PERDANA MENTERI BALAS BUDI DATO’ GANI PATAIL

Kenyataan Media

Akhirnya, Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed membuktikan penghargaanya kepada yang setia dengan melantik Dato’ Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara. Perlantikan ini dibuat berdasarkan kuasa yang ada pada Perdana Menteri mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan.

Perlantikan Abdul Gani Patail dibuat semasa suasana ekonomi dan politik negara yang banyak memberi kelebihan kepada kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan yakin dengan langkah-langkah pengstrukturan korporat yang mengenepikan kroni lama. Peristiwa serangan Pusat Dagangan Dunia di New York pula seolah-olah mengiakan langkah penahanan di bawah ISA. Perdana Menteri sendiri cukup selesa dengan kedudukannya. Dia berharap perlantikan tersebut tidak akan dijadikan isu.

Budi Abdul Gani Patail kepada Perdana Menteri bukan sedikit. Dia sendiri mengambil risiko yang memungkinkan dia didakwa. Kredibilitinya tercemar dan dia menjadi cemuhan. Ini semua dilakukan untuk Perdana Menteri.

Pada 12hb. Jun 2000, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Ariffin Jaka, Peguam Manjeet Singh Dhillon menceritakan tentang perjumpaannya dengan Abdul Gani Patail di Jabatan Peguam Negara. Abdul Gani telah memberitahu Manjeet tentang usaha untuk mendapatkan bukti mensabitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan beberapa orang wanita. Abdul Gani mendakwa dia melakukan ini bagi pihak Perdana Menteri.

Malaysia, bakal mempunyai seorang Peguam Negara yang sanggup buat apa sahaja, samada merekacipta bukti atau membuat dakwaan berpilih ke atas mana-mana rakyat yang tidak disenangi. Perlantikan Gani Patail juga memusnahkan harapan rakyat yang mahu melihat pemulihan imej badan perundangan.

Perlantikan Gani Patail dan perletakan jawatan Datuk Seri Ainum Saaid seperti ada kaitan dengan kes rayuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan rasuah dan liwat. Adakah tindakan Ainum Saaid yang tidak disenangi? Apakah pula peranan Gani Patail selepas ini? Walau apa pun, kes Dato’ Seri Anwar mahu diselesaikan di dalam tempoh Gani Patail menjadi Peguam Negara dan Tan Sri Mokhtar Abdullah menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan. Mereka yang sama-sama memulakan kes ini akan memastikan ianya berakhir mengikut skrip.

 

Abdul Rahman Othman
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Nasional

21hb. November 2001