Cina keliru konsep negara Islam dan jihad

IPOH, 15 Nov (Hrkh) - Penduduk bukan Islam khususnya masyarakat Cina rata-ratanya terkeliru dengan konsep negara Islam dan jihad yang dibawa oleh PAS.

Dalam dua majlis dialog antara masyarakat Cina dengan Exco Kerajaan Kelantan, Anuar Tan Abdullah yang diadakan di Kuala Kuang, Chemor dan Kampung Stesyen, Kuala Kangsar berkata, masyarakat Cina hanya digambarkan bahawa jihad hanyalah membunuh serta tidak faham dengan bentuk negara Islam yang hendak dibuat oleh PAS.

Kebanyakan mereka bertanyakan bentuk negara Islam yang dibawa oleh PAS dalam keadaan masyarakat Malaysia yang majmuk serta keganasan yang dikaitkan dengan jihad seperti yang digambarkan oleh media

Menurut Anuar Tan, akhbar Cina setelah diambil alih oleh MCA terlalu banyak menyebarkan gambaran yang tidak tepat terhadap Islam manakala Kebanyakan daripada mereka hanya mendapat maklumat daripada akhbar itu sahaja.

Dalam dailog itu, masyarakat Cina disitu juga bertanyakan tentang cara pemimpin PAS di Kelantan melayan orang bukan Islam dalam beberapa perkara termasuk cara pemberian tanah kepada orang bukan Islam untuk pertanian.

Anuar Tan dalam majlis itu telah memberikan penjelasan tentang negara Islam yang akan dibawa oleh PAS serta pengertian jihad yang sebenarnya bukanlah membawa arti perang sahaja seperti yang mereka fahami sebaliknya melingkupi banyak aspek lagi termasuk derma, belajar, pembangunan dan sebagainya.

Kebanyakan daripada mereka dalam majlis itu jika diberi peluang bersedia pergi sendiri ke Kelantan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas keadaan masyarakat bukan Islam di sana.

Selain itu, mereka juga meluahkan masalah yang mereka hadapi kepada Anuar Tan seperti masalah bau busuk dari kilang getah yang menganggu kehidupan masyarakat Kuala Kuang yang masih belum selesai walaupun sudah banyak kali aduan dibuat.

Hits: