ISU NEGARA ISLAM: SIAPA UNTUNG SIAPA RUGI?

Prakata: Isu negara Islam agak sensitif diperkatakan kebelakangan ini. Ramai berpendapat negara Islam memadai hanya setakat satu pengiktirafan maka ia lengkap sebuah negara Islam. Namun rasionalnya, Melayukah seorang Cina berpakaian Melayu atau Cinakah seorang Melayu berpakaian ceongsam? Islam bukan sekadar nama atau pengiktirafan. Islam adalah agama praktikal bukan teori. Berfalsafah sahaja belum Islam lagi. Islam dilihat pada amal dan kerja buat. Jika seorang Islam sekalipun melaksanakan kerja buat yang bukan datang dari anjuran Islam maka gugur Islamnya maka dia boleh disebut 'munafik' atau 'fasik' atau lebih berat lagi 'murtad'. Keimanan bukan pengiktirafan manusia. Manusia tidak layak mengiktiraf dirinya Islam selagi belum ada kerja buat yang selaras dengan tuntutan agama yang maha suci itu. Janganlah mendabik dada kita lebih Islam, padahal di masa yang sama kita melaksanakan apa yang bercanggah dengan tuntutan agama Islam yang suci~Webmaster

Kebelakangan ini di antara isu yang menarik yang sering diperkatakan oleh rakyat negara ini adalah tentang perisytiharan oleh PM bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Apakah asasnya Mahathir berani membuat perisytiharan itu hanya dia sahaja yang tahu. Begitu pun kita masih boleh mengagaknya mengapa ianya dibuat, apakah benar dakwaannya itu, ataukah ia hanyalah satu lagi sandiwara mainan politik Mahathir yang memang terkenal dengan raja sandiwara itu. 

Isu negara Islam tercetus kebelakangan ini bukanlah di antara BN/UMNO dan PAS, tetapi adalah di antara DAP dan PAS yang akhirnya menemui kegagalan dalam persefahaman menanggapi isu tersebut. DAP mengambil langkah drastik dengan keluar dari pakatan pembangkang atau apa yang dikenali ramai sebagai Barisan Alternatif. Apakah tindakan DAP itu menguntungkannya atau sebaliknya menguntungkan PAS atau Barisan Nasional dan UMNO, belumlah dapat kita ramalkan. Apa yang dapat dilihat, langkah drastik yang diambil oleh DAP itu ketika hampirnya pilihan raya peringkat negeri Sarawak baru-baru ini tidaklah menguntungkan parti itu.. DAP hanya mendapat satu kerusi dalam pilihan raya itu, sementara PAS dan KeADILan langsung tidak dapat mendapat sebarang kerusi. Apa yang terjadi adalah isu negara Islam tidaklah menguntungkan DAP, begitu juga PAS.

Dalam pilihan raya akan datang, melihat kepada taburan penduduk negara ini dan sifat majmuknya yang ketara memungkinkan DAP akan kehilangan sokongan pengundi-pengundi Melayu akibat keluarnya dari BA itu. PAS juga dijangka akan kehilangan sedikit sebanyak sokongan dari pengundi  masyarakat China. Jadi sebenarnya siapakah yang untung dalam isu negara Islam ini? Ini adalah juga satu persoalan yang menarik untuk dikaji dan dijadikan bahan renungan supaya segala strategi dan perancangan yang lebih teliti dapat diatur oleh pihak BA bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Seperti yang telah disebutkan di awal tadi, keluarnya DAP dari pakatan pembangkang tidaklah menguntungkan mana-mana pihak dalam Barisan Alternatif itu dan ianya sudah kelihatan dalam pilihan raya peringkat Negeri Sarawak. Bagaimana pula UMNO dan Barisan Nasional? Apakah UMNO/BN  mendapat apa-apa kredit dari isu negara Islam ini? Sebenarnya perisytiharan oleh PM bahawa Malaysia ini negara Islam lebih dilihat sebagai usahanya untuk membanteras pengaruh PAS dari kalangan rakyat negara ini. PAS telah pun memperjuangkan konsep negara Islam sejak ia ditubuhkan lima puluh tahun dahulu. DAP lebih berjuang kepada konsep Malaysia untuk rakyat Malaysia, satu tindakan yang mereka anggap lebih adil dan demokratik dalam negara berbilang kaum ini. Sementara itu UMNO seperti yang kita semua tahu lebih memberatkan kepada kebangsaan Melayu itu, dengan makna memperjuangkan hak-hak orang Melayu diikuti dengan kepentingan kaum-kaum yang lain. KeADILan pula masih baru dalam arena politik Malaysia.

Apa yang dapat dilihat sebenarnya perisytiharan yang dibuat oleh Mahathir itu adalah satu lagi cubaannya untuk mengurangkan pengaruh PAS, kalau pun tidak untuk menghapuskan PAS sama sekali. Pengaruh PAS kian meningkat akibat kesedaran kepada kehidupan beragama kebelakangan ini. Isu DS Anwar juga memberikan pulangan yang lumayan kepada PAS, walaupun yang mempermainkan isu DS Anwar itu adalah Mahathir sendiri. Isu Al Ma’unah yang dibangkitkan oleh Mahathir tidak berapa lama dahulu tidak membawa kesan kepada PAS, walaupun sebenarnya isu ini adalah satu tindakan untuk memukul PAS dan seterusnya mengharamkannya. Isu membuang nama Islam pada parti Islam terbesar di negara ini juga menghadapi kegagalan. Selepas itu sandiwara KMM pula dibangkitkan. Episod KMM juga gagal mengurangkan pengaruh PAS sekalipun beberapa orang pemimpin muda parti itu disumbatkan di kem tahanan Kamunting termasuk anak MB Kelantan sendiri. Tidak dapat tengkuk, telinga dipulas, begitulah anggapan orang ramai terhadap penangkapan dan penahan pimpinan muda PAS di bawah ISA itu.

Kini isu negara Islam sedang rancak dimainkan oleh PM semata-mata untuk memukul PAS. Walaupun perisytiharan itu dibuat di hadapan sebuah parti bukan Melayu/Islam dari komponen BN, tetapi ia telah memberi peluang kepada parti komponen BN untuk turut sama membelasah  PAS. Namun Datuk Presiden PAS meminta PM membuat perisytiharan itu di dalam Parlimen, supaya ia lebih rasmi dan menyeluruh. Namun sehingga ini Mahathir masih belum memenuhi permintaan pemimpin pembangkang itu. Apakah Mahathir akan berbuat demikian ,  seperti apa yang diminta oleh PAS itu, sama-samalah kita tunggu. Apa yang dapat kita duga adalah Mahathir sanggup berbuat apa sahaja demi untuk mempertahankan survival politiknya dan BN/UMNO supaya terus memegang tampuk kuasa menjelang pilihan raya akan datang.

Kelmarin,  Menteri Besar Terengganu yang juga Timbalan Presiden PAS menyatakan persetujuannya untuk mengadakan perbincangan secara ilmiah dengan Ulama UMNO mengenai takrif negara Islam yang digembar-gemburkan oleh PM itu. Takrif itu penting bagi PAS kerana ia akan membuktikan apakah dakwaan PM itu benar atau sebaliknya. Perbincangan mengenai pertemuan Melayu yang dirancang oleh kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu akhirnya menemui kegagalan. Perbincangan mengenai isu takrif negara Islam ini juga dijangka akan menemui kegagalan kerana ia dilihat lebih menguntungkan PAS dari UMNO/BN. Jika perbincangan secara ilmiah ini menjadi kenyataan, ia akan menyerlahkan tindakan Mahathir bahawa perisytiharan  negara ini sebagai negara Islam   hanyalah satu pembohongan dan khayalan politik  semata. Ia ternyata akan merugikan UMNO/BN dan masa depan politiknya yang kian malap itu. Tentunya UMNO/BN tidak akan memberikan peluang kepada PAS untuk lebih ke hadapan kerana PAS adalah musuh tradisinya. Dengan begitu perbincangan mengenai takrif negara Islam itu juga dijangka menemui kegagalan.

Jadi, sebenarnya siapakah yang untung dalam isu ini?. Apa yang  jelas tiada mana-mana pihak yang meraih keuntungan setakat ini. Pilihan raya negeri Sarawak membuktikan hal ini. Bahkan BN pula yang menang besar dalam pilihan raya itu. Tetapi kemungkinan isu ini akan menguntungkan PAS tidaklah dapat ditolak. Rakyat kini sudah mulai membincangkan dan mencari-cari mengenai takrif negara Islam itu. Jika rakyat negara ini berhikmah ia akan mendapati bahawa perisytiharan PM itu hanyalah satu pembohongan yang nyata. Yang jelas UMNO/BN  tidak  mendapat sebarang faedah dari isu ini. Sebaliknya  ia mungkin menikam dirinya sendiri dan juga secara tidak langsung menghakis pengaruhnya di kalangan rakyat negara ini, khususnya umat Islam. Jelaslah siapakah sebenarnya yang untung dan yang rugi akibat dari perisytiharan itu!

AlKundangi,
5.10.2001

Hits: