Penerbangan  MAS Yang Tidak  Selesa
(MGG: MAS’s Bumply Flight After  A Crony  Bails Out)

M.G.G.Pillai.  6/10/2001  Sabtu.


(Permintaan Khas  daripada  Penterjemah:  Dua malam dulu, keluar satu program di TV dan  radio yang menonjolkan seorang professor kangkong Universiti Malaya, bernama  Prof. Latif Bakar, yang memuji  rencana kerajaan  mengambilalih  MAS  sebagai satu tindakan yang mendahului masa. Dia berhujah  betapa  pintarnya  kerajaan Malaysia  mengambil alih MAS apabila diambil kira masalah semasa. Hujah beliau memanglah  jauh menyimpang  kerana penuh propaganda.  Penterjemah meminta  jasa baik sesiapa mengirimkan terjemahan  artikel ini kepada emel beliau. Saya kasihankan  para pelajar  yang  menerima  ‘pendidikan’ daripada  professor kangkong  ini. )

MAS  sedang keperitan. Pada mulanya ia  diserahkan kepada  seorang  kroni  beberapa tahun  yang lalu dalam projek  penswastaan. Itulah ketikanya, kroni yang bernama   Tan Sri Tajuddin Ramli bertindak  melaksanakan beberapa  operasi  untuk membuat  wang  untuk diri  sendiri  sambil mengenepikan  amanah rakyat  Malaysia. Kemudian  dia  memujuk mahagurunya, seorang bekas  menteri  kewangan, Tun Daim Zainuddin, membeli balik saham syarikat itu  pada  kadar RM8 sesaham, dua kali ganda   daripada  harga  pasaran, dan dia  telah  mengaut  keuntungan  sekitar RM900 juta kerana  menghancurkan satu  syarikat  penerbangan  negara.

Apabila  tercetus  bantahan  terhadap pembelian itu, Tun Daim memberikan keyakinan betapa  pembelian itu adalah  baik  dan berpatutan, walaupun harganya  adalah dua  kali ganda  harga  pembelian saham pegangan Sultan Brunei yang dibeli oleh kerajaan pada kadar RM16  sesaham.  Dia tidak perlu membeli saham itu  kerana  kerajaan mempunyai  pegangan   51 persen  suara   pengundian dalam syarikat  (MAS)  itu  tanpa perlu  mengeluarkan belanja  tidak menentu  untuk mengkayakan  peniaga  itu  kerana  kegagalannya  berniaga. Tetapi, kroni  mana  yang mesti dibiarkan  papa  kedana. Kerana itu  Tan Sri Tajuddin  berjaya  memperbodohkan  rakyat Malaysia  dan  bergelak sakan  menyimpan  wangnya di  bank.

Kini kita sedar  kerajaan sudah  berbohong. Ketua Pengarah  baru  sistem penerbangan itu, Dato’ Mohamed Nor Yusuf, telah memberi tahu  pengurus kanan  pada  25 September setelah beliau  membatalkan satu sidang akhbar,  bahawa  MAS sudah  muflis  sejak empat tahun dulu lagi. Kalau  pinjamannya  tidak dibayar  pada petang  itu, syarikat itu terpaksa ditutup. Mujur ia  dapat  dibayar bertepatan  jadualnya  untuk  menangguhkan proses  tutup  perniagaan  pada  tahun  hadapan pula. Kini dia memberitahu para  wartawan dan penganalisis pasaran betapa  tidak ada  sesuatu  yang  boleh diharapkan lagi. Dia  terpaksa  mengurangkan  jumlah penerbangan, kakitangan  dan  juga  perencanaan. Dia tidak pun menyebutnya, tetapi  perundingan  dengan  beberapa  syarikat  penerbangan asing  menunjukkan  kemungkinan  ada penerbangan  lain yang akan mengambil alih.

KLM  merupakan  pilihan, tetapi  mereka mahu  melaksanakan  proses ‘bail-out’dan bukannya  mahu  menjadikan MAS satu  penerbangan  yang efisyen.  KLM tidak boleh  membuang  kakitangan  yang ada,  dan terpaksa terus  mengusahakan  keuntungan  walaupun  pengurusan  MAS tidak berjaya  melaksanakannya. Kerajaan memang tidak pernah  mahukan MAS  membuat keuntungan.  Kerana itu  MAS mempunyai  jumlah kakitangan yang berlebihan dengan  satu peratusan yang tinggi  semata-mata untuk hiasan  pandangan  sahaja. Ketidakcekapan  MAS  memang  menakjubkan. Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik, pernah  menegaskan betapa MAS   berada  di bahagian hadapan dalam industri  penerbangan  global  dan  pelancungan. Malangnya,  dia  tidak faham tidak ada sesiapa  yang akan  mempercayai  cakapnya  itu

Demikianlah bahana   ketidakcekapan yang sengaja dibiarkan.  Perangkaan  terakhir, bertarikh 31 Mac 2001, menunjukkan   kerugian sebanyak RM1.3bilion tahun lalu,  sedangkan  pinjaman syarikat   berada  pada  Rm9.1 bilon yang kebanyakannya   terhimpun  ketika Tajuddin Ramli  diberikan keyakinan untuk menunjukkan  cara  membebankan syarikat itu dengan hutang  bertapuk. MAS  telah memesan  pesawat baru  di luar  keupayaan  kegunaannya, dan  dalam masa  tujuh bulan lagi  ia akan  menerima   bekalan   pesawat  bidang  luas yang  bernilai  RM2.28 bilion  yang  tidak  pun dimilikinya. Dato’ Seri Nor  berkata  MAS   memerlukan dana  secepat mungkin untuk membayar bekalan pesawat  yang baru itu   dan  tambahan sebanyak RM1.6 bilion lagi  untuk  membiayai hutang  kerana berpindah  daripada  Subang  ke KLIA. Dia tidak tahu bagaimana  mahu  menyediakan wang  sebanyak itu.

Pada bulan lalu, MAS telah menjual   bon bernilai  RM800  kepada  Intelek Perkasa  Bhd. sebuah syarikat yang disokong oleh  kerajaan  yang ditubuhkan  untuk membeli saham pegangan Tajuddin Ramli. Bon ini (yang dalam bentuk ‘redeemable  convertible preference shares) merupakan  tambahan kepada RM1.8 bilion  yang  pernah dibayar  untuk membeli saham utama  MAS  daripada  Tajuddin  dulu. Dengan tercetusnya  petaka  dari angkasa di  New York pada  September 11  dulu, MAS turut  terjejas  dan premium insurannya   naik mencanak dua kali ganda  menjadi RM110  juta. Semua  kos  lain sudah naik juga  dan untuk menyelamatkan  syarikat  penerbangan itu   segala  bentuk  bantuan  kerajaan perlu diteruskan. Tetapi  kini  para penumpang  terpaksa  membayar  lebih  untuk penerbangan  dalaman  yang  mengurangkan  segala bentuk khidmat  mesra penumpangnya;  tidak ada lagi makan dan minum ketika  penerbangan dalam negeri.


Kita  boleh perhatikan bagaimana  caranya kerajaan  mengendalikan projeknya ataupun  memberikan kemudahan  kepada  para kroni  untuk mengendalikan projek  mereka. Ia  menjadi satu cerita fantasi  yang  bersalur  surrealisme apabila kontrak yang lumayan dan  tidak munasabah  tinggi harganya  yang membolehkan  setiap penerima  menjadi jutawan segera sebelum  projek mereka  bermula.  Kemudian mereka  digalakkan  berhutang sakan, sedangkan wakil kerajaan dalam lembaga  pengarah  syarikat  itu  turut  tidur  tanpa membetulkan keadaan. Semua ini  berlaku  selepas kerajaan  membuat pendirian  bahawa  kerajaan tidak sepatutnya  bergiat dalam perniagaan. Tetapi apa sahaja yang boleh diswastakan  telah dilaksanakan  tanpa sebarang pertimbangan  yang  waras, kecuali  untuk  memperkayakan  para  kroni,  yang kemudiannya   menjualnya kembali  kepada  kerajaan  untuk menyauk keuntungan  besar yang  terakhir..

Sebagai contohnya, Tajuddin Ramli   pernah   berniaga  mengangkut  pekerja  pelantar minyak dengan  helikopter ke  Lautan China Selatan.  Inilah yang dijadikan modal untuk beliau  menerima peluang  mengambilalih  MAS  yang disalah urus ketika  itu.  Dia  berjaya  menerima peluang itu kerana adanya  satu  perundangan yang tidak bertulis di mana  kerajaan  akan bersedia  menentukan dia  dan  para jongosnya tidak akan kerugian apa-apa.

Cerita sebenar MAS  menjadi terdedah dengan kesediaan Dato’ Mohamed Nor menceritakannya. Mahathir Mohamed telah mencuba mengengsotkan  tuduhan  terhadap  menteri kewangannya  yang  tidak kelihatan itu.  Ini dilaksanakan dengan  tindakan kerajaan  menghambat mereka yang berkait rapat dengan Daim, dan mereka kini hidup  ketakutan  kalau-kalau ada  sesiapa yang mengetuk pintu rumah mereka - terutama sekali daripada  pegawai jabatan hasil dalam negeri. Tan Sri Halim Saad   yang  pernah menjadi taukeh besar Renong  satu ketika dulu  pernah  mendapatkan pinjaman sebanyak hampir  RM30 bilion mengendalikan  Lebuh raya  Utara  Selatan  (PLUS)  dengan hutang  yang tidak akan dapat  terbayar sepanjang satu generasi manusia.   Kroni yang lain sedang beratur untuk  menyerahkan kembali syarikat penswastaan yang sudah banyak hutangnya dan sudah tidak terurus lagi. Tidak ada  yang lebih menakutkan lagi  daripada  masalah kewangan,  apabila dirangkumkan dengan  sikap kerajaan  dalam menanganinya. Kerajaan masih bertegas  ia masih  mempunyai  banyak simpanan wang dan dana.  Semua itu adalah sama karutnya  dengan segala  pembohongan yang pernah dituturkan oleh Tun Daim di  Parlimen.


M.G.G.Pillai
pillai@mgg.pc.my

Hits: