Virus Minda : Kebenaran Menjangkiti Rakyat Malaysia

Oleh : Raja Petra
(Dari Laman FAC)

Pada hari berlakunya tragedi di Pusat Perdagangan Dunia New York, virus Nimda menyerang ribuan komputer di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terlepas. Virus terakhir yang mendarat di pantai kita beberapa minggu lalu – sebenarnya merupakan suatu cacing – menyebabkan banyak kerosakan kepada komputer di seluruh Malaysia. Apa yang menyedihkan dari keseluruhan episod tersebut adalah bahawa komputer-komputer kerajaanlah yang paling teruk terjejas, dan ia berlaku tidak lama selepas Menteri de facto Undang-undang dengan bangganya mengumumkan tentang pelancaran peluru berpandu terhadap laman-laman web Reformasi.

Bagi mendapat tahu bagaimana kerajaan Malaysia menghadapi serangan epidemik virus komputer yang terbaru ini, Suara PRM menemuramah pelbagai pekerja di jabatan kerajaan untuk mendapatkan pandangan mereka dan mengetahui apakah yang dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan komputer-komputernya tidak turut terjejas seperti mana yang berlaku kepada ekonomi Malaysia.

“Apa yang anda cakapkan? Virus Nimda?” tanya seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri. “Kami telah sekian lama dilanda komputer virus yang lebih serius lagi, virus Minda, dan ia menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding dengan apa yang boleh disebabkan oleh virus Nimda.”

“Virus Minda ini telah pun menyerang banyak laman-laman web negara ini dan telah mengakibatkan kerosakan yang agak besar dan tidak boleh diperbaiki di Internet,” tambah Menteri itu. “Dari pengiraan yang terakhir, sekurang-kurangnya 100 laman telah dijangkiti, dan ia membantutkan semua kerja-kerja baik yang Perdana Menteri cuba lakukan bagi memperkenalkan Multimedia Koridor Raya kepada dunia.”

“Rakyat tidak menyedari apa yang sedang berlaku,” kata Menteri itu. “Mereka terus sahaja melawati laman-laman yang dijangkiti virus ini dan serta-merta dijangkiti. Sebelum mereka melawati laman-laman web ini mereka tidak begitu tahu tentang politik Malaysia atau tentang apa yang sedang berlaku di negara ini. Namun sebaik sahaja mereka melawati laman-laman web ini mereka diracuni dengan fakta-fakta.”

Multimedia Koridor Raya, atau MSC, adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dan disasarkan bagi membawa negara kecil dengan penduduk seramai 23 juta orang ini ke era siber. Virus Minda, yang telah menjangkiti hampir 100 laman-laman web, pertama kali muncul pada 2 September 1998, pada hari Anwar Ibrahim disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan negara ini.

Seorang Ketua Polis Negara Malaysia, yang lebih suka untuk tidak dikenali, berkata bahawa pihak polis telah memantau masalah ini sejak tiga tahun yang lalu. “Kami mula-mula menyedarinya pada hari Anwar disingkirkan apabila laman web Anwar Online dilancarkan. Selepas tiga tahun menjalankan penyiasatan yang terperinci dan melakukan beberapa penahanan di bawah ISA, kami mula dapat menyelesaikannya,” tambah jurucakap polis yang tidak mahu dikenali itu. “Kini kami tahu kesemua mereka yang terlibat dan sedang memantau aktiviti-aktiviti mereka.”

“Pada mulanya ia tidaklah begitu serius,” jelas jurucakap polis itu. “Namun kesudahannya, apabila lebih banyak laman-laman web muncul, ia mula menjadi satu masalah. Kini pihak polis tidak mempunyai pilihan lain selain dari perlu mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah keji ini terhadap kemanusiaan.”

Menurut pakar-pakar siber, virus Minda merupakan residen di dalam semua laman-laman web pro- Reformasi. Begini caranya mereka berkerja : setiap kali orang melawati sebuah laman web Reformasi, kandungannya akan mempengaruhi mereka dan menjadikan mereka pro-Reformasi. Apabila mereka pernah sekali melawati laman web Reformasi, mereka akan mendapati bahawa adalah begitu sukar untuk tidak mengunjunginya semula. Malah sebahagian diketahui telah menjadi ketagih kepada mereka.

Seorang pakar psikologi di Hospital Universiti mendedahkan bahawa hospital tersebut telah menemui ribuan kes ketagihan laman-laman web Reformasi. “Ianya seperti Obsessi,” jelas pakar psikologi itu. “Perkara yang mula-mula mereka lakukan apabila mereka bangun dari tidur adalah untuk melayari internet. Mereka tidak pun menghiraukan untuk membasuh muka atau memberus gigi mereka terlebih dahulu. Ada sesetengah perkahwinan juga musnah disebabkan hal ini.”

Adakah ianya disebabkan oleh pasangannya diabaikan kerana ketagihan laman web Reformasi ini? “Tidak!” kata pakar psikologi itu. “Ianya disebabkan suami dan isteri berkelahi terhadap satu-satunya komputer di rumah mereka. Kaunselor perkahwinan kami terpaksa menasihati pasangan-pasangan ini untuk membeli komputer kedua bagi mengelakkan perkahwinan mereka dari hancur. Di dalam banyak kes, langkah ini berkesan dan perkahwinan dapat diselamatkan.”

Seorang pengarang di akhbar tempatan milik kerajaan mempunyai pandangannya sendiri berkaitan dengan hal ini. “Anda tidak boleh menyalahkan orang-orang ini.” Beliau menjelaskan. “Orang awam telah hilang semua keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap media tempatan, terutamanya akhbar-akhbar milik kerajaan. Stesyen-stesyen televisyen juga tidak ketinggalan. Apabila orang  merasakan yang mereka tidak boleh mendapat maklumat yang tepat melalui saluran tradisi seperti sebelumnya, mereka beralih kepada sumber-sumber lain. Dan mereka telah beralih kepada internet untuk ini.”

“Pihak media perlu menilik diri sendiri,” tambah pengarang itu. “Ia perlu menanyakan dirinya sendiri : adalah ia memainkan peranannya sebagai penyebar berita atau bertindak sebagai alat propaganda kepada kerajaan. Akhbar-akhbar tempatan mungkin perlu melihat kembali kepada peranannya sebagai hanya agensi berita, melaporkan berita-berita yang tidak berat sebelah, daripada lebih kepada satu pihak dan kadang kala berita-berita palsu dan pembohongan yang kini dilaporkannya. Apabila orang awam telah dapat diyakinkan bahawa akhbar-akhbar Malaysia boleh dipercayai semula, ia akan meninggalkan Internet dan memilih akhbar-akhbar.”

Perdana Menteri, walau bagaimana pun, lebih tenang, pertama kali dilihat beliau begitu. “Sudah tentu ini mungkin menjadi satu masalah,” Perdana Menteri memberi alasan. “Virus ini telah menyebabkan rakyat menentang kerajaan. Jadi, apa masalahnya? Pada penghujungnya, mereka boleh membenci kerajaan semahu mereka. Apa yang lebih penting adalah kita masih memegang kuasa.”

“Bukan laman-laman web Reformasi yang menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan. Pilihan raya Umumlah penentunya. Reformis-reformis ini boleh mempergunakan laman-laman web mengikut kehendak hati mereka. Mereka tidak akan dapat mengambilalih negara ini. Itu adalah kerana kita mempergunakan Pilihan raya Umum, di mana, pada penghujungnya, adalah lebih penting. Jadi kita akan memenangi pilihan raya. Itulah caranya kita akan terus berkuasa.”

“Walau bagaimana pun, kita perlu melihat dari segi kebaikannya. Mengapa perlu semua virus internet berasal dari Pakistan atau Filipina? Mereka tidak mempunyai sebarang MSC. Kita ada. Sekurang-kurangnya kita mempunyai satu virus yang dicipta di sini – virus Minda. Adalah satu dosa untuk membelanjakan ratusan juta ke atas MSC apabila Malaysia langsung tidak mempunyai teknologi untuk mencipta virus.”

“Virus-virus selalunya berasal dari negara-negara maju, negara yang mahir dengan komputer. Sekurang-kurangnya kita telah membuktikan bahawa Malaysia juga mempunyai teknologi untuk mencipta virus. Ini menunjukkan kita juga maju seperti mana negara-negara tersebut.”

“Minda” adalah perkataan Melayu untuk akal fikiran, sebuah nama yang tepat bagi virus yang “meracuni fikiran rakyat Malaysia supaya membenci kerajaan yang dipilih secara sah di dalam pilihan raya umum yang dikendalikan dengan tidak jujur”.


Terjemahan : SPAR

Hits: