Kewangan Kerajaan Negeri Sabah Kritikal?

Prakata: Inilah hakikat yang rakyat mesti sedari. Hampir ke semua negeri-negeri yang diperintah oleh BN memiliki hutang yang banyak. Kedah umpamanya berhutang melebihi RM700 juta dan Terengganu semasa ditinggalkan oleh BN kepada PAS mempunyai kedudukan hutang RM700 juta. Negeri Perak berhutang melebihi 1 bilion pada hal adalah antara negeri yang terkaya, yakni memiliki hasil hutan dan galian yang cukup melimpah ruah. Atas dasar ini rakyat mulai sedar bahawa kekayaan negeri dan seterusnya negara telah diselewengkan. Bayangkan semenjak 1998 Baitulmal negeri Perak tidak membuat laporan kewangannya dan mengikut maklumat yang ada anggaran wang yang 'hilang' dalam penyelenggaraan badan itu berjumlah sekitar RM5juta. Inilah yang seharusnya rakyat sedar bahawa kehilangan wang berjuta RM dalam LUTH bukan sesuatu yang mengejutkan. Sebaliknya negeri Kelantan semenjak ditadbir oleh pemerintahan PAS sudah ada tabungan berjumlah ratus juta RM!. Sebagai meneliti fakta kedudukan kewangan negeri Sabah artikel ini diharap membawakan mesej yang tepat mengenainya untuk rujukan kita.~ webmaster

Pada satu ketika dulu, tahun 70an dan 80an Sabah adalah antara negeri-negeri di Malaysia yang dikatakan membangun dan kaya. Kerana hasil balaknya, minyak, lombong mamut, ladang sawit, koko dan lain-lain. Pelbagai pembangunan dapat dilihat di sana sini di seluruh negeri. Para pelajar Sabah juga mendapat jolokan sebagai keturunan orang kaya kerana mendapat biasiswa semasa belajar di Semenanjung dan juga di luar negeri. Walaupun sebahagian pelajar yang mendapat biasiswa Yayasan Sabah itu adalah daripada keluarga miskin/sederhana. Dan penulis sendiri merupakan bekas pelajar Sabah yang pernah menikmati biasiswa Yayasan Sabah di zaman kerajaan Berjaya/BN dulu.

Sejak kebelakangan ini ekonomi Sabah, khususnya kewangan kerajaan negeri dalam keadaan kritikal. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Haji Ag. Tengah, Timbalan Ketua Perhubungan KeADILan Sabah semasa berdialog di majlis makan malam bersama pemimpin BA yang dihadiri oleh Ketua Pembangkang Malaysia, YB Dato Fadzil Nor dan Setiausaha Agong Pas, YB Ustaz Nasaruddin di Kota Kinabalu.

Dedah Haji Ag. Tengah, bahawa kerajaan negeri Sabah terpaksa mengemis kepada Yayasan Sabah untuk membayar hutang projek kerajaan kepada kontraktor-kontraktor. Tambahnya, untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri pun, kerajaan negeri di bawah parti UMNO/BN Sabah berkeadaan sukar. Tambah beliau, keadaan ini berlaku adalah disebabkan salah urus, pembaziran, pentadbiran tidak amanah, tidak cekap dan dipengaruhi oleh kepentingan orang politik yang berkuasa. Selain itu, amalan penswastaan yang tidak telus terhadap beberapa agensi kerajaan negeri yang tidak bermasalah seperti Ladang Sawit.

Berkaitan dengan kenyataan ini. Penulis teringat dalam satu taklimat oleh pegawai dari kementerian kewangan negeri beberapa tahun sudah yang berkaitan dengan pemberian bonus oleh kerajaan persekutuan kepada kakitangan persekutuan. Kata pegawai itu, diumumkan saja oleh Menteri Kewangan Persekutuan, kami di pejabat kewangan negeri bersilat, maksudnya sebagai membayangkan kewangan negeri Sabah memang kritikal untuk membayar bonus seperti itu.

Dan banyak lagi isu-isu tempatan Sabah seperti hilangnya Sabah Bank ditelan oleh Alliance Bank, SLDB, isu balak dan sebagainya. Semua ini menuntut kepada kerajaan negeri Sabah pimpinan Datuk Chong Kah Kiat supaya lebih telus dalam pentadbiran demi untuk rakyat dan negeri Sabah. Bukan semata-mata menjaga kepentingan elit politik, tauke dan kroni para pemimpin besar BN Sabah atau BN Kuala Lumpur.

Ibn Sabah,
9.10.2001M.

Hits: