Saya, Phoolan Devi

Bab 8 (Bahagian 3)
Oleh Marie-Therese Cuny dan Paul Rambali

Kami berjalan melepasi beberapa perkampungan yang aku belum tahu lagi.

‘Itu dia Shatti,’ kata ayah. ‘Di situ orang Islam tinggal.’

Aku menjadi kaget, ‘cepatlah,’ desakku, nanti mereka kejar dan makan kita!’

Lelaki berdua itu ketawa dengan perangai aku.

‘Orang Islam adalah manusia semacam kita, Phoolan. Bezanya ialah mereka tidak pergi beribadat di kuil semacam kita, itu saja.’

Ketika mentari semakin terbenam kami sudahpun keluar daripada jalan berdebu itu untuk menggunakan satu lorong pula kami bertemu beberapa orang kampung Divail yang mengenali ayah dan mereka menawarkan kami bermalam di rumah mereka, tetapi ayah lebih selesa memilih untuk meneruskan perjalanan pulang.

Aku dapat melihat pepohon neem dan buah nangka yang meranum di batang pohonnya, ini menunjukkan kampungku tidak berapa jauh dari situ. Malam sudah semakin gelap tetapi aku dapat menghidu bauan yang semerbak yang datang dari tebing sungai. Aku dapat mendengar bunyi burung-burung dan unggas di situ. Hilang segala perasaan kehausan dan keletihan serta badanku terasa semacam dijulang ke atas laksana seekor gagak yang terbang jauh di tengah ladang. Aku, fikir tentu Choti masih berada di kebun kami di kachwari. Aku dapat mendengar suaranya menyanyi tetapi apabila berlari untuk mencari tidak pula aku berjumpa. Tiba-tiba aku ternampak sehelai sari bergoyang-goyang di tengah kebun dan ada satu tubuh manusia sedang berbaring di situ. Itulah dia Choti, tertidur dan bukannya mengawal buah-buahan tembikai yang baru dibawanya daripada seberang sungai! Apabila dia ternampak aku, diapun memeluk tengkukku, hampir mencekik kerana terlalu lama bergayut dengan mengalirkan airmata gembira.

‘Phoolan, memang lama aku merinduimu.’

Dia berlari mencari sebiji tembikai yang sepatutnya diawasi dan membelah tembikai itu dengan sebilah pisau. Memang enak buah itu dan manis rasanya sehinggakan aku membiarkan jusnya mengalir sampai ke dagu. Aku seronok menikmati buah itu, dan ketawa bersama Choti sambil kami melecutkan kuacinya ke angkasa.

Tidak ada satupun yang berubah. Aku dapat melihat Pancham, tukang sampan, membimbit lampu untuk pergi mencari ikan. Dia mengangkat lampu itu untuk menyuluh muka aku.

‘Anak perempuan kamu ini lebih kurus dari seekor serigala kacukan, Devidin. Nampaknya dia tidak sihat.’

‘Choti terkejut melihat wajahku yang disuluh itu. Dia mahu tahu apa yang terjadi. Tetapi, aku hanya menganggukkan kepala sahaja.

Ibu sudahpun menanti di halaman rumah, sambil mengesat airmata dengan ekor kain sarinya. Dia tidak mampu berkata apa-apa, cuma mampu memeluk aku dengan kuatnya. Dia masih menangis lagi ketika membawa satu jag air untuk mencuci kakiku. Memang aku tidak berupaya menceritakan segala-galanya yang telah terjadi. Tetapi ayah ada membisikkan perkara yang dahsyat yang telah aku alami. Ibu meraba bahuku dan belakangku. Kemudian dia amati lagi tubuhku sebelum menangis sekali lagi. Tangisan ibu telah mengejutkan adikku Bhuri dan Shiv Narayan. Tanpa mengetahui apa sebab ibu menangis mereka pun turut menangis sama.

Tidak ada yang berubah di rumah ibu. Mereka masih menggunakan khat usang yang sama. Begitu juga periuk belanga di dapur. Aku sudah merasakan betapa sudah lama aku tinggalkan rumah itu. Selama itu aku telah lama membayangkan bahawa semua barangan itu tidak wujud lagi di situ, tetapi aku masih melihat semuanya termasuk basuhan yang bergantungan di ampaian untuk mengering di malam hari seperti dulu.

Apabila Bhuri dapat aku tenangkan dia tertidur semula dengan kepalanya di ribaku. Ibu yang sudah mengisar gandum untuk dibuat capati mula naik berang pula. ‘Aku akan ajar Putti Lal itu!. Aku akan sediakan sebatang kayu untuk membelasahnya. Tengoklah nanti, kalau dia menunjukkan mukanya semula..!’

Sambil ibu membuat capati itu dia terus menghimpunkan segala caci maki terhadap Putti Lal.

‘Saya tidak mahu dia dihantar pulang! Demikian kata ibu kepada ayah. ‘Si jahanam itu hampir membunuh anak saya!’

Ayah sibuk mengunyah capati. Aku tidak boleh menelan apapun kecuali sedikit susu suam dan nasi, dan sejurus itu akupun menjadi mengantuk pula.

‘Dia sudah bersuami sekarang,’ demikian suara ayah yang dapat aku dengar. 

‘Aku tidak tahu apa caranya kita tidak perlu menghantarnya semula. Seseorang isteri mesti tinggal di rumah mertuanya. Inilah adat resam kita.’

Aku dapat melihat cahaya api obor yang bergerak di bahagian luar dinding rumah kami. Jiran-jiran kami yang ingin tahu menunjukkan muka mereka. Ibu membersihkan hidungnya dan membetulkan sari dan memandang arahku dengan penuh makna. "Jangan ceritakan perkara ini kepada sesiapa, dengar tak? Kamu akan mencemarkan nama sendiri. Kamu jatuh sakit dan tidak diberi makan dan tidak ada sesiapa yang menjaga kamu, itu saja. Dengar tak?’

Jiran-jiran kamipun masuk ke rumah dan mula bercakap-cakap dengan ibu dan ayah. Ada antara mereka yang menggesa aku pulang kerana adalah mengaibkan kalau seorang isteri tidak tinggal bersama suaminya. Ada pula yang berpendapat aku harus menunggu selama setahun paling kurang. Mereka semua tercengang melihat keadaanku semacam sudah begitu berubah, dan masih sangsi memikirkan apakah sebabnya. Aku fikir mereka tidak dapat bayangkan apakah penderitaan yang telah aku lalui. Tetapi, aku patuhi arahan ibu dan tidak berkata apa-apa, tanpa menyedari kenapakah aku yang sepatutnya menanggung keaiban itu sedangkan suami ku yang mendera dan menzalimi aku. Kepada jiran-jiran, ibu dan ayah memang menyebut kesalan mereka tetapi aku dapat rasakan betapa kecewanya mereka seperti keadaan mereka membuat tuntutan apabila Mayadin mencuri pokok yang ayah tanam. Kemarahan mereka berdua tidak mencukupi untuk melawan mereka yang memegang timbunan wang rupee di satu tangan dan kayu panjang di tangan satu lagi. Tetapi, aku sudah sedar ketika itu, betapa aku tidak akan pulang kembali kepada si bedebah itu.

Aku masuk ke dalam rumah untuk berbaring dengan Bhuri dan Shiv Narayan. Ibu mengekori aku dan berbaring di sisi kami. Aku terlena sejurus itu dan bukan kepalang nyenyaknya tidur itu.

Keesokan hari, demam di badan sudah pergi. Dua puluh rupee yang ayah bayar kepada doktor memang berbaloi sekali. Yang paling aku perlukan ketika itu ialah pergi berkubang di sungai Yamuna bersama teman-temanku, dan membiarkan air suci sungai itu menghanyutkan segala rahsia keaiban yang ada di badanku.

‘Ibu memberi amaran sekali lagi sebelum aku melangkah keluar pintu menuju ke sungai. ‘jangan beritahu sesiapa, jangan cakap apa-apa yang telah dilakukan oleh Putti Lal kepada kamu.’

Aku jadi gementar apabila ibu menyebut namanya, dan aku terpaksa menumpukan ingatan untuk melupakan namanya aku mahu menekannya dalam air, mencekiknya, menanamnya dalam pasir dan biarkan hujan monsun hanyutkannya.! Hari semakin berlalu, dan aku masih tidak dapat melupakan segalanya. Mujur, keadaan tenang di kampung dapat membantu aku mendapatkan semula tenaga lama. Cuma di malam hari, ketika berada di tempat yang gelap aku menjadi ketakutan. Ketika itu igauan lama berulang semula, tetapi malam bertukar menjadi hari dan hari bertukar menjadi bulan.

Bulan Ashadpun menjelma. Aku berada di tengah ladang menjaga lembu ternakan, apabila Choti datang berlari mendapatkan aku.

‘Dia dah datang Phoolan,’ kata Choti secara terketar-ketar. ‘Dia datang untuk membawa kamu pulang.’

Aku berlari dengan deras ke arah kuil untuk memanjat pokok neem yang paling tinggi di kampung itu dan menyorok di antara dedaunnya. Ibu sedang menjerit dengan kuatnya kepada Putti Lal sehingga kedengaran seluruh kampung.

Sejurus kemudian Choti muncul dan menceritakan apa yang sudah berlaku. ‘Mukanya merah padam,’ katanya, ‘dia menyumpah seranah semua orang!’ Amma kata dia mendera kamu dan hampir membunuh kamu! Ibu mahu menghalau dia pergi tetapi Buppa suruh ibu beri dia makan dulu!!’

Aku cuba memikirkan satu rencana. Aku naik ke dahan yang paling tinggi membuatkan monyet yang ada di situ turut menggelabah dan menjerit seperti kena histeria, tetapi semua orang kampung memang kenal tempat persembunyian aku di atas pokok di tepi jalan ke kuil. Ketika aku masih kecil dulu, aku pernah menunggu lama di atas pokok mahu menangkap anak burung kakak tua yang pulang ke sarang mereka. Pada satu ketika semasa aku memasukkan tangan ke satu sarang aku terpegang benda yang sejuk – seekor ular! Aku terpaksa melepaskannya dengan jeritan yang membingitkan kanak-kanak lain yang menanti di bumi.

Ingatan itu membuatkan aku menggigil.

Choti muncul semula. ‘Amma sudah halau dia,’ jerit Choti. ’Dia naik marah, tetapi dia pergi juga. Aku nampak dia pergi dengan menaiki satu basikal baru, berwarna hitam. Tentu dia beli dengan duit dauri.’

Aku turun dari pokok itu, sambil menunggu di hujung rumah Mayadin dan cuba mengamati keadaan kalau-kalau dapat mendengarnya. Dia sudah pergi, seperti yang disebut oleh Choti.

Aku mempunyai syak wasangka bahawa kemunculan Putti Lal ada kena mengena dengan Mayadin. Dulu beliau beranggapan sudah dapat menghalau aku, dan tentu dia naik berang melihatkan kehadiran aku semula. Dia terlalu takut akan ladang horanya. Aku pernah mendengar beliau bertanyakan ayah, ‘apa yang dibuatnya di sini?’ Dia telah mengugut ayah dengan suaranya yang bernada tinggi.’ Dia sudah bersuami. Sepatutnya dia menghormati adat resam kita seperti wanita yang lain,’

Beberapa hari selepas lawatan Putti Lal, ibuku telah pergi menziarahi keluarganya di kampung untuk beberapa hari semasa kakak Rukmini pulang ke rumah untuk menjaga kami - dan memang dijangka, dia muncul semula dengan basikal hitamnya. Mungkin Mayadin sudah memberitahunya akan ketiadaan ibu di rumahku.

Aku berlari memanjat pokok neem sekali lagi. Tetapi, kali itu Rukmini yang datang memanggil aku agar turun.

‘Turun dari pokok itu Phoolan, suami kamu datang untuk berjumpa.’

Kakak Rukmini menyuruh aku pulang dan tinggal di rumah suami ku, tetapi dia tidak tahu-menahu betapa azabnya aku hidup di situ. Orang lain memang tidak tahu, kerana aku tidak memberitahu. Apabila aku jawab tidak mahu turun, dia pergi mencari ayah dan ini membuatkan aku mencari tempat bersembunyi yang lain. Aku sedar tanpa ibu di rumah, seandainya ayah dan Rukmini bersetuju agar aku pergi, tidak ada jalan lain yang boleh aku elakkan lagi.

Aku berlari ke tebing sungai dan menyorok antara sampan kayu yang besar yang tersadai menanti untuk diperbaiki.

Tetapi ayah dan Rukmini berjaya mengesan tempat persembunyian itu dan menarik aku pulang ke rumah. Rukmini mendesak aku mengenakan sari dan ‘ghoonghat’. ‘Cukuplah Phoolan,’ katanya. ‘Kamu perlu sambut kedatangan suamimu.’

Mereka cuba memaksa aku memasuki sebuah kamar di mana si bedebah itu sedang menunggu, tetapi aku meronta tidak mahu. Mereka tidak faham kenapa aku ketakutan, kerana mereka tidak tahu. Kalaulah ibu ada di situ, tentu dia faham kerana dia sudah mendengar semua ceritanya. Ayah pernah memekap telinga, kerana dia tidak mahu mendengarnya, tetapi ibu tahu akan segala bahayanya.

‘Kami tidak akan menghantar kamu kepada dia,’ kata Rukmini. ‘Tetapi kamu mesti sambut kedatangannya.’

Akupun mengalah, dan masuk bilik itu dengan kepala aku tunduk kerana aku mahu mengelak melihatkan matanya. Aku cuba menahan diri agar tidak menggeletar, tetapi aku terdengar ayah bersuara, ‘Rumah Putti Lal adalah rumah kamu, Phoolan. Kamu seharusnya tinggal di sana sekarang.’

‘Kamu harus lakukan seperti yang aku buat,’ kata Rukmini. ‘kakak tinggal bersama mentua dan kakak balik menziarah kamu. Kamu akan biasakan diri, Phoolan. Tolonglah, jangan buat kecoh lagi!’

Jangan buat kacau, jangan buat kecoh! Apapun, akhirnya mereka bertindak untuk aku. Putti Lalpun mencari sebuah sampan dan ayah serta Rukmini membawa aku ke tebing sungai. Mereka dudukkan aku di dalam sampan bersebelahan tukang sampan itu sementara Putti Lal di bahagian hujung yang bertentangan. Mereka mesti telah mengagak aku berkemungkinan meloncat ke dalam air kalau ada peluang dan berenang mengikut arus sungai, walaupun ini bererti aku mungkin tenggelam di sungai itu. Aku pernah mendengar kisah wanita yang membunuh diri, menghilang di dunia ini untuk dilahirkan semula di dunia yang lain.

Putti Lal berpaling ke arah aku ketika kami menyeberangi sungai itu. ‘Kalau kamu lawan aku, aku akan bantai kamu. Kau masih ingat bagaimana aku ajar kamu, eh?’

Aku menjadi ketakutan ketika tiba di seberang sungai sehinggakan aku meloncat keluar sampan itu dan berlari sepanjang tebing sungai, tanpa keruan. Setan itu mengekori aku dengan mengayuh basikalnya yang berharga beberapa ratus rupee itu yang sama harganya dengan harga seekor lembu. Aku berlari laksana seekor kijang yang cuba melepaskan diri dari cengkaman harimau yang mengejarnya, sehinggalah kehilangan segala daya untuk terus berlari lagi. Dia sauk aku dan arahkan aku duduk di atas besi-perentang kemudi basikal di hadapannya, sambil merangkul aku dalam pelukannya dan mengayuh laju untuk memecut basikalnya. Aku dapat menghidu bau peluhnya dan hembusan nafasnya di bahagian belakang. Setiap kali aku cuba bergerak, dicubitnya lenganku dan memaki selalu. ‘Kalau kamu terus ceritakan kepada orang lain segala kisah yang kamu beritahu ibu dan ayah kamu, rupa kamu tidak akan seperti ini lagi.’ Dia mengugut, ‘yang pulang ke kampung nanti bukannya badan kamu tetapi hanya mayat kamu untuk ditanam sahaja!’ Dia tidak berhenti mengayuh basikalnya sehingglah kami sampai ke kampungnya.

Hari sudah petang ketika kami pulang. Dan ayahnya sedang berdengkor di atas khat di halaman rumah. Aku berlari untuk menyentuh hujung kakinya sebagai tanda hormat. ‘Biarlah saya bersama ayah,’ aku meminta belas kasihan. ‘Saya tidak mahu masuk ke dalam bersamanya.! Saya tidak mahu.’

‘Bertenang Phoolan,’ katanya. ‘Ini adalah rumah kamu, dan Putti Lal adalah suami kamu. Jangan takut-takut. Ayah akan tidur dekat kamu.’

Tetapi dia telah mungkir janji. Selepas makan malam, orang tua itu pergi tidur di kamarnya, tinggalkan aku sendirian dengan setan itu.

‘Mari, baring di sini.’

‘Tak mahu,’ kataku. ‘Saya mahu tunggu di luar! Saya mahu tidur di sini. Dia tampar mukaku.

‘Kamu mahu menjadi seorang isteri ataupun tidak? Kamu akan membesar walaupun aku perlu memaksanya. Kamu tidak akan tinggalkan rumah ini selagi tidak melahirkan tiga ataupun empat anak, sekurang-kurangnya.

Aku gigit tangannya, tetapi itu tidak menegahnya untuk mengheret aku masuk ke kamar. Dengan selamba dia mengangkat aku dan mendakapnya ke dada untuk membawa aku bersama. Aku tendang lututnya tetapi tidak membawa kesan apa-apa. Aku sudah berada dalam kamar penderaan, menghadapi ular miliknya.

Aku cuba juga fikirkan secara terdesak, bagaimana caranya memberikan seorang anak, supaya dia tidak memukul aku lagi... aku teringatkan bagaimana perut ibu mengembong dan bagaimana ia muncul keluar bilik dengan adik Bhuri, tetapi aku tidak tahu lagi bagaimana kanak-kanak dicipta.

Dia tampar mukaku dan memaksa aku memegang ularnya. Aku masih teringatkan suara ayah dan kakak memberitahu agar aku mematuhinya, kerana dia adalah suamiku. Aku mahu bertukar rupa menjadi batu laksana patung-patung dalam kuil, tanpa mahu berfikir lain perkara lagi, tanpa mendengar sesuatu ataupun melihatnya lagi.

Keesokan harinya dia bertindak mendera aku kerana berani mengadu kepada ayahnya cara dia menyakitkan diriku. Dia patahkan satu dahan pokok neem dan mengangkat aku dengan tangannya untuk merotan.

‘Kamu tidak boleh bercakap perkara itu kepada ayah aku. Kerana itu memalukan.’

Dia libas belakangku sehingga terkelupas kulitnya dan aku telah bersumpah tidak berkata sesuatu lagi.

Dia tidak menganggu aku sepanjang hari itu, dan keesokan harinya. Kemudian, dia heret aku sekali lagi ke bilik penderaannya.

Apabila aku muncul di siang hari, terdapat kesan darah di seluruh bahagian belakangku, dan aku merasakan satu kesakitan yang amat perit di bahagian perutku.

Aku cuba menggunakan pelbagai helah untuk menyorok. Aku cuba bersembunyi di ladang atau di belakang kandang lembu atau di belakang takongan air di belakang rumah, tetapi dia berjaya mencari dan menzalimi aku lagi. Aku sudah tidak berdaya menyekatnya. Tetapi aku bersumpah kepada Dewi Durga yang meminum darah hantu dan setan bahawa dia akan merasa bahana balasanku kerana kesakitan yang aku tanggungi. Aku bersumpah tidak akan menghabiskan masaku menyorok di belakang pintu dalam kegelapan, atau berbaring di atas perut di hadapan manusia ini. Dia sendiri pernah berkata aku akan membesar juga satu hari nanti. Aku bersumpah akan menangani keazaban itu dan akan membalas dendam terhadapnya
 

Bersambung.....Bab 9
Phoolandevi88@hotmail.com

Diterjemahkan oleh SPAR 10.

Hits: