Skuad Penyauk Pakistan   Dilatih CIA  Untuk Membunuh  Osama Laden


CIA  telah dilaporkan  pernah melatih  dan  melengkapkan  sekitar 80  komando Pakistan  untuk melancar satu  operasi senyap  menyelinap masuk Afghanistan dan membunuh atau  menangkap Osama bin Laden.

Operasi haram pada 1999 telah ditaja oleh pentadbiran Clinton  kurang  dari 12  bulan setelah  AS  melancarkan serangan  peluru berpandu  ke arah   markas latihan Osama Laden di negara  itu, mengikut  laporan Washington Post.

Sebagai balasannya,  kata  akhbar tersebut, Pakistan telah dijanjikan bantuan ekonomi dan   penarikan  balik  sekatan ekonomi  yang  dikenakan gara-gara   ujian  senjata  nuklear  negara  itu.  Rencana  pembunuhan  itu   terpaksa  dibatalkan pada  1999, ekoran  penggulingan Perdana Menteri Nawaz Sharif  oleh tentera.  Mengikut  Washington Post lagi,  rencana itu pada  asalnya   adalah usaha   peningkatan AS  untuk  menyauk Osama Laden  dan  menghancurkan  jaringan al-Qaeda.

Tindakan militari yang menyeluruh   termasuk   serangan   bom yang bertubi-tubi dan  kerahan  pasukan komando khas, telah difikirkan juga.

Berita itu  dikeluarkan bersaing  satu laporan  betapa CIA  telah berurusan dengan kerajaan Sudan  pada  awal musim bunga 1996, setelah negara itu  menawarkan  Osama Laden  untuk diserahkan kepada  kerajaan Arab Saudi. Rencana itu gagal 10 minggu kemudiannya  kerana pihak pentadbiran  tidak berjaya  memujuk Arab Saudi  menahan Osama. Pada  waktu itu AS  kekurangan bahan bukti untuk  mendakwa  beliau.

Pada awal musim panas di tahun yang  sama,  Osama Laden telah diusir   oleh Sudan, kerana  dia  sudah dianggap  satu bebanan  kepada  negara.

Kegagalan berganda itu telah menjadi bahan kajian Presiden Bush  dan pentadbirannya  dalam usaha  mencari  jalan  bagaimana  memusnahkan Osama Laden  dan  jaringannya.

Seorang pegawai yang rapat dengan  pentadbiran Clinton  pernah memberitahu Washington Post  bagaimana  pasukan komando Pakistan sudah  bersedia  untuk  melancarkan serangan pada  Oktober 1999.  Tetapi, General Perves Musharraf,  yang menggulingkan  Nawaz Sharif  pada  Oktober 12,  berkeras  tidak mahu  meneruskan  rencana  itu.  Kini, Presiden  General  Musharraf  memainkan satu peranan  yang  bermuslihat   untuk bersekongkol dengan Washington  untuk  menjejaki  Osama Laden  dan  menghapuskan  al-Qaeda.

Sambil  Pakistan   mempunyai banyak  maklumat  mengenai  kegiatan di  Afghanistan, pihak Taliban  pun mempunyai  banyak  sumber  mengenai  pemikiran   perisikan   Pakistan  melalui   hubungan rapatnya dengan sumber yang dipercayai  dalam perisikan Pakistan.

Ketika pentadbiran Clinton   bertindak balas  terhadap Osama  Laden  pada  Ogos 1998 kerana  kehancuran  kedutaan AS  di Kenya  dan Tanzania, AS  telah  melancarkan  peluru  berpandu   kepada  khemah  Osama  di  Afghanistan.

Beberapa  sumber telah  memberitahu Washington Post   betapa Presiden Clinton   bertindak menggunakan peluru berpandu  kerana  mahu mengelakkan   kehilangan nyawa  rakyat Amerika. Kini mereka  yakin, selepas  serangan  dibuat  ke atas  WTC dan Pentagon,  satu tindakan   yang lebih kuat  dan  berisiko tinggi  sepatutnya telah  dilancarkan.

Seorang  pegawai pertahanan  berkata: “Saya   mengharapkan kita sudah  memahaminya  ketika itu  untuk  melancarkan kempen  itu  pada  waktu itu  daripada  menunggu  seperti  sekarang  ini.”

-tamat-

Hits: