Satu Langkah Ke belakang Buat Badan Kehakiman

(Dari Laman FAC)

Oleh Raja Aziz Addruse

Apabila ditanya pandangannya bagaimana sistem kehakiman telah berfungsi semenjak beliau menjadi Ketua Hakim Negara Malaysia akhir tahun lalu, Mohamed Dzaiddin Abdullah menjawab bahawa perkara tersebut bukanlah untuk dirinya memperjelaskan tetapi untuk rakyat yang menilainya. Kepada para peguam, yang paling sesuai sekali untuk menilainya, jawapannya adalah ringkas. Di dalam tempoh masa yang singkat, keyakinan terhadap sistem kehakiman mula dipupuk kembali.

Para hakim, yang sebelum ini diketepikan oleh bekas Ketua Hakim Negara (Eusoff Chin), kini bebas menjalankan tanggung jawab mereka sebagai hakim. Peruntukan kes-kes terpilih untuk didengar oleh hakim-hakim tertentu telah dihentikan. Hakim-hakim kini kelihatan berkerja bersama-sama sebagai sebahagian dari pasukan yang dipanggil badan kehakiman. Jarang sekali pada masa ini seseorang akan mendengar atau membaca tentang hakim yang tidak dapat menahan kemarahannya di dalam mahkamah di atas alasan-alasan yang dibuat-buat. Kecuali kepada segelintir yang nampaknya merasa perlu untuk mengingatkan mereka yang diadili bahawa mereka adalah hakim yang mudah tersinggung dengan isu-isu yang tidak penting dan mengaitkan semua orang dengan kesalahan menghina mahkamah walaupun dengan alasan yang lemah.

Apa yang telah membawa kepada perubahan yang ketara ini? Sepertimana yang dikatakan oleh Dzaiddin sendiri selepas perlantikannya, ia adalah bergantung kepada kepimpinan. Tidak seperti penjawat sebelumnya, Dzaiddin membiarkan setiap tangga di dalam hieraki badan kehakiman untuk berfungsi dengan bebas di antara satu sama lain dengan ketua setiap bahagian bertanggung jawab terhadap hakim-hakim di bawahnya, manakala Dzaiddin bertanggungjawab secara keseluruhannya.

Seruannya terhadap hakim-hakimnya adalah supaya bertindak bebas dan membuat keputusan mengikut bukti dan fakta. Beliau tidak akan mengarah atau meminta hakimnya untuk membuat keputusan di dalam arah yang tertentu, sepertimana yang telah dibuat oleh penjawat sebelumnya mengikut pendedahan oleh Hakim Mohamad Kamil Awang di dalam penghakimannya yang terbaru bagi satu kes petisyen pilihan raya.

Dengan suasana yang dibawa oleh Dzaiddin, hakim-hakim dilihat dapat menjalankan fungsi mereka dengan lebih meyakinkan. Keputusan –keputusan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Zainur (Zakaria), Mahkamah Tinggi di Shah Alam di dalam kes habeas corpus (ISA) dan Hakim Mohamad Kamil di dalam kes petisyen pilihan raya (Likas) adalah kes-kes yang dimaksudkan. Setiap satu disokong olah fakta dan undang-undang kes itu. Kemudian terdapat keputusan-keputusan oleh Mahkamah Rayuan yang telah memberikan tuntutan ganti rugi pada kadar yang munasabah di dalam kes-kes saman malu.

Badan Kehakiman di bawah pengawasan yang rapi :

Perkembangan ini telah dialu-alukan oleh Majlis Peguam. Badan Kehakiman kelihatan sedang menuju ke arah pemulihan sepenuhnya. Namun persoalan yang masih berlegar-legar di fikiran setiap peguam adalah sama ada perubahan yang baik ini akan dibenarkan untuk diteruskan. Satu indikasi bahawa badan kehakiman sedang diletakkan di bawah pengawasan yang rapi oleh badan eksekutif apabila menteri-menteri kanan kerajaan secara terbuka mengkritik hakim Mohamad Kamil kerana mendedahkan di dalam penghakimannya seperti yang dirujuk di atas bahawa orang atasannya telah mengarahkannya melalui talipon supaya mengenepikan petisyen pilihanraya yang sedang diadilinya.

Pada mulanya, pendirian kerajaan terhadap apa yang dikatakan campurtangan dengan hakim yang menggunakan haknya mengikut budibicara kehakiman itu adalah membimbangkan disebabkan akibat buruk yang mungkin ditimbulkan ke atas kebebasan badan kehakiman. Menteri yang bertanggung jawab terhadap undang-undang di jabatan Perdana Menteri, Dr. Rais Yatim, merasakan bahawa pendedahan tersebut, yang telah disebut oleh hakim itu di dalam penghakimannya, mesti dimbil serius oleh semua pihak, dan beliau sendiri akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan bahawa pendedahan itu disiasat. Meluahkan harapan agar insiden seperti itu tidak akan berlaku lagi, beliau berkata : “Negara ini dikenali kerana badan kehakimannya yang bebas dan kita mesti memastikan bahawa tiada sesiapapun boleh mencabuli sistem kehakiman kita.”

Selepas penjawat sebelum Dzaiddin itu mengaku sendiri bahawa beliaulah yang menalipon hakim tersebut, tetapi menafikan yang beliau membuat arahan sedemikian, pegangan kerajaan ke atas isu tersebut kelihatan berubah. Perdana Menteri menuding jari ke arah hakim mengatakan bahawa beliau telah, dengan membuat pendedahan itu, “mencemarkan” imej mahkamah dengan menyeretnya ke dalam kontroversi umum dan “kini beliau mempunyai masalah untuk mempercayai mahkamah”. Penekanan yang tertentu telah diberikan oleh Perdana Menteri terhadap kenyataan yang telah dibuat oleh hakim tersebut di dalam penghakiman yang membayangkan kekecewaannya terhadap seseorang yang melibatkan anaknya.

Timbalan Perdana Menteri juga kelihatan tidak gembira dengan langkah yang dibuat oleh para hakim di dalam membaiki imej badan kehakiman. Nasihatnya adalah bahawa ahli-ahli badan kehakiman tidak sekali-kali dihalang untuk membaiki imej mereka, tetapi mereka tidak sepatutnya pergi menjangkaui tanggung jawab mereka untuk membuktikannya kepada kerajaan dan rakyat. Apa yang dimaksudkan dengan itu tidaklah jelas.

Apa yang jelas bahawa senario seperti itu yang berlaku sebelum peristiwa tahun 1988 apabila Perdana Menteri berkata bahawa adalah terpulang kepada ketua badan kehakiman (pada masa itu adalah Tun Mohd. Salleh Abas) untuk menegur hakim-hakim (di dalam kes itu untuk mengumumkan secara terbuka pandangan politik mereka), Rais Yatim telah mengumumkan secara terbuka bahawa kerajaan besedia untuk memberikan kuasa yang lebih kepada Dzaiddin untuk mendisiplinkan para hakim berikutan ‘seloroh kehakiman’ terbaru yang dibuat oleh hakim apabila mereka memberikan keputusan mereka. Ternyata, Ketua Hakim Negaralah yang ‘berkuasa untuk menjaga disiplin. Disiplin tidak boleh dibentuk dari luar’.

Hala tuju masa depan yang tidak menentu :

Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan ini oleh menteri-menteri kerajaan, hala tuju masa depan badan kehakiman sekali lagi tidak dapat dipastikan. Sama ada badan kehakiman dapat terus meniti jalan ke arah pemulihan sepenuhnya akan bergantung kepada siapa yang akan dilantik bagi memenuhi kekosongan jawatan kehakiman kanan berikutan persaraan hakim Lamin Mohd. Yunus, bekas Presiden Mahkamah Rayuan pada bulan Mac tahun ini.

Pilihan yang logik bagi jawatan di Mahkamah Rayuan itu adalah Wan Adnan Ismail, Ketua Hakim Malaya. Itu disokong oleh kekananan dan merit (kelebihan). Sekiranya itu berlaku, persoalan yang menarik minat adalah siapa yang akan mengambil alih jawatan Ketua Hakim Malaya darinya? Jika imej badan kehakiman mahu terus diperbaiki, bakal pengganti mestilah terdiri dari seseorang yang secara amnya memenuhi keriteria yang diperlukan bagi perlantikan hakim. Ini memerlukan seseorang yang paling kanan sebagai pilihan utama kecuali ada orang lain yang lebih sesuai berdasarkan alasan berikut :

- berdasarkan kelebihan yang dimiliki (merit) - keupayaan perundangan (berdasarkan kelayakan profesional, pengalaman, pengetahuan) - karektor (merujuk kepada kejujuran, integriti, keterbukaan fikiran, ketekunan, penggunaan akal, pembawaan sikap). - Kemahiran (di dalam komunikasi, bahasa, penganalisaaan, kecerdasan fikiran, daya kepimpinan, keupayaan untuk menerima kritikan) - Kesedaran tentang apa yang diperlukan oleh seorang hakim (maksudnya ia mesti bebas dari politik, pendekatan secara sekular, tidak takut dan tidak dipengaruhi oleh kesukaran peribadi atau pendangan dan bebas)

Berdasarkan kepada kriteri-keriteria ini, tidak ada pertikaian tentang calon yang paling sesuai. Pilihan yang paling ketara adalah hakim Malik Ahmad. Beliau merupakan hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan selepas hakim Wan Adnan, dan meritnya sebagai seorang hakim tidak perlu dipersoalkan lagi. Namun apabila perlantikan tersebut diumumkan pada 6 September, hakim Ahmad Fairuz pula yang dinamakan sebagai Ketua Hakim Malaya yang baru, menggantikan hakim Wan Adnan yang menjadi Presiden Mahkamah Rayuan yang baru.

Ramai yang boleh mengingati penglibatan hakim Ahmad Fairuz di dalam keputusan Mahkamah Rayuan bagi kes-kes menghina mahkamah Murray Hiebert dan Zainur Zakaria, di mana keputusan kes yang terakhir itu (Zainur Zakaria) telah diketepikan sepenuhnya baru-baru ini oleh Mahkamah Persekutuan. Hakim Fairuz juga mempengerusikan korum yang mendengar dan menolak rayuan Majlis Peguam Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk menghalang Mesyuarat Agong Luar Biasa Majlis Peguam dari diadakan (bersidang bagi membincangkan pengataan salahlaku terhadap Ketua Hakim Negara dan hakim yang mengadili di Mahkamah Rayuan pada masa itu). Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Majlis Peguam Malaysia berdasarkan, di antaranya, fakta bahawa Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang perbincangan tentang cara pengendalian hakim-hakim kecuali di Parlimen.

Sementara kes-kes ini diputuskan berdasarkan fakta-fakta yang khusus kepada mereka, prinsip-prinsip yang terlibat adalah sejagat, terutamanya yang berkaitan dengan kebebasan pada asasnya. Pemilihan hakim Ahmad Fairuz berbanding hakim Abdul Malik sekalipun terdapat implikasi dari keputusan-keputusan tersebut adalah membimbangkan.

Ramai yang juga akan mengingati kontroversi hangat keputusan hakim Ahmad Fairuz di dalam kes petisyen pilihan raya yang dibawa terhadap Wee Choo Keong dalam tahun 1995, di mana, selepas memutuskan Wee (yang merupakan ahli DAP) sebagai tidak layak untuk bertanding sebagai calon di dalam pilihan raya parlimen, telah mengembalikan calon yang kalah sebagai ahli parlimen tanpa perlu melalui proses pilihan raya kecil.

Sejarah Berulang Kembali :

Dengan perlantikan Ketua Hakim Malaya yang baru, kebimbangan yang dirasai oleh ramai dari ahli Majlis Peguam bahawa pemulihan badan kehakiman itu hanya seketika nampaknya ada kebenarannya. Apabila perlantikan-perlantikan dan kenaikan-kenaikan pangkat dibuat tanpa mengambil kira kriteria yang diterima, bukan keyakinan awam terhadap badan kehakiman sahaja yang terhakis. Hakim-hakim yang baik juga tidak akan merasa bangga menjadi sebahagian dari sistem kehakiman di mana kekananan mahupun kelebihan yang dimiliki seseorang tidak pun diiktiraf.

Kelihatan seolah-olah keputusan-keputusan mahkamah yang amat dialu-alukan sejak Dzaiddin menjadi Ketua Hakim Negara telah membunyikan loceng amaran bahawa badan kehakiman telah menjadi terlalu bebas. Kita mungkin berada di dalam proses untuk melihat sejarah berulang kembali. Negara akan kerugian sekali lagi seandainya ia berlaku. Amat sayang sekali. Daripada maju ke hadapan, kita kini mengorak satu langkah ke belakang.

Dengan Dzaiddin yang kini telah ‘memusatkan’ badan kehakiman, tanggung jawab terhadap prestasi Mahkamah Tinggi Malaya akan jatuh tepat di atas bahu hakim Ahmad Fairuz. Sebagaimana Dzaiddin yang telah tertakluk kepada pengawasan yang rapi oleh Majlis Peguam semenjak perlantikannya sebagai Ketua Hakim Negara, hakim Ahmad Fairuz juga tidak akan ketinggalan. Setelah menyaksikan pemulihan terkini di dalam prestasi Mahkamah Tinggi Malaya, sebarang perubahan yang menandakan bahawa badan kehakiman sedang menuju kembali ke zaman sebelum Dzaiddin akan dapat segera dilihat.

____________________________________________________________________ 

RAJA AZIZ ADDRUSE, seorang peguam hak-hak asasi dan perlembagaan, merupakan bekas pengerusi Majlis Peguam. Beliau juga adalah salah seorang penasihat perundangan kepada Majlis Raja-Raja. Artikel di atas muncul pertama kali di dalam Insaf yang diterbitkan oleh Majlis Peguam. 

Terjemahan : SPAR

Hits: