HAJAT BN DI SARAWAK MATIKAN DEMOKRASI, GAGAL

Dalam tempoh seminggu dua ini memang teramat banyak isu menarik sepatutnya boleh di ulas bagi menyedarkan rakyat Malaysia dan memecahkan belenggu yang membuat rakyat menjadi jumud dan tidak berupaya membezakan antara kebenaran dengan propaganda politik BN yang terdesak untuk UN di Sarawak.

Sebenarnya kemenangan sebegitu besar bagi BN Sarawak bukanlah kerana kekuatan mereka, tetapi kerana politik konspirasi yang diatur dan diskripkan. Kemudian rakyat Sarawak yang kebanyakannya masih dibelenggu pemikiran khurafat politik yang ditanam sebegitu lama oleh parti-parti BN di Sarawak tentang pembangunan, kemajuan dan isu perkauman yang tambah mendangkalkan lagi akalbudi mereka. Ditambah pula rasuah politik di musim-musim pilihan raya di saat rakyat seperti orang lapar atau bulur, adalah amat sukar bagi rakyat menolak apa jua bentuk sogokan yang menggiurkan itu.

Sekalipun, parti-parti pembangkang di Sarawak hanya menang dua kerusi DUN, satu DAP dan satu lagi BEBAS. Bermakna hajat besar BN hendak mematikan terus amalan demokrasi di Sarawak sudah dijawab oleh rakyat Sarawak. BN gagal mematikan demokrasi dan bahawa orang Sarawak masih mahu demokrasi terus hidup di Sarawak, walaupun politik dan amalan demokrasi di sana seperti berkeadaan sesak nafas.

Dalam keadaan perjalanan atau amalan berpolitik demokrasi yang semakin hari semakin disempitkan dan dikawal semahunya oleh para pemimpin BN di mana-mana saja negeri yang mereka kuasa. Namun, dengan kesedaran rakyat Malaysia di seluruh pelusok dan ceruk desa serta kampung sudah mula kelihatan. BN sebenarnya sekadar menumpang di atas pengaruh kuasa yang mereka pegang sebegitu lama, rakyat pula masih belum terbuka minda dan masih dicengkam kuat oleh gaya kepimpinan BN yang mengugut, memaksa dan menakut-nakutkan rakyat. Selain, cengkaman kuasa para pemimpin BN ke atas agensi dan jabatan kerajaan yang berpengaruh terhadap rakyat seperti RTM, Polis, institusi masjid, Jabatan Penerangan, JPN, Pendidikan, malah SPR yang bebas itupun masih boleh dicekup oleh BN dan lain-lain. Boleh dibayangkan betapa tenatnya amalan demokrasi di Malaysia hari ini.

Parti pembangkang dianggap orang asing dan luar. Rakyat yang menyokong pembangkang atas nama kebebasan dan amalan demokrasi dianggap anti-kerajaan. Pembangkang, rakyat, pendokong dan penyokong parti-parti yang tidak berada di pihak kem BN difitnah, dipertuduh dan dikambinghitamkan dengan pelbagai fitnah dan tuduhan yang bukan-bukan.

Dan hanya satu harapan kita kepada kepimpinan BN di Sarawak dan di mana-mana jua negeri yang mereka kuasai supaya bersikap adil kepada semua rakyat Malaysia, walau apapun anutan politik mereka. Bahawa kuasa politik yang mereka perolehi itu bukan untuk semata-mata mengenyangkan perut pemimpin, penyokong dan kroni, tetapi kepada semua rakyat negeri dan negara ini. Ikutilah kepimpinan yang diamalkan di Terengganu dan Kelantan yang sudah memulakan pendekatan politik lebih adil, toleransi dan mencerminkan kerajaan yang baik. Sekalipun, mereka didera dan dikepung oleh sikap dendam kerajaan pusat yang masih dikuasai oleh UMNO/BN pimpinan Mahathir dan Pak Lah.

Kepada parti-parti pembangkang kekalahan bukan bermakna perjuangan untuk membela rakyat yang didiskriminasikan, dizalimi dan dipinggirkan oleh BN, menegak keadilan dan usaha membentuk kerajaan yang baik, adil dan telus sudah berakhir. Pasti tidak! perjuangan mulia ini tidak akan berakhir selama masih ada rakyat yang dizalimi, belum menikmati keadilan ekonomi, pendidikan, sosial dan keadilan masih dibayangi kezaliman pemimpin tamak, rakus dan 'gila' kuasa.

Mari kita bangunkan kesedaran rakyat, pecahkan tembok kejumudan minda rakyat dan tumbangkan BN yang hanya bersandiwara tentang pembangunan, tengan keadilan, tentang kebebasan, tentang demokrasi, tentang Islam dan tentang hak asasi. Tetapi mereka (para pemimpin) BN terus bersekongkol dengan gerak kerja menipu, memperbodohkan rakyat, membuat fitnah politik demi untuk menyelamatkan diri, kuasa dan BN sahaja dengan berpijak di batang tubuh rakyat.

Rakyat Malaysia, bukalah akal minda anda seluas-luas agar dapat melihat kebusukan hati perut dan tipu muslihat para pemimpin BN dengan agenda peribadi, kroni dan mengkayakan suku sakat serta rakan-rakan kamcing mereka.

Ibn Sabah,
29.9.2001M.

Hits: