Bebaskan segera Anwar - Pemuda

KEMAMAN: Membebaskan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini dihukum penjara 15 tahun, akan tetap menjadi cabang utama perjuangan Pemuda Parti Keadilan Nasional, tegas Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor.

"Pemenjaraan Anwar bukanlah penahanan seorang penjenayah. Sebenarnya Anwar adalah simbol bagaimana zalimnya kerajaan (perdana menteri) Mahathir Mohamad," katanya dalam ucapan dasar di persidangan pergerakan itu awal bulan ini.

Pemimpin muda yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting itu berkata Pemuda Keadilan menegaskan Anwar seorang tahanan politik dan menambah "dunia turut mengiktiraf bahawa Anwar seorang tahanan politik."

Perbicaraan dan pemenjaraan bekas pemimpin kanan negara itu mendapat perhatian negara-negara utama dunia dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang penting, kata Ezam.

"Reaksi dunia menolak keputusan mahkamah Mahathir ini bukan sesuatu yang aneh. Kepada dunia, Anwar bukan sekadar ahli politik tetapi pejuang dan negarawan."

"Mereka juga menyatakan kepada Mahathir: bebaskan Anwar segera."

Bekas setiausaha politik Anwar itu menjelaskan pendirian sedemikian dipercayai sebagai menjawab kempen media massa prokerajaan yang sering mendakwa Keadilan hanya memperjuangkan "seseorang banduan" selepas menutup berita utama tentang tokoh itu sejak dua tahun lalu.

Barisan Nasional cuba memadam isu Anwar apabila ia berjaya menarik sokongan besar masyarakat, khususnya berbangsa Melayu, untuk mengundi Barisan Alternatif dalam pilihanraya umum 1999. Perbicaraan kes kedua Anwar dilaporkan secara memilih-milih dan tidak disebarkan secara meluas. 

Kata Ezam lagi, "(Anwar) dikurung kerana beliau lebih popular daripada Mahathir. Di mata rakyat, Anwar dipenjara kerana prinsip politiknya lebih jujur dan lebih dekat di hati rakyat."

"Sememangnya penahanan pejuang-pejuang yang berani (dalam sejarah bangsa-bangsa di dunia) menandakan bahawa kerajaan yang zalim sedang menghembus nafas-nafasnya yang terakhir."

Dalam ucapan yang sama, Ezam turut mengkritik sikap Mahathir yang didakwa mempermainkan istilah "negara Islam."

"Hari ini Malaysia dikatakan sebuah negara Islam. Jika benar kenyataan itu, Pemuda hari ini mencabar Mahathir agar mendakwa Anwar di mahkamah syariah. Bawalah sebanyak manapun bukti dan saksi-saksi seperti yang diperakui oleh undang-undang syarak," katanya di depan 360 perwakilan Pemuda.

"Dalam amalan perundangan Islam, tuduhan terhadap Anwar bukan sekadar meleset, tetapi tidak akan sabit kesalahannya. Malah, tuduhan tanpa bukti kukuh dan secara fitnah (seperti kes Anwar) dan saksi yang muhsan akan dibalas dengan hukuman (hudud) yang berat mengikut hukum syarak."

Teks ucapan itu bertema 'Kelahiran Pemuda Keadilan' sepanjang 21 halaman dibacakan oleh timbalan Ketua Pemuda waktu itu, Mustafa Kamil Ayub.

Timbalan Ezam yang baru, Saifuddin Nasution Ismail, memenangi jawatan itu dalam pemilihan pertama pada persidangan agung itu yang diadakan di Kemaman, Terengganu. Ezam dipilih semula tanpa sebarang pertandingan.

Selain isu-isu itu, Ketua Pemuda turut menyentuh sekatan hak asasi di negara ini, termasuk terhadap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. "Suhakam yang ingin membela hak-hak dan kebebasan rakyat, diherdik sebagai budak suruhan Barat. Pemuda Keadilan menyeru pesuruhjaya-pesuruhjaya Suhakam agar terus berani menentang arus (tekanan kerajaan) dan berkata benar kepada Mahathir."

Ezam juga menegaskan parti-parti alternatif tidak akan berjaya tanpa sokongan semua kaum. "Orang Melayu sahaja tidak mampu untuk menu-bangkan Mahathir kerana kerajaan alternatif yang bakal dibentuk akan goyah jika orang Cina, India dan kaum-kaum lain menolak kerajaan (baru) itu."

Beliau juga menyarankan Barisan Alternatif merapatkan kerjasama, termasuk menggunakan satu lambang, manifesto dan strategi. Selain itu, BA juga digesa menubuhkan Urusetia Media dan Akhbar  "untuk menyalurkan semua aspirasi, kenyataan dan keputusan BA." 

Sumber: Berita KeADILan

Hits: