Parlimen patut mengarahkan Gani Patail untuk memberikan penjelasan, bukan sahaja berhubung dua episod peribadi tetapi juga sama ada beliau komited kepada suatu era baru keyakinan awam di dalam sistem keadilan ataupun suatu kemerosotan kepada zaman kehakiman dan perundangan gelap yang baru sahaja berlalu

________________________________________________________

Kenyataan Media oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang
________________________________________________________

Petaling Jaya, 20 Nov – Kenaikan pangkat Datuk Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara adalah perlantikan paling menimbulkan kontroversi bagi jawatan pegawai perundangan tertinggi negara di dalam sejarah 44 tahun tanahair.

Hal ini telah menyebabkan kekecewaan di seluruh negara, bukan sahaja di dalam lingkungan ahli perundangan dan masyarakat madani tetapi juga di kalangan orang ramai umumnya tentang sama ada Malaysia dapat maju ke depan ke dalam suatu era baru keyakinan awam dalam kedaulatan undang-undang yang adil dan badan kehakiman yang benar-benar bebas ataupun akan merosot ke zaman gelap sistem dan perjuangan keadilan sepertimana yang berlaku baru-baru ini.

Sepanjang 11 bulan lalu, rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi terhadap suatu permulaan baru ke arah era baru pentadbiran undang-undang dan sistem keadilan. Akan tetapi, perlantikan Gani tampaknya mengembalikan masa lampau ke keadaan semasa.

Apabila Tan Sri Mohamed Dzaiddin Abdullah memulakan tugasnya sebagai Ketua Hakim Negara baru bagi Mahkamah Persekutuan Disember lalu, beliau memikat hati dan menaikkan harapan rakyat Malaysia dengan pengakuan beraninya bahawa keutamaan pertamanya adalah untuk memulihkan keyakinan awam dan antarabangsa di dalam badan kehakiman.

Kebimbangan yang kian meningkat kebelakangan ini mengenai kerapuhan pembaharuan kehakiman dan perundangan yang diperlukan untuk memulihkan keyakinan nasional dan antarabangsa di dalam sistem dan perjuangan keadilan, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman serta badan peguam yang bebas, telah mencapai suatu kemuncak dengan perlantikan Gani sebagai Peguam Negara yang baru.

Ini adalah kerana Gani telah dikaitkan sepenuhnya dengan zaman gelap sistem dan perjuangan keadilan di Malaysia, yang mana semua rakyat Malaysia, termasuk Ketua Hakim Negara sekarang dan badan kehakiman, ingin lupakan sepenuhnya dan tidak dihidupkan kembali untuk menghantui landskap nasional.

Kewajaran dan kebijaksanaan perlantikan Gani sebagai Peguam Negara amat dipersoalkan bukan kerana beliau tidak berbakat tetapi kerana peranannya dalam mengurangkan sistem dan perjuangan keadilan Malaysia menjadi suatu skandal negara dan antarabangsa sehingga Disember tahun lepas, menjadi tumpuan kritikan buruk tidak henti-henti masyarakat perundangan dan kehakiman antarabangsa, yang selanjutnya mengakibatkan laporan bersifat mengecam, iaitu “Justice in Jeopardy: Malaysia 2000” – suatu laporan bersama oleh empat pertubuhan perundangan dan kehakiman yang bereputasi pada bulan April 2000.

Di dalam bahagian “Conclusions and Summary of Recommendations”, laporan “Justice in Jeopardy: Malaysia 2000” menyatakan:

“Overall, however, our clear impression is that there are well-founded grounds for concern as to the proper administration of justice in Malaysia in cases which are of particular interest, for whatever reason, to the government. Plainly, this is only a small proportion of the total number of cases which arise, but they are of vital importance to the well-being of the entire system of justice in Malaysia. The central problem appears to lie in the actions of the various branches of an extremely powerful executive, which has not acted with due regard for the other essential elements of a free and democratic society based on the just rule of law.  Such due regard requires both a clear grasp of the concept of the separation of powers and also an element of restraint by all branches of the executive.  These have not always been evident.  There must be a truly independent judiciary, fully prepared at all times to do justice for all, whether strong or weak, rich or poor, high or low, politically compliant or outspoken.  There must be an autonomous bar which is allowed to render its services freely so as to enable it to fulfil the purposes set out in its governing statute.  Repression of fundamental liberties should be maintained only if and to the extent that is absolutely necessary.  There is real cause for concern in all of these areas.”
Adakah Gani sebagai Peguam Negara baru bersedia menggunapakai kenyataan ini sebagai cogan kata beliau untuk memulihkan keyakinan awam di dalam kedaulatan undang-undang yang adil dan suatu badan kehakiman yang benar-benar bebas ataupun adakah rakyat Malaysia perlu kembali kepada ketika tidak berapa lama dahulu di mana, seperti yang dinyatakan dengan jelas dan ringkas oleh laporan berkenaan, “There is real cause for concern in all of these areas”?

Kewajaran dan kebijaksanaan perlantikan Gani sebagai Peguam Negara bukan sahaja disebabkan peranannya sebagai ketua bahagian pendakwaan di Pejabat Peguam Negara dalam tahun-tahun yang menyebabkan sistem keadilan Malaysia terjunam ke dalam lembah keaiban dalam kaca mata antarabangsa, seperti pendakwaan Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim, Karpal Singh dan Irene Fernandez tetapi juga kerana beliau masih perlu membersihkan diri daripada beberapa kecaman serius oleh Mahkamah Persekutuan mengenai kelakuan peribadinya dalam kes menghina mahkamah Zainur Zakaria di samping laporan polis tentang korupsi yang dibuat oleh Anwar Ibrahim terhadap beliau.

Pada 30 November 1998, Hakim S. Augustine Paul menyabitkan peguam Anwar Ibrahim, iaitu Zainur Zakaria, bersalah kerana menghina mahkamah dan menjatuhi beliau hukuman penjara tiga bulan selepas memutuskan bahawa permohonan Anwar untuk menjadikan tidak layak dua pendakwaraya berpengalaman, Gani Patail dan Azahar bin Mohamed di dalam perbicaraan korupsi itu adalah tidak berasas.

Permohonan tersebut adalah berdasarkan suatu akuan berkanun yang dibuat oleh peguam Manjeet Singh Dhillon bertarikh 9 November 1998 dan sepucuk surat yang beliau tulis kepada Peguam Negara bertarikh 12 Oktober 1998 menuduh Gani dan Azahar mengugut anak guam beliau, Datuk S. Nallakaruppan, dan menyuruhnya memalsukan bukti terhadap Anwar.

Pada 27 Jun 2001, Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Steve Shim, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Haidar Mohd Noor, membebaskan Zainur daripada sabitan menghina mahkamah.

Di dalam penghakimannya, Shim berkata bahawa Gani sepatutnya memberikan penjelasan peribadinya mengenai dakwaan bahawa beliau telah mengugut Nallakaruppan supaya memalsukan bukti terhadap Anwar.

Berhubung kes satu lagi, Anwar membuat suatu laporan polis pada Julai 1999 terhadap Gani dan beberapa orang lain, mendakwa berlakunya gangguan keadilan dalam melindungi Menteri Perusahaan dan Perdagangan Antarabangsa daripada didakwa di mahkamah di atas lima tuduhan korupsi.

Anwar merujuk kepada suatu dokumen Bahagian Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara, bertarikh 14 Mac 1995, ditandatangani Gani, yang diserahkan kepada Anwar ketika beliau masih Timbalan Perdana Menteri oleh Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah menjelang penghujung tahun 1995. Dokumen itu, yang mana kebenarannya tidak pernah dinafikan walaupun semasa saya bangkitkannya di Parlimen pada bulan Julai 1999, dengan jelas menyatakan bahawa terdapatnya asas prima facie untuk mendakwa Datuk Paduka Rafidah Aziz, iaitu Menteri Perusahaan dan Perdagangan Antarabangsa, di atas lima tuduhan korupsi di bawah seksyen 2(2) Ordinan 22, 1970. Anwar berkata dalam laporan polis tersebut bahawa Peguam Negara berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah dan bersedia mendakwa Rafidah berhubung tindakan meluluskan syer bumiputera istimewa kepada anak iparnya.

Demi kepentingan akauntabiliti, ketelusan dan integriti awam, khasnya bagi jawatan pegawai perundangan tertinggi negara, Gani harus memberikan penjelasan penuh dan memuaskan mengenai dua episod ini sebelum menerima jawatan Peguam Negara, yang memberikan kuasa yang sangat besar, iaitu kuasa budi bicara pendakwaan tunggal dan penuh untuk “membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa perbicaraan mengenai sesuatu kesalahan” di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Parlimen patut melaksanakan tugasnya untuk mengarahkan Gani menghadirkan diri untuk memberikan penjelasan penuh bukan sahaja mengenai dua episod ini, iaitu tuduhan serius mengugut Nallakaruppan supaya memalsukan bukti terhadap Anwar Ibrahim dan campur tangan dalam menghalang proses keadilan dengan tidak mendakwa Rafidah Aziz, tetapi juga berhubung pendekatan polisi beliau tentang sama ada sebagai Peguam Negara, beliau adalah komited kepada suatu era baru keyakinan awam di dalam sistem keadilan dan perjuangan keadilan di Malaysia ataupun suatu kemerosotan kepada zaman kehakiman dan perundangan gelap yang baru sahaja berlalu.

Hits: