Kemangkatan Agong, Kemelut Politik Malaysia dan Pencabulan Afghanistan

Maka mangkatlah sudah Yang Di Pertuan Agong bagi Malaysia Darul Muslimin yang diriwayatkan pernah berpesan agar orang ramai menyokong UMNO. Almarhum berusia setahun lebih muda dari memanda Mamak Perdana menteri yang kini begitu bangga dengan popularitinya yang kononnya meningkat sejenak lantaran peristiwa 11 September di New York. Ada pun, di kaca TV semasa dipersaksikan kepada rakyat marhaen upacara pengkebumian Almarhum, jelas kelihatan kesugulan mamak Perdana Menteri – sama ada beliau kini insaf bahawa beliau juga akan turut satu hari nanti akan ke liang lahad atau pun beliau sedih kerana kehilangan satu-satunya Sultan yang dapat dirasuah beliau agar tidak mencampuri hal-ehwal pemerintahan negara ini, hanya Allah swt yang maha mengetahui.

Mamak Perdana menteri kini kurang sebulan sebelum menyambut hari jadinya yang ke 76. Namun, tiada tanda-tanda jelas bahawa beliau akan berundur untuk memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin muda yang lebih memahami kehendak rakyat marhaen semasa, yang rata-rata inginkan pembaharuan. Seorang tua berusia 75 tahun tidak mungkin dapat memahami arus perubahan sebagaimana seorang tua yang kini menjadi Editor-in-chief akhbar the New Shit Times – Pak Lah Kok Lanas. Kalau kita lihat saban hari di kedai-kedai yang menjual akhbar, dapatlah kita membuat perbandingan antara akhbar Star milik Cina dan akhbar New Shit Times milik Melayu – yang satu begitu laku sekali, dengan naskhah-naskhahnya disusun di pagi hari 2 kaki lebih tinggi dari yang satu lagi, yang hanya dijual dalam jumlah ala kadar. Menjelang petang, susunan akhbar yang pagi tadi lebih tinggi itu, akan  menjadi lebih rendah dari susunan akhbar yang rendah di waktu pagi.

Demikianlah nasib akhbar New Shit Times yang kini dinakhodai seorang pengarang tua yang hanya Allah swt yang tahu apakah dia masih berkiblatkan Karl Marx yang tidak percaya akan dia kewujudan ilahi ‘azza wajalla. Orang yang pernah ‘dibuang negeri’ seketika untuk mendiami New York dan London – jauh lebih mewah hidupnya dari kehidupan di Kok Lanas. Namun, cara hidupnya memang sentiasa mewah sehingga pernah menekan Syarikat Permodalan Kebangsaan untuk membayar gajinya sebanyak RM60,000 sebulan di suatu ketika. Kini SPK begitu sukar bernafas.

Apakah seorang tua seperti beliau dapat memahami kehendak dan citarasa pembaca masa kini?  Apakah pemikiran beliau, melalui penulisan beliau – sama ada dalam The New Shit Times dan Mingguan Meloya – merupakan pemikiran mainstream rakyat marhaen masa kini? Apakah beliau tidak fikir bahawa rakyat sudah jelek dengan kehaprakan dan kebobrokan kepimpinan Mamak memanda Perdana menteri?

Maka demikianlah tanah air tercinta ini, yang kini masih dinakhodai seorang ahli politik tua yang sudah melampaui tempoh ‘baik sebelum’ yang tercatat dipelekat kulitnya yang tebal dan tidak tahu malu itu.  Mampukah seorang yang berusia 76 tahun memahami kehendak rakyat marhaen negara ini yang mempunyai usia pukul rata setengah dari usia beliau? Cuba bayangkan sejenak – andainya pilihan raya yang akan datang diadakan dalam tahun 2004, Barisan Najis (BN) akan tetap dipimpin oleh mamak memanda yang akan menjangkau usia 79 tahun! Kalau kita amati kaca TV kita berhati-hati setiap kali pemimpin besar kita Ben Kutty berucap, dapatlah kita perhatikan lehernya yang sudah berkedut. Bahawa, bawah dari raut wajahnya yang kita tatapi saban hari, terdapat sebuah tubuh seorang insan yang sedang bergelut dengan usia tua yang lazimnya mengakibatkan pelbagai keuzuran.

Hakikatnya, Ben Kutty terpaksa menjalani Hormone Replacement Therapy saban tahun untuk mengekalkan perawakan beliau sekarang yang jelas tidak mencerminkan seseorang yang kini berusia 76 tahun. Cuba bayangkan Cek Det yang sudah tidak bersemayam di Putrajaya lagi. Sudah tentu jauh dari apa yang kita lihat sebagai seorang yang segak dan mampu memakai jeans biru dan kemeja merah yang berjalan-jalan di Jalan Raja Alang, kononnya membeli juadah untuk berbuka puasa di bulan Ramadhan. Jelas langkah-langkahnya kini mempamerkan seorang yang semakin hari semakin hampir mendapat kad jemputan malaikat Izrail.

Apakah tidak ada pemimpin lain yang dapat dipertanggungjawabkan untuk memegang panji-panji BN selain dari Abu Mirzan? Setakat ini, memang tiada tokoh dari kalangan parti lembu UMNO yang berkaliber dan berkarisma untuk mengisi tempat Abu Mirzan yang penuh dengan kontroversi itu. Ada yang kata Pak Lah. Pak lah Bedawi? Jauh panggang dari api. Maka, mamak Bendahara jugalah yang akan dipertanggungjawabkan oleh manusia-manusia seperti Aziz Samsuddin, Tengku (?) Adnan Mansor, Brigadier Hamid, Kayveas, Nor Mohamed Yakcob, Ali Abul, ‘Mufti Besar’ Ismail Ibrahim, Wartawan sensasi Dolah Kok Lanas, dan pemimpin-pemimpin lain yang di’lantik’ agar terus menerajui negara ini merangkap meneruskan Dasar Membaham Khazanah Negara (National Policy on State Pilfering).

Untuk memberi alasan kukuh mengapa mamak bendara Ben Kutty perlu dipertahankan sebagai pemimpin, akan disediakan penulis-penulis laksana pelacur yang mengambil upah seperti Ben Maidin @ Zam, Astora Jamban dan kemungkinan juga penulis yang tidak kompeten seperti Ben Jasin dan Ahmad Talib yang penguasaan bahasa Inggeris masing-masing amat memalukan pelajar Tahun 6 sekolah rendah. Sudah pasti alasan utama adalah – “perjuangan belum selesai”. Umur kini sudah 76 tahun, masih ada muka untuk menyatakan bahawa “perjuangan belum selesai”. Andainya yang mati dihidupkan kembali, tetap dikatakan bahawa  “perjuangan belum selesai”.

Dalam kita menyaksikan kemelut peperangan – istilah peperangan adalah misnomer, ia perlu diganti dengan pencabulan – di Afghanistan, jangan kita sekali-kali lupa bahawa tanah air yang tercinta ini masih dinodai oleh pemimpin rakus yang bernama Mahathir Mohamed. Semenjak peristiwa 11 Sep di New York, saban hari di media kita dihidangkan dengan cerita ‘war on terror’,  ‘strike against terror’ dan pelbagai manipulasi yang di ada-adakan oleh media milik Yahudi agar kita umat Islam terutamanya, dipesongkan sebentar dari isu utama yang perlu diselesaikan, sambil mencapai matlamat atau agenda sebenar puak Zionis yang bertopengkan iltizam untuk memerangi ‘pengganas’. Maka laman-laman web yang selama ini mendokong gerakan reformasi dan menuntut keadilan dari pihak pemerintah, tiba-tiba penuh dengan artikel-artikel yang menyokong Taliban.

Alhamdulillah, berkat dan hidayah Allah swt membenarkan kita membezakan yang haq dan yang batil. Kebanyakan artikel-artikel yang disiarkan dalam Laman seperti MindaRakyat, Laman Reformasi dsb, rata-rata menunjukkan simpati terhadap kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan. Ini merupakan perkembangan yang sihat kerana ianya dapat membantu menyanggah pendirian TV3 dan RTM, dan tidak kurang juga NTV7 yang dengan jijiknya menghina Taliban seolah-olah kerajaan Taliban itu adalah pelopor ajaran sesat Islam dan Malaysia akan menerima nasib yang sama andainya PAS diberi peluang memerintah negara ini.

Apakah benar Taliban menindas kaum wanita? Tidakkah Saudi Arabia menindas wanita? Mengapa tidak TV3 membikin satu dokumentari sensasi untuk mendedahkan perkara ini? Saudi Arabialah satu-satunya negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban dan oleh yang demikian seharusnya Amerika turut menghantar pesawat-pesawat B-52 mereka untuk melepaskan bom-bom berangkai dan ‘daisy cutter’ di misalnya, Riyadh, Taif, Tabuk, Jeddah dsb kerana Arab Saudilah yang melahirkan fahaman yang menjadi ikutan kaum Pashtun yang membentuk puak Taliban di Afghanistan.

Kalau benar Amerika ikhlas untuk menangani ‘pengganas’ bagai dilaung-laungkan, maka haruslah mereka turut melakukan pengeboman terhadap sarang-sarang pengganas di Ireland Utara di mana puak Ulster sentiasa bertelagah dengan Irish Republican Army dan Parti politik Sinn Fein. Demikian juga di Sepanyol di mana ‘pengganas’ ETA sentiasa membikin kacau untuk membentuk kerajaan merdeka di wilayah Basque di bahagian timur laut Sepanyol. Bagaimana pula dengan kepala pengganas Israel, Ariel Sharon? Tergamakkah Amerika mengebom wilayah-wilayah yang melindungi pengganas sebagai mana mereka telah mengebom Afghanistan yang dikatakan melindungi pengganas?

Hakikatnya, Amerikalah pengganas antarabangsa yang ulong. Mereka akan hanya bertindak kiranya Islam berkembang. Kiranya Islam tidak terlibat dalam mana-mana konflik, maka insya-Allah pentadbiran Amerika akan ‘buat bodoh’ sahaja tanpa mengambil apa-apa tindakan. Amerika adalah kuasa besar angkuh yang ingin menjadi ‘pak sibuk’ dan  anjing global yang berkuasa di semua pelusok dunia. Amerika ingin membelasah Afghanistan kerana ‘kunonnya’ ingin membebaskan rakyat Afghanistan dari belenggu Taliban. Demikian juga Amerika berperang dengan Nicaragua kerana tidak setuju dengan kerajaan Sandinista pimpinan Noriega yang ‘kunonnya’ akan menggugat kestabilan Amerika tengah.

Amerika juga ingin berada di Saudi ‘kunonnya’ untuk mencegah Iraq dari menyerang Saudi sehingga ada sebuah bandar di Saudi dipanggil ‘Little America’ – bandar ini adalah satu-satunya bandar di mana arak dapat dijual beli dengan mudah dan rakyat Saudi sendiri ditindas oleh askar-askar Amerika yang biadap. Apakah berdosa Osama bin Ladin yang mengisytiharkan bahawa adalah menjadi azam beliau untuk mengusir Amerika  dari tanah Semenanjung Arab tempat kelahiran Rasulullah saw?

Benarlah janji Allah swt sebagai mana firman-Nya dalam surah Al Baqarah ayat 120 yang mafhumnya berbunyi “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka”  dan juga ayat 111 yang mafhumnya berbunyi “dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata : ‘sekali-kali tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang Yahudi dan Nasrani’ “. Maka tidakkah benar apa yang berlaku di Afghanistan sekarang ini adalah perang terhadap Islam?

Malangnya, ada pemimpin-pemimpin bacul seperti Raja Abdullah dari Jordan dan Presiden (?) Musharraf dari Pakistan yang sanggup melacurkan diri demi kekayaan material dalam rupa pinjaman Bank Dunia sambil menekan bahawa perang ini bukannya perang terhadap Islam! Yang terkini, dua pemimpin wanita Islam masing-masing dari Bangladesh dan Indonesia, telah pun menawarkan khidmat tentera negara masing-masing untuk turut serta dalam ketumbukan tentera untuk menangani pengganas di Afghanistan – sebagai janji balas terhadap bantuan kewangan untuk pemulihan ekonomi. Orang-orang sebegini akan turut serta dalam majlis iftar di bulan Ramadhan bersama-sama Presiden Bush di White House – kononnya akur bahawa Bush ikhlas berperang menentang keganasan, bukannya terhadap Islam.

Alangkah sedihnya melihat negara-negara yang dihuni majoritinya oleh penduduk Islam dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang bacul sebegini? Apakah perlu mereka bergantung kepada Amerika untuk survival mereka? Tidakkah mereka merujuk kepada Al Qur'an yang mengajar bahawa “dan kiranya kamu khuatir menjadi miskin, maka Allah swt nanti akan memberikan kepadamu kekayaan daripada kurniaNya jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah swt maha mengetahui lagi maha bijaksana” (mafhum ayat 28 Surah At Taubah)? Ayat ini telah diturunkan setelah Mekah dibebaskan oleh Rasulullah saw dari tangan kaum musyrikin. Yang demikian, Allah swt telah mengharamkan kaum musyrikin dari memasuki mahu pun mendiami kota Mekah selepas dari tahun pembebasan tersebut. Maka ada di antara orang mukmin yang gusar dan khuatir kerana ekonomi Mekah selama ini dikuasai oleh kaum musyrikin yang berdagang dan berniaga di situ. Benarlah janji Allah swt – kemakmuran Kota Mekah dapat kita lihat sehingga hari ini dengan ekonominya dikuasai 100% oleh orang Islam.

Allah swt yang maha berkuasa, telah menjemput pulang Almarhum Tuanku Salahuddin Abdul Aziz untuk mengadapNya dan kita sebagai warga Malaysia Darul Muslimin dengan tidak semena-mena dihidangkan di kaca TV kita kedhaifan kita sebagai umat Islam menghayati ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. Jelas, negara Islam pimpinan Mahathir Kutty masih cetek penghayatan Islam tatkala mengendalikan pengkebumian Almarhum. Islam menganjurkan agar pengurusan jenazah dipercepatkan. Namun, pangkat Yang Di Pertuan Agong masih di agong-agongkan lagi biar pun sudah mangkat sehingga terpaksa diutamakan adat istiadat daripada anjuran agama. Jelas juga tontonan bahawa keranda YDP Agong masih diselubungi kain di Raja yang berwarna kuning – bukannya putih sebagai mana yang dituntut oleh Islam.

Apakah Islam negara ini apabila dibenarkan kaum wanita ke kubur mengiringi jenazah? Apakah dibenarkan di dalam Islam untuk ‘bersalaman’ antara bukan muhrim lelaki dan wanita ketika menziarahi jenazah? Keadaan begitu mengelirukan apabila pembesar-pembesar negara yang beragama Islam namun begitu jahil menghulurkan tangan ‘kunonnya’ untuk mengucapkan takziah kepada balu almarhum. Namun, budaya seperti ini telah diterimapakai dalam negara Islam pimpinan Ben Kutty – di mana lelaki dan wanita bersalam-salaman ‘kunonnya’ untuk mengeratkan silaturrohim sesama mereka! Masya-Allah! Ini begitu menyerlah di majlis-majlis seperti Perhimpunan Agong Parti Lembu UMNO, hatta di majlis-majlis seperti Ma’al Hijrah dan Tilawah Al Qur'an sekalipun; di mana Cek Det dengan selamba masuk ke dalam dewan dan bersalam-salaman dengan kebanyakan perwakilan wanita.

Yang menyedihkan lagi ialah apabila kita melihat wanita-wanita itu sendiri beria-ia menghulurkan tangan masing-masing agar dapat bersalaman dengan ‘Al Rais Kabir’ yang disanjung itu. Pemimpin wanita Islam seperti Rafidah dan Bibi Shahrizat pula bersalam erat dengan lelaki bagaikan anak-anak memohon duit Raya di pagi Eidil Fitri! Di manakah pandangan penasihat agama PM? Apakah pandangan Pengerusi Majlis Fatwa dalam hal ini? Apa pula pandangan Brigadier Menteri di JPM yang bertanggungjawab di atas hal-ehwal Islam?

Dan bersegeralah pula pengacara dan pembaca berita wanita di kesemua saluran TV Malaysia mengenakan selendang untuk ‘melitupi sedikit’ rambut ketika membaca berita atau membuat liputan pengkebumian Almarhum YDP Agong. Hatta, yang tidak beragama Islam seperti Anne Edwards (NTV7) dan Mary Anne (RTM 1) pun mungkin disalah anggap sebagai wanita UMNO lantaran bertudung yang masih menonjolkan sejemput rambut di atas dahi sebagai mana yang dipelopori oleh Hendon Pak Lah Bedawi, Masnah Rais Yatim, Rosmah Najib dan rakan-rakan seperjuangan yang lain dalam BAKTI. Hendak disebut Kak Mah, namun tudong Kak Mah bukan meliputi rambut! Maka kita dipertontonkan juga pembaca seperti Yusanani (TV3) dan Norashikin (RTM 1) yang memakai tudung sekadar cukup syarat sebagai ‘menghormati kemangkatan YDP Agong’.

Demikianlah Malaysia, negara Islam pimpinan Imam Mahathir Al Kutty yang menggesa agar Islam yang sederhana (moderate Islam) dipraktikkan dalam negara yang berbilang kaum ini. Pakaian tudung sebagai mana yang diperagakan oleh pengacara2 tersebut didaulatkan sebagai pakaian de facto wanita Islam dalam negara Islam ala Imam Besar Mahathir. Walhal telah jelas dan nyata bahawa sebahagian besar dari wanita di Afghanistan sememangnya lebih suka berpakaian secara burqa dan hijab – jauh sekali dari manipulasi media barat yang menggembar gemburkan berita segelintir wanita yang telah membuka atau pun mencabut purdah/burqa sebaik saja tentera Pakatan Utara menguasai bandar-bandar tertentu di Afghanistan. Hakikatnya, tentera pakatan utara yang kebanyakannya terdiri dari keturunan Tajikistan dan Uzbekistan yang masih cetek dalam penghayatan Islam sebagai ad-deen, belum tentu akan dapat memberikan haq wanita sebagai mana yang diingini oleh puak-puak seperti Sisters In Islam.

Demikianlah Allah swt dalam perancangan-Nya, memperlihatkan kepada orang-orang beriman dan yang mahu berfikir, kebesaran-Nya melalui rentetan peristiwa yang masing-masing saling kait-mengait antara satu sama lain. Jelaslah juga betapa perlunya kita memilih seorang pemimpin yang berjiwa Islam dan menghayati Islam serta bertaqwa terhadap Allah swt. Bagai malam dan siang, kian jelas bahawa Mahathir bukanlah orangnya. Laungannya sebagai pemimpin Islam di kalangan ‘negara-negara Islam’ tidak lebih dari retorik politik untuk mendapatkan sedikit publicity murahan yang dapat membantunya menerima sokongan berterusan dari kalangan rakyat yang jahil.

Kehadiran beliau tanpa malu sebagai pemimpin hanyalah untuk memastikan diri beliau tidak akan didakwa andainya beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Beliau sudah tidak upaya lagi memimpin sebagaimana beliau terus menafikan keadaan fizikal beliau yang sudah hampir mencecah usia 76 tahun. Apakah seorang pemimpin Islam sanggup berkokok bagai ayam jantan berdegar-degar? Namun darah menitis di tangannya dan tahi bergelumang di ekornya lantaran perbuatan beliau membazirkan wang rakyat demi kepentingan peribadi; mengurung insan-insan yang tidak dibuktikan mahupun disabitkan kesalahan masing-masing di dalam penjara; mengekang kemaraan lawan politiknya melalui salah guna institusi kehakiman, polis dan media.

Di bulan Ramadhan al Mubarak yang mulia ini, dan dengan gambaran liang lahad almarhum YDP Agong  di makam Kelang masih segar dalam ingatan, eloklah Ben Kutty berhenti sejenak dan berfikir – lama mana lagi kamu mahu jadi Perdana menteri? Hatta, lama mana lagi kamu boleh bernyawa di bumi yang fana ini. Kerana keinginan untuk menyirami air kencing di pusara mu……..masih belum pudar. 

-marhaen muda- 
24 November 2001/8 Ramadhan 1422

Nota webmaster: Inilah suara yang menakutkan Mahathir, apabila marhaen sudah dapat membezakan Islam tulen dengan Islam versi olahan UMNO. Di bawah pemerintahan sekular, manusia lebih mentaati manusia daripada mentaati Allah dan surohan-Nya. Justeru itu, apabila Allah menyeru wanita supaya menutupi tubuh badan mereka kecuali kedua tapak tangan kepada mereka yang bukan muhrim agar terjauh segala fitnah, seruan itu dinafikan akan kewajipan atau kefardhuan berbuat demikian. Namun sebaliknya, apabila ada arahan dari 'manusia atasan' meminta bertudung sekadar menghormati satu kematian, bersepahlah wajah media dengan tudung ciptaan baru yang melingkup sekadar menutup 'yang perlu'. Inilah versi Islam di bawah pemerintahan Mahathir. Inilah yang membingungkan para ulama dan para ilmuan Islam kerana dalam masa yang sama mereka mendakwa sudah Islam, melebihi dari yang dianjurkan agama Islam!! ~ webmaster

Hits: