Sekadar Renungan Lagi……

Menemui teman-teman seperjuangan yang saya hormati sekalian,

Terlebih dahulu izinkan saya menyambung bicara sekali lagi. Bukan niat saya untuk mengeruhkan suasana tetapi saya merasakan perlu untuk memperjelaskan lagi maksud saya tempoh hari apabila teman seperjuangan itu, pada pendapat saya, masih juga terkeliru. Terima kasih kerana sempat meluangkan masa membaca tulisan saya itu.

Saya kira tanggapan saudara tentang saya yang ‘taksub’ kepada parti tertentu itu telah tersasar jauh sama sekali. Saya bukan pun ahli kepada parti tersebut. Tulisan saya hanya secara amnya berkisar tentang ‘there is right to know, there is right to secrecy’. Sekali lagi saya terpaksa mengeluarkan ungkapan ini kerana ia mempunyai maksud yang begitu bermakna sekali.

Bagi saya, di dalam situasi sekarang, demi untuk mencapai matlamat perjuangan kita yang satu itu, hanya BA lah landasan pilihan yang ada. Saya tidak memberatkan mana-mana parti. Namun sekali lagi jangan pula dikatakan saya ‘taksub’ kepada BA tetapi ‘menaruh harapan dan kepercayaan’ kepada BA itulah yang sebenarnya. Melihat kepada tekanan dan masalah yang agak berat sedang melanda BA atau parti-parti komponennya sejak akhir-akhir ini, bagi saya, adalah lebih baik kita mengamalkan sikap ‘there is right to know, there is right to secrecy’. Kebebasan menulis itu tidak perlu dikongkong tetapi di dalam keadaan musuh sentiasa mencari jalan dan peluang untuk memusnahkan kita, mengapa pula kita mesti memudahkannya kepada mereka.

Teguran-teguran yang membina amatlah dialu-alukan dan seeloknya biarlah dibuat dengan lebih praktikal supaya ianya lebih berkesan, tambahan pula jika kita dapat mendekati sendiri pucuk pimpinan di kawasan kita. Janganlah ianya dibuat dengan emosi sehingga memberikan gambaran sesuatu yang amat buruk sedang berlaku dan seolah-olah kita sudah tersalah memilih landasan selama ini hanya disebabkan oleh sebilangan yang tidak bertanggungjawab itu. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bagi saya adalah lebih baik kita mengambil kira faktor kesesuaian masa dan kaedah berbanding dengan keadaan semasa sebelum mengambil satu-satu tindakan supaya tidak menjadi seperti pepatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

Walau bagaimana pun, ini hanyalah pendapat ringkas saya yang datang dari naluri saya sendiri tanpa dipengaruhi oleh sifat ketaksuban kepada mana-mana parti. Sekiranya saudara dan pembaca-pembaca lain tidak dapat menerima apa yang saya sampaikan, seperti kata Webmaster MR yang saya hormati, itu adalah hak masing-masing. Sekali lagi jika saudara merasa tersinggung dengan apa yang saya tuliskan, saya menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf. Di dalam keadaan yang semakin sukar ini tiada gunanya kita menambah musuh. Bukankah matlamat perjuangan kita sama sahaja?

Segala yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan segala yang buruk itu datangnya dari kejahilan diri saya sendiri.

‘Lawan Tetap Lawan!’

Kak Id

Hits: