Isu Perlantikan Agung ke 9

Terlebih dahulu penulis ingin mengucapkan takziah kepada Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah di atas kemangkatan Yang di Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Baginda dan ditempatkan di sisi mereka-mereka yang beriman.

 
Penulis tidak berhajat untuk menambah duka dan kesedihan akan baginda Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah dengan membangkitkan isu di atas. Tujuan penulis hanya sekadar ingin berkongsi pendapat dengan pihak-pihak yang mungkin lebih arif dari penulis tentang isu perlantikan Agong ini.
 
Pada malam kembalinya Baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kerahmatullah, telah tersiar di dalam sebuah media perdana ulasan 2 orang pensyarah berhubung isu di atas. Seorang yang berpangkat Dato' menjelaskan, kebiasaannya perlantikan dibuat mengikut giliran manakala seorang pensyarah lagi telah mengulas, perlantikan hanya boleh diputuskan selepas undian dibuat kepada mana-mana Sultan yang berhasrat untuk menyandang jawatan tersebut ataupun memilih kalangan Sultan yang lebih tua. Namun begitu, menurut beliau kebiasaannya perlantikan dibuat berdasarkan kepada giliran dan keputusan siapa yang bakal dilantik untuk memikul tanggungjawab sebagai Agong seterusnya bakal diputuskan oleh Majlis Raja-raja yang akan bersidang dalam masa 40 hari.
 
Persoalannya sekarang, kenapa ianya mengambil masa yang agak lama iaitu 40 hari barulah dapat diputuskan sultan mana yang patut memikul tanggungjawab sebagai Agong dan kenapa isu perlantikan Agong ini perlu diperbesar-besarkan oleh media perdana kepada rakyat jelata? Umum sudah mengetahui, bahawa Sultan Mirzan iaitu Sultan Terengganu yang baru dilantik kini sedang memikul tanggungjawab tersebut. Secara logiknya, jika diikut dengan sistem penggiliran yang diamalkan selama ini, beliaulah sepatutnya yang ditabalkan sebagai Agong yang baru dan tidak perlu menunggu sehingga 40 hari untuk diadakan putuskan. Juga, secara automatisnya perlantikan yang berdasarkan faktor usia gugur sama sekali.
 
Pada pandangan penulis, terdapat unsur-unsur politik kenapa isu ini hebat diperkatakan. Seperti yang kita sedia maklumi, Terengganu kini telah diperintah oleh parti pembangkang iaitu PAS dan Sultan Mirzan dikatakan cukup memahami segala masalah atau kemelut yang melanda era politik negara sekarang. Jika diamati dengan betul, perlantikan Peguam Negara yang baru juga turut mempunyai kaitan yang tersendiri dalam isu ini. Andaikata, Sultan Mirzan dilantik sebagai Agong yang baru, sudah barang tentu BA akan mengusulkan memorandum bagi mengulang bicara semula Dato' Seri Anwar Ibrahim serta membebaskan semua tahanan-tahanan ISA. Terpulanglah kepada pembaca untuk menilai fakta-fakta yang ditulis di atas kerana sebagai ahli politik, saudara pembaca sudah tentu bijak dalam memahami percaturan politik di pihak lawan.
 
Cucu Reformasi  

Nota webmaster: Kita tidak berharap perlantikan YDP Agung yang baru tidak akan dipolitikkan oleh mana-mana pihak, mahu pun oleh institusi beraja. YDP Agung adalah tonggak dan lambang pemerintahan orang Melayu di negara ini. Jika jawatan ini pun mahu dipolitikkan sebagaimana yang terjadi ke atas jawatan parti-parti politik UMNO, maka akan hancur leburlah kegemilangan pemerintahan umat Melayu di negara ini oleh nafsu rakus seorang dua pemimpin yang gila berpolitik!! ~ webmaster

Hits: