Mata Lebam Itu : Selepas Tiga Tahun

Oleh : Raja Ahmad Aminullah
(Dari Laman FAC)


20 September 1998 akan sentiasa terukir di dalam himpunan memori rakyat kita. Adalah sukar untuk menidakkan peri-pentingnya tanggal ini di dalam setiap hati dan fikiran ramai rakyat Malaysia.

Apabila pintu rumah seseorang – yang hanya tiga minggu sebelumnya bergelar Timbalan Perdana Menteri – dirempuh dan dipecahkan pada hari yang bersejarah itu, ia memberikan gambaran yang berbeza-beza kepada orang yang berlainan.

Pada tahap peribadi (dan ini tidak kurang juga kesannya pada peringkat umum atau politik), peristiwa yang agresif ini sudah tentu meninggalkan satu kesan yang mendalam kepada isteri Anwar Ibrahim, anak-anak dan keluarganya.

Malahan, episod yang memalukan ini telah dirakamkan dengan begitu baik sekali oleh penyair kebangsaan kita, Usman Awang, di dalam sajaknya yang bertajuk Jentayu Yang Luka (Untuk Wan Azizah) :

Tiba-tiba dia bangkit
Dengan kelembutan yang tetap sopan
Berdiri di barisan paling hadapan
Sebagai pahlawan keadilan

Lama dulu wajahnya tersembunyi
…………………
…………………

Dia adalah jentayu yang luka
Terbang mengepak menyongsong gumpalan awan
Mencakar menjeritkan kebebasan dan keadilan
Mencabar dunia yang semakin kejam.


Kesedaran awam :

Walau bagaimanapun, pada tahap yang lain peristiwa tersebut memberikan isyarat bahawa langkah-langkah yang berhati-hati ke arah penerapan nilai-nilai masyarakat madani di Malaysia telah terhenti buat sementara.

Peristiwa yang tercetus berikutnya, walau bagaimanapun, telah menunjukkan bahawa masyarakat awam tidak lagi rela diperlakukan sewenang-wenangnya atau cuba dibelenggu pemikiran mereka. Orang ramai pada umumnya lebih peka terhadap hak-hak mereka dan bersedia untuk mempertahankannya.

Mempertahankan hak-hak mereka itu kini dianggap sebagai lambang penghormatan dan bukannya sesuatu yang perlu dijauhi.

Apa yang pasti adalah ia telah menunjukkan bahawa “kuasa bagi yang tidak berkuasa” – sebagaimana yang diterangkan oleh Presiden Czech Vaclav Havel di dalam kerja-kerjanya yang menyediakan asas kepada pembangunan – bukanlah binaan secara teori. Bahkan, kuasa bagi rakyat adalah sesuatu yang diraikan, sesuatu yang dipilih untuk menegaskan kemungkinan-kemungkinan di dalam kehidupan dan diteruskan pencariannya untuk membentuk perubahan yang kreatif bagi kebaikan masyarakatnya.

Dalam pada generasi pelajar-pelajar yang lepas, para pemimpin belia dan bijak-pandai memperkatakan tentang proses kesedaran ala Paolo Freira, peristiwa tragis 20 September di dalam sekelip mata menyedarkan segmen yang luas dari populasi.

Tumbukan yang hinggap ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri oleh Ketua Polis Negara pada masa itu telah menggemparkan seluruh negara apabila diketahui umum.

Hakikatnya, kejadian yang menimpa Anwar yang matanya ditutup dengan kedua-dua belah tangannya terikat ke belakang merupakan insiden yang tidak boleh diterima akal; namun ia akhirnya didedahkan kepada dunia melalui penampilan pertama kalinya di mahkamah beberapa minggu kemudian, kesan lebam di sekeliling matanya menarik perhatian dan memeranjatkan dunia sama ada di dalam atau di luar sempadan Malaysia.

Kemarahan orang awam begitu jelas sehinggakan satu Suruhanjaya Di raja ditubuhkan bagi menyiasat  kecederaan Anwar yang berlaku semasa beliau di bawah jagaan polis.

Percubaan awal Perdana Menteri untuk menggambarkan bahawa kecederaan itu adalah hasil perbuatan sendiri hanya menambahkan lagi kemarahan orang ramai. Sekalipun ini tidak begitu ketara melalui pembacaan dari akhbar-akhbar utama, ia sudah cukup jelas bagi mereka yang berhubungan dengan orang ramai.

Apabila ketua Wanita Umno juga mencadangkan perkara yang sama, ia menambahkan lagi kemarahan rakyat biasa Malaysia yang sehingga pada hari itu telah mempercayai bahawa masyarakat mereka adalah sebuah masyarakat yang tidak sukakan keganasan di mana masalah-masalah diselesaikan melalui perbincangan atau pilihan raya secara muktamad dan sudah pasti bukannya melalui keganasan atau kekerasan.

20 September juga telah menodai kesucian Malaysia yang selama ini dicurahkan sepenuh kepercayaan oleh orang awam kepada pihak yang berkuasa. Rakyat Malaysia telah secara umumnya mempercayai, mematuhi dan memberikan penghormatan yang tinggi kepada para pemimpin mereka. Namun apa yang mereka lihat kini adalah bahawa pemimpin-pemimpin tersebut, yang telah mereka pilih untuk menerajui negara, berkeupayaan untuk mengambil tindakan yang tidak adil terhadap mereka yang sepatutnya diberikan perlindungan.

Pepatah Melayu, harapkan pagar, pagar makan padi, begitu tepat sekali dengan keadaan ini.

Kemerosotan yang berterusan:

Semenjak itu keadaan telah menjadi seperti semakin merosot. Kebebasan untuk membuat kenyataan telah disekat. Luahan secara alternatif dan pandangan-pandangan yang dikeluarkan kelihatan tidak wujud di negara ini sekiranya seseorang hanya bergantung kepada akhbar-akhbar rasmi utama.

Suara parti-parti politik di dalam Barisan Alternatif tidak langsung diberikan tempat di dalam media-media massa. Malahan, Harakah yang paling laris jualannya itu, yang sebelum itu dibenarkan untuk diterbitkan dua kali seminggu, kini telah dihadkan kepada hanya dua kali sebulan dan begitu juga dengan penerbitan dari parti-parti politik yang lain. Penerbitan bebas yang lain seperti Detik pula telah ditarik balik permit penerbitannya.

Akta Keselamatan Dalam Negeri telah dipergunakan semula untuk menahan rakyat tanpa perbicaraan di atas pertuduhan yang dikatakan oleh para peguam sebagai tidak kukuh. Perbezaannya sekarang adalah para isteri dan ibu mereka yang ditahan telah bangkit dan memberi penerangan kepada umum mengenai tindakan angkuh  yang dibuat terhadap suami dan anak-anak mereka.

Pada keseluruhannya, 20 September 1998 telah mencatatkan perubahan besar kepada perjalanan jatuh bangun negara selepas 44 tahun merdeka. Sudah tentu tidak banyak yang dapat diharapkan apabila bersama-sama pembangunan fizikal yang boleh dilihat, tidak pula terdapat pembangunan yang selari dari segi kemanusiaan. Mungkinkah sesiapa pernah terfikir bahawa pemerhatian Hobbes iaitu “ kehidupan adalah rumit, kejam dan singkat” tidak akan menjadi kenyataan selepas lebih dari 200 tahun kemudiannya.

Kita, yang begitu bangga menjadi bangsa yang moden dan bertamadun, sudah pasti perlu memikirkan kelemahan kita di dalam konteks ini.

Seorang penyair Indonesia W S Rendra pernah berkata di dalam puisinya :

Aku terdengar
Jerit hewan
Yang terluka


Ketidakadilan Yang Berterusan :

Barangkali kita perlu belajar, bukan sahaja untuk memerhati semata-mata, tetapi untuk menjadi saksi kepada rasa tidak puas hati dan ketidakadilan yang berterusan dilakukan di dalam masyarakat kita – semuanya dibuat di atas nama kita.

Tanggal 20 September mungkin adalah masa yang tepat untuk kita memikirkan perkara ini dan sekiranya boleh untuk memberikan perhatian kepada apa yang dituliskan oleh Julien Benda di dalam bukunya ‘Trehison de clercs yang memperkatakan tentang orang-orang bijak pandai yang memilih untuk menjadi golongan pemerhati apabila negara mereka bergelut dengan kesukaran.

Anwar telah dikenali sebagai insan yang sering berusaha untuk mendekati masyarakat umum dan mementingkan rakyat di dalam hal-ehwal negara. Sehingga ke penghujungnya beliau telah mengemukakan cadangan pembentukan sebuah masyarakat madani bukan sahaja secara teori tetapi secara praktikal, walaupun beliau sendiri terkongkong di dalam bidang kuasa yang terhad.

Sekalipun idea untuk membentuk sebuah masyarakat madani telah pun dibawa oleh mereka yang pernah menerajui negara kita satu masa dahulu dan sehingga satu peringkat dinyatakan oleh beberapa peruntukan yang berkaitan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Anwar dan generasinyalah yang telah berjaya menarik pandangan umum dan membantu meluaskan lagi ruang umum itu.

Oleh itu, 20 September perlu disambut sebagai satu tanggal yang telah membawa rakyat terbanyak untuk memperjuangkan penilaian mereka secara bebas dan juga lebih mengambil berat terhadap hal-hal yang berkaitan dengan orang awam di dalam masyarakat mereka.

Kita sepatutnya menuju ke arah sikap yang lebih penyayang, cuba memahami dan mengamalkan toleransi yang  berupaya membuahkan kelainan.

_______________________________________________________________________
RAJA AHMAD AMINULLAH merupakan seorang aktivis kebudayaan dan pelajar sejarah. Beliau kini meneruskan minatnya di dalam penulisan dan puisi.


Terjemahan : SPAR

Hits: