Israel  Mahu  Membunuh  Arafat, kata Peres. 
(Army wants to kill Arafat, says Peres) 

oleh:Inigo Gilmore  di Jerusalem 
(filed: 01/10/2001: http://www.portal.telegraph.co.uk/core/Content...)

Menteri luar Israel, Simon Peres, telah menuduh  pegawai tinggi  tentera darat Israel merancang untuk  membunuh  pemimpin  Palestine, Yasser  Arafat.

Tuduhan luar biasa  itu  terdapat dalam wawancara  yang akan diterbitkan  hari ini dalam akhbar ‘Yediot Ahronoth,’ satu  akhbar harian terkemuka; tetapi  beberapa bahagian temu bual itu telah  dibocorkan  semalam.

Dalam  wawancara  itu  Peres   menuduh   tentera  darat   memulakan kempen  cemuhan untuk  menjatuhkan air-muka  beliau  dan  berkata  timbalan ketua  turus tentera, Maj. General Moshe Yaalon, tidak faham  “penderitaan  Palestine”.  Dia  menyebut betapa Maj.Gen. Yaalon  mahu  menghapuskan  Mr. Arafat.

“Kalau pun kita   musnahkan  Yasser  Arafat, apa yang akan jadi kemudiannya?” demikian laporan  yang  menyebut  soalan  Mr. Peres  itu.  “Hamas, Jihad  Islamiyyah, dan Hizbollah akan muncul pula. Arafat  menerima kewujudan  Israel. Dia sanggup berbincang dengan kita dan  mahu diterima  di  Barat.  Tetapi, mereka  mahu mewujudkan satu buah negara antara Iraq  dan Mediterranean.”

Memang  sudah agak lama juga  Mr. Peres  menuduh   angkatan tentera  Israel “terlalu gatal  tangan” dengan senjata  mereka   dan  sentiasa  mensabotaj  usaha  beliau untuk membawa  kedamaian  dengan Palestine  dan  mengajak mereka  berunding  terus.

Yaser Arafat  telah lebih  berterus  terang. Ketika  mengadakan satu lawatan  di Mesir semalam dia telah berkata  betapa  perundingan  yang dimeterai  dengan  Mr. Peres minggu lalu  memperakukan    betapa runding-damai   yang lalu   telah  sengaja dimusnahkan oleh  pegawai  tentera  dan pemimpin  politik  Israel.

“Walaupun saya telah  mengadakan  rundingan politik dengan Mr. Peres,  ada sahaja kekecohan yang dicetuskan oleh  beberapa  pemimpin tentera  dan  segelintir pemimpin politik  di banyak pihak,” kata  Arafat  di  Kaherah.

Kekecohan politik semakin meningkat   dan  terdedah  menjadi satu perang politik apabila Mr. Peres,   yang merupakan   ‘merpati’  terunggul  dalam kabinet  Israel   cuba merayu secara terbuka kepada  masyarakat Israel  dan Amerika  untuk  menyokong usahanya menyelesaikan  masalah  Palestine dengan  satu  kedamaian  yang  berkekalan.

Tentera  Israel telah bertindak ganas  sejak  Mr. Peres  mengadakan rundingan dengan Yassir Arafat.  Sekurang-kurangnya  12 orang  Palestine  telah terbunuh  dan  lebih 150 mendapat  kecederaan sejak   perundingan yang bermula  pada  hari Rabu  lalu.

Peningkatan keganasan ini telah dikutuk  oleh pemimpin Amerika  yang  telah meminta Israel  mengelakkan  sebarang  bentuk  ‘provokasi’  dengan  menceroboh  wilayah Palestine dan  tindakan  yang  menghangatkan  keadaan.

“Nampaknya   pihak  tentera  Israel  tidak  boleh berdiam diri  melihatkan usaha kedamaian  itu  dan  tidak bersedia menerima  hakikatnya  bahawa  kuasa mengawal terletak  di tangan  pemimpin  Politik, “ demikian  kata pegawai  Kementerian Luar negara.

Suara lantang yang luar biasa itu   menggambarkan   ketegangan  yang  semakin meluas  di kalangan  ahli kabinet  Israel   tentang usaha   untuk  mendamaikan konflik Israeli-Palestine satu tahun  selepas  tercetusnya   kebangkitan  Palestine  itu.

Para menteri   yang  berfahaman  kanan sedang  mencuba  menyediakan satu barisan pemimpin  yang  menentang  usaha  Peres  untuk  mewujudkan “insiatif  politik bayangan’ dan  para  penyokong  Mr. Peres  telah menyebut  betapa  para pegawai tinggi angkatan tentera  telah  berbaris  menyokong barisan politik  yang  menentang  usaha beliau  itu.

Pemimpin Palestine  telah mengadu  betapa sukarnya   merencana satu   gencatan senjata kerana  sikap  ‘provokasi’  angkatan tentera  Israel. Pembunuhan kejam  ke atas penunjuk perasaan  Palestine  pada  hari Rabu  yang  lalu  telah  mencetuskan   beberapa tuduhan daripada  puak kiri   Israel  betapa  perdana  menteri, Ariel Sharon  memang tidak bersedia   menerima  gencatan  senjata itu.

“Jika tidak, adalah sukar   untuk  mencari penjelasan kenapa begitu   ramai rakyat  yang terbunuh  dan  tercedera  di  pihak Palestine,” kata  pemimpin pembangkang Yossi Sarid.

Yossi  Melman, seorang  penganalisis   ketenteraan berkata: “Kalau dulu-dulu saya tidak akan mempercayai  ada  yang tidak kena dengan pihak  ketenteraan  kerana mereka akan mematuhi  arahan  pemimpin politik untuk  bertindak. Kini, sudah ada  ruang untuk membuat tafsiran dan mungkin mereka  mempunyai agenda  sendiri untuk membantutkan usaha Mr.Simon  Peres.

“Sepatutnya apabila  gencatan senjata  diumumkan mereka  harus  lebih berhati-hati.”

Amerika telah  menekan  kedua  belah pihak  untuk  mencegah  keganasan  dan mengembalikan  ketenangan  ketika  mereka  cuba  mendapatkan kerjasama  negara Arab dalam peperangan  mereka  memerangi  keganasan.

Ariel Sharon kini terjerat   antara puak Kanan  yang  gelojoh,  yang merupakan penyokong kuatnya,  yang mahukan  tindakan  ketenteraan  memerangi  ‘Intifada’ dan  usaha beliau untuk  melegakan Amerika. Ada puak dalam kerajaan  Israel  yang melihat  serangan terhadap  Amerika  (September 11) sebagai satu peluang  baik  untuk menghumbankan Intifada, regim “pengganas”  Yasser  Arafat dan  mungkin  juga  pemimpin Palestine  itu dibunuh  sekali.  Lagipun Ariel Sharon  kerap sangat  mengaitkan Arafat  dengan Osama Laden.

Jawatankuasa  Keselamatan kabinet  telah  memberikan  Pihak Berkuasa  Palestine sehingga Selasa  untuk  membuktikan   betapa  ia  benar-benar  mahukan  gencatan senjata. Pegawai  Israel berkata,  kalaulah  Palestine tidak  bertindak  terhadap  puak pengganas itu,  kerajaan akan  menyambung semula  “tindakan yang dirancangnya”

Ketika  kabinet bersidang, Uzi Landau  yang merupakan  helang-puak- kanan, mengecam tindakan  Peres  menemui  Mr. Arafat.   Beliau berkata  pertemuan itu  telah “mengkaburkan  keadaan  orang   yang baik dengan orang jahat" dan  telah melumpuhkan keupayaan  pertahanan untuk melaksanakan  “kuasa perlindungannya.”

tamat

Hits: