UMNO tidak mampu berdepan dengan PAS

PARIT BUNTAR, 23 Nov - Naib Presiden PAS, YB. Dato Dr. Hasan Ali menyatakan UMNO sebenarnya tidak mampu lagi berdepan dengan PAS. Kegagalan Dr. Khir Toyo menjawab tuduhan-tuduhan rasuah yang melibatkan dirinya yang ditimbulkan di DUN Selangor menggambarkan UMNO semakin parah dan langsung tidak ada kredibiliti.

Menteri Besar Selangor itu telah dituduh melakukan rasuah dan penyelewengan yang melibatkan projek pembangunan dan pemberian tanah secara yang meragukan yang dianggarkan melebihi setengah billion ringgit.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang baru lalu, Dr. Hasan yang juga ketua pembangkang di DUN Selangor telah mengemukakan 15 soalan berkaitan isu rasuah tersebut tetapi tidak satu pun dapat dijawab oleh Dr. Khir Toyo. Ini jelas menunjukkan yang UMNO sememangnya bergelumang dengan rasuah dan tidak layak untuk mentadbir.

PAS dan BA pula sebaliknya sudah bersedia pada bila-bila masa untuk mengambil alih pentadbiran negeri Selangor. PAS Selangor telah memulakan gerak kerja secara tersusun untuk menawan Selangor melalui projek Pelan Induk Tawan Selangor (PINTAS).

Dr. Hasan Ali menyatakan demikian pada perjumpaan tertutup dengan ahli dan penyokong PAS dalam satu majlis taklimat di Markas UPU Tanjong Piandang di sini hari ini.

Berkenaan tuduhan meneroka tanah Jabatan Hutan tanpa permit, Dr. Hasan menafikan sekeras-kerasnya dan menyifatkan tuduhan tersebut adalah fitnah semata-mata. Perkara tersebut berlaku pada tahun 1993 dan semuanya adalah mengikut kaedah biasa. Isu tersebut ditimbulkan hanyalah bertujuan untuk mengalihkan pandangan umum dari kes rasuah Dr. Khir Toyo yang pihak tidak mampu dijawab oleh UMNO.

Untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya, beliau mengingatkan semua ahli dan penyokong PAS agar membeli Harakah keluaran akan datang yang akan memuatkan penerangan terperinci beliau berkenaan isu tersebut dan juga isu-isu terutama isu rasuah Menteri Besar Selangor yang sedang hangat diperkatakan.

Menyentuh mengenai pilihan raya yang akan datang, beliau mencadangkan agar semua ahli dan penyokong PAS supaya menganggap pilihan raya itu sebagai yang terakhir. Oleh itu sewajarnyalah dalam menghadapi pilihan raya yang terakhir, kita akan berkerja dengan bersungguh-sungguh untuk memberikan keputusan yang terbaik.

Beliau mencadangkan demikian berdasarkan saranan Saidina Ali, Khalifah Islam yang keempat, yang menggesa supaya setiap ibadah dikerjakan seolah-olah itulah yang terakhir kerana kita tidak tahu bila ajal kita.

Untuk itu beliau menggesa agar gerak kerja pilihan raya ditingkatkan lagi terutama dalam mencari dana pilihan raya. Beliau mencadangkan agar setiap cawangan mempunyai dana sekurang-kurangnya RM5000.00 sebelum tahun 2003. Ini adalah kerana ramai kalangan penganalisis politik meramalkan pilihan raya ke 11 akan diadakan pada tahun 2003.

Pada petang sebelumnya, Dr. Hasan telah melapangkan masa mengunjungi pasar Ramadhan untuk beramah-mesra dengan orang ramai dan para peniaga. Beliau juga telah bersama-sama berbuka puasa dan bertarawikh di masjid Bagan Tiang.

Sumber: Buletin Purnama PAS Parit Buntar

Hits: