Memenangi Perang Propaganda Melalui Kemusnahan Kebebasan Akhbar
(Winning The Propaganda War By Bombing The Free Press)


Christopher Bollyn. bollyn@enteract.com .14/11/01

Sebuah stesyen penyiaran TV bebas di Afghanistan telah menjadi satu penghalang besar dalam peperangan propaganda yang memudahkan Amerika dan sekutunya sebelum mereka berjaya menawan Kabul. Kerana itu Amerika telah memusnahkan stesyen itu dengan bom untuk membisukannya.

Di Kabul ada satu pejabat kepunyaan saluran TV dan berita bebas berbahasa Arab, Al-Jazeera, yang telah dikritik hebat oleh kerajaan AS kerana cara liputan berita ketika peperangan Afghan melanda. Stesyen itu telah dimusnahkan oleh peluru berpandu AS beberapa jam sebelum askar Pakatan Utara memasuki bandar raya Afghan itu pada November 13.

Sebuah peluru berpandu Amerika telah memusnahkan pejabat Al-Jazeera lantas menutup terus apa yang merupakan satu sumber yang memberikan maklumat bebas daripada kota raya Afghan itu ketika kuasa beralih tangan kepada pasukan anti-Taliban, yang dikatakan telah menyambut kemenangan mereka dengan merompak dan melakukan pembunuhan kejam.

Al-Jazeera memang terkenal kerana bersuara lantang, memberikan laporan bebas sehinggakan laporan itu menjadi satu penghalang dalam perang propaganda terhadap Taliban sejak Amerika melancarkan tindakan ketenteraan di Afghanistan. Para pegawai Amerika telah mengkritik Al-Jazeera dengan menuduh bahawa liputannya terhadap kempen pengeboman itu sebagai “propaganda yang membakar semangat.”

Saluran berbahasa Arab yang berpengkalan di Qatar itu, merupakan hanya satu saluran penyiaran yang dibenarkan oleh Taliban di wilayah mereka, dan ini membolehkan Al-Jazeera menyiarkan gambar rakaman video rakyat Afghan berdemonstrasi dan membakar kedutaan Amerika di Kabul pada 26 September

Al-Jazeera telah dikritik oleh kerajaan AS kerana menjadi jurucakap Al-Qa'eda setelah ia menyiarkan dua rakaman video menunjukkan Osama bin Laden yang merupakan tuduhan utama dalam serangan bulan September. Dalam rakaman video itu Osama Laden telah mengutuk kerajaan Amerika dan mendesak umat Islam bangkit dalam satu peperangan jihad – ketika pesawat pengebom AS menggugurkan bom menyerang sasaran mereka untuk memusnahkan Taliban di Afghanistan. 

Siaran demikian menyakitkan hati pentadbiran Bush dan Setiausaha Negara Colin Powell yang menuduh Al-Jazeera memberikan terlalu banyak masa menyiarkan “kenyataan yang berbisa dan tidak bertanggungjawab.” Kerajaan AS berkata saluran itu telah digunakan oleh Al-Qa'eda untuk mengeluarkan pesanan berisyarat kepada para penyokongnya di seluruh dunia.

Tetapi, Al-Jazeera enggan mengaku kalah untuk dibisukan. “Kami adalah bergiat dalam bisnes pemberitaan. Dasar kami ialah menyiarkan pelbagai jenis berita dan pendapat. Seluruh dunia tertumpu kepada Afghanistan. Kalaulah kami tidak tayangkan yang benar, siapa lagi?” tanya Ibrahim Hilal, ketua editor Al-Jazeera. “kami siarkan setiap perkataan dan pergerakan Presiden Bush. Orang Arab menuduh kami terlalu pro-Amerika, malahan pro-Israel. Orang Amerika berkata kami pro-Taliban. Ini bererti tentu ada kebenaran kepada pekerjaan kami.”

Walaupun Al-Jazeera kini sudah diberikan penghormatan sejagat kerana siaran eksklusif mengenai Osama Bin Laden, dan diketahui dan dihormati sebagai hanya satu sumber maklumat yang boleh dipercayai serta rakaman video daripada kawasan yang dikawal Taliban di Afghanistan, pengeboman AS yang memusnahkan pejabatnya tidak dilaporkan di Amerika Syarikat.

Seorang kolumnis American-Israeli, Zev Chafets ketika menulis di New York Daily News baru-baru ini mengutuk Al-Jazeera sebagai “satu alat propaganda Arab dan “salah satu senjata berbahaya di pihak ketumbukan Islam” dan beliau telah mencadangkan agar tentera Amerika “memusnahkannya.”

Chafets berkata:; “kebebasan akhbar merupakan satu lambang Amerika yang dibenci oleh musuhnya” dan kemudian beliau menulis agar AS mengebom satu-satunya jaringan TV yang bebas di Afghanistan dan juga di Timur Tengah.

“Mengajar Al-Jazeera adalah satu tugas yang mesti dilakukan oleh tentera kita. Membisukannya adalah satu keutamaan kerana kalau dibiarkan begitu, ia akan mempunyai kuasa untuk meracuni udara lebih berkesan dan lebih berbisa daripada yang termampu dilakukan oleh anthrax,” kata Chafets.

Sebutir bom Amerika telah digugurkan mengena pejabat siaran itu di Kabul pada 3.00 pagi 13 November, sehingga memusnahkan bangunannya. Pengarah Urusan Al-Jazeera, Mohammed Jasem al-Ali menaksirkan kerugian sekitar $800,000.

Al-Ali tidak pula menyebut apakah pejabat jaringan siarannya memang sengaja menjadi sasaran, tetapi dia berkata lokasi biro itu memang diketahui umum termasuk tentera AS. “Pejabat ini memang diketahui umum, pesawat Amerika memang tahu lokasi pejabat kami, dan mereka tahu kami melakukan siaran dari situ,” kata beliau.

“Pejabat itu terletak di satu kawasan berpenduduk. Kami tidak pasti apakah ia sengaja disasar, tetapi Amerika memang tahu lokasi pejabat itu. Saya tidak nampak kenapa sebutir bom boleh digugurkan di lokasi itu di Kabul ini,” kata Al-Ali.

Jurucakap Pentagon Lt.Col. David Lapan (USMC) memberitahu AFP bahawa bangunan itu telah menjadi sasaran kami kerana ia merupakan satu “pusat arahan dan kawalan untuk Al-Qa'eda pimpinan Osama bin Laden. Lapan berkata tentera AS “tidak mempunyai maklumat yang tempat itu pejabat Al-Jazeera.”

Sebelum itu Al-Ali pernah menafikan bahawa Al-Jazeera bersikap anti-Amerika, sambil menyebut betapa barat sengaja berdendam kerana kejayaan stesyen itu memberikan liputan peristiwa dunia dan barisan professionalnya (kebanyakannya dilatih oleh BBC) di kalangan para wartawan, juru acara utama dan para editor.

“Al-Jazeera mahu menentukan liputan yang berimbang dengan mengetahui kisah di sebalik tabir, seperti yang dilakukan oleh CNN ketika perang Teluk,” kata Mahmoud Tarabay, seorang professor “Journalism and Media Studies” di ‘American University’ di Lebanon.

Serangan peluru berpandu Amerika itu telah turut memusnahkan pejabat ‘the Associated Press’ (AP), dan British Broadcasting Corp. (BBC) di Kabul. Setengah jam sebelum itu sebiji bom yang besar telah digugurkan sehingga menghancurkan sebuah rumah yang digunakan oleh BBC yang terletak beberapa blok jaraknya dari pejabat Al-Jazeera, dan mencederakan William Reeve seorang wartawan yang sedang menerbitkan beritanya. Reeve meloncat untuk meniarap di atas lantai ketika bertugas itu dan pasukan BBC itu kemudiannya cabut lari meninggalkan pejabat, mencari perlindungan di sebuah hotel untuk keselamatan mereka. 

Setelah mengalami kemusnahan bom Amerika itu, Al-Jazeera telah dihalang lagi daripada menghantar rakaman serangan yang dibuat oleh askar Pakatan Utara ketika mereka memasuki bandar raya itu dan juga beberapa pekan di utara Afghanistan. Al-Jazeera yang mempunyai kontrak dengan CNN, terpaksa menyiarkan rakaman yang dibuat oleh CNN di Kabul kepada 35 juta peminatnya yang berbahasa Arab di seluruh dunia.

Sebelum wujudnya Al-Jazeera, dunia Arab terpaksa bergantung kepada siaran CNN yang merupakan satu-satunya sumber berita utama daripada media Barat yang dianggap oleh keseluruhan dunia Arab sebagai pro-Israel.

Pada November 12, Kabul bergelora pada sebelah petangnya. Ketika itu tentera Taliban meninggalkan bandar raya itu beberapa jam lebih awal sebelum kemunculan kereta-kebal Pakatan Utara. Pasukan yang disokong oleh AS itu telah masuk pada subuh Selasa. 

Pasukan tentera Pakatan Utara pada asasnya dianggotai oleh tiga kabilah (suku kaum) bukan Pashtun - Tajik, Uzbek dan Hazaras. Uzbek dan Hazarah merupakan suku sakat Mongol. Anggota pasukan Pakatan Utara itu telah merompak tiga buah bank dan beberapa rumah kediaman di Kabul sebaik mereka menawan bandar raya itu. Demikian laporan Taliban pada November 13.

Sumber Taliban itu juga melaporkan betapa tiga buah kampung di pinggir Mazar-e-Sharif telah dimusnahkan sama sekali oleh pengeboman Amerika yang tersalah sasar kerana maklumat silap yang dihantar oleh talibarut daripada Pakatan Utara.

Penduduk kampung itu adalah etnik Pashtun dan bukannya ahli Taliban kata sumber itu sambil menyebut ramainya manusia yang mati terkorban.

Ketika Pakatan Utara memasuki wilayah Taliban menghala ke Kabul, rompakan dan pencurian menjadi-jadi apabila kumpulan etnik Uzbek, dan Tajik menyambut kemenangan mereka sambil membunuh Pashtun Afghan, Arab dan Pakistan. Pashtun merupakan kumpulan puak yang terbesar di Afghanistan dan menggunakan nama yang eksklusif dengan Afghanistan sebelum nama itu dijadikan panduan kepada setiap pribumi Afghanistan sekarang ini.

Seorang wartawan Al-Jazeera di Kabul, Tayseer Allouni, telah diberitahu oleh Pakatan Utara bahawa dia menjadi sasaran mereka yang mahu membunuhnya. Allouni mempunyai janggut dan memakai jaket dan uniform ‘khaki’ dan merupakan seorang yang dikenali oleh penonton Arab seluruh dunia, kerana laporannya daripada kawasan yang dikuasai oleh Taliban secara lintas langsung. Dia kerap memberi liputan menunjukkan kawasan yang dibom oleh Amerika yang mencederakan orang awam dan mengorbankan wanita dan kanak-kanak.

Selepas kejadian pengboman Amerika itu, Allouni didapati hilang lebih satu hari lamanya. Di dalam satu perbualan telefon yang disiarkan pada Nov. 14, dia menceritakan bagaimana dia bersama rakan setugasnya di Kabul telah lari daripada bandar raya itu sejurus sebelum pejabatnya dibom dan telah menyaksikan “senario dahsyat yang tidak dapat saya gambarkan....maafkan saya...”

Allouni dan rakan setugasnya lari keluar daripada pejabat mereka sebelum pejabat itu musnah oleh bom Amerika. Dia telah dikasari ketika melarikan diri bersama pengunduran Taliban, demikian laporan stesyen TV itu pada Nov. 14.

Allouni enggan menyebut siapa yang memukul dan menghambatnya dan seluruh anggota petugas pejabat Al-Jazeera di Kabul. Mereka telah diselamatkan oleh penduduk Afghan setempat yang turut mendapatkan semula peralatan mereka, katanya.

Allouni memberitahu Al-Jazeera betapa pasukan petugasnya berada dalam keadaan selamat. Namun dia masih dalam keadaan “terkejut yang amat sangat”. Allouni ialah kelahiran Syria dan memiliki pasport Sepanyol. Beliau sedang meninggalkan Afghanistan untuk mendapatkan rawatan kepada penyakit terseliuh tulang belakang. 

Apabila Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld ditanya oleh wartawan pada November 13, mengenai laporan media mengenai keganasan yang berlaku di kawasan yang telah dirampas oleh Pakatan Utara, dia menyoal balik; “Siapakah yang membuat laporan itu?”

Stephanie Bunker, jurucakap PBB di Islamabad, memberitahu satu persidangan akhbar, “kami menerima berita daripada sumber yang dipercayai betapa lebih 100 askar rekrut Taliban yang masih muda dan menyorok di sebuah sekolah di Mazar-e-Sharif yang telah dibunuh oleh Pakatan Utara pada Sabtu lalu.”

Oleh kerana pengunduran Taliban berlaku satu hari sebelumnya, dan mengikut laporan Bunker, pejuang muda itu telah dibunuh 24 jam kemudiannya, ini menunjukkan mereka telah dibunuh dan tidak mati dalam peperangan. Wakil Pakatan Utara di Uzbekistan telah menafikan laporan itu. 

Ratusan manusia telah terkorban dan banyak bekalan perubatan telah dirampas di Mazar-e-Sharif, mengikut laporan International Red Cross (Palang Merah Antarabangsa), yang melaporkan bagaimana para petugasnya telah membantu mengebumikan mayat mereka yang terkorban. “Jumlahnya adalah ratusan banyaknya,” kata jurucakap wanita Antonella Notari. Tidak pula dapat dijelaskan berapa ramaikah yang terkorban itu orang awam dan berapa ramai pula pejuang Taliban.

Christian Berthiaume, seorang jurucakap wanita daripada World Food Program melaporkan: “Mengikut laporan, di Mazar terdapat banyak kecurian dan juga penculikan orang awam, serta tembak-menembak yang dilakukan oleh orang-orang yang bersenjata secara berleluasa di jalan raya.” 

Terjemahan oleh SPAR.

Hits: