Panggilan Telefon Yang Didengar Seantero Dunia
(The phone call heard 'round the world)

WorldNetDaily

Satu panggilan telefon biasa telah menggerakkan pasukan Pakatan Utara yang bersifat anti-Taliban melonjak naik semangatnya dan merubah corak peperangan di Afghanistan. 

Mengikut sumber perisikan Washington dan Moscow, panggilan telefon itu dibuat oleh Presiden Russia, Vladimir Putin, kepada Presiden Bush pada hari Rabu Nov. 7 sebelum beliau bertolak menuju Persidangan PBB di New York. Putin telah memberitahu Bush agar merelakan askar Pakatan Utara untuk melancarkan serangan ke atas bandar Mazar-e-Shariff. 

Mengikut perkiraan Putin, pasukan anti-Taliban mampu mengambil-alih bandar itu dalam masa beberapa jam sahaja. Selepas itu Putin menjangkakan Kabul dapat diserang dalam masa beberapa hari sahaja. 

Mengikut sumber perisikan itu, Putin telah meyakinkan Bush bahawa semua persiapan sudah lengkap sambil merujuk kepada satu ketumbukan tentera Uzbek di bawah pimpinan General Rashid Dostum yang diperkuatkan oleh penyertaan sekitar 2,000 anggota tentera khas 'Russian Spetznaz' dan seramai 6,000 pasukan khas Uzbek, yang dikerahkan oleh satu arahan khas daripada presiden Uzbek, Islam Karimov. 

Dua minggu sebelum itu, Krimov telah menolak permohonan Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld yang melawat negara itu meminta Karimov mengirimkan tenteranya di sepanjang sempadan Uzbek-Afghan, Karimov memberi alasan dia mahukan anggota secukupnya untuk memerangi sebarang kebangkitan disebabkan ugutan rakyat beragama Islam yang tidak serasi dengan pengeboman Amerika di Afghanistan. 

Putin berjaya memujuk presiden Uzbek itu untuk mengubah fikirannya dan memberikan jaminan beliau akan menempatkan pasukan tentera Russia di sepanjang sempadan Tajikistan seandainya presiden Uzbek itu merasakan bahayanya. Presiden Russia telah memberitahu Bush betapa beberapa petugas Uzbek, Kazakh dan Mongolian yang digaji oleh Perikatan Russia sudah pun masuk menceroboh pasukan tentera Taliban terutama sekali di bahagian barat dan tengah Afghanistan, dan telah dapat membuat pakatan dengan pemimpin tempatan Taliban. 

Tugas mereka ialah meyakinkan pemimpin tempatan Taliban agar berpaling tadah memihak kepada pakatan Utara, sebaik sahaja pasukan PU itu merapati kubu pertahanan mereka. Sebagai ganjaran mereka dijanjikan wang tunai, pakaian baru dan senjata, termasuk diserap menjadi anggota tentera general Dostum. 

Mengikut sumber ketenteraan DEBKA, setiap komander Taliban yang dipujuk untuk berpaling tadah telah diberikan nama kod setiap agen perisikan Russia yang mengiringi pasukan awalan PU itu, yang dianggotai juga oleh tentera Russia dan Uzbek. Mereka telah diberi arahan tidak menyerang, selagi perisik Russia sudah melintasi benteng pertahanan Taliban dan memberikan nama kod komander Taliban bersama wang tunai yang dijanjikan. Agen Russia itu akan pulang ke pengkalannya bersama beberapa pegawai Taliban tempatan sebagai tebusan sehinggalah segala tipu muslihat itu selesai dilunaskan. 

Putin telah mencadangkan agar pegawai khas pasukan AS bersama-sama dengan agen rahsia Russia memantau setiap transaksi jual beli itu dan mendapatkan bantuan pengeboman udara jika difikirkan perlu. 

Rencana yang diolah oleh Presiden Russia itu dan dicadangkannya kepada Bush pada Nov. 7 adalah bercanggahan dengan segala peraturan dan agenda diplomatik dan ketenteraan yang diuruskan oleh Donald Rumsfeld, bersama ketua turus tentera Amerika dan Setiausaha Negara Colin Powell dan kakitangannya. Rencana besar mereka ialah melakukan serangan yang penuh kewaspadaan yang mampu merangkul Kabul hanya pada akhir musim sejuk pada April nanti. 

Rencana Putin telah membolehkan mereka mencuri masa selama enam bulan lebih awal. Rencana Putin itu telah memperlekehkan perancangan Bush dan menunjukkan ia mampu dijadikan pedoman pergerakan pasukan anti-Taliban mengganyang Taliban di Afghanistan. 

Bush bertindak menyetujui rencana Putin dengan serta merta. Dia tidak merundingkan perkara itu dengan pasukannya sendiri. Jika dia berbuat demikian tentu Rumsfeld memberi ingatan kepadanya betapa bahaya yang akan mengena terhadap segala persiapan ketenteraan, dan segala perencanaan yang disediakan oleh AS beberapa minggu lalu. Powell tentu memberikan ingatan bahawa tindakan Bush itu mengenepikan sama sekali sekutu utama AS ketika ini, Pakistan dan menunjukkan AS tidak lagi memerlukan pengkalan udara di Pakistan sambil mencemar perhubungan baik yang dijalin khas dengan Presiden Pakistan Perez Musharraf, yang ketika itu berada di Amerika Syarikat. 

Tetapi Bush bertegas tidak mahu mendengar segala perdebatan ini. Sebaik sahaja dua presiden itu meletakkan telefon di gagangnya, peperangan di Afghanistan menentang Taliban, Osama Laden dan kumpulan Al-Qaida, beliau telah memasuki satu rentak yang baru yang mengejutkan setiap insan di Washington. 

Pengamat politik telah merakamkan betapa sejak September 23, ketika presiden Amerika dan Russia bersetuju untuk berpadu tenaga memerangi Taliban di Afghanistan, mereka kerap berbual di telefon banyak kali setiap minggu. Sumber yang dipercayai memberitahu setiap kali perbualan telefon itu diadakan, ia telah didahului oleh beberapa kertas kerja khas di antara pegawai tinggi khas dan penasihat keselamatan negara di antara kedua-dua negara untuk menyediakan maklumat negara. 

"Ia adalah laksana menyertai satu persidangan puncak yang panjang yang tidak ada kesudahannya," kata seorang pegawai kanan di Washington. Sumber ini menyebut bagaimana dua pemimpin utama itu dapat menyesuaikan diri berkerjasama dan penasihat Bush telah beranggapan mereka dapat membaca pemikiran Putin sehinggalah 7 November wujudnya perbualan mereka yang memberi kesedaran betapa Putin mampu memerangkap mereka ketika sedikit alpa. 

Beberapa sumber perisikan lain telah memberitahu DEBKA betapa dalam perbualan yang sama, mereka telah "membincangkan beberapa perkara perisikan yang sensitif mengenai peperangan membasmi keganasan di Afghanistan." Sumber itu enggan memberikan butiran lanjut. Tetapi kami dapat merumuskan betapa kedua-dua pemimpin itu membincangkan cara terbaik untuk menyekat Osama Laden mendapatkan maklumat rahsia yang paling tinggi tahap risikannya untuk membolehkannya menyerang pengkalan tentera AS dan juga sasaran awam yang besar-besar. Sumber itu semua menekankan betapa ugutan itu masih wujud lagi kerana segala peraturan baru yang sama-sama dipersetujui oleh kedua-dua perkhidmatan perisikan AS dan Russia belum lagi diuji dan diamalkan. 

Terjemahan oleh SPAR.

Hits: