Peperangan Yang Semakin Mendatang

(War At Treshold)

oleh:  Dmitry  Linvinovich

 

 

Mendung galak   berarak di angkasa  Iraq, membuatkan suasana semakin mendesak.  Timur Tengah sedang  dihantui  peperangan yang sudah berada  di pintu gerbangnya. Selasa ini  pesawat pengebom Amerika dan British  sekali lagi   menghunjam sasaran ketenteraan  di  selatan Iraq. Mengikut  seorang  pegawai Pentagon, ini  adalah satu  tindak balas kepada Baghadad kerana  mengugut  mahu menghalang  pesawat  udara yang mahu  mengawasi  “zon larangan  untuk penerbangan.” Serangan seperti  ini  sudah  lumrah  sejak dulu lagi walaupun kali ini, persoalannya  ialah  mengenai   operasi  AS dan Great  Britain yang  kelihatan  lebih hebat dari biasa: Sekitar 3,000   askar AS  telah  menjalani latihan  ketenteraan  di Kuwait,  tidak jauh daripada sempadan  Iraq. Tidak ada sesiapa  yang akan pedulikan  latihan ini, kalau tidak  kerana  satu   peristiwa, yang  pernah berlaku  hampir  sama waktu  dulu. Hari ini, Kuwait menghantar satu  nota bantahan  kepada Majlis Keselamatan negara mengadu   provokasi yang dilakukan oleh Iraq di  bahagian sempadannya. Kuwait  mendesak agar “kerajaan Iraq   menghentikan  pencerobohan  kawasan sempadan dan  menghormati kedaulatan  negaranya.”  Dokumen bantahan itu  menyatakan   peristiwa terkini itu  “menunjukkan Iraq mempunyai niat  untuk  mengkucar-kacirkan keadaan  di bahagian sempadan  untuk  memacu  ketegangan  di rantau  itu.”

 

 

Keadaan  begini bukanlah satu perkara baru.  Pagi tadi, Presiden  George W. Bush   telah meminta dengan kerasnya  agar Baghdad   menerima   lawatan  pemeriksa PBB  di wilayahnya  untuk  memeriksa program ketenteraan   Iraq. Jika tidak,  seperti yang dijelaskan oleh Bush, Saddam Hussin akan  “memahami tidak lama lagi  apa yang akan singgah  sebagai bahananya.” Setiap negara yang merancang   senjata yang  menghancurkan  akan  menjadi sasaran Amerika Syarikat dalam peperangannya   membasmi  keganasan, kata beliau. Rupanya Afghanistan hanya merupakan   medan permulaan. Seandainya seseorang   merencana  senjata  punah-ranah yang  mahu digunakannya untuk mengancam seluruh dunia,  dia akan diserang. Itu sebabnya  Kuwait bertindak  selari dengan  pergerakan  pesawat  pejuang  Amerika.  Malahan ia merupakan satu jemputan untuk   Amerika  campur tangan  dan  menghukum  pihak yang  mengancam. Laksana   pucuk dicita ulam mendatang, Washington memang sudah lama mencari  helah  untuk menggugurkan bom punah-ranah di bumi Iraq.

 

Sejak beberapa bulan kebelakang,  Saddam Hussain    telah   melaksanakan kerja-kerja  diplomatik yang  aktif  dengan negara Arab dan  berjaya  dengan usahanya  itu.  Kini, di Muscat, ibu negeri Oman, satu persidangan menteri luar  enam negara   Gteluk (GCC) sedang  bermula.

 

Ketua jabatan luar  Arab Saudi, UAE, Kuwait, Oman,qatar, dan Bahrain  akan membincangkan 30  persoalan dalam satu agenda yang dibahagi kepada dua  kumpulan. Persoalan  mengenai dasar luar  yang  berkisar  masalah Afghanistan,  hubungan dengan Iraq dan Iran,  keadaan di Timur Tengah, dan  beberapa isu  pembangunan kerjasama  dalam rangka kerja  GCC.  Adalah dijangkakan,  para menteri  akan  merakamkan  pendirian  yang tidak berbelah bagi mereka   terhadap  rencana  pentadbiran AS  untuk  melebarkan kempen  anti-keganasan dengan  memalitkan Iraq  dan  Yemen.

 

Kelmarin, Baghdad   membuat satu tindakan  mendapatkan perlindungan Russia. Di   satu forum yang diberi nama ‘Russian-Iraqi Economical Forum’  di Moscow,  perwakilan Baghdad   memberikan jaminan kepada orang Russia  betapa     Russia mempunyai  kedudukan  utama  dalam kompleks minyak dan gas  di  Iraq. Kini,  Russia  hanya perlu  melaksanakan tugas untuk  mengekalkannya.  Berdasarkan kenyataan ini, timbalan  menteri luar Russia, Alexander Saltanov memberikan penjelasan betapa  Iraq memang sentiasa diberikan keutamaan  oleh Russia dalam  segala dasar luar negara.

 

Moscow nampaknya  mengambil  langkah berhati-hati pada ketika ini.  Russia  tidak akan  menyatakan sokongannya  terhadap   Iraq secara terbuka.  Russia tidak mempunyai sebarang  agenda untuk  bertelagah dengan  Washington. Di waktu yang sama  ia tidak berniat untuk  menyimpang jauh dan hanyut  daripada  agenda dasar luar negaranya.

 

 

Tamat.

Hits: