Ketua UMNO Sabah: Osu Sukam Dipinggirkan, Musa Yang Bernasib Baik Dan Kenapa Tidak Datuk Salleh Tun Said

Perlantikan Datuk Musa Aman sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah yang baru yang telah diumumkan oleh Presiden UMNO yang nyanyuk itu pada hari Jumaat (28.9.2001M) selepas mesyuarat majlis tertinggi UMNO di Kuala Lumpur, untuk menggantikan Datuk Osu Sukam yang diketepikan dan banyak bermasalah itu?. Kenapa tidak Datuk Salleh Tun Said yang dinaikkan ke pangkat Ketua Perhubungan UMNO Sabah mengambilalih tugas yang dikosongkan oleh Osu Sukam, atas kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Perhubungan itu. Benar-benar menjadi persoalan kepada ahli-ahli UMNO Sabah dan rakyat. Kerana di Sabah UMNO adalah tunjang politik BN Sabah. Hancur UMNO Sabah hancurlah politik BN di Sabah atau akan hilanglah kuasa BN di Sabah.

Dalam keadaan beberapa ketua bahagian UMNO di Sabah dikenakan tindakan disiplin parti oleh Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib UMNO. Ketua Perhubungannya pula berubah kepala. Dulu Osu Sukam, sekarang Datuk Musa Aman. Harap-harap dia Ketua Perhubungan UMNO di Sabah paling aman dan boleh amankan politik dalam kelambu UMNO Sabah. Walaupun boleh dikatakan cukup tenang, setenang Datuk Musa Aman mendapat anugerah Ketua Perhubungan UMNO Sabah daripada Dr Mahathir atas nama keputusan majlis tertinggi UMNO, tetapi harus diingatkan bagai kata peribahasa 'jangan disangka air sungai yang tenang tidak berbuaya'. Sejak dulu lagi penulis menegaskan bahawa UMNO Sabah adalah parti yang berkocak, cuma tidak ada yang berani membesarkan cerita itu. Kerana masing-masing menjaga perut, kantong, jawatan, pangkat, kedudukan, projek dan fulus.

Masing-masing pandai buat pandai simpan. Bak kata pepatah 'biar pecah diperut jangan pecah di mulut'. Itulah hebatnya amalan 'bersih, cekap dan amanah' dalam kepimpinan UMNO Sabah sepertilah yang dibudayakan oleh UMNO pusat yang diketuai oleh Dr Mahathir di Kuala Lumpur. Jangan ada cuba menyanggah keputusan Presiden atau atas nama keputusan MT. Bising atau ada suara menentang arus pasti jawapan setimpal bakal menanti. Budaya takut, budaya ampu, pak mak angguk, mental burung tiung dan disamping itu, ialah penyakit sindrom bisu atau 'syaitan bisu' dalam organisasi UMNO Sabah inilah yang menjadikannya virus yang bakal menjadi kanser berbahaya kepada batang tubuh UMNO Sabah. Semua keputusan parti tidak lagi berlandaskan kepada lunas-lunas demokrasi, suara ramai atau musyawarah. Tetapi menebal dengan budaya petunjuk atau 'tunjukan' dari atas, arahan orang atas, keputusan presiden, keputusan majlis tertinggi dan sebagainya.

Dan berbalik kita kepada, isu Osu Sukam yang tidak berguna lagi, Datuk Salleh yang dilangkah 'bendul' oleh orang lebih bawah daripadanya dan nasib untung Datuk Musa Aman yang dianugerahkan jawatan tertinggi politik UMNO di Sabah sebagai Ketua Perhubungan baru. Mengulas perlantikan dirinya, Musa mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden  UMNO, Pak Lah. Dan menyifatkan perlantikannya itu sebagai tanggungjawab. Manakala Datuk Salleh Tun Said, Timbalan Pengerusi UMNO Sabah turut mengulas, bahawa dia yakin perlantikan Musa akan dapat memperkukuhkan perjuangan parti yang sentiasa mengamalkan semangat berpasukan. Itulah bahasa indah dan manis orang politik, khususnya orang-orang UMNO. Mereka tidak akan menimbulkan sebarang ketidakpuasan hati itu secara terang-terangan. Yang tersirat siapa tahu. Apa lagi dalam keadaan budaya politik 'cantas-mencantas' dan 'rebut-merebut' jawatan yang bernilai 'lumayan' dalam UMNO itu sendiri sangat kuat.

Sementara Pemuda UMNO Sabah, menyifatkan perlantikan Datuk Musa Aman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah sebagai bertepatan dalam usaha memperkukuhkan lagi UMNO di negeri Sabah. Ketua penerangannya, Mohd Nazri Abdullah dalam satu kenyataan dalam akhbar tempatan berkata, sebagai pemimpin berpengalaman, Musa tentunya dapat membawa dimensi dan nafas baru kepada UMNO Sabah.

UMNO Sabah yang sudah wujud di Sabah sejak tahun 1991 itu hingga hari ini masih mengelamun dan bermimpi mencari ketua yang akan dapat memperkukuhkan UMNO di Sabah. Sebelum ini, ketua-ketua UMNO Sabah tidak berjaya membawa dimensi dan nafas baru, tidak berkemampuan dan tidak berjaya memperkukuhkan UMNO Sabah. Jadi Datuk Musa sebagai pengerusi UMNO Sabah baru diharapkan semua itu. Padahal, dilihat dari keputusan pilihanraya dari tahun 1994 dan 1999 yang lalu UMNO Sabah mencapai kemenangan cukup baik dibawah kepimpinan Osu Sukam khususnya UMNO Sabah memenangi 24 kerusi DUN belum masuk yang percuma dua kerusi DUN kerana melompatnya 2 ADUN PBS ke dalam UMNO tempoh hari.

Bermakna kemenangan besar UMNO Sabah yang dipimpin oleh Osu Sukam dalam pilihanraya tahun 1999 itu adalah satu gambaran kekuatan dan kukuhnya UMNO di Sabah. Soal kemenangan UMNO dengan bantuan pengundi hantu, pengundi warga asing yang diberikan IC secara 'pintu belakang' atau lain-lain kerja tidak demokratik mereka, tidak kita ambil kira untuk setakat ini. Tetapi kita membahas keberkesanan Osu Sukam dengan gandingannya bersama Datuk Salleh mengepalai perhubungan UMNO Sabah memang berkesan.

Kenapa tidak Datuk Salleh Tun Said diangkat jadi ketua atau pengerusi perhubungan UMNO Sabah, kalau pun Osu Sukam sudah tidak diperlukan lagi dan Datuk Musa Aman dilantik menjadi timbalan pengerusi menggantikan Datuk Salleh. Kata pemerhati politik amatur, UMNO zamannya berkepalakan Mahathir semua boleh jadi, yang tidak patutpun jadi patut, sepatutnya kepala dulu ke depan tapi zaman Mahathir kakipun boleh berada di atas dan segala-galanya boleh terjadi ikut kemahuan nafsu 'full power' miliknya. Penggiliran KM Sabah yang sepatutnya dibahas dulu dalam DUN, tetapi tidak...mesti ikut kata dia sekalipun keputusan bernafsunya itu bercanggah dengan Perlembagaan negeri atau negara, menyalahi peraturan, undang-undang dan prosedur amalan demokrasi. Maka yang jelas perlantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah diluar fitrah peraturan yang sepatutnya.

Apakah kepimpinan dan bijak pandai dalam UMNO Sabah terus mengiakan apa saja keputusan presiden mereka yang nyanyuk itu, tanpa perlu dibincang di peringkat perhubungan negeri terlebih dulu bagi membuat usul perlantikan pengerusi. Atau atas nama itu hak peribadi presiden, sebagaimana orang berkata dia nak pecat/lucutkan jawatan TPM, Menteri Kewangan, Timbalan Presiden UMNO dan lain-lain jawatan DS Anwar Ibrahim dulu adalah hak dia sebagai PM dan presiden parti. Para pemimpin UMNO pusat dan UMNO Sabah khususnya, bukalah fikiran anda, bukalah mata hati dan mata kepala anda untuk meneliti dan mengkaji setiap apa yang diputuskan oleh Dr Mahathir, apakah baik untuk parti, untuk ahli-ahli parti dan negara ini atau anda sekadar melihat, membiarkan serta memuaskan nafsu kemaruk Dr Mahathir dengan kuasa yang dimilikinya atau sekadar menjadi kumpulan 'pengekor' yang bebal dan buta tuli.

Akhirnya, perlantikan Datuk Musa menjadi harapan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO Sabah. Tapi bagaimana kumpulan Osu Sukam dan Datuk Salleh, Datuk Shafie Afdal dan Datuk Lajim Okin. Kerana mereka adalah ahli MT UMNO. Walaupun, Datuk Salleh kata parti UMNO mengamalkan semangat berpasukan. Tapi bila kita merujuk beberapa kes yang terjadi dalam UMNO itu sendiri banyak tindakan diluar semangat berpasukan seperti yang melibatkan Tun Daim, DS Anwar Ibrahim, Datuk Fauzi, Datuk Khalil, Tan Sri Muhammad Taib, Rahim Tambi Chik dan lain-lain lagi. Semangat berpasukan itu hanya menjadi nyata kepada kroni-kroni dan kumpulan yang bersedia untuk bersekongkol dengan segala macam kezaliman, fitnah, penghinaan dan penderaan terhadap orang lain yang tidak sebulu dengan kumpulan Mahathir.

Dan perlantikan Musa dilihat oleh kepimpinan UMNO Sabah untuk memperkukuhkan lagi UMNO Sabah. Bagi Musa ia merupakan 'responsibility' atau amanah. Kita tunggu jangkauan maksud amanah atau tanggungjawab yang diperkatakan oleh Musa Aman. Apakah sekadar tugas politik, tugas agih projek kepada kroni atau tanggungjawab menjaga nama orang di atas dengan melupakan atau meminggirkan tanggungjawab sosial yang lebih besar terhadap rakyat Sabah dan negeri.

Ibn Sabah,
1.10.2001M.

Hits: