Asas Perjuangan Parti Menurut Persepsi Saya

Salam terima kasih saya untuk Webmaster dan tulisan Kak Id. Saya faham betapa taksubnya anda terhadap parti. Itu hak anda. Begitu juga dengan saya yang sanggup mengkritik parti demi kebaikan dan harapkan 'panjang umur'. Pandangan kritis saya terhadap parti bukannya satu bentuk pandangan negatif tetapi satu pandangan ikhlas dan positif yang mungkin dapat mengubah dan meningkatkan imej, prestasi, persepsi ahli  serta minat masyarakat terhadap parti.

Mungkin ramai yang bertanyakan apakah bentuk perjuangan saya sekarang ini? Saya khabarkan bahawa saya bukanlah pendokong atau taksub pada mana-mana parti politik. Saya ada prinsipal dan perjuangan saya sendiri dalam politik......malah ianya perlu di hormati! Saya akan mendekati dan berjuang dengan memberi semangat serta pandangan saya kepada mana-mana parti politik yang berjuang berobjektifkan serta semangat yang seiring sejalan dengan persepsi politik saya. Tak kira sama ada parti itu Keadilan, PAS, DAP maupun PRM. Untuk menjadi sebuah parti politik yang berjaya, tidak timbul permasalahan kewangan, sikap rendah diri, belum cukup matang dan itu ini yang diibaratkan cuba menagih simpati. Tulisan Kak Id cuba menonjolkan sikap-sikap di atas tadi dan pada masa yang sama menegakkan semangat kesetiaan terhadap parti . Jika ramai ahli parti Keadilan memiliki nada yang seiring dengan Kak Id, saya rasa elok Keadilan menjadi badan NGO sahaja.

Kritikan yang diutarakan oleh saya dalam catatan sebelum ini ialah untuk memberi satu isyarat intelektual saya  yang jika boleh di jadikan satu asas ke arah menghidupkan sinar kecemerlangan parti keadilan. Bukan hanya setakat berkata " WALAUPUN REFORMASI MAKIN MALAP TETAPI IANYA TIDAK LENYAP". Untuk sebuah parti, pada pandangan saya makna MALAP dengan  TIDAK LENYAP sama sahaja. Umpama orang bisu dengan orang pekak berbual...........sukar nak faham! melainkan dengan bahasa isyarat!

Bahasa isyaratlah satu kaedah yang sesuai yang membolehkan mereka berfungsi dengan baik. ( maaf! saya tidak bermaksud merendahkan pada mereka yang mengalami kecacatan tersebut). Hanya berbekalkan semangat tinggi menggunung, ianya tidak mencukupi.......lihatlah sdr. Ezam betapa tinggi semangat juangnya terhadap parti tetapi sekelip mata di'diamkan' oleh Mahathir. Nasib baik Kak Wan tak di cekup sama dalam ISA, saya bimbang juga pada waktu itu kerana boleh akibatkan parti Keadilan jadi lemas!

Sokongan saya selama ini terhadap kesemua parti dalam barisan alternatif kerana objektif perjuangan parti seiring dengan persepsi saya tetapi bukannya di tahap 100%. Sejak merdeka sehingga sekarang rakyat telah sebati dengan corak pemerintahan BN dan UMNO, apatah lagi rakyat kita yang berbilang kaum dan ugama. Adakah mudah untuk menumbangkan kerajaan yang wujud sekarang ini? Jika kita berjuang dengan semangat 'Lawan tetap lawan' tanpa asas pedoman perjuangan jangka panjang untuk 10 tahun hingga 20 tahun ke hadapan, saya tidak nampak sinar kejayaan dan kemungkinan pupus atau lupus di tengah jalan! Jangan kita bercita-cita hanya setakat tahun 2004 sahaja!

Saya akan mengemukakan pula pandangan saya berkaitan Asas Pedoman Jangka Panjang dalam kiriman saya pada lain hari.

Dr.Yusof MD

Nota webmaster: Biarlah medan perbicaraan ini menjadi rujukan dan pedoman kita untuk mencapai sesuatu, meskipun mustahil pada zahirnya, namun akan tetap kesampaian, justeru kerana keikhlasan kita membinanya, menegurnya, mengikritiknya atau apa sahaja kita lakukan demi kebaikannya. ~ webmaster 

 Hits: