Panglima Perang Afghan 
(Our  Afghan Warlords)

Jonathan Steele. 
Sabtu  6 Oktober, 2001.   

The Guardian. (http://www.guardian,co.uk/Print/0,3858,4271595,00.html)

Seorang  wartawan TV  kebingungan  ketika meneliti  penggambaran  yang dibuatnya ketika merakamkan karung gandum  yang dipunggah sebagai  bahan makanan yang  disusun menantikan  kemunculan  pelarian Afghan yang  kelaparan dan ketakutan  munculnya serangan  udara Amerika. Rencana itu memang sengaja dibuat secara diam-diam, tidak berapa dikutuk ataupun ada  sesiapa  yang  berani  memulakannya. Tetapi, betapapun membingungkan,  dasar  yang dilaksanakan itu  memang satu dasar  gila.  Orang gila manakah yang  mencadangkan  tindakan  ketenteraan  yang menyebabkan   orang yang  papa kedana  lari  ketakutan  melupakan  rumah tangga  mereka  dan   mengheret  ahli keluarga untuk meredah banjaran gunung  dan dataran padang  pasir   -   untuk berpusu-pusu di pintu masuk Pakistan  dan Iran, yang sudah lama  tertutup  rapat?  Kemudian mereka berkata  anda akan diberikan bantuan bekalan makanan  sebagai lambang  kesucian hati kami  kerana  “kami tidak bermusuh  dengan  anda, tetapi  dengan  regim  yang memerintah anda.”

Belum pun  dilancarkan sebarang  peluru  berpandu   ratusan ribu  penduduk Afghan   sudah pun mula berhijrah.  Bayangkan  bagaimana  berkecamuknya   keperitan dan kekeliruan  yang akan menghantui  mereka   apabila  gelombang pertama  serangan ‘Tomahawks’ dilepaskan untuk  menyerang mereka di sebalik  segala  dasar ‘bom dan mentega’ yang  mereka lancarkan.

Namun, liputan  luas  selama dua minggu di TV itu,  yang  memaparkan kesengsaraan  di Afghanistan tidak pun bererti  tidak  membawa kesan.   Ia  memberikan  ruang untuk  kita berfikir  dan  memberikan  peluang  perasaan membalas dendam  itu  menjadi dingin dan sejuk. Liputan TV itu telah mendidik berjuta manusia  mengenai  keadaan sebenar negara yang  amat  sukar. Satu  generasi  ahli politik muda,  yang tidak berapa pasti di mana Afghanistan  sebenarnya satu bulan yang  lalu, kini sebaik  mendalami pengetahuan mencari perbezaan   antara  Uzbek, Tejik, Hazara  dan  Pashtun. Ada  yang  sudah mula memahami  bahawa   inilah sebuah  negara  yang kerap  berbalah disebabkan  isu etnik yang kerap  bermasalah, penyatuan  suku  kaum dan  hubungan wilayah  di mana kerajaan pusat   sentiasa  berada dalam keadaan  yang  rapuh  dan mudah berpecah belah.

Masa    akan membuktikan    sukarnya  untuk membuktikan  betapa  Osama bin Laden ada terlibat dengan  serangan  ngeri, setidak-tidaknya untuk meyakinkan  seluruh dunia  Islam mengenai penglibatannya.. Mungkin  identiti para  perampas pesawat itu dianggap jelas setakat  ini.   Tempat duduk mereka  dan  pusat  latihan mereka  sejak beberapa tahun yang  lalu sudah  pun diberitahu. Cuma  bahan bukti  bahawa  mereka menerima arahan daripada  Osama  Bin Laden  belum lagi  ditemui. Para askar  sudah lama mati, tetapi kaptennya, apa lagi  para  Jeneral dalam perang  ini, tidak mungkin akan terpalit.

Kerana itu, sasaran  Amerika  tidak lagi tertumpu  kepada   perancang utama yang disyaki. Sasarannya sudah diperluaskan lagi ataupun  dibiaskan agar menyimpang ke  arah sisi.  Kerana tidak pasti  di mana  tempat  persembunyian Osama Laden,  dan terlalu ghairahkan  kejayaannya, Amerika dan  juga  Tony Blair telah  mengisytiharkan  betapa kepimpinan Taliban  harus  menjadi sasaran  yang  sah  juga.  Kalau tidak mengena sasaran  yang tepat  di ‘mata-kerbau’(bull’s eye)  sasaran sipi  seperti  di papan anak-panah   boleh digembar-gemburkan  sebagai  bukti  kejayaan  yang  dicapai.

Tahap perencanaan  tempoh  peperangan yang  dijanjikan itu sudah semakin berubah-ubah. Serangan  peluru  berpandu akan dijadikan hidangan  memacu selera harian sahaja. Hidangan utama  ialah  berbentuk  satu kempen melengkapkan   pasukan   yang anti-Taliban, Pakatan  Utara   (Perikatan Utara)  supaya  mereka mampu mara  untuk  mengambil alih kuasa  di Kabul. Kemudian, bolehlah kita membantu  mereka  menubuhkan satu kerajaan baru yang akan  menerima  kepulangan  Raja Zahir Shah  yang sudah lama digulingkan itu.  Kita bukannya  menakluk  dan menjajah, cuma menerima  satu  jemputan  oleh satu pihak  yang berperang untuk memberikan bantuan.  Kumpulan Pakatan Utara  mungkin tidak mempunyai perwatakan  malaikat.  Sikap mereka  terhadap hak kaum wanita  dan  kemajuan sosial mungkin tidak menyelerakan  tetapi  mereka tidak seburuk  kumpulan Taliban. Inilah yang menjadikan kita  benar-benar  bersifat   kumpulan  pembebasan.

Segala  bunyinya  memang  semacam menyelerakan malahan semacam ada  hikmahnya. Tetapi di situ, terletak kesilapannya.  Saya tidak menjangkakan untuk menjadi   orang lama Afghan. Panggilan semacam itu ada mengimbau zaman penjajahan yang sudah lama dulu. Namun, saya mungkin layak  dipanggil begitu,  kerana  kursus pertama saya  secara intensif bermula di Afghanistan  pada 1981 dulu  dan  saya sudah membuat liputan   dari sana sebanyak enam kali. Setiap kali saya  tiba saya dapat melihat betapa negara itu sudah semakin mereput ke  jurang  peperangan yang semakin  menggila. Ketika  Soviet  menjajah dulu, saya merupakan satu  warga   minoriti yang  berpendirian  betapa kerajaan  yang ditaja  oleh Moscow  pimpinan  Babrak Kamal dan  Najibullah, adalah golongan yang kurang kesyaitanannya  berbanding  segala kerja-kerja  bajingan yang  dilakukan oleh kumpulan mujahidin yang dibantu dan ditaja oleh CIA  dan  M-16, seandainya kumpulan ini berjaya merampas  kuasa.  Mereka  ini telah menghancurkan Afghanistan.   Ketika  komunis menjajah dulu, Kabul tidak pun terjejas oleh  peperangan – dan kaum wanita mempunyai hak asasi  mereka – tetapi apabila  kumpulan Mujahidin  mendekati Kabul mereka telah memusnahkannya.

Gulbuddin  Hekmatyar, seorang  fundamentalis  yang berdarah Pashtun, telah mengbom Kabul selama dua tahun sehingga menghancurkan separuh  bangunan  di bandar itu dan mengorbankan  25,000  orang  awam.  Dia bertindak demikian kerana  mendapat kumpulan Tajik dalam  ‘pakatan’  mujahidin  itu tidak memberikannya kuasa  yang secukupnya. Satu tahun kemudian, Ahmed Shah Massoud,  yang digembar-gemburkan di luar negara sebagai seorang ‘singa’   dan  pemimpin unggul   anti-komunis dan anti-Taliban, telah berperang melawan  puak Shiah  Hazara   dan sekutu  mereka  yang berpusat di Kabul dan mengorbankan banyak nyawa.  Namun dalam satu   corak penonjolan  kejuaraan kuasa panglima perang yang menjadi asam garam  sejarah  Afghan, Massoud, Hekmatyar dan Karim Khalili (pemimpin Hazara)  telah  bersatu  semula  beberapa  bulan kemudiannya.

Cakap  angin  mengenai  “satu kerajaan baru”  di mana  bekas raja   akan dijadikan lambangnya  bukannya satu  cerita  baru. Beberapa perwakilan PBB  telah   meluru ke istananya di  Rome pada 1988,  meminta  beliau pulang  mengambil alih tampuk pemerintahan sebaik sahaja Soviet  bersetuju  menarik  diri. Rencana itu gagal  kerana raja itu sendiri yang tidak bersedia   memimpin Lagipun  kaum Pashtun tidak pun   memberi penghormatan kepadanya, apatah lagi  kaum bukan Pashtun  dan  puak mujahidin. Namun, Washington masih yakin  dapat  membantu  kepulangannya  walau pun  ini   bererti  memberikan peranan kepada  kumpulan bekas  komunis.

Akan tetapi, idea  yang paling  terserlah ketika  zaman  kegelapan dulu  telah dikemukakan oleh  Amerika. Ketika  perundingan  Geneva  berjaya  mendesak Soviet mengundurkan diri,  tercetus isu  pembekalan  senjata  sebaik sahaja  Russia berundur. Soviet Russia  ketika itu mahukan  hak  untuk terus  membantu  boneka  mereka di Afghanistan, Najibullah, dan  meminta  agar Amerika, Arab Saudi  dan Pakistan tidak membekalkan  senjata  kepada  kumpulan pejuang  Afghanistan. Ketua Setiausaha Negara Amerika ketika  itu, George Shultz telah mencadangkan  konsep  berdiam diri dan melancarkan  ‘negative  symmetry’( sama-sama menafikan).. Kedua pihak  tidak lagi membekalkan senjata  kepada  puak yang  mereka  sokong  dulu.

Sekarang ini, tibalah masanya kita mengamalkan konsep  ‘sama-sama menafikan' itu. Dari mengambil sikap membekalkan kelengkapan perang  yang baru kepada Pakatan Utara, seperti yang dilakukan oleh Russia  dan  Iran, dan  seperti yang dicadangkan  oleh AS,  seluruh dunia  harus  menyatakan ‘yang sudah itu sudahlah!’.  Pakistan harus  juga ditekan agar tidak membekalkan  senjata lagi kepada puak Taliban. Tidak ada  satu  gerakan sekatan senjata  yang dapat  terlaksana  di negara  seperti Afghanistan yang  mempunyai kawasan sempadan  yang amat  terbuka.   Adalah lebih baik meminta   pasukan yang  sibuk berperang-saudara   mencapai kata  sepakat  menghentikannya  dan menafikan  mereka kelengkapan perang.  Usaha  ini lebih baik   berbanding  strategi Washington mengalahkan  Taliban dengan  membekalkan  puak penentangnya   dan membantu mereka mengbom serta  menyerang  kubu Taliban dengan peluru  berpandu.

Orang  asing telah  masuk campur   dalam politik Afghanistan untuk satu tempoh yang panjang  dengan  kesan  yang sungguh  mengaibkan. Negara itu  penuh dengan kelengkapan perang  dan sudah pun berkeadaan padang jarak padang tekukur.  Usaha PBB  untuk mencapai pakatan  politik, yang  telah digerakkan semula  empat tahun yang  lalu, perlu ditumpukan dalam pencarian  satu struktur  persekutuan   di mana  kumpulan  etnik  dan wilayah diberikan  autonomi yang lebih  besar lagi. Harapan akan wujudnya satu  kerajaan pusat di negara  yang begitu  berpecah dan   tertekan adalah satu ilusi semata. Sebarang usaha untuk melancarkan  serangan udara  dan  pembekalan lebih banyak senjata   adalah rencana yang paling  silap untuk   memulihkan  negara.

tamat

Hits: