WUJUDKAN SEMULA SISTEM KHILAFAH

Satu permasalahan umat Islam yang terbesar kebelakangan ini ialah kegagalan mereka untuk bersatu di bawah panji-panji Islam. Mereka tidak dapat bersatu dalam banyak perkara. Memang perbezaan pendapat dibenarkan dalam Islam sehingga lahirnya berbagai-bagai mazhab, tetapi penyatuan umat Islam bukan sekadar perbezaan mengenai mazhab itu, khususnya mazhab fiqhiyyah, penyatuan umat jauh lebih penting dari itu.

Hizbut Tahrir dalam memberikan kata duanya kepada kerajaan Indonesia pimpinan Megawati mencadangkan agar semua orang Islam dari segenap lapisan berusaha kembali mewujudkan Khalifah Islam, yang sudah pun dikuburkan oleh Mustafa Kamal Attartuk di Turki di sekitar tahun 1924. Ketika Khalifah masih wujud kita dengar orang-orang Barat takut dan hormatkan Islam dan Turki. Tetapi kini umat Islam berpecah-belah kepada berbagai kumpulan dan mazhab. Sejak peristiwa hitam yang melanda Amerika pada 11 September yang baru lalu, kita lihat umat Islam tidak sepakat dalam menghadapi musuh bersama umat Islam ;iaitu Amerika dan sekutunya. Sebahagian besar pemimpin-pemimpin negara umat Islam menyokong tindakan Amerika menyerang Afghanistan dan Kerajaan Taliban yang dituduh US melindungi Osama bin Laden, orang yang paling disyaki mendalangi peristiwa 11 September yang hitam itu. Hanya sebilangan kecil yang tidak menyokong tindakan Amerika itu.

Kelihatan umat Islam tidak sependapat memanglah jelas. Tidak sependapat dalam masalah fiqh adalah perkara biasa dan dibenarkan dalam Islam atas sifat syariat itu sendiri. Tetapi tidak sependapat terhadap musuh yang cuba memusnahkan negeri atau negara umat Islam sedangkan jelas ia adalah musuh adalah satu perkara yang luar biasa  sifatnya. Soal pokoknya adalah umat Islam tidak bersatu padu sehingga diperkotak-katikkan oleh Amerika dan negara-negara Barat. Bayangkan Afghanistan yang baru sahaja selesai berperang dengan Russia kini terpaksa pula menghadapi Amerika. Memanglah Amerika tidak berhati perut sebab dia negara kuffar dan didalangi oleh Yahudi yang menguasai sebahagian besar ekonomi US. Tetapi apakah negara-negara umat Islam yang lain juga tidak berhati perut?. Ke manakah kemanusiaan telah dicampakkan oleh mereka?. Tidak timbulkah perasaan belas kasihan apabila Afghanistan yang seagama dengan mereka dibiarkan begitu rupa, dijadikan bahan ujian oleh senjata-senjata canggih dan moden Amerika. Di manakah perasaan umat Islam?

Kita tahu banyak negara-negara umat Islam yang simpati, dan sokongan mereka ke atas Amerika adalah disebabkan beberapa perkara yang sudah umum diketahui seperti takutkan sekatan ekonomi, takut tidak dapat bantuan kewangan, sekatan perniagaan dan sebagainya. Tetapi tidakkah mereka sedar, di negeri-negeri umat Islamlah banyaknya hasil bumi ini yang dianugerahkan Allah. Sepatutnya kitalah yang menyekat Amerika dan tidak menjual minyak, sawit dan sebagainya yang terdapat di negara-negara umat Islam.  

Kembali kita renungkan cadangan Hizbut Tahrir tadi yang mencadangkan agar dikembalikan semula sistem kekhalifahan untuk dunia Islam supaya umat Islam dapat bersatu kembali. Cadangan itu ada logiknya, bahkan Dr.Yusoff AlQardawi sendiri berpendapat sedemikian dalam sebuah tulisannya Kesatuan Umat: Antara Realiti dan Harapan. Kesatuan umat Islam hanya akan dapat dicapai sekiranya jawatan dan sistem kekhalifahan dapat diwujudkan semula. Bahkan AlQardhawi berpendapat bahawa adalah fardhu kifayah bagi umat Islam mewujudkan kembali Khalifah Islamiyyah, jika tidak umat Islam seluruhnya menanggung dosa akibat ketidakwujudan sistem kekhalifahan.

Dan di saat-saat seperti ini, di saat umat Islam disembelih oleh regim Amerika dan sekutunya, ketiadaan Khalifah Islam itu kian terasa, kerana umat Islam tidak lagi dapat bersatu walau pun sedang menghadapi musuh umat Islam nombor wahid. Dengan begitu setiap Muslim haruslah menyumbangkan tenaga dan upaya, masa dan wang ringgit, jiwa dan raga agar Khalifah Islam muncul kembali di persada dunia Islam, yang bakal menjadi kata pemutus bagi setiap permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam pada waktu kini dan akan datang.  

AlKundangi,
11.10.2001 

Hits: