Imej Busuk Pakatan Utara  Yang  Disokong  Amerika Syarikat
(US-Backed Northern Alliance’s bloody  Reputation)

The  Independent – UK.  13/11/01.

Kemenangan mengejut  Pakatan Utara  di  Afghanistan mungkin  merupakan satu  berita baik kepada Barat tetapi berita  yang tidak baik akan menyusul tidak jauh di belakangnya. Semua  anggota  bersenjata  Uzbek, Tadjik dan  Hazara  yang  merupakan anggota  angkatan tentera  Pakatan Utara (PU) pernah  mempunyai  rekod  haprak  kerana  kezaliman  mereka  dan  menyeksa para  tawanan  perang, yang dijangka  berulang semula  dalam  beberapa hari yang mendatang  dan sudah pasti  akan  mencemarkan nama Amerika dan Britain  ke jurang  keaiban yang dalam.

Beberapa  cerita ngeri bagaimana lebih 100 orang  pejuang Taliban-Pakistani  yang telah ditembak mati setelah menyerah kalah di Mazar-i-Sharif -  dan  para  anggota bersenjata  PU  “merayau-rayau di jalan raya”  bandar  yang ditinggalkan itu – tidak menjadi berita yang mengejutkan  mereka yang sedar  akan keganasan  yang pernah dilakukan oleh  sekutu baru Amerika  itu  ketika  peperangan  1992-96  di Kabul, dulu.

Kepada  warga Amerika dan juga  segelintir   anggota Britain dalam pasukan   Barat yang  ada  di Afghanistan – gelagat  pasukan  Pakatan Utara itu  merupakan satu masalah yang besar.  Oleh kerana anggota tentera darat kita  berada  di Afghanistan, kita tidak  boleh  melepas tangan apabila hak asasi manusia  dicemari oleh  anggota  bersenjata  PU itu; namun sehingga kini tidak ada  sebarang berita  bagaimana Amerika  ataupun Britain cuba  melarang  kelakuan keji  ini. Malahan, mereka tidak pun mampu menyekat  PU  memasuki  Kabul.

Pembunuhan ngeri  yang dilakukan oleh   pasukan yang  semacam ini kerap  memalukan  kuasa  besar  yang  turut  menerima  mereka  sebagai  sekutu perang.  Kumpulan Contras di Nicaragua  dan pasukan militia  Phalangist  di Lebanon, telah  berlaku  zalim sehingga memalukan  sekutu perang mereka; Amerika  dan Israel . Pihak  yang  terakhir ini  terlibat dengan  pembunuhan ganas  di  Khemah Pelarian di Sabra dan Chatila  pada 1982. Kalau disingkap kembali rekod lama PU  ketika  melakukan jenayah perang  di Kabul antara 1992-96 dulu, menunjukkan  kumpulan sekutu yang  mengandungi  PU, Amerika dan Britain, dan sesiapa juga yang akan  menyertai mereka  nanti, tentu  mahu  menunjukkan pengaruh terhadap pasukan  daripada  Utara Afghanistan itu.

Di Mazar-i-Sharif   dan Herat, memang tidak ramai  orang Pashtun, yang secara tradisinya memang memihak  kepada  pasukan Taliban.

Tidak berapa jauh di  bahagian selatan, PU akan bertembung dengan musuh tradisinya  yang sebenar. Pada 1997,  puak Hazara  di  Mazar telah membunuh  lebih 600 militia Taliban yang telah  mengambil alih bandar itu  dan  kemudiannya  membunuh dengan kejam  berdozen pelajar  Pakistan  yang  mengiringi pasukan Taliban itu. Dalam beberapa peristiwa  berdarah  berikutnya, beribu  banduan Taliban telah  ditembak mati dalam lubang besar yang menjadi  kubur  mereka, bersama  beberapa dozen warga Pakistan.  Seorang  warga PU yang berpaling tadah, Jeneral Pahlawan Malik, pernah  membunuh  2,000 tawanan perang  Taliban  yang telah diazab dan  dibiarkan kebuluran sebelum ditembak mati.

Ramai yang dicampak ke dalam telaga. Ramai lagi  yang dibunuh secara  terancang. Salah seorang panglima  di bawah pemerintahan  General Malik pernah menceritakan: “ Di malam hari ketika keadaan  gelap dan senyap sunyi kami arahkan  kira-kira 150 tawanan perang  kaum Taliban  untuk menutup mata  mereka, dan  tangan mereka diikat di bahagian belakang sebelum diangkut  dalam kontena  ke  daerah padang pasir. Kami suruh mereka berbaris   10 orang setiap satu, di hadapan  lubang yang sudah digali  di hadapan  mereka dan melepaskan tembakan. Semua itu  memakan masa  enam malam sahaja.”

Ada satu peristiwa  di mana tawanan perang  warga Taliban  telah  disumbat dalam beberapa kontena  dan dikunci dari luar pada musim panas: 1,250 orang  mati kesesakan nafas semacam ini. Apabila mayat mereka  dikeluarkan daripada  kontena itu, rupanya  hitam kerana  kepanasan.

Apakah semua ini akan berulang  lagi? Tidak ada sebab  untuk mempercayai  Pakatan Utara telah memahami apakah ertinya hak asasi manusia. Mereka dibekalkan  peluru  oleh  Russia  dan  bantuan logistik oleh Amerika.  Beberapa gambar  dalam akhbar  Pakistan  semalam menunjukkan  betapa anggota bersenjata  PU mendahului  satu pasukan kecil  askar  Barat  memasuki  kawasan  pergunungan  Afghanistan Utara. Adalah tidak mungkin  askar-askar kita  ada  membawa   beberapa peraturan  Konvensyen  Geneva  untuk diedarkan kepada teman-teman baru  mereka.

Tamat. SPAR

Hits: