orang bukan Muslim mungkin agak sukar untuk "melihat dan merasai" keadilan negara Islam Madinah. Islam pernah memerintah lebih dari 600 tahun tidak sepertimana pemerintahan komunis dan demokrasi barat yang gagal menunjukkan kecemerlangan dan kehebatan pemerintahannya. Jika negara Islam ada modelnya, sila tunjukkan di manakah model negara komunis yang berjaya? Sila tunjukkan di mana model negara demokrasi yang cemerlang? Apakah Amerika dan Britain negara contoh demokrasi yang berjaya sehingga mereka mengizinkan perkahwinan ssesama jantina? Apakah model pembangunan kebendaan yang menjadi ukuran? Atau model pembangunan kemanusiaan menjadi ukuran? Atau kedua-duanya sekali? Negara-negara lain yang dikatakan "negara Islam" seperti Arab Saudi, Pakistan, Jordan, Iran, dan Sudan juga belum mampu menjadi "model negara Islam." Di Malaysia, sorotan sejarah menunjukkan bahawa sebelum penjajahan barat berlaku ke atas Tanah Melayu, wilayah-wilayah di Nusantara ini pernah melalui proses pemerintahan Islam di awal abad ke 9 Hijrah lagi walaupun tidak disebut "negara Islam." Itulah model yang dekat dengan kita. Dan model yang terdekat dengan kita ialah Kelantan dan Terengganu. Janganlah kita mengambil contoh "negara umat Islam" lain untuk dijadikan bahan untuk menolak "negara Islam" yang dikemukan oleh PAS kerana negara-negara tersebut tidak semestinya menunjukkan contoh model yang baik. 

Benarkah jika Islam memerintah di Malaysia semua patung berhala akan diruntuhkan?

Islam menghormati kebebasan beragama. Islam tidak memaksa seseorang supaya menerima Islam. Islam percaya kesediaan diri dan kesedaran diri sendiri untuk menganut Islam adalah lebih baik dari dipaksa. Selama Kelantan dan Terengganu diperintah oleh PAS, yang memperjuangkan "negara Islam", yang berusaha memerintah cara Islam, tidak pernah satu pun patung Buddha yang runtuh atau pecah. Malah dua patung Buddha yang terbesar di Asia Tenggara ini masih "berbaring" dan "duduk" tenang di Kelantan. Isu pemecahan patung Buddha di Afghanistan oleh Taliban harus difahami dengan ikhlas dan rasional. Selama Afghanistan berada di bawah Taliban, tidak ada satu patung pun yang dipecahkan, samada patung Buddha atau patung Hindu. Tetapi apabila sekumpulan orang Eropah datang melawat Afghanistan dan menawarkan jutaan wang kepada pemerintah Taliban supaya memelihara dua patung besar di Afghanistan, maka orang-orang Taliban merasakan tindakan orang Eropah ini satu penghinaan ke atas rakyat Afghanistan rata-rata kebuluran dan memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan saki baki hidup. Bagi orang Taliban, mereka mempunyai prinsip bahawa tidak perlu memusnahkan patung-patung sembahan itu jika patung-patung ini tidak membahayakan rakyat Afghanistan. Tetapi apabila orang barat menawarkan wang kepada Taliban supaya dipelihara patung-patung tersebut, maka orang Taliban merasakan bahawa bantuan wang itu lebih utama diberikan kepada orang fakir miskin, kanak-kanak, orang tua, dan wanita yang memerlukan untuk makanan, perubatan, dan kebajikan hidup harian dari diberikan kepada "patung." Orang Taliban merasa hina dengan tindakan barat itu kerana "patung" tersebut lebih utama dari membela keperluan kemanusiaan. Lantas, patung itu dipecahkan kerana "patung itu membahayakan nyawa dan kebajikan" rakyat Afghanistan. Isu pemecahan patung ini telah diputarbelitkan oleh media barat dan media di Malaysia tanpa menyatakan kisah sebenar di sebalik pemecahan patung-patung itu pada awalnya. Sebulan kemudian barulah The New Straits Times menyiarkan kisah sebenar peristiwa yang membawa kepada pemecahan patung-patung Buddha itu. 

Apakah benar orang BUKAN Islam akan dipaksa menurut hukum Islam apabila negara diperintah cara Islam? 

Apabila sesebuah negara menerima Islam menjadi perundangan negara, maka undang-undang negara itu tidak lagi dipanggil "undang-undang Islam" tetapi undang-undang sivil yang telah dikanunkan dari undang-undang Islam. Dalam perkataan lain, ia menjadi "common law." Tetapi dalam bab yang bersabit dengan urusan agama (Kristian, Buddha, Hindu dll), kekeluargaan, pembahagian harta pusaka dan apa jua perkara yang ada disebut dalam agama masing-masing, maka penganut agama masing-masing BOLEH MEMILIH untuk menurut hukum agama masing-masing ATAU MEMILIH hukum negara. Manakala dalam bab jenayah, semua orang tertakluk kepada undang-undang sivil atau "common law." Kebanyakan orang yang menolak hukuman atau undang-undang Islam (sebelum daripada melihat kebaikan, keberkesanan dan rasionalnya atau premature action) tidak mampu memberi jaminan bahawa undang-undang jenayah yang sedia ada di negara ini dapat menyelesaikan masalah gejala sosial dan korupsi dalam negara. Layakkah kita menolak negara Islam sebelum kita pernah merasai nikmat berada dalam negara Islam? (Sila lihat Artikel Gejala Sosial dan Korupsi Dalam Negara - akan diterbitkan dalam laman web ini). 

Bagaimanakah kedudukan orang bukan Muslim dalam negara Islam? 

Apabila sesebuah negara menerima Islam menjadi perundangan negara, orang bukan Islam tetap mendapat hak asasi mereka, kemudahan dan peluang untuk menguruskan kehidupan dan aktiviti harian mereka sepertimana orang Islam lain dalam negara tersebut. Malah peluang mereka adalah lebih besar dan lebih terjamin berbanding dengan keadaan yang sedia ada. Peluang-peluang berdasarkan keadilan dan kebenaran tanpa mengira kaum dan keturunan adalah antara perkara yang ditekankan dalam negara Islam. Dalam pada itu, sudah tentu terdapat beberapa batasan rasional yang digariskan. Batasan-batasan rasional ini dibuat bagi menjaga kepentingan umum. Misalannya aktiviti judi, pelacuran, dan dadah adalah aktiviti yang tidak baik dan tidak sihat. Tidak ada agama (samada Islam, Buddha, Hindu, Kristian) yang mengatakan bahawa judi, pelacuran dan dadah itu baik dan sihat. Dan tidak ada kaum yang berani mengatakan bahawa judi, pelacuran, dan dadah adalah budaya dan cara hidup kaum mereka. Jika ada orang menolak negara Islam kerana negara Islam mengharamkan judi, pelacuran, dan dadah, maka orang berkenaan lebih mementingkan diri sendiri dari mementingkan rakyat yang lebih ramai. Tetapi negara Islam tidak pernah menyekat orang berkenaan untuk melaksanakan aktiviti judi, pelacuran, dan dadah di negara lain. (Sila lihat Artikel Kedudukan Orang Bukan Islam dalam Negara Islam - akan diterbitkan dalam laman web ini) 

Apakah negara Islam akan menghalang penyebaran dan perkembangan agama lain? 

Islam tidak menyekat kebebasan beragama dan penyebaran agama lain dalam negara Islam. Tetapi setiap agama mesti menghormati di antara satu agama dengan satu agama yang lain. Setiap agama mempunyai peraturannya masing-masing dan setiap agama harus menghormati peraturan yang ada dalam agama lain. Dalam agama Hindu, seseorang hanya boleh menjadi Hindu dengan sebab dilahirkan sebagai Hindu. Dalam agama Kristian dan Buddha, seseorang yang tidak beragama atau penganut agama tertentu boleh memeluk agama Kristian atau Buddha. Dalam Islam, seseorang boleh menjadi Muslim dengan sebab dilahirkan dari keluarga Muslim dan dengan sebab menganut agama Islam. Dalam pada itu, dalam Islam, terdapat peraturan (yang mungkin tidak terdapat dalam agama-agama lain) iaitu orang Islam yang murtad dari agama Islam tertakluk kepada hukum agama Islam. Ini bermakna orang bukan Islam atau penganut agama lain perlu menghormati peraturan yang dalam agama Islam berhubung dengan perkara ini. Ini juga bermakna penganut agama lain masih boleh menyebarkan agama mereka kepada orang lain yang bukan Islam dan tidak kepada penganut Islam bagi menunjukkan penghormatan mereka kepada peraturan yang ada pada agama Islam. Agama lain masih boleh disebarkan tetapi tidak kepada orang yang telah Islam kerana agama Islam membuat peraturan bahawa orang Islam tidak boleh keluar agama. Agama lain perlu menghormati peraturan agama Islam sebagaimana Islam menghormati peraturan agama lain. Cumanya di dalam agama lain tidak ada peraturan yang disebut dalam kitab suci mereka secara bertulis melarang penganut agama mereka menukar agama kepada agama lain. Larangan penukaran agama dalam agama lain difahamkan dibuat berdasarkan pandangan ketua agama tertentu tetapi tidak disebut secara khusus peraturan itu dalam kitab suci mereka. Inilah yang dikatakan hormat menghormati (mutula understanding) dalam beragama. Tetapi jika penganut agama lain tidak menerima hakikat bahawa dalam Islam ada peraturan berhubung dengan murtad, maka orang berkenaan tidak rasional tetapi emosional kerana tidak menghormati peraturan yang ada dalam agama Islam yang ada kena mengena dengan penganut agama Islam. (Sila lihat Artikel Pandangan Islam terhadap agama lain - akan diterbitkan dalam laman web ini) 

Apakah dengan terlaksananya hudud dalam sesebuah negara maka negara tersebut menjadi negara Islam? 

Hukum hudud hanya satu daripada komponen dalam sistem pemerintahan di sesebuah negara Islam. Hukum hudud tidak boleh berjalan dengan sempurna jika undang-undang dan jika sistem kehakiman yang sedia ada tidak berasaskan kepada keadilan dan kebenaran (dari perspektif Islam). Malah pelaksanaan hukum hudud pula tidak akan sempurna dan akan dianggap zalim apabila tidak mengikut adab atau akhlak semasa melaksanakan hukum tersebut. Orang yang menolak hudud boleh dibahagi kepada tiga kumpulan: pertama, orang ini mungkin jahil mengenai konsep hudud, kebaikan, dan rasionalnya; kedua, orang ini mungkin takut kalau-kalau hukum itu terjatuh ke atas dirinya atau kerabatnya; ketiga, orang ini mungkin sengaja memusuhi Islam dan tidak menghormati peraturan yang ada dalam Islam. 

Apakah orang bukan Islam tidak boleh minum arak dan makan babi dalam negara Islam? 

Islam menghormati peraturan yang ada dalam agama lain. Sekiranya agama lain tidak mengharamkan babi dan arak di kalangan penganut mereka, maka negara Islam tidak akan menghalang orang bukan Islam dari minum arak atau makan babi. Pengharamann arak dan babi hanya ke atas orang Islam. Bagaimanapun, orang bukan Islam harus juga menghormati adab-adab minum arak dan makan babi di hadapan orang Islam. Dalam hal ini, sebagai sebuah kerajaan, pihak pemerintah negeri, seperti di Kelantan dan Terengganu, berhak mengadakan peraturan mengenai pembuatan minuman arak, penjualan arak, tempat minum arak, penternakan babi, penjualan daging babi, dan apa jua bersabit dengan dua perkara di atas bagi menjaga keharmonian dan kepentingan masyarakat seluruhnya. Hak untuk minum arak dan makan babi tetap diberikan. Orang Melayu UMNO yang tidak faham mengenai perkara ini mahukan sebuah negara Islam yang mengharamkan arak dan babi 100% di dalam negara Islam ala-UMNO. Inilah gambaran salah yang diberikan oleh UMNO. Kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan PAS membenarkan babi diternak di Terengganu kerana kerajaan Terengganu di bawah pimpinan PAS memahami hak rakyat pelbagai agama tetapi semasa pemerintah BN di Terengganu, penternakan babi tidak dibenarkan. 

Bagaimana dengan kedudukan wanita dalam negara Islam?

Dalam negara Islam, wanita adalah rakyat, tanpa mengira latarbelakang agama dan kaum, dan setiap rakyat berhak mendapat hak mereka. Hak ini termasuk hak untuk mendapat perlindungan, bekerja, memiliki harta, pendidikan, mengundi, memperolehi gaji yang sepatutnya dan memegang jawatan dalam organisasi. Di Kelantan dan Terengganu, wanita mendapat pembelaan lebih baik dari negeri-negeri lain. Sektor perniagaan di pasar besar Kelantan di kuasai oleh wanita. Wanita yang bekerja dengan kerajaan mendapat cuti 90 hari untuk cuti bersalin berbanding dengan negeri lain yang hanya memberikan cuti 60 hari sahaja. Wanita tidak digalakkan bekerja pada sebelah malam tetapi sekiranya terpaksa bekerja pada sebelah malam, khususnya yang bekerja di kilang-kilang, pihak majikan diminta menyediakan asrama atau pengangkutan dan memberi perhatian serius terhadap keselamatan pekerja wanita. Wanita di Kelatan mendapat keistemewaan dengan adanya bas untuk wanita dan kaunter untuk wanita, bukan tujuan mendiskriminasikan wanita, tetapi untuk melindungi mereka. Kalau bilik air boleh dipisahkan untuk lelaki dan wanita, mengapa dalam soal pengangkutan untuk wanita dan kaunter untuk wanita tidak boleh diadakan sedangkan dalam dua hal ini wanita mudah dibuli. (Sila lihat Artikel Perlindungan Islam Terhadap Wanita (tanpa mengira kaum dan agama), Harta dan Wanita pada pandangan Islam - akan diterbitkan dalam laman web ini) 

Adakah orang bukan Islam merupakan rakyat kelas kedua (second class citizen)? 

Setiap rakyat dalam negara Islam adalah sama sahaja dari sudut kerakyatan. Perbezaan agama tidak menjadikan rakyat tidak mendapat perlindungan dan hak mereka. Orang miskin, lemah, terpinggir, tertindas dan terabai berhak mendapat perlindungan tidak kira samada mereka Islam atau bukan Islam. Orang bukan Islam yang memerlukan berhak memiliki tanah yang diperuntukkan, mendapat bantuan kewangan untuk pendidikan, mendapat rawatan kesihatan, dan seterusnya. Keadilan ekonomi dan keadilan sosial yang ditawarkan oleh Islam adalah lebih baik dari sistem yang ada sekarang ini. Propaganda negatif yang djalankan oleh orang-orang sekular terhadap kedudukan orang bukan Islam dalam negara Islam telah menyebabkan orang bukan Islam takut dan keliru dengan negara Islam. Inilah strategi "confuse and control" yang dijalankan oleh pihak tertentu untuk menjaga kepentingan peribadi dan orang-orang tertentu. 

Dalam negara Islam, orang bukan Islam tidak ada peluang menjadi wakil rakyat dan pemimpin?

Islam mengiktiraf orang bukan Islam untuk melantik pemimpin yang layak untuk menjadi pemimpin. Proses perlantikan ini boleh berlaku dalam pilihanraya umum yang didasarkan kepada amalan demokrasi berparlimen. Islam tidak menentang amalan demokrasi dalam urusan kepimpinan. Malah Islam menekankan proses pilihanraya yang bersih, telus, dan jujur. Islam juga menekankan kepimpinan yang berwibawa dan bermoral serta bersedia memberi khidmat kepada rakyat dan bukan kepada kaum kerabat sendiri (kroni dan nepotisma) dan bukan sebagai tiket untuk mengumpul harta kekayaan atau menindas rakyat. Pengiktirafan ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengakui orang bukan Islam lebih arif tentang keperluan, urusan, dan piskologi orang bukan Islam. Di Kelantan dan Terengganu, kerajaan negeri melantik ramai orang bukan Islam untuk menjadi wakil kepada kaum-kaum bukan Melayu dan bukan Islam bagi menganggotai jawatankuasa khas kerajaan negeri. Tindakan ini dibuat bagi melicinkan pentadbiran negeri. Malah kerajaan di bawah kepimpinan PAS di Kelantan juga memberikan peluang orang bukan Melayu yang berugama Islam (walaupun bukan ahli PAS) untuk memegang jawatan tinggi dalam pemerintahan negeri. 

Mengapa asyik membicarakan "apa yang boleh" dan "apa yang tak boleh" apabila melihat kepada negara Islam?

Negara Islam bukan negara yang sibuk "menghukum". Itu adalah propaganda orang yang tidak suka kepada negara Islam. Orang yang rasional akan melihat apakah kualiti dalam produk negara Islam. Orang yang rasional akan melihat secara makro bukan secara mikro dalam sesuatu produk. Pengguna tidak meneliti apakah wayar dan skrew yang digunakan dalam komputer yang baru sahaja dibeli tetapi pengguna melihat apakah kebaikan yang ditawarkan oleh komputer tersebut. 

* Negara Islam menawarkan keadilan (tunggu artikel mengenainya dalam konteks Malaysia) 

* Negar Islam menawarkan kesejahteraan.(tunggu artikel mengenainya dalam konteks Malaysia) 

* Negara Islam menawarkan perlindungan.(tunggu artikel mengenainya dalam konteks Malaysia) 

* Negara Islam menawarkan (tunggu artikel mengenainya dalam konteks Malaysia) 

Mengapa tidak melihat kepada kebaikan yang ditawarkan?

HIts: