Tazkirah ( 30 ) : Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Kita akan menerima kedatangan bulan yang penuh rahmat dan juga dugaan dalam masa dua-tiga hari sahaja lagi. Insya-Allah pada Bulan Ramadhan ini, saya akan berhenti sekejap memetik dari buku ini dan akan mengulas tazkirah yang lebih relevan dengan bulan puasa. Tazkirah ini akan saya panggil dengan Tazkirah Ramadhan untuk kebaikan kita bersama. Selepas Bulan Ramadhan nanti, saya akan fikir semula sama ada untuk meneruskan buku ini atau sebaliknya. Ini adalah kerana dari analisa yang saya buat ramai di kalangan pembaca TIDAK GEMAR tazkirah yang berbentuk KEROHANIAN, ramai yang lebih suka pada tajuk-tajuk yang lebih berbentuk kupasan isu-isu semasa. Dari tanggapan saya ini merupakan suatu petanda yang hambar bagi kemenangan Islam kerana kekuatan Islam dan Ummahnya bukan bergantung kepada ilmu berbentuk informasi sahaja, tetapi yang lebih penting adalah ilmu pemahaman terhadap KETUHANAN iaitu mengenal Allah sebagai asas aqidah kita.

Walaubagaimanapun ,Insya-Allah selagi saya diizinkan oleh Allah s.w.t, akan terus menulis sebagai suatu bentuk JIHAD dalam menyampaikan ilmu-ilmu Islam sekadar yang saya mampu. Ini adalah bertepatan dengan hadis Ar-Rasul s.a.w. yang berbunyi: ( Terjemahan ) ' Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat .' Maka menjadi tanggungjawab kita umat Muhammad s.a.w. menyampaikan apa saja ilmu yang dapat memberikan kemenangan kepada Islam suatu hari kelak, Insya-Allah.

Saya akan memetik tajuk yang penting bagi gerakan Islam iaitu KONSEP BERJEMAAH DALAM ISLAM sebagai tazkirah kali ini. Ini adalah seruan yang akan membantu bagi menjamin kemenangan Islam di bumi Malaysia suatu hari nanti, Insya-Allah.

Ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah kepada manusia adalah untuk diamalkan oleh setiap individu dan bukannya untuk disimpan sebagai perhiasan seperti barang-barang purba atau antik. Ajaran Islam yang diturunkan itu mengandungi pelbagai persoalan hidup dan penyelesaiannya terhadap problem atau permasalahan yang dihadapi oleh manusia. Ajaran Islam juga sangat sesuai untuk diamalkan oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira rupa bentuk bangsa atau kaum sekalipun, bahkan ianya sesuai untuk setiap peredaran zaman yang silih bertukar ganti. Lagipun, ajaran Islam itu terlalu simple dan mudah difahami serta mudah pula diamalkan oleh setiap manusia.

Kekuatan ajaran Islam itu bergantung erat kepada peranan yang dimainkan oleh para penganutnya dan beramal dengan segala tuntutan yang telah ditetapkan, sebagaimana yang telah digariskan di dalam manhaj hidup Islam dalam Al-Quran dan As-Sunnah s.a.w. Ajaran yang dijelmakan itu perlu ditaati dan dihayati secara bersama, supaya Islam itu tetap unggul sepanjang peredaran zaman. Kalaulah ajaran Islam yang diturunkan itu tidak diamalkan oleh para penganutnya dan mereka pula tidak berminat untuk menghayatinya atau mereka jadikan ajaran Islam itu bagaikan koleksi hiasan semata-mata ataupun dibiarkan ajaran Islam itu begitu sahaja seperti sampah sarap di tepi-tepi jalan, nescaya Islam itu tidak dapat tertegak dengan lebih lama dan tidak dapat bertahan untuk beberapa ketika. Dan, kalaulah ajaran Islam itu pula diamalkan oleh dua tiga orang manusia sahaja dan sebahagian besar yang lain tidak beramal dengannya, maka ajaran Islam itu juga tidak dapat hidup begitu lama. Oleh sebab itu, adalah perlu wujud di sana suatu kekuatan yang menyeluruh untuk melaksanakan segala tuntutan ajaran Islam itu. Di sinilah perlunya kepada sebuah jamaah yang dibina di atas nama Allah dan bergerak untuk meninggikan kalimah-Nya serta menyebarkan risalah dakwah untuk memmberi kesedaran kepada seluruh umat manusia.

Anjuran Hidup Secara Berjamaah.

Islam telah membawa suatu konsep yang sangat important dalam ajarannya kepada umat manusia iaitu konsep amal jam'ei atau konsep yang dilakukan secara berjamaah di dalam sesuatu perkara. Manusia berhajat kepada konsep ini adalah untuk memudahkan penyelesaian kerja-kerja yang berkaitan dengan urusan agama, seperti menyeru manusia beriman kepada Allah, beramal dengan segala arahan dan tuntutan-Nya, mengajak mereka melakukan perkara-perkara kebaikan, membasmikan segala kemungkaran, menyebarkan risalah keadilan, mengibarkan panji-panji keagungan, menyalakan obor-obor keimanan dan lain-lain lagi yang semuanya itu memerlukan kepada konsep jama'ei.

Al-Quran telah menyatakan prinsip penghayatan hidup manusia dengan mengemukakan pelbagai persoalan untuk dibahaskan dan diamalkan secara bersama. Al-Quran telah merangkumkan di dalam koleksi manhajnya prinsip amal jam'ei yang merupakan kehidupoan secara berkelompok atau berjamaah untuk membina kekuatan ummah di dalam menguruskan proses dakwah kepada manusia dan sekaligus membasmikan sindrom jahilliyah yang cuba menyebarkan virusnya kepada umat Islam.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Katakanlah! Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurut perintahku menyeru manusia kepada agama Allah berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang jelas, Maha Suci Allah dan aku bukan dari kalangan orang-orang yang menyengutukan Allah ."  ( Yusuf : 108 )

Firman Allah Ta'ala : ( Terjemahan ) " Dan berapa banyak nabi-nabi terdahulu telah berperang bersama-sama para pengikutnya yang taat kepada Allah, mereka tidak merasa lemah kerana bencana yang datang menimpa mereka di jalan Allah, tidak merasa lesu dan tidak pula mudah menyerah kepada musuh dan Allah menyukai orang-orang yang sabar ". ( Al-Imran : 146 )

Firman Allah Ta'ala : ( Terjemahan ) " Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penolong agama Allah, sebagaimana yang pernah diucapkan oleh Isa anak Maryam kepada pengikutnya yang setia: Siapakah yang mahu menjadi penolongku ke jalan Allah? Maka pengikutnya yang setia menjawab: Kamilah penolong agama Allah, lalu berimanlah sebahagian dari Bani Israel dan kufurlah sebahagian yang lain, oleh itu Kami berikan pertolongan kepada golongan yang beriman menentang musuh mereka dan mereka mendapat kemenangan dalam perjuangan  ". ( As-Saf: 14 )

Firman Allah Ta'ala : ( Terjemahan ) " Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, janganlah kamu berpecah-belah dan ingatlah kamu akan nikamat yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu".  ( Al-Imran : 103 )

Firman Allah Ta'ala : ( Terjemahan ) " Dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang berpecah-belah dan saling bertelingkah setelah datangnya keterangan yang jelas kepada mereka,lalu mereka mendapat azab yang pedih ".  ( Al-Imran : 105 )

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Dan janganlah kamu termasuk di kalangan orang yang menyengutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka lalu menjadi beberapa golongan, setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada mereka."  ( Ar-Rum : 31- 32 )

Di dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan betapa pentingnya kehidupan secara berjamaah jika dibandingkan dengan kehidupan secara individu. ( Terjemahan ) ' Wajiblah kamu bersama-sama dengan jamaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan '.  ( Riwayat At-Tirmizi )

Sabda Rasulullah s.a.w. ( Terjemahan ) ' Sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan umatku atau baginda berkata : umat Muhammad s.a.w. di dalam kesesatan.' (Riwayat At-Tirmizi )

Di sana Nabi s.a.w. telah membuat contoh perbandingan di antara orang yang selalu hidup berjamaah dengan orang yang suka hidup mengasingkan diri dari orang ramai.

Sabda Rasulullah s.a.w. ( Terjemahan ) ' Sesungguhnya syaitan adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil dari kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jamaah dan orang ramai .' ( Riwayat Ahmad)

Umar Al-Khattab r.a. pernah berkata : ' Sesungguhnya tiada Islam melainkan dengan jamaah, tiada jamaah melainkan dengan kepimpinan dan tiada kepimpinan melainkan dengan ketaatan '   ( Riwayat Ahmad )

..........bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M. Subuh

Hits: