LAGI KONTRAK DISELEWENG !!!

Kenyataan Media 

Kegagalan pelaksanaan pembinaan 2400 makmal komputer di sekolah-sekolah di seluruh negara menunjukkan betapa pemberian kontrak mengikut amalan kronisma menyebabkan negara rugi dan wawasan Information Communications Technology (ICT) tersasar. Hasil siasatan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menunjukkan lima kontraktor utama yang mendapat tender tidak ada pengalaman pembinaan. Kerja-kerja sub-kontrak pula diberi kepada syarikat yang tidak menjadi ahli PKMM. Setakat ini semua makmal tersebut gagal disiapkan mengikut jadual dan ada yang dah terbengkalai.

Aneh sekali kerajaan masih membenarkan amalan pemberian kontrak yang boleh menjejaskan kejayaan projek sedangkan negara mahu mencapai Agenda IT Nasional menjelang tahun 2020. Ibubapa, guru serta murid yang mengharapkan makmal komputer dibina sebagaimana dijanjikan kecewa dengan pelaksanaan projek yang buruk sekali.

Punca kegagalan projek ialah:

1.       Kontrak diberi kepada syarikat yang tidak ada pengalaman.

2.       Syarat kontrak yang tidak munasabah.

Tidak perlu disebut di sini nama syarikat yang mendapat kontrak tersebut. Cukup sekadar mendedahkan bahawa kontrak tersebut diberi sebagai hadiah kepada beberapa pesara penjawat awam yang kanan.

Dari segi syarat kontrak pula, sangat tidak munasabah bagi sebuah syarikat yang tiada pengalaman diberi kontrak untuk menyiapkan lebih kurang 500 makmal komputer dalam masa enam bulan. Jelas sekali syarat ini dikenakan kerana campurtangan politik dan bukan atas kehendak agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

Parti Keadilan Nasional dengan ini mendesak supaya kerajaan segera betulkan penyelewengan pemberian kontrak. Walaupun bantahan berterusan telah dimulakan semenjak tahun 1998 nampaknya budaya ini masih berterusan. keADILan juga menuntut supaya semua pemberian kontrak dilakukan menurut prosidur tender kerajaan tanpa sebarang campurtangan politik.

Abdul Rahman Othman
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Nasional

16hb. November 2001