KIBLAT UMAT ISLAM: SEKADAR SATU RENUNGAN

Kini  Ramadhan akan menjelang tiba tidak lama lagi, di mana kita akan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Puasa sebagaimana yang diperintahkan dan menjadi salah satu daripada rukun Islam, diharapkan akan dapat meningkatkan ketakwaan di kalangan kita umat Islam sebagaimana yang diharapkan dari ibadah puasa itu “iaitu mudah-mudahan kamu bertaqwa.”(maksud Al Qur'an).

Seperti mana yang kita sedia maklum, bahawa  umat Islam adalah umat yang satu, menyembah Tuhan yang satu, bersembahyang menghadap arah yang satu, beribadah cuma kerana yang satu iaitu kerana Allah, jadi tidak ada sebab kita untuk berpecah belah yang mana ini akan merugikan kita sendiri. Kita harus memperkuatkan diri dan iman kita menjelang Ramadhan demi untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dari apa yang berlaku sekarang seperti di Afghanistan, Filipina dan sebagainya. Kuasa-kuasa kuffar nampaknya sedang cuba untuk memerangi Islam, bukan keganasan seperti maksud asal mereka. Ini jelas terbukti apabila Amerika cuba pula mencari alasan untuk menyerang Iraq. 

Cuba kita renungkan  kembali arah kiblat bagi kita umat Islam pada mulanya bukanlah Ka’abah, tetapi adalah Masjidil Aqsa, yang merupakan kiblat pertama umat Islam. Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya adalah bumi yang diberkati Allah dan bumi yang banyak melahirkan nabi-nabi dan tanahnya yang subur. Tetapi Tuhan lebih mengetahui segalanya. Hari ini kita melihat Masjidil Aqsa dihadapkan dengan konflik, terutamanya konflik di antara umat Islam dan Yahudi yang timbul dari permasalahan negara Israel. Hari ini Masjidil Aqsa tidak lagi dikawal oleh umat Islam, tetapi dikawal oleh regim Israel yang merampasnya dari bumi Palestine. Masalah Palestine adalah satu masalah yang berlanjutan sehingga kini, dan ianya tidak akan dapat diselesaikan tanpa penyatuan umat Islam. Kuasa-kuasa besar akan hanya menjadikan Palestine bidak-bidak di papan catur demi untuk mempermainkan sentimen umat Islam, di samping menyokong kewujudan negara haram Israel.

Mungkin sebab itulah Allah mengarahkan umat Islam berpindah kiblat sejak dulu lagi, sejak di zaman nabi kita SAW masih hidup, dan hikmahnya dapat kita lihat pada hari ini, setelah lebih seribu empat ratus tahun dahulu. Inilah wawasan nabawiyyah, bukan sekadar dua tiga puluh tahun, tetapi beribu tahun jangkauannya Perpindahan kiblat itu kiranya akan dapat memisahkan siapakah yang benar-benar mengikut rasul, dan siapakah pula yang menjadi pembelotnya. Firman Allah yang bermaksud “ Sungguh kami melihat mukamu  (Muhammad  SAW) menengadah ke langit (berdoa di samping menuggu-nunggu perintah memindahkan kiblat ke Baitullah)  , maka sesungguhnya kami akan memalingkan mukamu  ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram.  

Di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang  Yahudi dan Nasrani (yang diberi kitab Taurat dan Injil itu) mengetahui ,bahawa berpaling ke Masjidil Haram (bertukar Kiblat) itu adalah benar dari Tuhanmu, dan Allah sekali-kali tidak lengah daripada apa yang mereka kerjakan.”(AlBaqarah- ayat 144).  

Sejak turunnya ayat yang memerintahkan umat Islam berpindah kiblat itu, umat Islam tidak lagi bersembahyang menghadap ke Masjidil Aqsa, tetapi menghadap Masjidil Haram, di mana Ka'abah terletak di dalamnya. Demikianlah sehingga kini ,kiblat kita umat Islam adalah Ka’abatullah, di mana setiap kali kita bersembahyang kita wajib menghadap ke arahnya, yang menjadi simbol penyatuan umat Islam.

Soalnya mengapakah sebahagian dari umat Islam tidak dapat bersatu, walau pun Tuhannya satu, kiblatnya satu, nabinya satu (Muhammad s.aw), fikrahnya satu dan begitulah seterusnya. Mungkin sebahagian dari kita terpesona dengan lambaian dunia, tamakkan kuasa, pentingkan kebendaan, puak, adik beradik dan sebagainya sehingga melupakan atau mengenepikan ajaran Islam yang murni sekalipun suatu waktu dulu sama-sama berjuang menegakkan Islam seperti apa yang berlaku terhadap Pakatan Utara di Afghanistan.

Di manakah silapnya semuanya ini? Mudah-mudahan kedatangan Ramadhan ini di samping kerakusan yang kian bertambah dari kuasa-kuasa besar untuk melenyapkan Islam dari muka bumi ini akan menyedarkan umat Islam bahawa mereka adalah umat yang satu. “Adalah manusia itu suatu umat, maka dibangkitkan oleh Allah nabi-nabi untuk memberikan khabar gembira dan khabar duka “..(maksud  Al Qur'an). 

 

AlKundangi,
13.11.2001

Hits: