Penghakiman  15 Oktober 2001

(15th October 2001 -  Day of Judgment for Federal Court)

oleh Spirit  of Truth

 

(artikel asal ada  di Marhaen Edisi Sabtu)

 

 

Rayuan Habeas Corpus  kumpulan Reformis  yang akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan  akan  menentukan   tahap kebebasan dan  martabat  badan kehakiman  negara,  yang tercemar  sejak perlucutan jawatan  ketua Hakim negara  Tun Salleh  Abbas  pada  1987. Para  mangsa  tahanan ISA  yang  tidak  bersalah: Ezam, Tian Chua, Lokman Adam, Hishamuddin Rais, Saari Sungib; adalah amat jelas sejelasnya  mengikut  pengadilan rakyat  jelata.  Setiap insan  yang  berpengetahuan  dan  berfikiran   waras   amat  sedar  betapa  penangkapan dan penahanan  mereka  semua  telah direncana  di bawah tipu muslihat  mereka  mencetuskan  politik militan itu, sebagai  satu  pembohongan  semata-mata.

 

ISA  digunakan terhadap Reformis  kerana  Mahathir  tidak ada   bukti  yang  meyakinkan

 

 

Semua orang tahu betapa tergugatnya  kedudukan   Mahathir oleh  keberanian para  Reformis ini,  kerana  mereka   berjaya menyedarkan rakyat jelata  akan segala  jenayah dan  kerakusan  Mahathir  sehinggakan  kebanyakan rakyat Malaysia akur  betapa  Mahathir  adalah   penjenayah  politik yang pintar   memutar belit. Kesedaran rakyat  ini telah  memesongkan sokongan terhadap   Mahathir dan UMNO  untuk beralih memihak pihak  pembangkang.  Inilah yang menakutkan Mahathir dan para jongosnya, sehingga  mencari jalan  untuk  mengenakan  wirawan muda  ini secara menumpulkan  bisa  pengaruh mereka.  ISA  merupakan kaedah  terbaik untuk Mahathir  setelah  menyedari  betapa rakyat  Malaysia  menentangnya sambil lewa  sahaja. Lantas,  Mahathir tidak teragak-agak   menyalahgunakan  akta  zalim itu berselindungkan   falsafah  keselamatan negara, yang  sebenarnya  merupakan satu  jaringan  keselamatan   untuk  dirinya.

 

Badan kehakiman  seharusnya  tidak  mudah ditekan oleh  penzalim

 

Cara  Mahkamah Persekutuan  yang dipimpin oleh  Ketua  Hakim Negara   mentadbir kehakiman  akan  merupakan satu  ujian   besar  dalam  sistem  kehakiman  Malaysia. Seandainya  mereka gagal  membebaskan   mangsa yang tidak bersalah  dan wirawan muda  yang berkorban  segalanya  untuk  mempertahankan  kedaulatan  undang-undang, bererti  badan kehakiman  sudah  tempang, kurang  berkesan  dan  bersalah.  Seandainya  keadilan masih  wujud,  bererti  kebebasan  mesti  dipelihara dan  para Reformis  mesti dibebaskan. Mahkamah Persekutuan perlu  mendedahkan kebenaran, walaupun kebenaran itu  dianggap lebih   pahit  kepada  Mahathir  dan  pasukan  yang berkonspirasi dengannya, yang  termasuk polis,  satu  pasukan yang kebelakangan  ini  menjalankan tugas terbaru  berkhidmat  kepada  UMNO  dan  Mahathir  dan  mengabaikan  kepentingan  rakyat  jelata. Badan kehakiman  negara  mesti  bersikap  tegas, mencari  kebenaran  dan  memastikan  keadilan  akan  tetap menjadi  juara.

 

Campurtangan  Eksekutif   memusnahkan  negara

 

Eksekutif  negara  mestilah  bertindak   mengikut  bidang kuasa   yang ditetapkan   oleh Perlembagaan  negara,  dengan mematuhi doktrin  yang   menjelaskan pengkhususan   bidang kuasa  yang  menghormati demokrasi, tanpa  meracuni  keadilan dengan  ugutan, ketakutan, sogokan, ugutan dan mengaibkannya.  Rakyat  dapat  mengesan dengan cepat  apakah  keadilan  negara  telah  melutut  kepada Eksekutif, kerana sejak tercetusnya kes Lim Guan Eng  dan Anwar Ibrahim,  yang  sengaja  didalangi kerajaan, telah  menyebabkan rakyat sedar akan proses  kehakiman  itu. 

 

Seandainya mahkamah bertindak untuk  memperakukan  penahanan  itu, maka  sedarlah  kita  nanti  bahawa  mahkamah itu pun sudah gagal dengan  tugasnya, dan  telah tunduk kepada  pengaruh eksekutif   untuk  menjadi mangsa  kezaliman regim  Mahathir.

 

 

Kebencian terhadap kerajaan akan meningkat  seandainya  Mahkamah Persekutuan  tunduk kepada  Mahathir.

 

 

Walaupun Mahathir pura-pura   tidak tahu  akan  kebencian rakyat  terhadapnya,  sambil  memilih   untuk  pura-pura  mengenepikannya,  sedangkan dia  terus  memutar belit dan memenangi  pilihan raya,  kebencian  yang  semakin  membengkak   disebabkan  penghakiman  yang  didalanginya,  akan  mempunyai  kesan  buruk yang  dahsyat  yang berkemungkinan  mencetuskan  gerakan bawah-tanah  untuk  menghancurkan  regimnya  yang  degil itu. Hanya  masa yang menjadi penentu  apabila  seseorang   di kalangan rakyat yang tidak dapat bersabar lagi  menghambat  Mahathir  secara  bersendiri. Badan kehakiman negara  mestilah  bertindak  mengelakkan perkara  begini  daripada berlaku dan  mesti  tentukan  bahawa kebebasan itu  diberikan  kepada  rakyat  untuk  membanteras  kepimpinan  yang  tidak adil,  zalim,  dan  menyalahgunakan  kuasa.

 

Kita  mendesak  para hakim yang bijaksana  untuk  menggunakan  kejujuran yang paling  unggul  dalam  mempertahankan keluhuran  undang-undang. Janganlah  mudah akur  kepada  ugutan  eksekutif,  ataupun  mudah termakan umpan kesenangan dunia   untuk  mencemarkan  tugas  kearifan  membebaskan  mangsa  yang  tidak berdosa  daripada  didakwa  oleh  sebuah regim  yang  zalim tetapi  semakin  menakut yang dipimpin oleh  Mahathir.

 

 

Semangat  kebenaran

6.10.01

Hits: