Afghanistan bakal jadi Vietnam kedua Amerika Syarikat??

Oleh Zafar Bangash

Afghanistan sekali lagi diancam peperangan dan kebinasaan - kali ini oleh Amerika Syarikat (AS). Selama hampir 25 tahun rakyatnya tidak pernah lekang daripada penderitaan. Anehnya mereka kini ditentang oleh tentera negara yang mendapat jolokan “satu-satunya kuasa dunia” hasil pengorbanan 1.5 juta orang Afghanistan dan berjuta lain yang hilang upaya kerana menentang penjajahan Soviet. Setelah tentera Soviet dihalau keluar, AS tidak memperdulikan lagi Afghanistan yang pada mulanya disokong bagi membolehkan mereka (rakyat Afghanistan) membantunya mencapai hasratnya untuk menundukkan kuasa Soviet. Rakyat Afghanistan dibiarkan sendirian untuk mempertahankan diri dan negara mereka yang punah ranah. Nyatalah, Amerika tidak pernah merasa terhutang budi kepada pihak yang menolongnya.

Meskipun mempunyai keupayaan pemusnahan yang hebat, peperangan AS ke atas Afghanistan bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak mustahil AS akan menggunakan senjata kimia, biologi dan juga nuklear terhadap rakyat Afghanistan yang tidak berdosa. Rekod AS menentang Iraq dalam tahun 1991 menggambarkan sifat sebenar negara itu. AS telah menggunakan peluru uraniam ke atas kereta kebal Iraq. Serangan ini bukan sahaja menyebabkan kematian beratus ribu rakyat Iraq tetapi juga menyebabkan tentera Amerika dan British dihinggapi penyakit misteri.

Apabila Madeleine Albright, (setiausaha negara Amerika ketika itu) ditanya oleh Leslie Stahl daripada televisyen CBS pada 12 Mei 1996 sama ada pembunuhan 567,000 orang rakyat Iraq, kebanyakannya kanak-kanak, untuk memburu seorang individu (Saddam Hussein) adalah satu langkah yang adil, dia menjawab “ganjaran yang diterima adalah berbaloi”. Yang menjadi persoalan ialah berbaloi kepada siapa. Sehingga kini 1.5 juta orang rakyat Iraq telah mati kerana sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas Iraq. Menurut laporan statistik yang dikeluarkan oleh PBB sendiri, sekurang-kurangnya 8,000 orang kanak-kanak Iraq terus mati setiap bulan kerana kekurangan zat makanan dan penyakit-penyakit yang boleh dicegah.

Keadaan yang sama akan berlaku kepada Afghanistan. Perbezaan utama ialah AS tidak akan memenangi peperangan itu dengan mudah disebabkan keadaan geografi Afghanistan. Semangat juang rakyat Afghanistan dan muka bumi negara itu yang bergunung-ganang memberikan mereka beberapa kelebihan yang tidak dimiliki oleh Iraq. Tambahan pula, tidak banyak atau hampir tiada infrastruktur di Afghanistan  yang boleh dimusnahkan oleh AS kerana kebanyakan negara itu kini berada dalam kemusnahan. Kesan langsung daripada serangan itu ialah penderitaan rakyat Afghanistan akan menjadi bertambah teruk. Afghanistan kini mengalami kekurangan makanan disebabkan oleh kemarau selama tiga tahun. Sekurang-kurangnya tiga juta penduduk terjejas akibat kemarau itu dan satu juta lagi menghadapi kebuluran. Peperangan akan meningkatkan penderitaan itu ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Berjuta-juta penduduk Afghanistan kini sedang bergerak menuju sempadan Pakistan. Sebagaimana biasa, mereka akan meninggalkan keluarga mereka di kem-kem pelarian dan kembali ke Afghanistan untuk mempertahankan negara dan maruah mereka.

Sejarah mencatatkan bahawa tiada kuasa luar yang pernah menjajah Afghanistan. Semasa Alexander (the Great) cuba menjajah wilayah itu, dia terpaksa berundur kerana keberanian penduduk Afghan menentang tenteranya. Hari ini kaedah peperangan sudah berubah. Namun, jika AS menghantar tenteranya ke Afghanistan (memang tiada cara lain untuk menggulingkan Taliban yang merupakan objektif AS sebagaimana dinyatakan oleh penasihat keselamatan nasional negara itu, Condoleeza Rice), Amerika akan membayar harga yang mahal. Meskipun menerima tawaran daripada puak penentang Taliban iaitu pihak Pakatan Utara, kumpulan itu tidak mampu untuk menunaikan cita-cita Amerika kerana ia kehilangan komander tenteranya Ahmed Shah Masood baru-baru ini apabila terkena letupan bom yang dipasang pada kamera televisyen. Beliau meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Memandangkan pakatan itu menguasai kurang daripada 10 peratus wilayah Afghanistan di wilayah timur laut, ia tidak dapat memberi bantuan yang banyak kepada AS. Lagi pula, puak Taliban yang terdiri daripada bangsa Pushtun yang merupakan 65 peratus daripada penduduk Afghanistan mendapat sokongan kuat daripada beberapa wilayah di Pakistan. Terdapat sekurang-kurangnya 20 juta orang Pushtun di Pakistan yang menyokong kuat penduduk Afghanistan. Terdapat juga lebih kurang 2,500 madrasah di Pakistan yang boleh menggerakkan kira-kira dua juta orang pelajar untuk berjihad. Oleh kerana itu, mereka tidak mempunyai masalah kekurangan anggota tentera. Mereka juga mempunyai pengalaman berperang yang merupakan cara hidup dan juga cara mati mereka. Sebaliknya orang Amerika takut mati. Jika kedua-dua pihak ini diukur dengan kekuatan material, nampak bahawa ia berat kepada AS, namun puak Taliban telah mengimbangi kekurangan ini dengan kelebihan keazaman dan keberanian.

Desakan Amerika supaya Taliban menyerahkan Osama bin Laden telah ditolak kerana Washington tidak menyerahkan bukti kukuh mengenai keterlibatan Osama dalam serangan ke atas WTC pada 11 September lalu. Pada 24 September, ketua setiausaha negara Colin Powell mengumumkan bahawa AS akan memberikan bukti “kukuh” mengenai keterlibatan Osama tetapi tidak mahu menyerahkannya kepada Taliban. Persoalannya, sekiranya bukti itu benar-benar “kukuh”, mengapakah Amerika takut untuk berhadapan dengan Afghanistan dengan bukti tersebut? Taliban telah berkali-kali mengatakan bahawa mereka akan menyerahkan Osama untuk diadili di negara Islam jika AS boleh memberikan bukti yang boleh dipercayai. Sebenarnya AS tidak mempunyai sebarang bukti untuk mensabitkan Osama. (Begitu juga mereka tiada bukti apabila mengbom sebuah kilang ubat di Sudan yang dikatakan mengeluarkan senjata kimia.) Tujuan sebenar Amerika adalah untuk menjajah wilayah itu atau sekurang-kurangnya ingin menguasainya bagi menentang Islam dan kehendak penduduk wilayah itu (yang hampir semuanya merupakan orang Islam). Osama dan Taliban hanyalah alasan untuk menutup rancangan itu.

Jika AS “memburu Osama", mereka perlu menggunakan tentera darat dan perlu memasuki rangkaian sulit gua dan terowong di Afghanistan. Gua dan terowong itu telah dibina berbatu-batu ke dalam gunung semasa pendudukan Soviet. Rangkaian ini umpama kota bawah tanah. Tidak mungkin AS dapat menangkap Osama meskipun ia atau wakilnya dapat sampai ke kawasan itu. Bahaya yang lebih besar ialah kemungkinan anggota perisik Pakistan akan membawa mereka ke tempat yang membolehkan Osama ditangkap.

Walau bagaimanapun, tindakan ini tidak akan menyelesaikan masalah AS. Osama hanyalah simbol penentangan umat Islam seluruh dunia terhadap polisi dan objektif AS. Senarai jenayah yang dilakukan oleh AS amat banyak. Antaranya ialah penggulingan pemerintahan sah di Iran pada tahun 1953, serangan ke atas Iraq (tahun 1991 sehingga kini) dan serangan ke atas Sudan (Ogos 1998). Di Sudan, polisi AS menyebabkan kematian lebih daripada dua juta orang yang diakibatkan oleh perang saudara antara wilayah utara dan selatan sejak 1983. Pemusnahan kilang ubat al-Shifa’ telah menyebabkan kematian 150,000 orang lagi sejak 1998.

Walau bagaimanapun, sokongan teguh AS terhadap jenayah zionis di Palestinelah yang membangkitkan kemarahan kebanyakan umat Islam. Persidangan anti-perkauman anjuran PBB di Durban, Afrika Selatan bulan lepas sekali lagi menunjukkan hubungan erat AS dan Israel. Ia juga menunjukkan betapa terasingnya kedua-dua negara itu daripada masyarakat antarabangsa. Namun, faktor-faktor ini tidak akan membuatkan AS mengubah polisi-polisinya. Kebanyakan daripada mangsa polisi ini ialah orang Islam, walaupun ada masyarakat lain yang turut menjadi mangsa. Contohnya AS juga mengamalkan polisi yang tidak kurang kejamnya di Amerika Selatan dan Tengah. 

Semasa memberi justifikasi mengenai tindakan yang akan diambil ke atas Taliban, Powell berkata, pihak Taliban mesti bertanggung jawab di atas serangan yang kononnya dilakukan oleh Osama. Alasan yang sama boleh diberikan terhadap sokongan AS kepada Israel. Jika Taliban boleh dianggap “bersalah” kerana melindungi Osama, maka kesalahan AS kerana menyokong segala jenayah Israel terhadap Palestine dan penduduknya adalah berlipat ganda lebih banyak. Namun, AS mendakwa ia merupakan “broker ikhlas” dalam konflik Israel-Palestine. Tidak nampak yang AS akan mengubah atau berniat untuk mengubah polisinya.

Walau apapun yang berlaku kepada Osama dan Taliban, peperangan AS (sebenarnya peperangan Barat) terhadap umat Islam akan mencetuskan masalah yang sukar atau tidak mungkin dapat dibendung oleh AS. Tidak mustahil perkara-perkara yang menjadi simbol AS di merata dunia akan diserang. Mungkin juga bekalan minyak akan terjejas jika saluran minyak di Timur Tengah diletupkan. AS dan kebanyakan negara Eropah kini berada dalam kemelut kemerosotan ekonomi. Krisis terakhir ini akan menyebabkan keadaan itu menjadi lebih teruk. Adalah lebih baik jika AS mencermin dirinya dan bertanya pada diri sendiri mengapa begitu ramai orang di dunia yang membenci polisinya. Alasan bahawa orang lain mencemburuinya kerana kemakmuran dan “kehidupan senang” yang ditawarkannya adalah tidak memadai. Hakikatnya, AS kini seolah-olah sebuah negara polis: orang awam tidak selamat untuk keluar pada waktu malam kerana ia mempunyai kadar jenayah tertinggi di dunia. Ia mempunyai jumlah tertinggi penghuni penjara (dua juta) dan lebih banyak penjara sedang dibina. Cara AS mentadbir negara itu adalah urusan dalam negaranya, tetapi apabila tindakan dilakukan terhadap rakyat negara lain, ia kini menjadi urusan rakyat negara lain itu juga. Oleh itu, AS tidak sepatutnya terkejut apabila menerima balasan di atas tindakannya terhadap negara lain.

Kita mungkin tidak akan mengetahui perkara sebenar yang berlaku semasa serangan pada 11 September lalu. Walau siapapun yang melakukannya, amat penting bagi para penggubal polisi AS mencari sebab mengapa ada sesetengah pihak yang sanggup melakukan serangan itu. Meskipun George Bush mungkin tidak mampu membuat ulasan dan analisis tersendiri mengenai perkara tersebut, sekiranya mereka mahu tentu boleh dicari pemikir-pemikir di dalam kerajaan AS yang boleh menimbangkan perkara ini secara rasional. Demi kepentingan AS dan kepentingan negara-negara lain, situasi genting ini tidak boleh dibiarkan menjadi lebih getir. Serangan AS ke atas Afghanistan tidak akan mengurangkan malah meningkatkan kebencian orang terhadap AS, polisinya, keangkuhannya dan sikap lewanya yang bersifat tolol, mementingkan diri sendiri dan tidak sensitif.

Sekiranya AS meneruskan niatnya, ia akan berhadapan dengan penduduk yang boleh memberi penentangan setimpal. Sejumlah besar umat Islam mungkin akan terbunuh, namun Islam mustahil dapat dikalahkan. AS tidak mempunyai sifat jati diri, mahu pun keimanan dan kepercayaan untuk memberi inspirasi kepada rakyatnya ke tahap yang boleh diberikan oleh Islam dan al-Qur'an kepada umat Islam.  Lebih baik AS dan sekutu-sekutunya meninggalkan polisi-polisi berat sebelah dan menekan yang diamalkan oleh mereka dan menyelamatkan nyawa rakyat mereka dan juga nyawa rakyat negara lain yang sudah tentu akan dicengkam penderitaan.

Sekiranya peperangan berlaku, Afghanistan bukan hanya akan menjadi Vietnam kedua bagi AS, tetapi mungkin juga menjadi tempat berkuburnya negara kuasa dunia itu.


Diterjemahkan daripada artikel Afghanistan and the world await the US’s response to aircraft attacks, Crescent International, 1 – 15 Oktober 2001. http://www.muslimedia.com/afghan-wait. tm

 Hits: