CERITA TUAN KUDA DAN JURULATIH KUDA

Pada zaman dahulu terdapat seorang kaya bernama Raden Mustarjo yang memelihara banyak kuda di Pulau Jawa.

Pada satu tahun Betara Majapahit telah mengumumkan akan mengadakan satu perlumbaan kuda sempena hari keputeraan baginda. Pemenangnya akan mendapat wang emas yang banyak.

Raden Mustarjo berhasrat agar kuda kepunyaannya memenangi perlumbaan yang berprestij itu dan memenangi banyak wang emas. Maka beliau telah melantik seorang jurulatih kuda yang terkenal bernama Joko untuk melatih kuda-kudanya.

Joko bersetuju menerima perlantikan tersebut dan berjanji akan melatih kuda-kuda Raden Mustarjo untuk perlumbaan yang akan diadakan di dalam masa satu purnama.

Walau bagaimanapun Joko menghadapi pelbagai masaalah. Kuda-kuda kepunyaan Raden Mustarjo adalah terlalu malas. Mereka tidak mahu berlari apabila disuruh. Kadang-kadang mereka enggan keluar dari bangsal.

Joko amat bimbang dan selalu bersedih. Beliau jarang makan dan sentiasa tidak cukup tidur malam.

Pada suatu hari beliau mengambil keputusan untuk berjumpa Raden Mustarjo. Tetapi beliau amat terkejut kerana Raden Mustarjo tidak merasa bimbang apabila diberitahu keadaan kuda-kudanya. Malah Raden Mustarjo nampaknya tidak peduli langsung akan perlumbaan yang akan berlangsung.

Oleh itu Joko semakin bimbang. Kebimbangan Joko bertambah apabila mendapati dua orang pekerja Raden Mustarjo juga menunjukkan sikap tidak peduli terhadap kuda-kuda itu.

Paiman yang ditugaskan memandikan kuda-kuda tersebut di waktu pagi jarang melaksanakan tanggungjawabnya. Akibat dari kecuaian Paiman, kuda-kuda Raden Mustarjo selalunya tidak segar dan malas menjalani latihan.

Parman pula ditugaskan memberikan makan yang berkhasiat kepada kuda-kuda Raden Mustarjo tetapi hanya memberikan nasi sejuk kepada mereka. Akibatnya kuda-kuda itu selalu jatuh sakit.

Paiman dan Parman juga sentiasa bergaduh sepanjang hari.

Pada suatu pagi akibat dari terlalu bimbang Joko telah sekali lagi berjumpa dengan Raden Mustarjo. Walau bagaimanapun Raden Mustarjo masih menunjukkan sikap tidak pedulinya. Beliau hanya mahukan kuda-kudanya menang tetapi enggan melakukan sesuatu.

Selepas itu Joko semakin tertekan. Perlumbaan hanya tinggal seminggu lagi. Kuda-kuda Raden Mustarjo belum lagi cergas kerana enggan berlatih. Paiman dan Parman juga enggan memberi kerjasama. Mereka tetap cuai di dalam tanggungjawab mereka dan bercakaran bagai anjing dan kucing.

Walau bagaimanapun Joko tetap melatih kuda-kuda Raden Mustarjo sama ada pagi, petang atau malam. Beliau sedar akan tanggungjawabnya kepada tuannya.

Akhirnya pada satu hari, Joko mendapat satu idea. Beliau mengambil keputusan untuk tidak menyusahkan dirinya lagi. Jika Raden Mustrajo mahukan wang emas maka beliau akan mendapat wang itu.

Satu hari sebelum perlumbaan, Joko telah bertemu Raden Mustarjo dan menyerahkan kepadanya seuncang wang emas.

Raden Mustarjo terkejut dan bertanya kepada Joko, “Untuk apa wang emas ini ?”

“Tuan hendak wang emas dan inilah dia wang emas dari kuda-kuda tuan”, Joko menjawab.

“Tetapi perlumbaan itu esok, bagaimanakah kuda-kuda saya boleh mendapatkan wang emas ini ?”, Raden Mustarjo bertanya lagi.

“Kuda-kuda tuan memang tidak boleh berlumba walau macam mana saya melatihnya. Pekerja-pekerja tuan tidak memberi sokongan kepada saya. Tuan pula tidak mengambil berat tentang kuda atau pekerja tuan. Oleh itu saya telah menyembelih kuda-kuda tuan dan menjualnya di pasar. Ini lebih baik dari saya memeningkan kepala saya. Sekurang-kurangnya tuan akan mendapat hasil dari kuda-kuda tuan itu. Kalau mereka berlumba, mereka pasti akan kalah dan tuan tidak akan mendapat apa-apa”, jawab Joko kepada Raden Mustarjo yang tercengang.

APAKAH MORAL ATAU PENGAJARAN DARI CERITA INI ?

  1. SEMUA ORANG ADA KEBOLEHAN MASING-MASING SEPERTI KUDA, ADA YANG DIJADIKAN KUDA LUMBA DAN ADA YANG DISEMBELIH UNTUK DIJUAL DAGINGNYA.
  2. ITU SEBAB KALAU SESEORANG ITU TIDAK BOLEH MEMBUAT SESUATU KERJA, JANGAN “PUSH” SANGAT KERANA MUNGKIN ITU BUKAN BIDANGNYA. CARI TUGAS YANG PALING SESUAI UNTUK DIA DAN CARI ORANG LAIN UNTUK MELAKUKAN TUGAS ITU.
  3. DI DALAM SATU ORGANISASI, JIKA TIDAK ADA SOKONGAN DI ANTARA SATU SAMA LAIN MAKA SESUATU MATLAMAT TIDAK AKAN BERJAYA ( SEPERTI PAIMAN DAN PARMAN YANG ASYIK BERGADUH TETAPI TIDAK MAHU BEKERJA ).
  4. JIKA PIMPINAN TERTINGGI TIDAK MENGAMBILBERAT ( SEPERTI RADEN MUSTARJO ) MAKA SESUATU MATLAMAT JUGA TIDAK AKAN BERJAYA.
  5. SETIAP ORANG ADA BATAS-BATAS KESABARANNYA WALAUPUN BERTAPA “DEDICATED”NYA DIA ( SEPERTI JOKO ).
  6. Ada lagi tak ………………………… ?

     

 

( Mungkin kuda lumba bukan satu contoh yang baik di bulan yang mulia ini ! )

Iskandar - Untuk feedback iskandar_samad@hotmail.com