Politik Di Malaysia: Antara Demokrasi, Kebebasan, Hak Asasi Dan Sekatan

Kerana gara-gara kebangkitan rakyat yang menyuarakan kalimat keramat yang menyegar keinsafan 'reformasi', menyokong dan menyuara keadilan dan suara 'politik baru'. Kerana merosotnya sokongan rakyat kepada UMNO/BN dan kepimpinan Dr Mahathir Mohamed dalam pilihan raya ke 10 pada November 1999 yang lalu, maka untuk kesekian kalinya politik Malaysia bergolak dan dilanda kegawatan. Sebagaimana getus mantan TPM Tan Sri Musa Hitam, tentang politik di Malaysia baru-baru ini. Katanya, pendek tapi padat 'banyak susah'. Memang benar politik Malaysia di bawah bayang-bayang 'kuasa' UMNO/BN berketuakan Dr Mahathir menyusahkan dan menyempitkan nafas demokrasi yang menjadi amalan kita sejak berpuluh-puluh tahun itu. Terutama parti-parti pembangkang, politikus pembangkang, pemimpin pembangkang, rakyat, penyokong, ahli-ahli, pendokong dan NGO's yang bersimpati terhadap perjuangan pembangkang di Malaysia tidak mudah bagai dikata. Tersepit, dijepit dan disekat dengan pelbagai cara yang cukup bersistematik oleh konspirasi tertinggi yang bersekongkol dengan penguasa politik berjenama UMNO/BN. Dengan nama-nama indah dan topeng keamanan, ketenteraman awam, keselamatan dan lain-lainnya. Apa yang membimbangkan rakyat dan pencinta demokrasi di Malaysia ialah motif sebenar tindakan penangkapan, fitnah, tuduhan dan juga tohmahan terhadap individu, pemimpin dan para simpatis perjuangan pembangkang di Malaysia akhir-akhir ini. Namun, kita masih menaruh harapan serta berdoa agar tidak akan berlaku suatu tindakan yang lebih dahsyat oleh penguasa politik rakus, zalim terhadap politik dan demokrasi akibat tindakbalas over react yang melampau atau sikap bertindak balas secara membabi buta.

Demokrasi Yang Sakit, Luka Dan Semakin Parah

Amalan demokrasi sebenarnya di Malaysia semakin menuju kemalapan atau digerhanakan oleh tindakan-tindakan politik yang songsang dilakukan oleh para pemimpin BN yang ditunjangi oleh UMNO pimpinan Dr Mahathir. Politik dan demokrasi di Malaysia sakit, luka dilukaparahkan oleh Mahathir dan klonnya Pak Lah dan tidak mustahil sakit demokrasi Malaysia akan bertambah tenat, akhirnya akan dimatikan dalam era UMNO/BN pimpinan Mahathir and kroni's. Tunggu dan lihat, kecuali pemikiran rakyat majmuk Malaysia benar-benar terbuka dan terlepas bebas dari cengkaman pemikiran tahyul lagi berkhurafat yang ditanam lama oleh UMNO/BN lebih 40 tahun itu.

Sakit 'demokrasi' di Malaysia tidak mungkin ia dapat diubati oleh seorang doktor yang sedang sakit juga. Luka parah amalan demokrasi juga lebih mustahil untuk dirawati oleh doktor yang sakitnya juga lebih parah di hospital 'gila' di singgahsana Putrajaya itu. Kebanyakan kepimpinan BN yang bertitel doktor adalah doktor-doktor yang sedang sakit yang diketuai oleh pengerusinya sendiri. Mereka sakit jiwa, kerana dilanda gelombang ombak kesedaran rakyat yang mahukan perubahan dalam dunia politik Malaysia.

Yang pasti rakyat Malaysialah yang wajar mencari dan memilih siapa doktor 'politik' Malaysia yang berkelayakan untuk memulihkan kesakitan atau luka parah politik dan amalan demokrasi di Malaysia hari ini. Mengharapkan BN dan kepimpinannya yang ada hari ini, jelas mereka juga diserang atau dijangkiti penyakit 'gila'. Gila kuasa, gila harta, gila pangkat, gila projek, gila mahligai, gila mega, gila nama, gila kezaliman, gila keganasan, gila KMM dan gila..gila macam-macam lagi kegilaan mereka. Jadi, adalah sangat mustahil orang gila boleh menguruskan urusan orang atau rakyat yang bijak dan waras.

Tanda sakitnya 'politik' dan amalan demokrasi di Malaysia. Satu, ialah sekatan bersuara kepada rakyat dan pembangkang. Rakyat dilarang berkumpul untuk mendengar para pemimpin mereka menjelaskan isu-isu semasa yang relevan, para pemimpin pembangkang yang tidak ada stesyen TV dan radio dilarang berceramah secara aman di tempat-tempat yang terkawal atau markas-markas parti atau di rumah persendirian. Kedua, undang-undang dan pelbagai akta ditafsir secara sempit bagi menyekat rakyat dari bersuara dan mengamal demokrasi secara bebas mengikut lunas-lunas yang dibolehkan oleh Perlembagaan, hak asasi dan demokrasi itu sendiri. Ketiga, sekatan terhadap media pembangkang secara tidak bertamadun dan jauh dari semangat Perlembagaan, hak asasi manusia dan amalan demokrasi. Penulis, penerbit, pencetak, pengedar, pembeli, pembaca dan rakyat diburu, diugut, ditakut-takutkan, ditahan, ditangkap, direman, dilokapkan, didera, dipukul dan pelbagai lagi penyeksaan bagi tujuan menyekat kebebasan rakyat dari menyatakan kebenaran, mencari keadilan dan menuntut hak-hak yang sepatutnya secara halal menurut Perlembagaan dan undang-undang. Ke empat, penyalahgunaan polis oleh parti kerajaan UMNO/BN. Polis seperti pelaksana kepada arahan yang berkepentingan atau atas nama politik UMNO/BN. Sering kali kita dengar keluar dari mulut dan lidah polis sewaktu hendak menyuraikan atau melarang atau membatalkan permit perhimpunan, ceramah atau majlis-majlis politik, bahkan bersolat hajat dan lain-lain lagi. Mereka (para polis) akan berkata 'arahan atasan' atau 'kamipun cari makan'.

Politik, Demokrasi Dan Keganasan

Nampak benar percaturan politik 'jahat' UMNO/BN terhadap parti-parti pembangkang dalam negara ini. Para pemimpin UMNO/BN seperti sengaja tidak tahu membezakan di antara amalan demokrasi dengan keganasan. Malah mereka putar-belitkan maksud demokrasi dengan ekstremis, keganasan dan gerakan di bawah tanah. Mulalah para pemimpin UMNO/BN mereka-cipta berbagai-bagai nama atas maksud ganas seperti tragedi Sauk, pergaduhan di Taman Medan, di Kelang, militan, mujahidin, KMM, gerakan bawah tanah, demonstrasi jalanan, demonstrasi merancang menjatuhkan kerajaan dan banyak lagi. Semua itu hendak dikaitkan dengan parti-parti pembangkang terkuat di Malaysia sekarang terutama dengan PAS dan KeADILan atau gabungan BA. Mereka seret para pelajar, juga beberapa pensyarah di universiti dan kolej dengan maksud tersirat yang menghala nawaitu 'politik gelabah' dan akhirnya dengan matlamat mencari kambing hitam.

Tendensi atau sikap kurang senang para pemimpin UMNO/BN terutamanya diri Dr Mahathir terhadap PAS dan perjuangan PAS yang berintikan perjuangan politik Islam dan dakwah sudah lama berakar, berumbi dalam jiwanya sebelum bergelar PM lagi. Ini terbukti dengan peranannya dalam keributan politik Kelantan tahun 1978 dulu, sehingga PAS jatuh tersungkur, semua orang politik sama ada dalam UMNO sendiri, para pemerhati dan pengkaji politik, apatah lagi kepada orang-orang PAS. Licik, buruk dan jahatnya nawaitu 'politik' Dr Mahathir kepada PAS. Hingga ke hari ini, dendam, tendensi dan kecurigaan Dr Mahathir terhadap PAS tidak pernah padam. Walaupun, pada satu ketika dulu dia pernah mendapat ehsan berceramah di atas pentas PAS, ketika dia dipecat daripada UMNO zaman Tuanku Abdul Rahman al-Haj.

Pelbagai istilah negatif, keganasan dan rupa wajah buruk itu diperkaitkan dengan PAS dan BA. Ahli-ahli PAS, pemimpin PAS, guru, pensyarah, pelajar dan aktivis yang cenderung atau pro kepada PAS dan juga BA yang tetap dengan pendirian politik secara demokrasi. Mahu lawan UMNO/BN secara demokrasi dan bergiat dalam organisasi sah seperti PAS cuba dikaitkan dengan isu-isu baru yang mereka (UMNO/BN) sendiri ada-adakan dengan Sauknya, KMM, gerakan bawah tanah, menjatuhkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan dan lain-lain lagi.

Nah, kebetulan pula tragedi pengeboman dua bangunan kembar World Trade Centre dan Pentagon yang menjadi kemegahan Amerika pada 11 September lalu. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh Dr Mahathir dan kroninya. Apatah lagi cara pemberitaan di peringkat antarabangsa yang sememangnya dikuasai Yahudi dan golongan anti-Islam, mereka membesar-besarkan kononnya pengeboman itu didalangi oleh Osama bin Laden seorang jutawan berbangsa Arab dan Islam. Sehingga masyarakat dunia dan antarabangsa lupa kepada keganasan yang Amerika lakukan ke atas Iraq, Vietnam dan Iran, keganasan Israel ke atas bangsa Arab dan juga umat Islam Palestine, keganasan Serbia ke atas bangsa Bosnia dan umat Islam di Bosnia Herzegovina yang terpahat kukuh dalam tinta sejarah umat manusia. Darah yang mengalir, jiwa yang jadi korban dan nyawa yang hilang bukan angka ratusan, juta malah sudah ratusan juta umat Islam menjadi korban keganasan yang didalangi oleh kuasa barat yang berjeneralkan Amerika.

Cukup pelik dan melucukan, betapa cara pemberitaan di Malaysia juga terikut-ikut rentak jahat Yahudi dan barat yang memang berniat jahat kepada umat Islam dan mana-mana negara umat Islam di seluruh dunia. Lebih mereka anti apabila negara itu didiami oleh umat Islam yang benar-benar ingin melaksanakan peraturan syariat Islam secara telus mengikut kehendak al-Qur'an dan Sunnah sebenar. Bukan sekadar Islam yang disadur-sadurkan atau ambil satu ajaran/nilai Islam ditampalkan pada mana-mana dasar sekular, kemudian diisytihar itulah Islam sebenar. Pemberitaan cara RTM, TV 3 dan juga akhbar-akhbar utama negara ini dalam isu keganasan yang mereka kaitkan dengan PAS, KeADILan dan juga BA sudah jelas melihatkan niat jahat UMNO/BN.

Pendek kata, UMNO/BN, Dr Mahathir, Pak Lah dan seluruh kepimpinan BN mahu dunia dan rakyat Malaysia percaya, bahawa PAS dan BA adalah kumpulan ganas, ekstrim dan jahat. Dan apabila rakyat Malaysia serta dunia seluruhnya sudah percayakan fitnah mereka, senanglah mereka untuk terus berkuasa di Malaysia. Tiada lagi parti pembangkang kuat yang akan memberikan cabaran politik yang bakal menggugat kuasa politik mereka di Malaysia. Mereka (UMNO/BN) mahu menanamkan satu khurafat dan kejahatan, keganasan dan perkara negatif itu dalam benak pemikiran hatta jiwa hati rakyat Malaysia bahawa yang ganas, jahat dan hendak jatuhkan kerajaan UMNO/BN secara ganas itu ialah pembangkang PAS dan BA. Itulah sebenarnya niat buruk lagi sangat prejudis para pemimpin UMNO/BN berkepalakan Dr Mahathir dan Pak Lah.

Kebebasan, Hak Asasi Dan Amalan Demokrasi Yang Terlarang

Hujah dan helah dicari siang malam. Akhirnya mereka para pemimpin UMNO/BN seperti sudah mendapat banyak hujah atau helah itu bagi menyekat amalan demokrasi, kebebasan dan hak asasi rakyat. Atas nama-nama yang indah, manis dan lunak. Atas nama keselamatan, keamanan, ketenteraman dan atas nama kebebasan serta hak asasi manusia. Benar-benar mereka putar-belitkan semuanya demi menjaga survival kuasa dan kedudukan mereka di pentas politik Malaysia. Rakyat menjadi terpukau kaku mendengar, menonton ucapan para pemimpin UMNO/BN sama ada di TV atau yang disiarkan dalam media cetak pengampu dan penjilat mereka. Segala yang terkeluar dari mulut pemimpin UMNO/BN, walaupun lebih banyak fitnah, tipu helah dan pendustaan dengan mudah diterima oleh rakyat yang buta politik dan mereka yang tidak terbuka minda dan hati.

Sehubungan dengan itu, kita meminta rakyat Malaysia agar dapat menilai kebenaran sesuatu isu yang dimainkan oleh para pemimpin UMNO/BN. Bahawa sesuatu yang hendak dilabelkan ganas, KMM, ekstrim dan sebagainya hanya akan dianggap benar setelah dibuktikan dengan terang atau secara ilmiah dan kalau ia perlu kepada mahkamah mesti dihadapkan kepada pengadilan dengan seadil-adilnya. Dan mesti dalam perjalanan sebuah sistem kehakiman yang benar-benar menjamin hak dan keadilan dapat tertegak secara adil dan betul.

Maka dengan ini kita menuntut kepada semua dan meminta rakyat berfikir secara bebas, matang dan bijaksana melihat senario perkembangan atau perjalanan politik di Malaysia dari kaca mata yang betul. Jauhi prasangka yang bukan-bukan, dengan hanya mendapat satu dua maklumat dari pihak UMNO/BN yang belum dipastikan kesahihannya kita sudah membuat keputusan muktamad, tanpa membandingkan sumber maklumat dari pihak lain yang kebenarannya lebih banyak. Rakyat harus memahami bahawa kebebasan, hak asasi dan demokrasi tidak harus berada di bawah telunjuk orang-orang politik atau mereka yang berkepentingan diri atau kroni. Sebab kebebasan, hak asasi dan demokrasi adalah suara dan gema bicara yang lahir dari batin fitrah dan naluri manusia dan kemanusiaan sejagat. Kebebasan tidak boleh ditunjukaturkan oleh orang politik. Kebebasan tidak wajar dikankangkan di bawah kekangan kepentingan orang politik. Tapi ia menjadi hak semua rakyat Malaysia. Kita bebas menilai, memilih dan mencari kepimpinan yang terbaik, amanah, telus dan berwibawa untuk rakyat dan negara ini.

Begitu jugalah, hak asasi dan demokrasi adalah milik rakyat. Bukan untuk penguasa sahaja. Justeru, hak asasi dan demokrasi tidak boleh diletakkan di bawah telunjuk orang politik yang berkepentingan semata-mata hendak meneruskan kuasa politik, survival politik, kuasa dan kedudukan dirinya, kroni atau kelompoknya. Apabila ini yang terjadi, yang derita rakyat dan umat yang dipimpin. Kerana penguasa akan sesuka hati menekan, menindas dan menzalimi rakyatnya yang ingin menuntut hak asasi, kebebasan dan demokrasi. Inilah yang berlaku sekarang di bumi Malaysia, rakyatnya bangkit mengelombangkan badai sebuah kesedaran 'politik baru' untuk menolak pantai kuasa elit 'politik' yang bergelumang dengan kemungkaran kerja-kerja politik, rasuah, pembaziran, penyelewengan, salah guna kuasa dan amalan nepotisme, kronisme dan sebagainya yang semakin bermaharajalela dalam kebanyakan sistem negara di bawah pemerintahan kerajaan UMNO/BN.

Dengan itu, atas nama demokrasi, kebebasan dan hak-hak asasi yang dibenarkan dan dihalalkan oleh Perlembagaan dan juga undang-undang. Rakyat berhak untuk menyatakan tuntutan naluri serta fitrah sebagai rakyat yang bebas lagi merdeka bagi mengamalkan hak asasi, kebebasan dan demokrasi itu tanpa sekatan yang sengaja dibuat-buat oleh penguasa dan golongan elit 'politik' yang ketakutan hilang kekuasaan, pangkat, kedudukan dan kemewahan hidup yang mereka kecap selama ini dengan menyalahgunakan kuasa. Syarat utama rakyat bersuara, ingin mengamal tuntutan demokrasi dan menikmati hak asasi sebagai rakyat yang merdeka adalah di atas lunas-lunas Perlembagaan Negara dan amalan demokrasi. Rakyat tidak mengganas, pembangkang tidak mengajak rakyat rampas kuasa secara ganas itu. Sebagaimana mimpi di siang hari para pemimpin UMNO/BN, apabila rakyat berdemo secara aman mendesak pemimpin yang rasuah dan menyeleweng turun dari takhta, mereka kata rakyat dan pembangkang mahu jatuhkan parti kerajaan secara demonstrasi atau ganas. Itu hanya mimpi para pemimpin UMNO/BN.

Mengamalkan demokrasi, kebebasan dan menikmati hak asasi adalah hak rakyat termasuklah segala bentuk amalan atau nilai yang boleh menyuburkan demokrasi dan hak asasi itu harus dibenarkan, dijamin dan dilindungi. Ia juga adalah hak rakyat dan bukan semata-mata hak kepunyaan penguasa atau elit 'politik' UMNO/BN. Dan bukan juga merupakan satu bentuk ehsan penguasa elit 'politik' kepada rakyat Malaysia yang merdeka. Kita tidak ingin melihat akan terjadi suatu keadaan di mana rakyat atau pembangkang di Malaysia seperti kumpulan pengemis kebebasan, peminta sedekah yang hanya mengharapkan belas ehsan penguasa elit 'politik' untuk mengamalkan demokrasi dan berpolitik. Pada hal, hakikatnya mengamal demokrasi, kebebasan dan hak asasi untuk bersuara dan berpolitik itu adalah hak kepunyaan seluruh rakyat yang merdeka, bebas dan berdaulat sebagai warga negara Malaysia.

Ibn Sabah,
8.10.2001M.

Hits: