SEBAGAI SALAH SEORANG RAKYAT MALAYSIA

Sebagai seorang rakyat yang cintakan keamanan serta keharmonian berpendapat, tak perlulah kita merasa sombong atau iri hati terhadap orang lain, ini akan menimbulkan salah anggap yang akan menyebabkan perselisihan faham, bertengkar, bergaduh dan seterusnya berlakulah persengketaan antara kita sesama rakyat Malaysia, dan akan membawa kepada kesan yang amat buruk bagi kita sebagai individu, masyarakat serta penduduk negara ini.

Walaupun ramai di antara kita rakyat Malaysia yang berlainan parti, penyokong serta pandangan yang berlainan, kita haruslah sentiasa menghormati pandangan orang lain, janganlah menghina atau mengutuk di hadapan ataupun di belakangnya. Saya percaya setiap agama di negara ini juga melarang penganutnya mengumpat orang.

Sebagai rakyat Malaysia, kita patut menyedari serta membuktikan kepada dunia bahawa walaupun negara kita memang sudah dikenali sebagai negara yang berbilang kaum, agama dan adat resam, ia masih mampu hidup aman, damai, bersatu padu serta dapat berkerjasama dan tolong-menolong di antara kita.

Rakyat M'sia.


Nota webmaster: Alhamdulillah dan jazakallah kepada email anda. Saya ingin menyambung sedikit peranan kita sebagai salah seorang rakyat Malaysia. Jika saudara seorang Islam, pastilah anda tidak akan dapat menafikan bahawa tanggungjawab kita bukan sekadar yang anda gariskan di atas yakni hidup bertoleransi dan tidak menimbulkan atau mencetuskan apa yang boleh membawa kepada perselisihan faham, tetapi kembali kepada maksud asal kewujudan kita ke dunia ini sebagaimana firman Allah (bermaksud):

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepadaKu" - ayat 56 Surah Adz-Dzariyat

Inilah tujuan utama kita dilahirkan ke dunia. Inilah perkara pokok mengapa Allah menjadikan manusia dan jin yakni bagi mentadbir dunia mengikut acuan dan kehendak Allah. Namun manusia sudah lupa kepada asal usul mereka dan lupa kepada perjanjian hidup tatkala roh hendak disempurnakan waktu dalam kandungan lagi. Perjanjian waktu itu adalah bagi kita untuk lahir ke dunia sebagai khalifah menegakkan apa yang dikehendaki Allah dan menghapuskan segala larangan-Nya.

Namun manusia amat gemar lupa kepada janji. Apabila lahir ke dunia manusia mengikut kata nafsu dan sehingga mengabaikan perjanjian dengan Allah yang dimeterai bersaksikan kehadiran malaikat. Maka apabila manusia lebih condong mengikut hawa nafsu maka tindakan serta keputusan yang dibuat oleh manusia lebih memihak kepada perbuatan yang derhaka kepada perintah Allah. Manusia yang bijak akan menggunakan apa sahaja alasan bagi menegakkan pendapatnya sehingga keluarlah kata-kata bahawa negara kita tidak wajib melaksanakan hukum hudud kerana penduduknya majoriti Islam hanya 52 peratus, kita terdiri dari masyarakat majmuk dan pelbagai alasan dikemukakan.

Allah tidak rugi jika kita tidak berkehendak kepada Islam. Justeru antara lain Allah menguji manusia dengan cara sedemikian, untuk melihat dan menilai amalan kebaikan dan ketaatan berbanding kejahatan dan kederhakaan mereka. Jika manusia lalai dan derhaka, maka Allah akan menurunkan malapetaka untuk pengajaran kepada manusia yang derhaka dan peringatan kepada mereka yang beriman. Allah berfirman (maksudnya):

"Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu, mengubah perkataan (perintah Kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya, maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (derhaka)" - ayat 59 Surah Al-Baqarah

Demikianlah peringatan Allah. Namun apa yang menyedihkan ialah manusia terlalu menjaga perasaan manusia lain (yang tidak beriman atau fasik) sehingga melukakan perasaan Nabi dan menjadi derhaka kepada perintah Allah. Justeru orang-orang yang beriman berjuang untuk mendaulatkan perintah Allah, manusia yang fasik dan derhaka kepada Allah sibuk dengan agenda menjaga hati manusia lain yang sama-sama kufur kepada Allah. Ini bukanlah bererti hubungan kita sesama manusia tidak penting, bahkan kita dianjurkan menjaga hubungan sesama manusia (hublun minannas) dalam menjaga hubungan kita dengan Allah (hublunminalLah). Namun amat dikesalkan hari ini ramai manusia lebih menjaga perasaan manusia yang fasik, tidak beriman daripada melaksanakan perintah Allah, perintah Rasul dan rukun Islam yang menjadi teras pegangan akidah manusia dengan Khalik. Untuk mengimbangi hubungan antara keduanya ini rajin-rajinlah kita mengaji, berguru atau berdampinglah dengan mereka yang ariff dalam keagamaan. Wallahua'lam~Webmaster