Apa Gunanya  Berperang 
(There  will be no  war, it is not  needed) 

Sergey Snegov  Wartawan Pravda.

Suasana  yang  menyelimuti Afghanistan  telah  bergolak seperti  yang  pernah kita ramalkan.  Amerika  masih lagi  menggenggam penumbuknya,  mengugut Taliban dengan pengeboman sebagai   membalas  dendam. Operasi  ketenteraan yang dijanjikan itu sudah tertunda   berbilang kali, sehinggakan  tercetus   kesangsian   betapa peperangan itu tidak akan menjadi.  Kata-dua  Bush  sudah terkubur  dalam  lipatan sejarah bersama ugutannya  untuk membersihkan sarang   pengganas  sejagat  dan  memusnahkan Osama Laden, bersama.  Kini, ada  yang menjangkakan peperangan itu akan bermula  dalam  minggu yang  terdekat  selepas  berakhirnya  tempoh  kata-dua  itu.  Latihan perang angkatan tentera   yang dilakukan oleh Amerika   semacam menunjukkan  kemungkinan serangan  itu akan dilakukan  juga.

Akhbar  ‘The  British  Observer’  telah menakutkan   puak Taliban  kelmarin dengan berita  serangan yang akan dimulakan.  Tetapi, semua kapal induk  pembawa pesawat penyerang   masih  lagi  belayar di  samudera,   peluru berpandu masih  terikat di sarangnya,  dan  pesawat itu  masih  tersimpan di  penebatnya.  Media barat melaporkan tarikh baru  peperangan Afghan itu   - “minggu  ini”.

Kini, puak Taliban  kerap mengacah  Amerika.  Mereka menyebut  Osama Laden ada di Afghanistan, kemudian mereka menyebut  oleh kerana  mereka telah  lama bersekongkolan dengannya,  persahabatan itu akan terus dikekalkan.   Soal  menyerahkan  tuduhan  yang utama itu tidak pernah ditimbulkan.  Pihak pentadbiran  Afghan itu hanya menyebut: “Amerika Syarikat  akan  menanggung  bahananya, seandainya tentera darat mereka menyerang  Afghanistan.”  Mungkin juga mereka sudah semakin yakin  betapa peperangan itu tidak akan dilancarkan.

Memang ada alasan  untuk menyerang  Afghanistan sebaik sahaja  tragedi menghenyak Amerika Syarikat. Itulah waktu yang tepat, mencetuskan  peperangan sebagai satu tindakan serang balas.  Kita tidak akan membincangkan  isu ini  seperti siapa yang sepatutnya dipersalahkan  dan apa yang  sepatutnya dilaksanakan.   Berita  terbitan media massa Amerika,  dan  segala surat  daripada pembaca  kita  telah memberikan banyak ilham: tunjukkan  kepada kami, siapa  musuh  sebenarnya   supaya kami  boleh  bertindak balas.

Memang ada alasannya  mengbom Afghanistan satu minggu  selepas  terjadinya tragedi. Kemarahan  seluruh dunia  naik memuncak begitu hebat ketika  Pusat Dagang  Dunia menyala dengan  dahsyat.  Tetapi apa faedahnya mengbom Afghanistan  sekarang? Hingar-bangar sudah pun reda, sedangkan sudah semakin  banyak  tunjuk perasaan  di merata tempat di Britain, Amerika,  dan negara  barat membantah  pelancaran  satu perang baru  di dunia. Semakin ramai manusia  menyertai pergerakan  membantah peperangan ini.

Apa faedahnya pengeboman itu? ‘Nyet!!!’, kecuali  melahirkan mangsa  di kalangan orang awam dan  anggota  tentera. Inilah  yang telah melunturkan  semangat keperwiraan Amerika berasaskan  lambang  helang terkangkang mereka  yang semakin  terhumban  di longkang sejak beberapa minggu  yang  lalu.  Ini juga  bererti pentadbiran  presiden sudah semakin  merana  daripada  usaha  meningkatkan  propaganda  mereka. Di tahap awalnya dulu para   pakar  propaganda  muncul di kaca TV  mencetuskan  pelbagai  propaganda itu dan mempertikaikannya.  Perkara itu disauk pula oleh akhbar harian  untuk membentangkan keadaan  itu  mengikut  sudut  kajian  yang  berbeza.

Lagi lama  masa  beredar  sejak  peristiwa  serangan  angkasa  yang dahsyat mengenai Amerika, semakin tumpul makna  persediaan ketenteraan  mereka. Mungkin juga sasaran anti-keganasan  global yang  histeris itu  tidak sama  dengan  agenda peperangan anti-penjenayah  sejagat?

Pentadbiran Amerika berjaya  merencana   rancangan  yang  mereka idamkan  pada permulaan kempen  peperangan  Balkan. Cara NATO   menguasai  Kasovo,  Macedonia,   dan negara  lain tidak boleh dibandingkan dengan persiapan  NATO  yang terbaru ini. Dulu, tentera  NATO telah memasuki  beberapa  negara  termasuk  negara  pasca  Soviet -  yang tidak kelihatan semacam  betul-betul  dilakukannya  sedikit  masa  dulu. Terdapat banyak prasyarat untuk membelah-bagikan  negara-bebas  bekas  jajahan Soviet  itu. Kalaulah sistem itu  membangun  seperti  yang berlaku sekarang, bererti  Russia  akan kehilangan pengaruhnya  di bahagian Timur. Ruang angkasa  majoriti  negara  yang merelakan NATO menggunakannya, menunjukkan kerelaan  negara  ini untuk meneruskan  kerjasama mereka. Ini membolehkan  Amerika Syarikat  melipat-gandakan  pengaruhnya  ke atas  negara ini dalam jangka masa dua  bulan sahaja.  Jadi, gelagat  menggenggam  penumbuk itu nampaknya berbaloi  juga. Lagipun, .  beberapa  biji bom masih boleh digugurkan untuk mengena bumi Afghanistan. Yang lebih penting ialah  melancarkan sasaran  yang  lebih utama. Inilah yang sedang  dilaksanakan  dengan giatnya.  Bush telah  membayangkan peperangan iitu  sebagai  “satu peperangan  yang ganjil” – bukan sengaja bersaja-saja.

Sergey Snegov PRAVDA.Ru

Gambar  di atas: Seorang  lelaki Islam  sedang  memegang  kitab suci Al-Qur'an, ketika menunjuk perasaan  di hadapan kedutaan  Amerika di Kuala Lumpur  pada  hari Isnin, 1 Oktober, 2001.

Hits: