Kesilapan Mengisytiharkan Peperangan 
(Mistake to declare this a' WAR’) 

Oleh: Sir Michael Howard. 

Ucapan Sir Michael Howard kepada Royal United Services Institute ini telah disiarkan semula of PRAVDA bertarikh1/11/2001.

Awal kata penterjemah; Artikel ini dianggap baik dari sebagai bahan sejarah. Saya sengaja menunggu persidangan ketua-ketua negara di PBB minggu ini sebelum menterjemahkannya. Dari apa yang berlangsung di New York sekarang, kita dapat memahami maksud sebenar artikel ini. Lihat, Pakistan yang dipuji melambung tingginya masih dinafikan hak memiliki 28 jet pejuang F-16 yang sudah pun dibayar sebahagian kosnya, kerana Amerika mahu menuntut beberapa kemudahan lagi daripada Pakistan. (2) Bush enggan bertemu dengan Arafat, sedangkan dia mahu membasmi keganasan, dan sewaktu Arafat mula-mula bergerak cergas memperjuangkan masyarakat Palestin, Bush Jr. belum lahir lagi.

Apa pun, artikel ini harus membuka mata kita orang Melayu apakah dia putar-belit dunia yang sekaligus tetap mempengaruhi cara hidup kita.

“Sejurus berlakunya serangan ngeri kepada Pusat Dagang Dunia, Setiausaha Negara Amerika, Colin Powell telah mengisytiharkan betapa Amerika sedang menghadapi satu peperangan, demikianlah beliau melakukan satu perbuatan yang selamba tetapi sebenarnya merupakan satu tindakan yang sungguh berbahaya dan tidak boleh diputar-kembali kesilapannya. Beberapa pemimpin Pentadbiran Amerika telah mencuba bermacam usaha untuk membetulkan keadaan yang tersilap itu menjadi betul seperti sedia kala.

“Tindakan Collin Powell memang masuk akal kita kalaulah perkataan ‘peperangan’ itu digunakan terhadap memerangi kegiatan jenayah ataupun urusan jual beli najis dadah: yakni, penggembelingan semua sumber yang sedia ada terhadap aktiviti anti-sosial yang berbahaya; yang tidak boleh dibasmikan keseluruhannya tetapi setakat mengurangkannya sahaja, dan dikekalkan pada satu tahap yang tidak lagi menggugat kestabilan sosial.

“Satu ketika dulu kerajaan British telah terbabit dalam beberapa ‘peperangan’ seperti itu; di Palestin, di Ireland, di Cyprus dan di Malaya. Itu pun merupakan sedikit sahaja yang kita sebutkan di sini. Tetapi, British tidak pernah mentafsirkan semua itu sebagai ‘peperangan’ kerana kami menyebutnya dengan perkataan darurat (emergencies). Ini bererti bahawa polis dan agensi perisikannya telah diberikan kuasa khas, dan kerap diperkasakan bila perlu oleh pasukan angkatan tentera, dan semua itu diuruskan dalam ruang lingkup keadaan aman yang dapat terkawal. Apabila kekerasan diperlukan, ia dilakukan seminima mungkin dengan perencanaan ia tidak menggugat rentak hidup biasa masyarakat yang ada. Tujuannya ialah untuk mengasingkan pengganas dari arus perdana masyarakat awam dan menafikan mereka menerima bantuan bekalan daripada sumber luar. Mereka tidak merasa bangga dengan status kumpulan kumpulan dajal; kerana mereka dianggap penjenayah, dan masyarakat awam memang digalakkan menganggap mereka sebagai demikian kerana pihak yang berkuasa pun menganggap mereka demikian jua.

“Mengisytiharkan ‘perang lawan pengganas’, ataupun lebih jelas lagi, terhadap ‘keganasan’ sekaligus memberikan pengiktirafan kepada persis satu status dan penghormatan yang sememangnya mereka idamkan sedangkan mereka tidak layak dianggap demikian. Secara spontan mereka diberikan satu tahap yang sah. Apakah mereka layak dengan status ‘dajal’ itu? Jika demikian, apakah mereka tidak seharusnya diberikan perlindungan undang-undang? Inilah yang pernah diidamkan oleh para pengganas Irish, dan telah dinafikan kepada mereka, seperti yang sepatutnya. Namun, permintaan mereka itu telah mengerohkan suasana, dan menyuntik satu unsur kemartabatan di kalangan penyokong mereka di Amerika Syarikat.

“Akan tetapi, persoalan apakah boleh digunakan ataupun sebaliknya perkataan ‘perang’ itu hanya merupakan perkara undang-undang, ataupun berunsur semantiks sahaja. Namun, ia mempunyai bahana yang sungguh dalam kesannya. Apabila tindakan diambil untuk mengisytiharkan ‘perang’, sekaligus ia mencetuskan satu suasana perang yang berkemungkinan mencetuskan keadaan yang menyongsang sasaran yang telah diimpikan. Ia berkemungkinan menjentik satu jenis jangkaan, dan tuntutan, agar dikerah tindakan ketenteraan yang menakjubkan terhadap musuh yang mudah dikenal-pasti, sebaiknya satu negara yang dianggap liar, yang menghasilkan tindakan jitu yang berkesan.

“Tindakan menggunakan kekerasan tidak lagi dianggap sebagai usaha yang terakhir, malahan mesti dielakkan kalau boleh, dan lagi cepat pilihan itu dilaksanakan lagi bagus lagi kesannya. Dunia media memang amat dahagakan cerita sensasi yang berbau keberanian, untuk mewarnai muka surat akhbar dan majalah mereka dengan gambar senjata dan kelengkapan perang yang disimpan lakaran grafik yang menarik, seta ulasan dan sumbangan para pegawai tentera yang sudah lama tidak berkhidmat lagi kerana sudah pun bersara. Sebarang cadangan bahawa strategi militer yang paling cocok, ialah tidak menggunakan tindakan ketenteraan itu sama sekali, tetapi digantikan dengan kaedah lain yang lebih bermakna untuk melumpuhkan musuh, mudah dicemuh sebagai ‘mengalah’ oleh para menteri yang mempunyai pengetahuan sejarah dianggap sama hapraknya dengan kepintaran mereka menguruskan dunia politik.

“Kalau kita perhatikan kisah gambar di sebelah kanan, kita lihat manusia di situ berada dalam keadaan tertipu oleh Jerman yang pernah menyebut ‘frischer, ‘fruhlicher Krieg, ataupun satu peperangan singkat terhadap Afghanistan, dan amat ghairah mahukan satu mush yang lebih menyelerakan mereka, Iraq. Gelagat mereka ini boleh disamakan dengan seorang pemabuk yang telah kehilangan jam tangan miliknya di satu lorong gelap, tetapi terus meraba-raba mencari jam itu di bawah sinaran lampu tepi jalan kerana keadaan yang lebih terang di situ. Sebaliknya pula, di gambar sebelah kiri, perkataan ‘perang’ menyebabkan ramai manusia keluar menunjuk perasaan di jalan raya kerana memenuhi naluri prinsip hidup mereka.

“Beberapa nilai hidup yang dikira berkualiti diperlukan dalam satu kempen yang serius memerangi pengganas – rahsia, perisikan, kepintaran berpolitik, kezaliman secara berahsia, tindakan risikan yang dikawal kerahsiaannya, dan yang lebih penting sekali satu kesabaran yang tiada tepiannya – semua ini sengaja dilupakan ataupun diketepikan secara spontan apabila pihak yang berkuasa dihambat keinginan mahukan keputusan yang segera, dan terus merengek seandainya cita-cita rakus ini tidak diberikan kepada mereka.

“Semua ini telah kita saksikan sejak beberapa minggu yang lalu.

“Apakah peristiwa ini semua tidak dapat dielakkan? Sudah tentu, walaupun Presiden Bush lebih gembira mengumumkan bermulanya satu tindakan “perang salib memerangi syaitan,” yakni satu kempen ketenteraan yang diuruskan oleh satu pakatan bersekutu yang dipimpin oleh Amerika Syarikat Sedangkan sebahagian besar dunia lebih senang hati kalau satu operasi kepolisan dianjurkan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagi pihak masyarakat sejagat terhadap satu konspirasi jenayah. Inilah dia golongan penjenayah yang perlu dihambat dan dibawa ke depan pengadilan untuk diadili secara saksama dan seandainya didapati bersalah, diberikan hukuman yang setimpal dengan dosanya. Inilah dia tindakan yang paling cucok dalam satu keadaan dunia yang ideal.

Akan tetapi, kita tidak pernah hidup dalam satu dunia yang ideal ataupun serba sempurna. Kemusnahan menara kembar New York yang mengakibatkan kehilangan jiwa beribu manusia yang tidak berdosa tidak dianggap oleh Amerika Syarikat sebagai jenayah terhadap masyarakat antarabangsa’ yang sepatutnya ditangani oleh PBB. Inilah dia agensi besar yang tidak dihormati oleh rakyat Amerika setelah mendengar kisah ngeri itu semua. Mereka lebih menganggapnya sebagai satu tindakan ganas memerangi rakyat Amerika, dan menganggapnya sebagai sesuatu yang lebih dahsyat daripada serangan Jepun terhadap Pearl Harbour. Keaiban yang meruntun kehormatan mereka tidak boleh ditangani oleh satu proses siasatan terperinci pihak polis yang ditaja oleh pihak berkuasa antarabangsa. Ia akan berakhir dengan penghakiman di mahkamah terbuka yang meleret-leret panjangnya di bandar raya luar, dengan hukuman mahkamah yang sudah tentu tidak dapat dikuatkuasakan serta merta, kerana yang dihukum pasti mengemukakan rayuan mereka. Semua ini adalah disebabkan laungan yang mahukan serang balas yang spontan dan seharusnya dilakukan oleh pasukan angkatan tentera Amerika.

“Siapakah yang boleh menyalahkan mereka? Kalau kita mengalami keperitan mereka sudah tentu kita pun bertindak serupa. Keberanian dan kebijaksanaan Presiden Bush menolak desakan diolah satu strategi membalas dendam memang amat mengkagumkan, tetapi tekanan terhadap itu semakin ketara, baik dari dalam mahu pun dari luar pentadbiran. Inilah dia tuntutan yang hanya dapat dipuaskan dengan tindakan ketenteraan – kalau boleh secara tindakan ketenteraan yang pantas dan bingkas. Sudah tentu wujud satu katarsis: seolah-olah darah yang mengalir daripada mangsa terkorban yang tidak berdosa menuntut tindakan balas-dendam itu semua.

“Sekali lagi, Presiden Bush harus diberikan pujian kerana usahanya melaksanakan paradigma alternatif. Dia telah bersumpah secara terbuka melakukan tindakan segera. Dia telah mendesak dan diberikan mandat oleh PBB. Dia telah berjaya secara menakjubkan satu barisan sekongkolan yang betul-betul menampakkan ‘satu masyarakat sejagat’ seperti yang dipertontonkan (secara lakonan – penterjemah) setakat ini.

“Dalam tempoh beberapa hari sahaja, hampir keseluruhan, Amerika Syarikat telah memusingkan belakangnya kepada konsep unilateralisme (cenderung kepada satu pihak sahaja) dan isolationisme (cenderung menyendiri) dan semakin berpendirian menyauk fahaman itu, sambil memperkasakan pendirian tradisinya sebagai pemimpin ulong masyarakat sejagat yang lebih menyeluruh daripada memilih “dunia bebas” yang dilakar ketika Perang Dingin dulu. Hampir sama pentingnya, Presiden Amerika dan rakan-rakan beliau telah melakukan yang terbaik untuk memberi penjelasan kepada rakyat Amerika bahawa ini adalah satu peperangan yang ganjil yang belum pernah berlaku sebelum ini, dan mereka mesti berupaya menyesuaikan diri dengan keadaan yang sepatutnya. Namun, inilah dia satu peperangan. Perkataan ‘perang’ sudah pun diisytiharkan dan tidak mungkin boleh ditarik semula. Tindakan menggunakan perkataan itu telah mencetuskan tekanan yang tidak dapat dielakkan dalam penggunaan kekuatan tentera secepat mungkin, dan sehebat yang mungkin.

Bersambung bahagian dua:

Hits: