Saya, Phoolan Devi

Bab 8 (Bahagian 2)
Oleh Marie-Therese Cuny dan Paul Rambali

Kami baru melepasi kawasan kampung itu dan mula melalui sebatang jalan yang berdebu. Mentari semakin meninggi secara perlahan menebar cahaya di angkasa biru yang luas terbuka. Aku dapat memerhatikan air peluh yang bertitisan dari kening ayah kesan memikulku di bahu. Itulah yang mebuatkan aku segar kembali ketika itu. Lagipun, langkahnya meyakinkan dan kebisuan angkasa menenangkan. Jalan berdebu itu meminggiri ladang gandum yang berdesiran bunyi dedaunnya ditiup angin panas. Aku dapat merasakan zaman kecil dulu ketika dipikul ayah di bahunya, laksana seorang anak kecil yang baru diselamatkan daripada terkurung daripada sebuah telaga dalam yang gelita. 

‘Jangan takut lagi, ‘kata ayah secara berulang-ulang sambil melangkahkan kaki, ‘jangan takut lagi, Phoolan.... Semuanya sudah berakhir....’ 

Ayah memberitahu mahu membawa aku ke sebuah hospital di Sikandara, dan ini bererti dia terpaksa berjalan jauh dengan membawa aku sebagai bebanannya. Sejurus kemudiannya, kami berhenti dan ayah menurunkan aku untuk berteduh di bawah sebatang pokok mangga. Kami sudah berada jauh dari kampung itu, sudah tidak kelihatan bumbung rumahnya apalagi lembu-lembunya. Jalan itupun memang lengang sahaja, tidak ada sesiapa yang lalu dan ini membuatkan aku merasa selamat sehingga tertidur dengan nyenyak ketika berehat. Ketika terjaga semula aku terpandangkan buah-buah mangga yang bergantungan di depan mata, gempal dan ranum laksana bebuahan di halaman rumah Pradhan ketika dia melempang aku kerana meminta sebiji buah itu. Aku boleh menjentik buah-buah yang nampak lazat di depan mataku itu, tetapi ayah menegah aku daripada menjamah sesuatu. Dia menyuruh aku minum air yang dibawa-bekal dalam labu kering kepunyaan sahabatnya. 

Ayah merenung wajahku tanpa berkata sesuatu. Tentu dia memikirkan apa yang telah dilakukan oleh Putti Lal, tetapi aku masih tidak bertenaga menyoal beberapa soalan yang memang mencuit benakku. Lagipun aku tidak mahu fikirkan penderitaan yang baru aku lalui. 

Dengan perlahan ayah sambung kembali langkahnya dengan aku tercanguk di atas bahunya, tidur-tidur ayam. Tidak lama kemudian kami sampai di persimpangan satu jalan besar. Beberapa lori yang dihias indah laksana kuil bersimpang-siur di jalan besar itu penuh dengan muatannya, dengan meniup hon yang membingitkan telinga lembu-lembu gila, sambil memercikkan debu setiap kali mereka berlalu. Ads seorang wanita yang memakai sari berwana unggu berjalan di situ, wajahnya terlindung oleh timbunan bebunga yang dijunjungnya. Dia menggoyangkan tangannya dan menjerit kepada jurumudi kereta lembu agar mengawal lembu mereka daripada menganggu perjalanannya. Memang begitu sibuk keadaan ketika itu dan bunyi hon skuter dan bas memekakkan telinga. 

Di persimpangan jalan ayah berhenti di hadapan seorang wanita menjual ‘kakri’. Dia membentangkan satu longgok mentimun kecil di atas sehelai kain dan bersila di situ sambil menghitung siling dan duit kertas yang diperolehinya, persis kelakuan ibuku setiap kali dia menjual sayuran yang kami tanam di kachwari. Memang agak lama juga aku tidak menjamah mentimun sehinggakan aku rasa keras untuk mengunyahnya. Terpaksa pula ayah melumatkan di tapak tangannya dulu dan menyuapkan aku laksana seorang anak yang masih kecil lagi. Yang aku dapat fikirkan ketika itu ialah mangga dan oren, tetapi ayah terus menegahnya, kerana belum tiba masanya. Dia memang betul, kerana sebaik sahaja aku menelan kakri itu, aku dapat rasakan perut mula mengecut dan rasa mula mual semula. 

Itulah pertama kali aku melihat satu bandar yang besar dengan ramai manusianya. Terdapat segalanya yang kita bayangkan; kedai yang menjual gula-gula dan kek, ada kedai menjual sari yang beranika warna yang dilipat dan disusun di atas para. Terdapat satu kedai menjual hanya barang kemas dan perhiasan, dan satu lagi yang menjual hanya tayar kenderaan. Terdapat kereta sorong yang sarat dengan kekacang dan buahan kering. Ada juga kereta sorong yang penuh bebunga yang berwaran merah dan kuning, yang dikerumuni manusia mencangkung, membuat bunga-malai untuk digunakan manusia yang mahu membawanya ke kuil. 

Tengah hari sudahpun tiba, membawa panas yang membara. Ada beberapa wanita menjual air minuman daripada kereta sorong dan sahabat ayah mengisi labu airnya. Di sebuah perhentian bas, ayah menanyakan hala menuju ke satu dispensari. Tidak jauhpun letaknya, dan aku sudahpun bertenaga untuk berjalan sendirian, sambil dipimpin oleh ayah dengan perlahan. Di pekan itu tidak ada sesiapa yang mengenali kami; lembu dan anjing tidur selamba di tengah-tengah jalan, menyebabkan udara di sekitarnya penuh dengan lalat dan berwarna kelabu disebabkan asap hitam dan pekat yang dikeluarkan oleh ekzos bas dan lori. Semua itu belum pernah aku lihat sebelumnya! Ketika telinga aku berdering-dering tidak pula aku sedari kenapa pada mulanya. Kemudian barulah aku sedari betapa banyaknya basikal di sekelilingku, dan penunggangnya memetik loceng basikal mereka pada waktu yang sama. Ketakutanku semakin menghilang dengan perkara itu. 

Dispensari itu adalah sebuah rumah konkrit yang mempunyai ruang menanti yang dipenuhi manusia yang ramai menunggu dan duduk di atas bangku, dan tidak di atas lantai di situ. Yang lain menunggu di luar, bawah sebatang pokok. Ayah turut berbaris untuk menunggu dan aku tertidur kerana mengantuk. 

Apabila terjaga, seorang doktor sedang memeriksa aku sambil mendengarkan cerita ayah akan demam aku dan keadaan mudah muntah. Dia tidak menceritakan perkara lain, mengenai kesakitan yang aku tanggungi. Perkara semacam itu tidak boleh dicakapkan. Doktor itu berpakaian kot dan memakai cermin mata yang menampakkan dua biji mata yang kelihatan mesra tetapi kekurangan tenaga kerana keletihan seperti orang kampung yang bekerja lama seharian. Aku belum pernah melihatkan orang besar-besar bekerja sebelum itu. Dia suruh aku duduk di atas bangku sambil memeriksa aku; dia meneliti wajah, leher, pergelangan tangan dan kedua bahuku. 

‘Budak ini kurang makan,’ kata doktor pada ayah. ‘Dia terlalu kurus.’ 

Ayah merasa malu. Dia menjelaskan aku telah berada di rumah mertuanya dan mereka tidak menjaga aku dengan sempurna. Doktor menyuruh aku mengangga dan menghulurkan lidah. Keningnya mengerut ketika meletakkan satu sudu besi dalam mulut aku membuatkan aku muntah semula. Aku khuatir dia mahu mengerat lidah. ‘jangan takut, sayang,’ katanya. ‘Saya akan suntik kamu supaya cepat sembuh.’ 

Aku menjadi kaget melihatkan beliau memegang sebatang jarum yang panjang. Dulu, tukang gunting di kampung, pernah mencocok hidungku dengan sebatang duri tajam. Oleh kerana kami tidak mampu membeli perhiasan kemas untuk dicocokkan ke lubang yang ditebuk di hidungku, dia terpaksa mencocoknya lagi setiap tahun kerana lubang yang kecil itu mudah bertaut semula kerana tidak ada yang kekal menebuknya. Cecair yang membuih terjelir keluar daripada muncung jarum suntikan itu, ketika doktor datang menghampiri aku. Aku berpaling melihat wajah ayah kerana ketakutan. 

‘Tak mengapa Beti, tahankan sedikit. Ini ubat.’ 

Aku mengetap gigi. Doktor itu menyengat aku pertama kali di lengan, kemudian dia balikkan badan aku dan sengat sekali pula di ponggong. Oleh kerana ayah sudah memberikan izin dia melakukannya, aku merelakan sahaja. Kemudian doktor itu berikan ayah beberapa biji pil dan meminta ayah memberikannya dua puluh rupee. Ayah keluarkan beberapa keping wang daripada dompet yang diselit dalam lipatan dhotinya dan mengira wang itu dengan cermat. 

‘Kenapa bayar wang pada dia Buppa?’ tanyaku. Dia telah menyengat saya sampai sakit!’ 

“Banyak benda yang kamu perlu belajar, Phoolan!’ kata ayah dengan ketawa. ‘doktor ini memberikan kamu ubat semasa dia menyengat. Ayah mesti bayar dia kerana ubat itu.’ 

Di luar, bahang tengah hari itu masih belum berlalu. Kamipun duduk berteduh di bawah pohon neem yang tinggi. Ayah masih keletihan lagi. Dia telah berjalan lebih tiga jam sambil memikul aku. Dia berbaring di sebelahku, sambil menggunakan bungkusan kainku sebagai bantal, dan terus tertidur. Akupun tertidur sama. 

Mentari sudah menurun ketika kami terjaga. Aku terasa dahaga, dan teringin sangat jus oren ataupun mangga, tetapi itulah yang ditegah oleh ayah. 

‘Bila kita akan sampai, ayah?’ tanyaku. Jauh lagikah kita mesti berjalan kaki? 

‘Kita akan naik bas,’ kata ayah. 

Bas itu sarat dengan penumpangnya dan mempunyai enjin yang kuat bunyinya. Sambil menyatakan anaknya sakit, ayah telah meminta izin penumpang yang ada memberi ruang untuk aku mendapat satu tempat duduk. Bunyi enjin bas itu membuatkan perutku bergelodak. Aku merenung muka ayah kerana kaget dan pemandu bas menyuruh aku duduk di jendela untuk memudahkan aku, kalau mahu memuntahkan sesuatu. Aku rasa tempat dudukku, yang dibalut pelastik tetapi gebu. Aku duduk bersila tetapi masih tidak rasa selesa. Apabila melihat di sekeliling, semua penumpang duduk dengan kaki berjuntai, membuatkan aku mengikut cara mereka pula. 

Sebelum itu memang aku melihatkan bas berlari di jalan raya. Tetapi itulah pertama kali aku menjadi penumpangnya. 

Dari jendela bas aku dapat menikmati keindahan sekeliling sehingga di kaki langit. Ladang gandum kelihatan laksana tikar jerami, ada yang berwarna hijau dan ada yang kekuningan dengan pangkal yang sudah berkerat. Ada ladang tebu yang subur di situ, meninggi laksana tembok batu. Di bawah naungan pokok yang tinggi terdapat deretan rumah seperti di kampungku. Di sana terdapat lembu yang sedang meragut rumput, tetapi aku masih belum melihat sungai. Di bahagian hadapan, aku melihat bas lain yang meluru ke hadapan seolah-olah mahu berlanggar dengan bas yang membawa kami. Di bahagain belakang, beberapa lori mengekori dengan rapat dengan bunyi yang dahsyat seolah-olah memberitahu mereka mahu berlari cepat. Aku teransang mahu menjerit kerana kegembiraan. Aku tidak sabar memberitahu Choti bahawa dalam bas, dunia ini bergerak lebih pantas! Aku fikirkan perkara itu memang menggelikan hati sehinggakan termuntah lagi. 

Ayah memberikan aku minum secara berdikit-dikit dengan perlahan, tetapi perjalanan itu jauh dan memenatkan. Aku merasa kekeringan, kepala menjadi sakit dan angin yang bertiup melalui jendela yang terbuka membuatkan rasa yang kelat di mulut. Ketika bas berhenti, dan manusia naik dan turun, begitulah keadaannya, dan perkara itu semacam akan berterusan. Mentari semakin menurun di celah-celah dedaun, menjadikan rumpai berwarna oren. Tetapi, aku belum lagi nampak sungai di kampung kami. 

‘Ah...itu dia jambatannya!’ kata ayah. ‘Kita akan turun di situ.’ 

Bas itu melintasi Yamuna, secara naik meninggi melalui jambatan di atasnya. Aku merasakan kami seolah-olah melambung perlahan laksana burung ketika melepasi jambatan itu. 

Bas itu berhenti di hujung jambatan yang berhampiran satu pekan lagi. Di perhentian itu ayah membelikan aku satu ‘kulfi’. Rasa aiskrim bersusu itu membuatkan tekak berasa lega. Kamipun mula melangkahkan kaki menuju sebatang jalan kecil yang berdebu menuju kampungku yang jauhnya hanya lima batu dari situ. Aku berjalan di antara dua orang lelaki itu, sambil keghairahan mahu sampai ke rumah secepat yang terdaya.

...bersambung Bab 8 Bahagian 3
Phoolandevi88@hotmail.com

Diterjemahkan oleh SPAR 10.

Hits: