Pembangkang Afghan Menolak  Serangan Udara AS
(Afghan  Opposition Says No To US Strike)

oleh: The Times Of  India.

Rome:  Pemimpin pembangkang  Afghan telah  bersidang  di Roma pada  hari Sabtu yang lalu untuk  mengirimkan satu pesanan  yang  jelas kepada  Amerika Syarikat supaya tidak menyerang  Afghanistan, dan  sebaliknya  meminta  AS  membekalkan mereka  kelengkapan perang   untuk  membolehkan mereka menghalau para  pengganas  itu sendiri.

“Bekalkan kami  kelengkapan dan  biarlah kami sudahkan  tugas itu,” kata  Mostapha Zahir, pembantu khas kepada bekas Raja  Mohammed Zahir Shah, 86,  yang baru-baru  ini  ditemui oleh pasukan pembangkang dan  PBB  kerana menganggapnya sebagai pemangkin  keamanan  di negara itu.

Komander  tentera  daripada  Perikatan  Utara, yang telah memerangi  militia Taliban selama ini, dan  beberapa  ketua  perang  pasukan lain  telah  bersidang  di Roma, di  rumah kediaman  bekas raja itu dan  membuat perakuan  kepada AFP betapa  mereka  tidak  mahukan  campur tangan  Amerika Syarikat.

Turut hadir memberikan sokongannya  ialah   ahli Kongres  (Rep) Dana Rohrabacher,  yang telah  bertemu dengan   para  ketua  kumpulan ketenteraan itu di  sebuah hotel  dan  menjanjikan mereka  “satu pakej bantuan besar” untuk membangunkan kembali negara mereka  seandainya  mereka berjaya menggulingkan  Taliban dan  menghapuskan  Osama Bin  Laden.

“Tetapi  perkara itu tidak akan berlaku  selagi  Taliban memegang  kuasa  dan  seandainya  mereka tidak  mempunyai  sebuah kerajaan  awam,” kata Rohrabcher,  seorang ahli   Jawatankuasa  Perhubungan  Antarabangsa. “Inilah peluang terbaik kepada  orang Afghan  sejak  10 hingga  15  tahun  yang  lalu.”

Rohrabcher berada  di Roma bersama satu perwakilan  ahli  parti Republikan untuk merencana  satu pertemuan dengan  bekas  raja, yang  berhajat   menyatukan semula  rakyat Afghan  untuk menubuhkan sebuah  kerajaan  yang  lebih  berwibawa.

Setengah dozen  ahli Perikatan  Utara  yang  anti-Taliban itu bercadang menemui bekas raja mereka Mohammed Zahir Shah, yang telah  menetap di  Itali  sejak  dia  disingkirkan pada  1973 dulu, tetapi  masih lagi dianggap  sebagai  seseorang  yang  mempunyai  ketokohan  untuk  menyatukan kembali negara itu di bawah sebuah  kerajaan  baru  seandainya  Taliban disingkir  dari  situ.


Perikatan  Utara  menguasai  kurang  dari 10 persen  Afghanistan, tetapi  menjadi semakin berani  apabila  munculnya  ugutan   Amerika  mahu menghukum Taliban dan tetamu mereka, Osama bin Laden. Osama  telah  menjadi  orang  yang  tertuduh  paling  utama  kerana serangan  udara  pada  11 September  lalu  ke atas  Pusat Dagang Dunia  dan  Pentagon.


Zahir  ialah  seorang  cucu  kepada  bekas  raja  itu, telah  turut  meminta  Washington  agar  menekan  Pakistan, yang merupakan  sekutu  utama  dalam usaha Presiden Bush  melancarkan  ‘perang salib’ menghancurkan  keganasan itu.

Zahir berkata   jabatan  ISS ( Inter-Services Intelligence)  Pakistan  telah menjadi  ‘satu kerajaan  dalam  kerajaan’ yang  membantu sekutu Taliban  menghenyak rakyat Afghan.

“Bahaya  kepada  Pakistan  adalah lebih besar  berbanding   Afghanistan  apabila berlakunya pengaruh besar  fahaman Taliban dalam  angkatan  tentera  mereka,” kata  Zahir.

Yunus  Qanuni, seorang tokoh utama  Perikatan  Utara, berkata   bahawa penghalang  utama   terhadap keamanan  di Afghanistan   ialah  kewujudan  jirannya  yang   sungguh  berkuasa. Beliau berpendapat bahawa Taliban hanya  merupakan “alat  kepada  strategi  jangka panjang  Pakistan.”

tamat

Hits: