KELESUAN INTELEKTUAL MASYARAKAT MALAYSIA

Sebutan intelektual dalam bahasa kita ditujukan terhadap kaum cerdik pandai yang berjaya mencapai satu tahap pendidikan yang jika dibandingkan dengan masyarakat terbanyak, ia adalah lebih tinggi dari tingkatan yang biasa. Sebenarnya sebutan intelektual suatu waktu dahulu diperluaskan kepada sesiapa sahaja yang menerima pendidikan tinggi di negara ini tanpa mengira apakah mereka perihatin dengan masyarakat dan budayanya di mana dia tinggal dan membesar. Apakah mereka memberikan suatu sumbangan yang berbentuk abstrak seperti pemikiran untuk kemajuan masyarakat dan negaranya tidak pernah pula dipersoalkan.

Kata intelektual dalam bahasa Inggeris merujuk kepada sejenis peribadi yang tersendiri yang telah mengalami kecerdasan dan kehalusan budi lewat pendidikan yang diterima nya. “Seseorang mungkin lebih tinggi kedudukan kesarjanaannya dan tersangat arif di dalam sesuatu bidang, tetapi selama mana seseorang itu tidak mempunyai minat dan peka terhadap   rangsangan-rangsangan budayanya dia belum berhak dinobatkan sebagai seorang intelektual. Dalam masyarakat Inggeris, mereka akan tercengang apabila mendengar kata intelektual ditujukan kepada seseorang yang sama sekali tidak menaruh perhatian terhadap perkembangan budaya bangsanya sendiri.”(Subagio Sastrowardojo, Bakat Alam Dan Intelektualisme, Pustaka Jaya,hlm.73). Apa yang dapat dibuat kesimpulan di sini ialah seseorang intelek bukanlah bergantung kepada ijazah BA,MA atau PhDnya yang berjela, tetapi ia bergantung kepada adanya sumbangan pemikiran dan menaruh rasa perihatin terhadap masalah bangsa dan agamanya dari segenap aspek kehidupan. Inilah intelektual sebenar yang kita perlukan terutama dalam mengharungi era globalisasi ini. 

Melihat kepada realiti masyarakat kita pada hari ini, kita memang mempunyai  ramai cerdik pandai yang berbakat dalam berbagai bidang. Saban tahun universiti-universiti tempatan mengeluarkan para siswazah puluhan ribu banyaknya. Itu belum lagi diambil kira yang pulang dari luar negeri dengan ijazah yang berjela-jela panjangnya. Namun kedudukan kesarjanaan itu kian mengecil ibarat bentuk piramid jika kita mengambil kira tahap pendidikan sehingga ke tahap PhD atau doktor falsafah dalam sesuatu bidang. Tetapi apakah mereka ini semua layak dipanggil kaum intelektual? Di manakah sumbangan mereka terhadap pembangunan masyarakat kita, sumbangan pemikiran mereka terhadap masyarakat yang kian dilanda berbagai masalah sosial? Siapakah yang kembali berjuang untuk membela masyarakat yang tertindas oleh gejala tamak haloba para pemimpin politik yang korup, yang sengaja meninggalkan masalah yang besar kepada negara apabila mereka meletak jawatan, dengan beban hutang yang kian meningkat. Bagaimanakah kita membantu negara mengembangkan kembali ekonomi ke paras yang lebih normal, ekonomi negara yang kini bukan saja tidak berkembang, tetapi menguncup seperti mana yang dilaporkan oleh Gabenor Bank Negara ke tahap 1.3 peratus?

Inilah di antara sekian banyak persoalan yang menghantui masyarakat Malaysia yang begitu ramai berkelulusan IPTA dan IPTS tetapi tidak menyumbangkan apa-apa dalam menyelesaikan masalah sosial dan politik dalam negara ini.

Suatu waktu dulu kaum cendekiawan kita lebih bertanggungjawab, lebih bersikap neutral dalam menghadapi berbagai masalah khususnya yang berkaitan dengan perkembangan politik negara. Bahkan ada di antaranya sanggup berkorban jiwa dan raga untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat dan negaranya  melalui berbagai-bagai saluran seperti penulisan, politik, aktivis masyarakat, pertubuhan, kewartawanan ,menjadi guru dan pensyarah di pusat-pusat pengajian tinggi  Di mana  sahaja mereka berada, mereka tetap tidak melupakan masyarakat bawahan yang tidak secerdik mereka. Tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh AlHadi,Abd.Rahim Kajai,Burhanuddin Helmi, Zulkifli Muhammad ,Ishak Haji Mohamad dan sekian banyak nama yang tidak dapat disebutkan di sini sentiasa berkerja keras dalam membantu membangunkan masyarakat dan negaranya. Tetapi ke manakah perginya kaum cerdik pandai kita sekarang ini? 

Pada dekad tujuh puluhan pula kita mendengar ramai para intelektual yang lahir dalam masyarakat kita, tidak kiralah sama ada mereka itu dari bidang apa yang diceburi. Di antaranya ada yang masih hidup sehingga kini. Pada dekad ini golongan  sasterawan adalah paling ramai bermunculan dan menggelarkan diri mereka sebagai kaum intelektual atau para cendekiawan. Setakat mana sumbangan mereka tidaklah pula  dipertikaikan. Di sini lahirlah nama-nama seperti Usman Awang,Kassim Ahmad, Baharudin Zainal,Fidaus Abdullah  dan sebagainya yang mewarnai bidang kesusasteraan. Di bidang kewartawanan terdengar nama A.Samad Ismail,Malungun dan sebagainya. Di bidang akademik nama Engku Aziz tidak pernah luput hingga kini. Nama Tun Abd.Razak terserlah dalam bidang politik, di samping Singa UMNO, Datuk Harun dan lain-lain.

Tetapi pada dekad-dekad terakhir ini sehinggalah ke abad dua puluh satu kita telah kehilangan kaum intelektual itu. Mereka sudah hilang dari pentas cendekiawan. Namun kekosongan itu diisi pula oleh kaum intelektual dari bidang di mana mereka lebih faham tentang Islam. Sebenarnya inilah kaum cerdik pandai yang tulen yang kita nantikan kelahirannya.Nama-nama seperti Ustaz Fadhil Noor,TG  Abd.Hadi Awang,TG Nik Aziz Nik Mat, DS Anwar Ibrahim, Subky Abd.Latif  dan ramai lagi di kalangan  kaum ulama seperti Ismail Kamus dan Dr.Harun Din . Tokoh-tokoh politik yang lain yang berdasarkan fahaman politik bukan Islam atau berfahaman sekularisme mulai terpinggir termasuk Perdana Menteri sendiri, walaupun beliau banyak memberikan sumbangan pemikiran terhadap masyarakat berdasarkan jumlah buku yang dihasilkannya. Tokoh-tokoh politik sekular ini tidak lagi menjadi pujaan masyarakat, sebaliknya menjadi kejian dan cacian. Hal ini mungkin disebabkan ketiadaan kehalusan budi seperti yang dibayangkan oleh kata intelektual di awal rencana ini tadi. Masyarakat tidak dapat lagi menerima kaum intelektual yang bergelumang dengan kemewahan, tetapi rakyat  marhaen tersepit dan terjepit hidupnya akibat dari berbagai tekanan dari soal ekonomi, peribadi,  kebebasan bersuara hinggalah kepada kebebasan berpolitik.

Di sinilah kita melihat kaum intelektual terutama yang beraliran sekularisme sudah kehilangan peranannya dalam membentuk arah dan hala tuju masyarakat Malaysia. Masyarakat tidak lagi menghormati para cendekiawan yang mementingkan diri sendiri, membina kekayaan peribadi dan sebagainya tanpa mengambil peduli anggota masyarakatnya yang kurang bernasib baik itu.

Sikap masyarakat juga turut memainkan peranan dalam era kelesuan intelektual ini. Masyarakat umum tidak lagi menghormati kaum cendekiawan. Masyarakat terbanyak juga sudah dilanda dengan fahaman materialisme yang mereka peroleh hasil pendidikan sekular yang ditanamkan oleh pemerintah. Apa yang masyarakat kita fikirkan sekarang ialah rumah besar, jawatan tinggi dan kereta besar dan berjenama sebagai lambang status sosial mereka. Mereka yang berkelulusan tinggi juga turut terpesona dengan angin materialisme ini. Kaum cendekiawan yang dahulunya aktif dalam akademik dan pemikiran telah pula menceburkan diri dalam bidang politik pemerintah, dan mereka pula tidak lagi perihatin kepada masalah masyarakat massa. Bahkan sebaliknya mereka sendiri menyokong puak pemerintah yang kian korup dan mementingkan diri sendiri itu. Demikianlah tenggelamnya nama-nama seperti Mahadzir Mohd Khir,Firdaus Abdullah, Ismail Hussein dan lain-lainnya dari pentas kaum cendekiawan tanah air.  

Kini  kaum intelektual yang masih belum jumud adalah kaum intelektual-ulama yang berjuang untuk memperbaiki masyarakat massa melalui pentas politik pembangkang, atau apa yang lebih  kita kenali kini sebagai Barisan Alternatif. Kaum cerdik pandai dari Parti PAS, Keadilan, PRM dan DAP (kini telah keluar dari  BA) terus berjuang bersama masyarakat terbanyak untuk menuntut keadilan hak, kebebasan bersuara dan sebagainya seperti mana halnya yang terdapat dalam hak-hak asasi manusia yang dipersetujui oleh sekelian bangsa. Sementara kaum intelektual dalam barisan parti pemerintah sudah tidak lagi berperanan kerana tidak lagi mengintegrasikan dirinya ke dalam masyarakat terbanyak. Mereka hanya sibuk dengan kuasa dan harta yang ada pada mereka, rakyat marhaen tidak perlukan perhatian bahkan tidak pun pernah diperhatikan.

“Perlu dijelaskan, bahawa maksud peranan intelektual bukan bererti pimpinan intelektual. Konsep bahawa intelektuallah yang mengubah masyarakat, bahawa intelektuallah dengan sendirinya menjadi pemimpin, saya kata tidak tepat. Sejarah perubahan sesuatu masyarakat dan negara bukan kerana pimpinan dan perjuangan intelektual, tetapi lahir dan timbul dari masyarakat dan perjuangan rakyat itu sendiri, kaum taninya dan kaum buruhnya. Intelektual-oleh keadaan dan bilangannya-tidak mungkin memulakan suatu revolusi, tetapi rakyatlah memulakannya. Hapusnya perhambaan bukan kerana perjuangan intelektual, tetapi kerana kesedaran hamba abdi itu sendiri, dan daripada merekalah lahir pemimpin yang memutuskan rantai yang membelenggu mereka. Idea dan teori biasanya memang daripada kaum intelektual, tetapi mereka bukanlah memegang peranan utama sebagai peneroka dan pencetus tindakan. Dan apabila ada intelektual yang mempelopori perjuangan  dan memegang peranan utama, ia pastilah lahir dan timbul di kalangan rakyat, dari tengah-tengah rakyat, kerana intelektual itu telah mengintegrasikan dirinya dengan rakyat (Usman Awang, Peranan Intelektual, Institut Analisis Sosial, hlm.12).  

Demikianlah sepatutnya seseorang kaum intelektual itu berperanan. Tetapi peranan itu kini lesu selesu lesunya kerana dihambat oleh pengaruh arus materialisme yang amat mencengkam minda kaum intelektual itu sendiri.

Kita masih menantikan mereka memainkan peranan sebagai individu yang tercerdik dalam masyarakatnya, tetapi kita tidak dapat menaruh harapan yang muluk-muluk terhadap mereka,apalagi yang bersengkokol dengan pemerintah,yang mempertahankan kezaliman dan penindasan, korupsi, kronisme  dan nepotisme  yang sudah mengakar ke dalam tubuh masyarakat kita. Intelektual harus bebas, harus membebaskan dirinya dari sebarang cengkaman yang membantutkan minda, agar peranannya dapat terus dimainkan khususnya dalam mengharungi era globalisasi ini.

AlKundangi,
25.11.2001

Hits: