Kenyataan Yang Mereka Sorokkan
(The  Truths They Never Tell Us)

oleh: John Pilger
26/11/2001.


Di kalangan masyarakat Barat  yang dianggap  beradab, para petugas yang  menggugurkan bom tidak perlu  menunggu lama untuk pusingan  kedua. DickCheyney, timbalan presiden AS, sudah pun mengeluarkan  amaran, minggu lalu bahawa Amerika  berkemungkinan mengambil tindakan terhadap  ’40 hingga 50 negara.’ Somalia yang didakwa  sebagai   tempat persembunyian Al-Qaeda, kini disenarai di bahagian utama dalam senarai-hitam  yang  memang lama mencatatkan Iraq sebagai  salah satu  sasaran serangan Amerika. Sambil diberikan  tepukan galakan kerana kejayaan  menggantikan pejuang  yang tidak baik di Afghan dengan   pengganas yang diiktiraf baik oleh Amerika, setiausaha pertahanan AS, Donald Rumsfeld  telah meminta Pentagon  untuk ‘memikirkan apa  yang sukar difikir’, ekoran tindakannya menolak  cadangan  pasca-Afghanistan sebagai ‘tidak cukup  radikal’.

Seandainya  Amerika menyerang Somalia,  kata seorang wartawan Guardian  kepada Jabatan Luar, ‘ia   merupakan satu peluang  untuk membalas dendam kerana kematian 18 orang askar AS  yang terbunuh di Mogadishu pada 1993....’ Dia gagal  menyebut betapa komando AS  telah mengorbankan antara 7,000 hingga 10,000 rakyat Somali, seperti yang dilaporkan oleh CIA. Lapan belas nyawa warga Amerika dikira berbaloi untuk  dilakukan  balas-dendam itu; ribuan  rakyat Somali yang  terkorban tidak pula dianggap  begitu.

Somalia akan  menjadi satu  balapan untuk melakukan pelbagai latihan  sebelum Amerika  melancarkan serangan terakhir untuk memusnahkan Iraq.   Namun, seperti yang dilaporkan oleh Wall Street Journal,  Iraq merupakan satu ‘dilema’, kerana ‘bahan serangan yang sudah berkurangan.’  Kita menghadapi masalah mencari sasaran untuk dibom, kata seorang pegawai AS  sambil merujuk kepada  pengboman Iraq yang dilakukan setiap hari sehinggakan ia sudah tidak lagi menjadi bahan berita. Sejak beliau berjaya  menyelamatkan  martabatnya  ketika Perang Teluk 1991 dulu; cengkaman  kuasa Saddam Hussein  ke atas Iraq telah  diperkasakan oleh  salah satu  sekatan ekonomi yang pernah dirakamkan oleh sejarah, yang dikawal  oleh   bekas pembekal  kelengkapan perang  di Washington dan  London. Kekebalan kubu   pertahannya, menjamin  keselamatan  Saddam Hussein. Keadaan ini amat berbeza dengan  rakyat Iraq, yang terus  diasak keperitan hidup gara-gara  kedegilan   diktator  mereka  menerima desakan dan tuntutan Amerika  yang sentiasa   berubah-ubah.


Di negara ini, propaganda  songsang  memainkan peranan utama seperti biasa.  Oleh kerana  sebahagian besar media di wilayah Anglo-Amerikan  adalah dimiliki oleh   beberapa pengawal  kebenaran yang  diizinkan, nasib rakyat Iraq dan Somalia  akan dilaporkan dan diperdebatkan berasaskan lunas-lunas yang  terlebih dulu ditentukan  bahawa kerjaan AS dan British  adalah  memerangi keganasan. Seperti  serangan  yang dibuat terhadap Afghanistan,  isu  yang diketengahkan ialah ‘apakah cara yang terbaik  untuk menangani  masalah  masyarakat  ‘jahiliah’.


Kebenaran yang paling terserlah  dikira sesuatu yang ‘taboo’ dan diharamkan. Inilah caranya Amerika terus  berkuasa sebagai  sebuah negara pengganas dan syurga dunia kepada  para pengganas,  yang  mengungguli negara  lain. Hakikat betapa AS  merupakan  hanya  sebuah negara  yang dirakamkan sebagai  menerima kutukan Mahkamah Dunia kerana  kegiatan keganasannya  di peringkat antarabangsa dan  pernah  menggunakan undi vetonya  menyanggah  resolusi Majlis Keselamatan PBB  yang mahukan kerajaan menghormati  undang-undang  sejagat, tidak pernah  disebut.

Baru-baru ini, Dennis Halliday, bekas timbalan setiausaha  agong PBB  yang meletakkan jawatannya  kerana enggan  menguruskan hal-ehwal pentadbiran  yang dianggapnya  sebagai satu ‘dasar penghapusan  bangsa’  terhadap Iraq, telah   menaikkan kemarahan Michael  Buerk daripada BBC. “Sudah tentu anda tidak boleh membandingkan Saddam Hussein sama tarafnya  dengan (bekas presiden)  George Bush Senior ?’ kata Buerk.  Ketika itu  Halliday   sedang mengambil peranan  dalam salah satu program pilihan yang dipengerusikan oleh Buerk,  yang  menyentuh  kisah  pembunuhan beramai-ramai rakyat Iraq, terutama sekali  orang awam, yang dilakukan oleh Amerika ketika Perang Teluk dulu.   Dia menceritakan bagaimana ramai yang mati  tertimbus hidup-hidup, dan bagaimana ‘depleted uranium’ telah digunakan  secara meluas,  yang sudah pasti  menyebabkan  merebaknya  penyakit  barah di selatan Iraq.


Sejarah  terbaru jenayah  barat yang sebenarnya itu, membuatkan Saddam Hussein kelihatan sebagai seorang amateur  sahaja, seperti yang dikatakan oleh  Halliday. Tetapi, kenyataan Haliday itu tidak pernah dicatat untuk siaran di mana-mana. Oleh kerana  tidak  ada sebarang  penafian  kebenaran itu, mereka yang menyebutnya  dituduh sebagai ‘anti-Amerika’.

Richard Falk, seorang professor  politik  antarabangsa di Princeton, pernah memberikan penjelasannya  akan perkara ini. Dasar luar negara Barat, katanya, disemai  melalui  media melalui satu rencana penyebaran berita positif yang  bersifat satu hala di mana  segala imej  nilai hidup positif barat yang  kelihatan suci murni  itu digambarkan sedang terancam, sekaligus merestukan sebarang kempen  keganasan  politik yang tidak ada tepiannya.

Menjulangnya   Rumsfeld dan  timbalan beliau, Paul Wolfowitz,  dan sekutuan mereka seperti Richard Perle dan Elliot Adams, membawa erti betapa sebahagian besar dunia ini sedang  diancam secara terbuka oleh  ‘geopolitical fascim’ (konsep  sikap  fasis  serantau) yang  telah  dicanai sejak 1945 dan dipacu ligat sejak 11 September.


Kumpulan samseng yang ada di Washington sekarang ini adalah  merupakan kumpulan fundamental Amerika yang tulen. Mereka ini adalah suku-sakat John Foster Dulles dan Allan Dulles, pasangan ‘Baptist fanatic’  sewaktu  1950-an dulu,  mencengkam kuasa di Jabatan  Negara dan CIA.  JF Dulles menguasai jabatan Negara dan Allan Dulles pula menguasai  CIA, dan mereka  telah campur tangan dalam pertadbiran luar negara -  Iran, Iraq, Guatemala  -  memperlekehkan  banyak  perjanjian antarabangsa, seperti  Perjanjian Geneva 1954 yang khusus  kepada Indochina,  Tindakan Foster Dulles mensabotaj perjanjian    yang khusus itu,  menyebabkan tercetusnya Perang Vietnam yang  mengorbankan lima JUTA  nyawa.  Maklumat negara  daripada fail yang sudah didedahkan rahsianya, menunjukkan betapa  AS hampir menggunakan  senjata nuklear sebanyak dua kali.

Kesamaan ugutan  itu jelas terbayang  ketika Cheyney  membuat ugutan terhadap  ‘40 hingga 50 negara’, dan  mengenai  peperangan  ‘yang tidak akan tamat  sepanjang hayat kita.’ Istilah kata segala  alasan  kepada  gerakan  ketenteraan  ini telah lama disediakan maklumatnya  di dua  seberang Lautan Atlantik oleh  satu ‘kilang cerdik-pandai’ yang telah menyauk  keinsanan daripada kajian mereka  terhadap  pelbagai negara  dan membekukan semua kajian itu untuk dicetuskan satu  cogankata yang digunakan sebagai lambang tindakan kuasa  yang  dominan. Negara yang miskin diistilahkan sebagai ‘negara yang gagal’; sesiapa yang menyanggah Amerika diberi label ‘negara pengganas’;sebarang serangan   oleh Barat diiktiraf sebagai  ‘campurtangan  berperikemanusiaan’. (Salah seorang juruterbang yang  melakukan pengeboman dulu dengan ligatnya ialah Michael Ignatieff, kini bertugas sebagai ‘professor hak asasi manusia’ di Harvard).Seperti yang pernah berlaku di zaman Dulles dulu, peranan  PBB  sudah menggelonsor  kepada satu watak tukang sapu segala serpihan  bom dan terus menjalankan tugas sebagai   pelindung kawasan  jajahan.

Serangan udara keatas  Menara Kembar di New York memberikan peluang kepada Bush dan Rumah Putih  dengan satu alat pemacu  yang  muncul secara kebetulan yang menakjubkan. Bekas menteri luar Pakistan, Niaz Naik telah  mendedahkan kisah dia  diberitahu oleh  seroang pegawai tinggi AS pada pertengahan Julai,  betapa tindakan ketenteraan terhadap Afghanistan  berkemungkinan dimulakan  pada pertengahan Oktober. Ketika itu, setiausaha negara AS, Collin Powell, sedang berada di Asia Tengah, meraih sokongan  untuk  menubuhkan satu pasukan  melancarkan perang  anti-Afghanistan.

Masalah sebenar Washington dengan Taliban, tidak  ada kena mengena  dengan hak asasi manusia, kerana  semua itu tidak relevan. Regim  Taliban tidak mempunyai kuasa yang menyeluruhi  Afghanistan.  Ini adalah  hakikatnya  yang  melunturkan semangat para pelabur  untuk  membiayai  saluran paip minyak dan gas daripada Lautan Caspian. Sedangkan semua itu mempunyai kedudukan yang strategi berbanding Russia dan China  dan sumber  asli yang belum digerudi itu  adalah  merupakan  bahan  kepentingan  yang diminati oleh Amerika.

Pada 1998,  Dick Cheyney  telah memberitahu   para  ekskutif  industi minyak, “Saya tidak dapat fikirkan satu situasi  di mana  sebuah  wilayah tiba-tiba menonjol menjadi  begitu   penting  sebagai bahan strategi  seperti Caspian.’

Sememangnya, ketika Taliban merangkul kuasa pada 1996, bukan sahaja  puak ini  dialu-alukan oleh  Washington, dan pemimpin mefreka diterbangkan  ke  Texas,  yang ketika itu mempunyai seorang gaboner bernama George W Bush,  dan mereka telah diberikan layanan  oleh pegawai syarikat minyak Unocal.Puak Taliban tealh dijanjikan  sebahagian  keuntungan projek itu 15 persen khabarnya. Seorang pegawai tinggiAS berpendapat, apabila  minyak dan gas Caspian sudah mula mengalir, ‘Afghanistan akan menjadi sebuah negara baru ala Arab Saudi’, sebuah tanah jajahan minyak yang tidak ada demokrasi  dan di mana  kaum wanita  mudah didera. ‘Kami tidak kisah itu semua’, katanya.  Perundingan  itu  gagal dimetarai apabila dua buah kedutaan Amerika di Afrika Timur  telah dimusnahkan dan kumpulan Al-Qaeda dituduh sebagai  kumpulan  yang melakukannya.

Dengan pantas, Taliban  sudah menonjol naik di bahagian teratas senarai  momok dunia keganasan, sedangkan masih banyak  pengecualian sengaja  dilaksanakan. Sebagai contohnya ialah regim  Vladimir Putin di Moscow, pembunuh kejam yang mengorbankan 20,000 rakyat Checnya  telah  sengaja dikecualikan. Minggu lalu, Putin telah  diberikan  layanan  oleh  ‘sahabat terbaru’nya, George W Bush  di ladang (ranch) di Texas.

Bush  dan Blair merupakan insan yang dikecualikan  sehingga kiamat – walaupun lebih ramai kanak-kanak Iraq yang  mati setiap bulan, kebanyakannya disebabkan  sekatan  ekonomi (embargo) Anglo-Amerika. Apabila dibuat perbandingan dengan kematian yang berlaku di menara kembar yang  menyembah bumi itu, terserlah satu kebenaran yang tidak boleh disiarkan  untuk menyuntik pemikiran  dunia.  Pembunuhan kanak-kanak Iraq, seperti juga pembunuhan  beramai-ramai di Chechnhya,  dan juga pembunuhan  rakyat awam Afghan, diperlekehkan  jauh lebih hina  berbanding  pembunuhan  di Amerika.


Pengalaman peribadi mengenai semua  pengeboman dahsyat ini,   membuatkan saya  terpinga-pinga melihatkan mereka yang menggelar diri  sebagai  ‘liberal’ dan ‘progresif’ yang dengan sengaja bersedia  membiarkan sahaja  segala  keperitan hidup  mereka yang tidak  berdosa di Afghanistan. Apakah anggapan para pengulas yang  mementingkan diri  ini,  yang tidak  menyaksikan  setiap pergolakan dunia luar,  terhadap  keluarga para pelarian   yang mati  dibom di sebuah pekan bernama Gardez, beberapa hari  selepas  pekan itu  sudah pun  jatuh ke tangan  pasukan  anti-Taliban?

Apakah yang mereka katakan  kepada  ibubapa  kanak-kanak yang mati  bergelimpangan di jalan raya Kunduz pada  hari Ahad yang lalu? ‘Empat puluh  orang terkorban,’ kata Zumery, seorang  pelarian. ‘da yang mati  melecur  kerana  bom yang meledak,  ada  yang  ditimpa  tembok dan bumbung  rumah yang runtuh, disebabkan kuatnya  gegaran.’  Apakah yang dicakapkan oleh  Polly Toynbee  daripada Guardian kepadanya: ‘Apakah anda tidak  dapat melihat betapa  berkesannya  pengeboman itu?’ Apakah wanita itu akan menuduh  si Afghan tadi sebagai anti-Amerika? Apa pula yang dicakapkan oleh  ‘humanitarian interventionists’ (jururunding keinsanan?) kepada  manusia yang akan mati ataupun bakal dimangsakan  oleh 700,000 (tujuh ratus ribu) butir  bom berangkai yang gugur  di bumi tetapi  belum  meledak lagi?

Selama beberapa minggu, ‘the Observer’  sebuah akhbar liberal, telah  menerbitkan  laporan yang tidak disahkan  yang melibatkan  Iraq kepada  peristiwa  11 September dan  kisah  anthrax yang  menakutkan.  ‘Sumber Whitehall’  dan  ‘sumber risikan’ merupakan tukang canang  cerita pembohongan seperti ini. ‘Bukti yang sungguh  banyak...’ kata salah satu  pemberitaan itu. Nilai  segala  bahan bukti itu  sebenarnya  kosong  belaka, kerana semua itu  adalah  bahan tipu muslihat  manusia  seperti   Wolfowitz  dan Perle dan mungkin juga Blair, yang memang dijangka  akan akur dengan serangan  itu.

Dalam penulisannya; ‘The Banality of  Evil’  (Kedurjanaan Kejahatan) seorang  aktivis  pembangkang  ulung Amerika, Edward Herman, telah menceritakan kisah  pembahagian tugas  di kalangan mereka  yang mencipta  dan mengeluarkan   senjata seperti  bom berangkai  dan  ‘daisy cutters’ (bom punah-ranah napalm), dan mereka yang membuat keputusan politik  untuk mengguna segala senjata itu dengan mereka  yang bertugas   menyediakan propaganda penuh ilusi untuk  mengesahkan penggunaannya. ‘Inilah tugas persekongkolan para pakar, dan  media perdana,’ katanya,  ‘untuk   menyogok minda   orang awam  menerima perkara yang tidak masuk akal itu menjadi sesuatu  yang  lumrah dan biasa.’

Sudah tiba masanya, para wartawan  merenungkan perkara ini, dan menilai risiko  mendedahkan   kebenaran  tentang    ancaman yang tidak disedari bahawa segala   bahaya yang mengancam itu tidak datang daripada  tempat yang jauh jaraknya, kerana  semua sudah berada di  depan mata.

Tamat.SPAR  28/11/01.

hits: