Kehaprakan  Amerika Yang  Semakin  Menyerlah
(America’s  disappeared)

oleh: Mohamed Hakki – Al-Ahram.



Sejurus selepas serangan   pengganas mengena  Menara Kembar New York   pada 11 September, ramai  manusia  berpendapat bahawa  keadaan  sudah berubah. Tetapi  tidak ada sesiapa memikirkan  betapa  kebebasan  rakyat Amerika dan  hak asasi  manusianya  akan  menjadi bahan   pengiktirafan baru  oleh kerajaan  mereka. Pada 13 November, Presiden George W. Bush   telah menandatangani satu  arahan  membenarkan sesiapa yang  dituduh  terlibat dengan keganasan  diadili oleh  satu  Suruhanjaya  khas  tentera  dan bukan  oleh mahkamah awam.

Albert Gonzales seorang  pegawai   Rumah Putih  berkata betapa  Suruhanjaya tentera   mempunyai banyak  kebaikannya   berbanding sebuah mahkamah awam. Tetapi alasan yang utama  ialah kerajaan telah   menggunakan budaya takut   terhadap  rakyatnya  untuk  menerima  pengecutan  hak asasi manusia itu  kerana mengatakan “bahawa   kita sedang menangani  peperangan  global” --  mungkin ia  membawa erti  bahawa  semua  kaedah  yang  keterlaluan itu  ada  sebabnya.  Adalah lebih mudah   melindungi  sumber  dan  kaedah   yang digunakan oleh  pegawai penyiasat   mengikut  peraturan   tentera.

Setengah orang, termasuk juga saya, berpendapat bahawa  peristiwa
11 September,  adalah  tamparan hebat kepada  pasukan risikan kerana  kelemahan mereka, dan ia juga  memalukan penguatkuasa undang-undang Amerika. Itu sebabnya   Peguam Negara  AS Johan Ashcroft   bertindak dengan   beberapa   peri laku yang  belum dibuat  sebelum itu  untuk menghumban beberapa  perundangan   yang sepatutnya  memberi  keunggulan kepada   kebebasan   hak asasi rakyat  Amerika.  Yang menyedihkan,  ramai  rakyat Amerika  yang  bersedia  sangat   menerima pakai  peraturan baru  yang menyangkuti   perkauman,  penahanan tanpa pendakwaan,  penggeledahan tanpa  waran, dan  penderaan  serta  pembunuhan  secara rahsia.

Yang pertama, sudah ada kini   ‘The USA Patriot Act’ (Akta  Patriotisme) yang mengikut   penerangan  Patricia Williams dalam  ‘The Nation’  “merupakan  satu   rangkuman    yang belum berlaku  sebelum ini, antara  tugas agensi  perisikan  negara  dan  penguatkuasaan  undang-undang.   Para pegawai   penguatkuasa  undang-undang, kini boleh   membayangi sesiapa  sahaja,  mempunahranahkan  rakyat  jelata termasuk mereka  yang bukan  menjadi warga  negara.”

Williams menambah:  “sejak  beberapa minggu kebelakangan ini   tunjuk perasaan  daripada pelajar,  petugas  badan  kehakiman  sejagat,  pejuang  hak asasi  manusia, pencinta  haiwan dan  aktivis kedamaian  sudahpun dianggap sebagai  penyokong  para pengganas.” Apa yang lebih menakutkan, lebih  1,100 orang manusia, sebahagian besarnya   orang Arab-Amerika – kebanyakannya  mungkin  dulu kala  meninggalkan tanah tumpah darah mereka  kerana  amalan polis  yang  sama ganasnya  --   kini sudah pun ditangkap  tanpa diberitahu di mana  mereka  ditahan, lokasi mereka  ataupun apakah  tuduhan  terhadap  mereka.

Para aktivis  hak asasi manusia   berkata  semua amalan kerajaan ini adalah  amat menakutkan kerana ia amt  menghampiri  amalan  di Latin Amerika yang berkesudahan  ada  mangsa  yang   “menghilang”. Nampaknya   semakin ramai   pelawat  yang  berhati jahat  yang  telah  menyeberangi samudera   dan mendarat di sini   untuk menukarkan wajah Amerika  menjadi sebuah  ‘banana republic’ (republik pisang) semata-mata  kerana  kerja yang dilakukan oleh Ashcroft  dan  pasukannya.

Yang  lebih menakutkan,  ialah kenyataan  bahawa  tidak ramai suara  yang  membangkang. Hanya dua buah   organisasi  ternama  yang  membangkang, tetapi suara mereka   tertanam di muka surat  17 ataupun 23  dalam  media  perdana.  Pertubuhan  Amnesty International   sudah pun   mengutuk   arahan presiden yang   sungguh menyeluruh   mengenai     pengadilan ketenteraan, yang melanggar  prinsip  fundamental  undang-undang antarabangsa yang   memberikan hak  kepada  pengadilan yang  saksama.  Amnesty menuduh  Bush bertindak   berpihak-pihak,  memberikan   orang  mendatang  satu   piawaian  yang lebih rendah   berkaitan  keadilan mereka berbanding  warga  negara AS dan memberikan    hak  yang tidak berbelah bagi  kepada  pengetua  eksekutif   untuk menentukan   siapa   yang boleh didakwa   dan mengikut   peraturan  yang  mana.

The American Civil Liberties Union (ACLU) amat  risau   beberapa  banyak lagi   undang-undang zalim  yang sedang dirangka  untuk  memuaskan  nafsu  puak  berfahaman- kanan. Kumpulan ini  amat   perihatin   terhadap  kemungkinan  digunakan  beberapa teknologi  yang   menyangkuti  penguatkuasaan   keselamatan  yang  baru,  yang  melibatkan   teknologi  mengecam  wajah,  yang dihubungkan  kepada   arkib  gambar   para  penjenayah. Mengikut  UCLA, teknologi seperti  itu  walau pun pada awalannya  disasarkan  terhadap  para pengganas,  lambat laun akan   menyebabkan  penahanan   pesalah yang tidak  ganas  seperti  mereka yang culas  membayar cukai    kaum bapa yang lari daripada  janji dan tugas  pasca perceraiannya. Stesyen bas,  pelabuhan kapal, dan stesyen  kereta api  berkemungkinan  menggunakan  teknologi  yang sama, “yang akhirnya  menjadikan Amerika sebuah  negara polis.”

Masyarakat perundangan  sudah pun   berbuat  bising   terhadap   kuasa Ashcroft  memantau   surat menyurat   ataupun  perhubungan  antara para tahanan dengan  peguam mereka. Ini merupakan  pencemaran hak manusia – yang dijamin mengikut  ‘The Sixth  Amendment’. --  betapa   dibenarkan hubungan  kerahsiaan  antara  peguam dengan  anak guamannya. Tidak ada seorang pun antara 1,100   orang yang ditahan dulu  telah dibawa  ke mahkamah untuk  didakwa  atas sesuatu kesalahan.  Apakah  kebanyakan   tahanan yang lahir di  luar negara itu,  yang amat memerlukan bantuan guaman,  bercakap  dengan terus-terang  kepada peguamnya   seandainya  mereka  tahu  bahawa kerajaan  mendengari  perbincangan  mereka?

Saya tidak kehairanan melihatkan beberapa penulis   pojok di Wall Street Journal   berlagak   hipokrit  semacam  para  penulis  kolum  dunia  Arab  dan  mempertahankan segala peraturan  baru  itu.  “Pengalaman  dulu   melibatkan   tindakan  pengganas   mengikut   saluran  sistem keadilan  penjenayah   didapati tidak  memuaskan,” kata  satu  artikel, sebahagian  besarnya disebabkan  oleh  piawaian mengenai  bahan bukti  dan  perundangannya  yang boleh diterima pakai  di zaman  keamanan  adalah tidak sesuai   untuk  mengenakan hukuman yang  berkesan  dan  menjadi sebagai   satu pengajaran   kepada  pengganas.” Akhbar itu  telah menghumbankan tanggapan tidak bersalah, keperluan  bahan-bukti yang tidak boleh  disangsi lagi, ‘Miranda rights’  dan hak keistimewaan    terhadap  mencela-diri -  kesemua  ini dihumban ke   luar jendela  disebabkan  kerajaan sudah  mempunyai  satu  cogan kata   (motto)  yang sungguh  menyeluruh  bahawa  “Negara  Sedang   Berperang.”

Akan tetapi saya  ingin membuat  pengakuan   betapa   sesungguhnya  saya  terkejut   melihatkan beberapa orang   kolumnis  yang saya minati – manusia  yang  tidak mudah  saya  persetujui pendapat mereka  terutama  sekali  tentang  Timur Tengah  - adalah  antara  mereka yang amat  mengkritik   akta  tersebut. Kolumnis  ‘New York Times’,  William Safire  telah  menggelarkan   akta baru itu  sebagai  ‘kuasa  diktator’ dan  memberi ingatan  bahawa presiden itu   telah menerima nasihat yang songsang  dari  seorang peguam negara yang sudah  putus harap  dan semakin gelabah.

“Dalam arahan daruratnya yang terkenal itu Bush mengaku  merungkai   prinsip undang-undang dan  peraturan  yang menyangkuti  bahan-bukti” yang menjadi  asas sistem keadilan Amerika, kata Safire. Dia pun memberi gelaran    kepada  mahkamah tentera itu sebagai “mahkamah kangaroo,” kerana  boleh  menyorokkan  bahan bukti  berasaskan  keselamatan negara, membuat peraturan sendiri,  menjatuhkan hukuman  bersalah kepada seseorang   yang dituduh walaupun satu pertiga   pegawai    yang ada   tidak bersetuju, dan  menghukum  seorang   dari luar  tanpa  peluang  untuk  dikaji oleh  mahkamah  awam.

Tidaklah menghairankan  apabila Safire  memberikan cadangan   penyelesaiannya yang  tidak berhati  perut sifatnya. Dia mengsyorkan   menghancurkan   gua  di mana  Osama bin Laden dan  kumpulan Al Qa'eda  sedang   menyorok. “Tukang bom kita  seharusnya   memusnahkan  Osama  Laden dengan mengucapkan selamat tinggal secara  menggugurkan   bom ‘daisy-cutters’ yang beratnya  15,000 pound  dan bom  penembus  batu yang beratnya  5,000  pound  itu.”

Seorang lagi pengkritik lantang  tindakan baru Bush itu  ialah  penulis  Nat Hentoff yang menulis  di ‘Village Voice’.  Dia   berpendapat bahawa  gelagat Ashcroft yang terbaru  ini  adalah “satu lagi  serangan  kepada Piagam hak Asasi Manusia” dan bertanya:  apakah Ashcroft  pernah membaca   perlembagaan  negara? Hentoff berkata, ketika  Bush  memberikan ucapannya  kepada  PBB   pada 10 Disember dulu, dia  menyebut  betapa   undang-undang  menyatupadukan manusia “melepasi sempadan  budaya dan  benua.” Tetapi apabila   undang-undang  antarabangsa sudah tidak lagi laku di negara  ini,  apakah  tanggungjawab  utama pentadbiran Bush   untuk  menjaga kedaulatan  Perlembagaan  Amerika?

Tamat.

Hits: