Kesan intifada ke atas penaklukan Israel di Palestine

Oleh Zafar Bangash

Walaupun kritikan terhadap Israel dan Zionis mendominasi Persidangan Antarabangsa Menentang Fahaman Ras (Racism) anjuran PBB di Durban, Afrika Selatan baru-baru ini, kehidupan penduduk Palestine yang dijajah Israel tidak banyak berubah kerana tentera Zionis masih terus menindas mereka dengan kejam. Meski pun Israel kini mengambil tindakan untuk melumpuhkan pejuang Palestine dan bukan membunuh mereka (untuk menutup jumlah kematian), angka penduduk Palestine yang terbunuh sentiasa bertambah.

Salah seorang daripada mereka yang syahid ialah Fayeq Abu Siyam, 30, yang terbunuh akibat tembakan daripada helikopter Israel pada 10 September lalu. Walau bagaimana pun pihak Pejuang Islam tidak mendiamkan diri dan telah membunuh lima orang askar Israel dan mencederakan berpuluh-puluh orang yang lain dalam tiga operasi berasingan pada 9 September lalu.

Dalam masa yang sama, Israel masih meneruskan rancangan mereka untuk menjajah lebih banyak bumi Palestine, termasuk rancangan untuk menghalau rakyat Palestine dari al-Quds (wilayah Islam di Baitulmaqdis) dan menghadkan mereka ke kawasan-kawasan seumpama kem tahanan di Tebing Barat.

Amerika Syarikat (AS) pula terus menyokong Israel, contohnya apabila ahli politik utama AS mengadakan demonstrasi pro-Israel di New York pada 23 September lalu bagi menyaingi demonstrasi-demonstrasi penyokong Palestine yang diadakan pada bulan September yang merupakan ulang tahun permulaan intifada al-Aqsa.

Keadaan yang menekan seperti pembunuhan penduduk Palestine, pengepungan bandar-bandar dan kampung-kampung di Palestine, kelumpuhan ekonomi dan kekurangan air dalam keterikan cuaca sekarang mungkin akan menyebabkan rakyat Palestine dan penyokong mereka merasa putus asa. Walau bagaimana pun hal ini bukanlah gambaran sebenar situasi di Palestine. Penentangan berani yang dilakukan oleh rakyat Palestine telah meninggalkan kesan yang mungkin tidak pernah kita fikirkan beberapa bulan dahulu. Beberapa perubahan ketara telah berlaku di wilayah yang ditakluki di Palestine.

Ha’aretz, sebuah akhbar Yahudi dalam laporannya pada 5 September menulis: “Radio Israel melaporkan bahawa  seramai 62 orang pelajar sekolah tinggi Israel telah mengisytiharkan pada hari Rabu (5 September) dalam sepucuk surat kepada perdana menteri Ariel Sharon bahawa mereka enggan berkhidmat dalam angkatan tentera Israel dan menyifatkannya sebagai operasi kejam tentera di wilayah-wilayah Palestine.” Remaja itu juga menggesa remaja Israel lain menuruti langkah mereka.

Ha’aretz juga melaporkan reaksi pegawai-pegawai kerajaan dan ahli politik terhadap perkembangan tersebut. “Penggubal undang-undang Zevelun Orlev dari Parti Keagamaan Nasional menyifatkan surat tersebut sebagai satu amaran. Dia mendesak tenaga pengajar kumpulan remaja tersebut menyiasat punca yang menyebabkan remaja merasa tersisih daripada negara mereka.”

Tindakan mereka ini bukanlah menunjukkan bahawa Israel mula membenci kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestine, sebaliknya tindakan itu disebabkan mereka takut mati. Sekarang ini empat orang askar Israel berada dalam penjara kerana enggan berkhidmat dalam tentera dan sekurang-kurangnya 60 orang tentera simpanan masih tidak melaporkan diri.

Hal ini berlaku meski pun tentera Israel diberi kebebasan mutlak untuk membunuh dan melumpuhkan rakyat Palestine. Kebebasan ini diambil kesempatan oleh penduduk Yahudi bersenjata di wilayah Palestine yang turut membunuh orang awam Palestine setelah memerangkap mereka.

Dari masa ke semasa wartawan Amerika sendiri terpaksa melaporkan mengenai jenayah-jenayah ini. Jack Kelly dari akhbar USA Today melaporkan bahawa pada 4 September lalu sekumpulan penduduk haram yang berasal daripada Brooklyn, AS, membunuh penduduk Palestine di bandar al-Khalil, Hebron. Penjenayah-penjenayah yang dilahirkan di AS ini menggelar rakyat Palestine sebagai “sampah Muslim.”

Dalam menceritakan tindakan kumpulan itu yang dianggotai oleh seorang lelaki bernama Avi Shapiro dan 12 orang penduduk haram Yahudi lain, Kelley menulis: “Semasa bersembunyi di dalam parit berhampiran jalan itu, Shapiro ketua kumpulan tersebut telah memberi arahan kepada ahli kumpulan supaya mengepung mana-mana teksi, ‘menembak’ dan membunuh seberapa ramai penumpang ‘Arab penghisap darah’ yang boleh.” B’Tselem, sebuah kumpulan hak asasi kemanusiaan Israel melaporkan bahawa penduduk haram Yahudi telah membunuh sekurang-kurangnya 119 orang rakyat Palestine di Tebing Barat dan Gaza sejak bermulanya intifada. Namun tiada akhbar atau televisyen yang berani merujuk kepada tindakan ini sebagai suatu jenayah.

Malah, CNN telah memberi arahan kepada wartawannya supaya melaporkan jenayah yang dilakukan oleh Israel dengan menyebutnya sebagai “kematian orang Palestine” dan tidak merujuk kepada Gilo sebagai “wilayah yang ditakluki Israel.” Gilo yang ditakluki sejak tahun 1967 merupakan salah sebuah daripada penempatan haram Zionis yang beroperasi sebagai pengkalan untuk mengetatkan kawalan ke atas Baitulmaqdis. CNN mahu wartawannya merujuk kepada kawasan itu sebagai “tempat tinggal Yahudi.”

Pada 27 Ogos lalu, kereta kebal Israel telah menceroboh Beit Jala, bandar berhampiran Baitulmaqdis yang didiami oleh majoriti penduduk Kristian Palestine dalam percubaan untuk menghalang serangan ke atas penduduk haram Zionis di Gilo. Walaupun mereka berjaya dihalau keluar dari kawasan itu tiga hari kemudian, tentera Israel telah menyebabkan banyak kerosakan ke atas harta benda dan tempat ibadat. Kereta-kereta kebal Israel meninggalkan perkarangan gereja Lutheran Beit Jala pada 30 Ogos. Mereka juga memasuki masjid bersebelahan gereja itu. Pada 31 Ogos, kereta kebal Israel memusnahkan dinding biara Armenia yang bersebelahan untuk membina laluan kenderaan tentera ke kem pelarian Aida.

Rancangan Israel memang jelas. Sharon berusaha untuk menakluki semula wilayah Palestine di Tebing Barat dan Gaza. Malah, memang itulah polisi Israel sejak dahulu lagi. Walau bagaimana pun, rancangan mereka ini telah mendapat tentangan daripada pihak Palestine. Pada 25 Ogos, tiga orang anggota Barisan Popular Pembebasan Palestine (PFLP) telah menyeludup masuk ke pos tentera di Gaza dan membunuh tiga orang tentera dan mencederakan tujuh orang yang lain. Dua orang daripada komando Palestine itu telah syahid sementara seorang lagi berjaya menyeludup keluar.

Tindakan ini meninggalkan satu kesan berat ke atas moral tentera Israel. Tidak hairanlah jika Israel bertindak ganas keesokan harinya dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke pejabat Mustafa al-Zibri di Ramallah. Setiausaha agung PFLP yang berusia 63 tahun itu telah syahid dalam serangan tersebut. Seorang jurucakap Jabatan Negara AS yang merujuk kepada kritikan-kritikan terdahulu negara itu terhadap tindakan seumpama ini yang disifatkannya sebagai ‘serangan terancang’ Israel berkata: “Pandangan kami terhadap serangan sedemikian sememangnya sudah diketahui umum.” Walau bagaimana pun dia tidak mengulas lebih lanjut. Amerika ialah penyokong utama jenayah Zionis seperti yang ditunjukkan dengan jelas di Persidangan Durban itu sehinggakan semua orang menyedarinya.

Perjuangan ke atas Palestine mestilah dilakukan di Tanah Suci. Rakyat Palestine melakari episod baru dengan darah mereka. Namun perjuangan ini tidak akan mudah. Umat Islam telah melencong jauh daripada jalan Islam menyebabkan mereka memerlukan tempoh masa yang panjang untuk kembali ke jalan sebenar. Rakyat Palestine telah memulakan proses itu. Buktinya, mereka tidak lagi gentar untuk mati. Sebaliknya puak Zionislah yang merasa kecut perut. Ketakutan ini digambarkan oleh ketandusan pengunjung ke kompleks membeli belah di Tel Aviv dan Baitulmaqdis, kafe dan restoran yang ketiadaan pelanggan dan kekurangan pelancung ke Israel. Malah puak Zionis sendiri tidak berani menjejakkan kaki: beberapa kem remaja yang biasa dianjurkan oleh penduduk Yahudi keturunan Amerika di wilayah ditakluki Palestine telah dibatalkan. Hal ini menaikkan kemarahan kumpulan Zionis tersebut. Hakikatnya, walau pun Zionis Barat menyokong Israel dari jauh, apabila berlaku sesuatu kesusahan mereka tidak mahu terlibat sama.

Turut jelas ialah kegagalan Zionis untuk menarik pendatang baru tinggal di wilayah Palestine. Selama lebih daripada dua tahun, mereka telah berusaha menarik Yahudi (dan juga bukan Yahudi) daripada Russia dan Latvia dengan menjanjikan pekerjaan dan tempat tinggal. Yahudi Russia dan Latvia yang menderita akibat kejatuhan pemerintahan komunis ini mudah tertarik tetapi mudah pula putus asa. Hampir 40 peratus daripada kawasan penduduk haram Yahudi di Tebing Barat masih kosong.

Tidak kurang juga kesan intifada ke atas ekonomi Israel. Hasil perjanjian  Oslo pada tahun 1993, pelaburan masuk mencurah-curah ke Israel. Walau bagaimana pun, kini hampir semuanya telah terhenti dan tenaga buruh murah daripada Palestine juga sukar didapati. Sememangnya, perkara ini membawa implikasi yang lebih besar ke atas rakyat Palestine kerana lebih daripada separuh penduduknya telah tidak mempunyai pekerjaan selama hampir setahun. Rakyat Palestine mengalami kesusahan yang amat sangat disebabkan dilema mereka dalam perkara ini.  Sekiranya mereka tidak berkerja mereka akan kebuluran, tetapi sekiranya mereka berkerja dengan Israel mereka akan membantu menambah cengkaman Zionis ke atas bumi sendiri.

Namun, perubahan sebenar berlaku dari segi pandangan umum. Rakyat Palestine kini percaya bahawa mereka mampu bangun menentang Zionis. Kegagalan puak Zionis untuk menakluki mana-mana bandar atau kampung Palestine untuk sesuatu tempoh yang lama adalah kesan secara langsung daripada pandangan ini. Rakyat Palestine kini bersedia untuk mati syahid. Sememangnya, sebaik sahaja seseorang hilang rasa takut untuk mati, tiada sebarang kuasa dunia yang boleh mengalahkan mereka. Kesannya rakyat Palestine menjadi semakin berani untuk mati, sebaliknya puak Zionis menjadi semakin pengecut.

Gerakan intifada ini juga telah menjejaskan ekonomi Israel. Walaupun Israel menerima sumbangan yang banyak daripada AS (AS$92 bilion setakat ini), struktur ketenteraan Israel masih memberi kesan ke atas ekonomi. Israel mempunyai tentera seramai 50,000 orang. Namun, disebabkan oleh intifada, keperluan perkhidmatan tentera untuk remaja dan orang dewasa juga bertambah. Israel memerlukan sekurang-kurangnya 300,000 orang anggota tentera untuk menumpaskan gerakan intifada (kalaulah ia boleh dilakukan). Ekonomi Israel pastinya akan terjejas dan lebih lama intifada berlaku maka akan lebih teruklah kesannya ke atas ekonomi Israel.

Terdapat juga satu lagi faktor: semua penindas dan pembuli sememangnya pengecut. Beberapa buah syarikat sekarang secara terang-terang mengiklankan peluang pelaburan di luar negara. Hal ini merupakan perkembangan baru. Kalau dahulu tindakan ini disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap negara, ia kini tidak lagi menjadi masalah. Disebabkan intifada, Yahudi Israel kini tertanya-tanya sampai bilakah mereka boleh tinggal di wilayah ditakluki Palestine. Pergerakan Islam Palestine perlulah membuat perancangan teliti dan tepat demi kepentingan masa depan mereka.

Diterjemahkan daripada artikel Israel feeling the pressure as world shows its support for the intifada, Crescent International, 16 September 2001. (http://www.muslimedia.com/isr-pressure.htm)

Terjemahan : Mak Andak

Hits: