Saya, Phooland Devi

Bab 9

Oleh Marie-Theresa Cuny dan Paul Rambali 

Tidak ada sesiapa di rumah ketika mereka datang mencari aku.

Aku sedang menyorok di belakang tempayan air di halaman rumah, menunggu dengan penuh ketakutan kemunculan tapak kaki Putti Lal. Aku sudah berminggu di rumah itu didera dan dizalimi olehnya tanpa sesiapa yang datang membantu. Mereka menunggu hingga semuanya sudah senyap sebelum melompat tembok rumah: merekalah paman di sebelah ibu, Tara Chand dan anak lelakinya, Kallu.

Aku menjerit keriangan kerana merasa lega! Syukur kepada Dewi (Durga), ibu telah menghantar orang untuk menyelamatkan aku.!

‘Ssssh!’ bisik paman. ‘Ibumu dan makcik membuat keputusan bahawa kamu tidak boleh tinggal di sini. Kami datang untuk membawa kamu pulang ke rumah kami.

Mereka menyuroh aku mengambil pakaian dan emas perhiasan, dan mereka membantu aku melompat tembok di belakang rumah di satu tempat yang sudah rekah. Tidak ada siapa yang mendengar kami dan kami bergegas melintasi jalan untuk memasuki bahagian ladang dan tidak lama kemudian kami sudah berada jauh di hujung kampung. Aku berlari anak, melompat dan menjerit kerana keriangan. Mereka berdua tidak mampu menyaingi kelajuan langkahku, tetapi kerana takutkan Putti Lal akan menghambat kami, aku enggan memperlahankan langkahku itu.

‘Jangan takut,’ kata sepupuku Kallu. ‘Kalau dia mengejar kita aku akan belasah dia!’. Sepupuku memang lebih tua dari Putti Lal. Badannya besar dan membuatkan aku merasa lega.

Kami tidak gunakan jalan besar, tetapi merentas kawasan ladang sepanjang perjalanan untuk tiba di Sikandara, pekan di mana aku dibawa ayah untuk berjumpa doktor. Hari sudah beransur gelap dan paman berunding dengan seorang pemandu lori untuk membawa kami ke Kalpi. Dari sana kami boleh berjalan kaki menuju kampung paman. Selalunya pemandu lori tidak dibenarkan membawa penumpang perempuan, tetapi apabila melihat saya, dia mengalah. ‘dia muda lagi, kalau polis bertanya’, katanya, ‘aku akan beritahu dia adalah anak perempuan aku.’ Lorinya bergegar dan tidak memberikan keselesaan, bunyi enjinnya pula membingitkan telinga tetapi semua itu tidak aku hiraukan. Aku terbayangkan wajah Putti Lal apabila mendapati aku sudah tidak ada di situ!

Sebaik tiba di rumah paman, aku meloncat memeluk makcik. Titisan airmata berjuraian sebagai tanda kelegaan diriku.

‘Mausi, apakah makcik tahu apa yang dibuatnya kepada saya?’

Dia mengangkat jarinya untuk memekap bibirku. ‘Makcik tahu, Phooolan. Makchik tahu.’

Makcik Khiniya, memang seakan-akan adiknya, cuma dia sedikit gempal dan selesa hidupnya, sedangkan ibu kurus sedikit dan sentiasa memeningkan kita. Makcik memang jauh lebih tua dari ibu dan rambutnya sudah mula beruban, tetapi setiap kali kami berada di rumahnya dia kerap menyambut kami dengan senyuman dan sentiasa menyediakan juadah yang enak-enak untuk dimakan. Tidak ada satu batang rotan untuk mendisiplin kami seperti yang dilakukan oleh ibu. Suaminya berusia sama dengan usia ayah, tetapi dia lebih ceria, walaupun dia kini berkerut muka memikirkan masalah aku.

‘Sepatutnya ayah kamu tidak merelakan kamu pergi. Kalaulah kamu anak perempuan Paman,’ katanya, ‘aku tidak kahwinkan kamu kepada lelaki itu.’

Aku merasa selamat berada bersama mereka dan apabila ketakutan itu menghilang, selera aku kembali semula. Aku diberikan susu suam untuk diminum dan beberapa keping chapati untuk dimakan. Rumah kediaman mereka adalah seakan rumah kami besarnya, ada dua kamar di bahagian halaman untuk mereka, untuk lima anak lelaki dan tiga anak perempuan. Anak lelaki yang sudah beristeri tidur di bilik di bahagian dalam rumah, dan aku disuruh tidur di luar rumah bersama paman dan isterinya. ‘Tidur,’ kata makcik secara perlahan. ‘Pada umur kamu, tidur adalah penting....’ Itulah malam pertama di mana aku dapat tidur dengan nyenyaknya sejak berminggu lamanya dan aku tidur selama dua hari suntuk selepas itu.

Apabila ibu tiba, dia keletihan daripada satu perjalanan yang panjang, berjalan kaki sendirian, aku masih tidur lagi. Aku terjaga itupun setelah mendengar namaku dipanggil orang.

‘Putti Lal sudah membuat aduan kepada polis,’ kata ibu. ‘Dia mengadu isterinya telah diculik oleh keluarga kita dan mereka telah datang ke rumah untuk mencarinya!’

Aku mahu pergi menyorok lagi, tetapi ibu kata tidak perlu kerana polis akan datang mencari aku di sini dan paman akan mendapat kesusahan. Tidak ada benda yang perlu ditunggu dan aku perlu pulang ke kampung. Ibu berkata dia tidak akan membiarkan Putti Lal mengambil aku kerana dia juga akan membuat aduan kepada polis.

Kami mengucap selama tinggal kepada ibu dan beredar untuk pulang.

Sebaik tiba di kampung keadaan kecoh berulang semula. Keseluruhan kampung tidak bercakap perkara lain lagi. Bila kami tiba di sebelah petang semua jiran-jiran di kampung berada di luar rumah masing-masing memberikan pendapat. Mereka memberitahu ibu agar melupakan adat resam kami dan menegah ibu supaya tidak menghantar aku semula. Ketika Choti, Bhurri dan adik lelaki aku kesukaan menyambut kepulanganku, dan bergayutan pada badanku, seluruh kampung sedang sibuk cuba menentukan nasibku, seolah-olah aku sudah menjadi kepunyaan mereka.

Ibu menjerit untuk melemahkan suara perbincangan mereka. ‘Sepatutnya dia tidak dihantar ke sana selama lima tahun. Putti Lal sudah bersetuju dengan perjanjian awal dulu. Mayadin yang mendalangi semua ini. Dialah orangnya yang mendesak Putti Lal membawa seorang anak kecil bersama pulang. Kami bukannya puak yang tidak menghormati tradisi.’

Ayah berusaha menegah ibu daripada memberitahu semua orang akan kebenarannya. Dia naik marah kerana tidak tahu langsung akan apa yang disebutnya sebagai penculikan. Dia terlalu risau, kerana dia bukan sahaja tidak bersetuju dengan itu semua, malahan ayah adalah seorang insan yang tidak pernah bersetuju untuk melanggar adat resam kami. Aku tahu ayah kasih kepadaku, tetapi aku merasa jengkel apabila ayah memberitahu orang kampung, dialah yang mengizinkan Putti Lal membawa aku pergi kerana Putti Lal mendesaknya.

Belum pun lama kami berada dalam rumah, Mayadin tiba dengan Putti Lal ditemani oleh beberapa orang lelaki kampungnya. ‘Hantar budak itu dengan mereka sekarang!’ Mayadin memberikan arahannya. Orang lelaki itu menyerbu ruang halaman rumah kami, sambil diikuti oleh penduduk kampung. Antara mereka ialah ahli panches, dan ramai lagi orang kampung yang menunggu di luar rumah.

Putti Lal telah meminta Panchayat bersidang; dia telah meminta agar kami dihalau keluar kampung itu, sambil menuduh keluarga aku menculik isterinya. Dia berkata orang yang dibawanya itu adalah anggota polis, dan dia mengugut mahu mendakwa tuduhan jenayah terhadap ibu dan ayah.

Mayadin telah menangkap rambut ayah dan menolaknya sehingga melutut.

‘Devidin,’ jeritnya. ‘Anak perempuan kamu telah menghitamkan nama baik keluarga kita di hadapan seluruh kampung. Dia seorang yang telah berbuat salah. Hantar dia balik kepada suaminya, sekarang!’

‘Ini adalah undang-undang,’ kata Putti Lal. ‘Phoolan Devi mesti lakukan mengikut arahan suaminya.’

Itu bukan undang-undang, itu cuma undang-undang mereka. Kerana mereka mempunyai banyak rupee, mereka mampu membuat undang-undang sendiri untuk memuaskan hati. Aku berlari ke kandang lembu dan menyorok antara lembu di situ, sambil mengggunakan jerami menutup badanku. Nampaknya keseluruhan warga kampung sudah berkumpul di hadapan laman. Ada yang membawa khat untuk berbaring, sambil berdebat perkara yang betul dan salah mengenai perkara aku itu.

Tiba-tiba satu tangan mencengkam aku di bahagian leher dan mengheret aku kembali ke hadapan laman. Putti Lal sedang memegang aku dalam cengkamannya yang berbulu itu laksana seekor beruang bermain dengan seekor kucing. Di luar rumah itu memang semakin gelap dan banyak bayang yang kelihatan kesan kerlipan lampu minyak yang menyuluhi muka-muka orang kampung yang memandang aku dengan senyap dan sunyi.

Kemudian semua orang mula menjerit dan berdebat semula.

‘Bawalah dia,’ kata ayah kepada Putti Lal. ‘Kuncilah dia sehingga dia mati. Bunuhlah dia kalau itu menjadi hak kamu.’

Ayah sudah mengalah begitu mudah sehinggakan itu sahaja yang dia termampu untuk bermadah. Tetapi ibu tidak mahu mengalah. ‘Dia adalah anak aku,’ katanya. ‘Aku yang lahirkan dia. Sesiapa menzalimi dia menzalimi aku jua.’

Kemudian ibu dan ayah mula bergaduh pula.

‘Aku mahu mati. Semua ini adalah kesilapan kamu Devidin!’ kata ibu.

Lelaki yang datang menemani Putti Lal berkata mereka adalah anggota polis daripada kampung Putti Lal, walaupun mereka berpakaian preman. Mereka mengugut untuk mengambil aku bersama adik aku pula.

Mayadin ketawa, sambil mengurut hujung misainya. ‘Ya, ambil semua bedebah ini! Mereka boleh menjaga rumah kamu.’ Dia mengenyitkan mata kepada Putti Lal.... ‘Bawa ibubapa mereka juga ! Kamu boleh suruh mereka berkerja untuk menuntut ganti rugi!’

Memang ibu tidak tersilap, dan aku sudah melihatnya sekarang. Mayadin sengaja mahukan aku keluar dari kampung itu sejak Panchayat membuat keputusan bahawa kami mempunyai hak kepada ladangnya. Dia menjadi seronok bila mengetahui Putti Lal sedang menzalimi aku.

Ibu berjaya merampas aku dari pegangannya dan memeluk aku di bahagian leher. Dia memelukku begitu erat sekali sehinggakan aku dapat rasakan hampir tercekik dibuatnya. ‘Dia tidak akan pulang kepada lelaki itu.’ jerit ibu. ‘Kalau kematiannya yang kamu mahu, aku akan bunuh dia dengan tangan aku sendiri.’

Ibu memang benar-benar mahu mencekik aku! Tetapi apakah pilihan lain kepada seorang ibu? Apakah yang mampu dilakukan oleh seorang ibu di dalam kampung kami untuk mempertahankan anak perempuannya daripada lelaki semacam itu? Walaupun ibu pernah berkali-kali mendera aku, aku masih yakin ibu akan melindungi aku daripada sebarang bahaya. Tetapi pada waktu itu aku nampak ibu bersendirian. Dia tidak mempunyai kuasa apabila berdepan dengan lelaki yang aku sendiri tidak terdaya memandang mukanya. Aku merayu agar ayah membantu kami. Dia adalah ketua keluarga kami, dia sepatutnya melindungi kami di dunia ini. Yang termampu dibuat oleh ayah ialah meratap berkali-kali apabila ditekan oleh semua pihak. Aku merayu kepada orang kampung yang menjadi saksi, tetapi mereka melihatkan sahaja Putti Lal merampas aku daripada ibu dan melangkahkan kaki meredah perhimpunan mereka.

Dia mahu membawa aku sekali lagi! Dia mengepit aku laksana karung gandum. Aku begitu takutkan dia sehingga aku terkencing di situ.

Ibu melompat dan menarik aku dari cengkaman ya, sambil meludahnya di muka. ‘Kamu tidak boleh ambil dia! Kamu tidak berkahwin dengan anak aku! Aku batalkan perkahwinan itu!...’

‘Kalau begitu pulangkan balik segala emas hantaran yang aku berikan pada dia!’

Dia fikir dia mampu melemahkan semangat ibu dengan beberapa ketul perhiasan perak.

Ibu memimpin aku masuk bilik dan meletakkan aku di situ. Kemudian dia pergi mencari satu dulang besar yang pernah digunakan dulu untuk menabur Putti Lal dengan bunga rampai. Ibu campakkan perhiasan itu di atas dulang dan keluar semula. Di tengah laman itu, ibu mencangkung dan mula memperagakan setiap barang kemas itu di hadapan Puti Lal dan semua warga kampung yang ada.

‘Tengok sini semua yang ada! Kalian menjadi saksinya! Aku mahu pulangkan balik rantai perak ini, dan gelang perak ini, dan gelang kaki serta subang. Aku pulangkan balik kepada dia! Semua ini tidak sampai lima ratus gram perak pun. Aku pulangkan semua ini!.. Aku mahu tuliskan semua ini, supaya semua orang faham bahawa Moola Devidin telah pulangkan segala barang kemas kepunyaan Putti Lal kepadanya. Biarkan dia berikan kepada isteri yang lain!’

Ibu pulangkan setiap jenis perhiasan itu secara satu persatu, menggoyangkannya untuk membolehkan setiap yang ada melihatnya sebelum meletakkanya dalam genggaman berbulu itu. Matanya menyala kerana marah.

Beberapa anggota panches mula berkata secara perlahan, ‘Dia memang betul, dia memang betul!’ kata mereka. "Sepatutnya dia tidak mengambil gadis itu dulu.’

Mayadin mula berpeluh. Dari dalam bilik, aku dapat melihat hidungnya berdengus kerana dia naik marah. Dari cahaya lampu dia kelihatan seperti seekor kerbau yang ganas.

‘Kamu tidak akan dapat mengahwinkan anak-anak perempuan kamu lagi, Devidin,’ ugutnya. ‘Kamu memalukan keluarga! Jeritnya kepada ayah, sambil memutar ekor misainya. Tetapi panches sudahpun bersetuju kerana ibu sudah memulangkan semua perhiasan Putti Lal, aku tidak perlu pulang semula mengikutinya.

Dia hanya mempunyai dua orang penyokong sahaja di majlis kampung itu – Mayadin, dan ketua majlis – Si Sarpanch. Semua orang lain di kampung itu sudah tidak berpihak kepadanya.

Aku berbaring di atas satu khat yang diletakkan di sebelah dinding rumah, ambil menutup telinga agar tidak dapat mendengar hiruk pikuk di luar. Aku menjadi bercelaru. Harapan diselamatkan daripada penderaan mampu bertahan untuk beberapa hari sahaja. Kini aku sudah tidak tahu apa yang akan terjadi seterusnya. Nampaknya semua orang mempunyai hak menentukan nasib aku. Aku kepenatan dan menjadi sedih melihatkan perangai ayah yang begitu berlembut dan inilah yang membuat aku mula sedar, betapa pun kuatnya aku nanti, kuasa orang lelaki adalah sesuatu yang tidak mampu aku kalahkan. Apabila ketakutan itu terus membengkak, aku mula sedar semua itu bukan satu mainan lagi, seperti bergantung pada hidung kerbau Mayadin ataupun mencuri kekacang dal miliknya. Ia sudah menjadi satu peperangan yang baru bermula, dan aku sedar bahawa perkara itu akan berlaku setiap hari, dahsyat dan menakutkan. Malahan kemarahan ibu telah membantu kami memenangi satu pusingan peperangan itu. Aku akan menjadi seorang gadis tanpa suami di sebuah kampung seperti banyak kampung lagi di mana gadis seperti itu hanya layak untuk dianiayai.

Aku terus mendengarkan cakap-cakap di luar itu sehingga terlena. Sedangkan mereka masih berdebat memikirkan keputusan terbaik untuk aku.

Mereka muncul semula keesokan harinya. Aku menyorok dalam dapur, tetapi dapat melihat Putti Lal sedang bercekak pinggang dan matanya yang membesar kerana kehampaan. Dia menuntut agar ibu dan ayah memulangkan isterinya semula. Kali ini ada empat orang polis bersamanya, beruniform dan membawa senapang. Orang lelaki yang bersama beliau pada malam sebelumnya tidak ada bersama mereka. Dia berkata dia telah pergi ke Sikandara membawa anggota polis itu. Salah seorang mereka memakai lencana berbentuk bintang di bahunya.

Pegawai yang memakai lencana bintang mengetuk ayah dengan ‘lathi’nya.

‘Berani sungguh kamu menculik anak perempuan sendiri,’ jeritnya pada ayah.

Seorang polis lagi menangkap ibu dengan menarik rambutnya dan menolaknya ke dalam rumah, mengarahkan ibu memanggil anak perempuannya.

Ibu memanggil aku keluar dari persembunyian, dan memegang bahu aku, dan berdiri di hadapan pegawai polis itu semuanya.

‘Ini dia,’ kata ibu. ‘Inilah anak perempuan saya, Phoolan Devi.’

Pegawai polis itu menjadi bercelaru. Mereka melihat ibu semacam tidak percaya, dan kemudiannya berpaling kepada Putti Lal.

‘Inikah isteri kamu? tanya seorang antara mereka.

Putti Lal menjadi kaget. Dia berpeluh, seolah-olah dia menunggu untuk mencengkam tangannya yang kotor itu kepada badanku.

‘Diakan masih budak lagi,’ kata pegawai polis yang berbintang itu.

Ibu mula segar semula dan membetulkan sarinya sebaik mendengar pendapat itu. Dia mula menuduh Putti Lal.

‘Dia telah menzalimi anak saya! Dia telah menggunakan tipu-muslihat untuk memperolehi seorang anak kecil yang tidak berdosa. Sekarang dia tidak mengahwini lelaki ini lagi! Dia telah melanggar kontrak dengan membawa anak ini pada hari ‘gauna’. Biarkan dia cari betina lain untuk dijadikan bini.’

Anggota polis itu berpusing membiarkan Putti Lal di situ. Mereka memberi amaran kepadanya; ‘Kamu bawa kami begitu jauh sampai sini untuk mendapatkan seorang budak kecil! Tengok dia dulu. Berapa umurnya? Sepuluh, sebelas mungkin..... ini adalah bersalahan dengan undang-undang untuk memperisterikan seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun. Kalau kamu datang lagi dengan aduan lain, kamu yang akan kami sumbat dalam penjara!’

Mendengarkan perkara itu, aku mula bernafas kembali. Penderitaanku sudah sampai garis penamatnya.

Polis menyuroh Putti Lal keluar dari rumah kami bersama mereka, dan ibu telah mengunci pintu itu. Dia tiba semula selepas itu dan menjerit agar kami keluar dari rumah, tetapi ibu mengarahkan kami supaya tidak menjawabnya. Sepanjang hari itu dia menghentak pintu. Sekejap dia pergi dan sekejap lagi dia kembali dan menghentak pintu kami lagi. Tetapi apabila mentari mula menurun dia beralah dan terus berlalu.

Keadaan di luar senyap dan sunyi.

Aku terlena lagi, dan selama dua tahun, kami tinggal dengan aman. Tetapi itu hanya satu keamanan yang rapuh, dan aku memang betul ketika tidak percayakan perkara itu akan berkekalan sifatnya.

Bersambung bab 10.

Terjemahan oleh SPAR 10

Phoolandevi88@hotmail.coM

Hits: